Tuesday, June 30, 2015

Hidangan ala-ala Bangladesh

Hari Ahad yang lepas. Walaupun jam baru menunjukkan pukul sembilan pagi tetapi terik pancaran mentari terasa hingga ke kulit walaupun sudah berbaju kemeja lengan panjang. Selesai membasahkan pokok-pokok bunga dengan air aku dan Mak Zah menunggang motorsikal menuju ke kedai. Hajat di hati mahu membelikan pencuci muka anak dara aku yang sudah kehabisan. Selesai membeli kami meredah melalui lorong yang agak redup. Kelihatan berbagai jenis sayur-sayuran yang agak luar-biasa. Ingin juga mencuba. Setelah bertanya tahulah mereka mengimpot bekalan tersebut dari Bangladesh. Tidak dapat ke negara mereka dapat mencuba sayuran mereka pun jadilah.

Tiga biji - Sewaktu membeli sudah diberitahu nama dia tetapi bila tiba di rumah kami gelak berdua betul-betul lupa apa nama buah/sayuaran ini. Kupas kulit aku masukkan dalam ikan merah masak asam pedas. Boleh saja tekak aku dan Mak Zah makan sebab bagaikan timun saja.  
Sebiji - Bagaikan labu air jika di tempat kita. Tetapi sebab bentuknya agak asing aku mahu mencuba juga. Masak sup letak udang, fish-ball, suhoon dan saleri sedap juga ditekak kami.
Terung - Ditempat kita juga ada, tetapi sebab saiz dia yang buat aku geram. Belum dimasak lagi. Mungkin masak pajeri pun sedap. Belum tahu kesudahannya tetapi kita semua sudah biasa makan terung seperti ini.
Dari hari ke hari semakin ramai pula mereka yang bukan warganegara berniaga di tempat aku. Biarpun untuk berkomunikasi tidak selancar mana tapi perniagaan mereka kian maju. Dari berpayung akhirnya boleh menyewa kedai yang punya kelengkapan api-air yang sempurna. Kagum dan malu sebab aku masih tidak mampu seperti mereka - dari dulu masih menjadi kuli.

~~ Luasnya bumi Allah untuk mencari rezeki ada di mana saja. ~~


Monday, June 29, 2015

"Saya tak puasa pakcik"

Komunikasi melalui telefon sudah dijelaskan masalah yang melanda. Tarikh temujanji untuk memperbaikinya juga sudah dipersetujui. Memandangkan tarikh mereka akan datang waktu anak-cucu tidak ada di kampung bermacam nasihat sudah diberikan buat bapak. Kebimbangan tetap ada untuk senario masakini apalagi sudah terjadi sekali bapak dipukau ketika di kedai sedikit masa dulu.

Mendapat panggilan telefon pada hari yang dipersetujui dengan ceria bapak menjelaskan siaran Astro yang bermasalah sudah diperbaiki dan pulih seperti sediakala. Mendapat berita itu sudah pasti anak mana yang tidak gembira bila bapak sudah ceria kembali. Apalah teman bapak ketika anak-cucu tidak balik selain siaran televisyen.

Bapak: Kesian dua budak tu panas-panas memanjat bumbung rumah (pada bapak lelaki berusia lingkungan 30an itu budak).
Anak: Dia menjalankan tugas dia pak. Memang itu kerja dia.
Bapak: Lagi kesian bila bapak nak bagi upah dia tak nak.
Anak: Memang nanti bayarannya akan masuk dalam bill pak. (bapak tidak pernah membayar bill semua bill anak-anak yang membayarnya).
Bapak: Yelah tapi bapak tak sampai hati sebab itu bila dia kata "Saya tak puasa pakcik", terus bapak kata pergilah masuk dapur cari apa yang ada.
Anak: Eh... bapak ni dah subahat pulak.
Bapak: Tengok muka mereka bapak pun kesian merah-padam memang panas sangat. Bapak nampak mereka buka petiais minum air oren sejuk. Biarlah mungkin daruratlah tu.
Anak: Bapak...bapak... 
Bapak: Selepas minum bapak kasi juga upah, alah sedekah buat isi minyak kereta dia.

Begitulah orang tua. Apa yang aku musykil yang muda pula bagaikan tidak malu dengan yang tua. Bapak siap nasihat supaya jangan lupa membayar kalau ada berhutang puasa.

~~ Kalaulah terik matahari di dunia kita sudah tidak tahan, bayangkan panas api neraka yang jika sehalus lubang jarum pun jatuh ke bumi mampu untuk memusnahkan seluruh bumi ini. Renungkan.~~


Friday, June 26, 2015

Senjata

Selalu kita dengar orang berkata "Senjata makan tuan". Senjata yang makan tuan ini biasanya kalau diperhatikan akibat salah diri sendri yang tidak berfikir panjang bahawa 'senjata' yang kononya untuk tujuan lain akhirnya diri sendiri yang terkena. Kalau digunakan dengan baik dan menurut peraturan pasti baiklah dapatnya, namun jika sebaliknya sendiri akan menerima padah. Itulah sebabnya mengapa orang dulu-dulu yang begitu pemerhati dapat membuat kata bidalan tersebut.

Doa pula tidak kurang dikatakan senjata buat kita umat Islam. Tidak mampu memberi sedekah dengan harta dan tenaga berilah dengan doa. Setelah mentelaah dan berusaha dengan tekun senjata terakhir juga dengan doa. Inilah juga dikatakan senjata. Tidak mampu memikul senjata menentang musuh, dengan doa kita titipkan buat mereka yang berjuang. Merapak sujud menadah tangan berdoa tanpa henti di sepuluh terakhir ramadhan sering dilakukan. Bukan tidak boleh berdoa dihari-hari pertama hingga ke 20 ramadhan. Begitu juga hari-hari biasa bukan tidak boleh berdoa. Tetapi sebagai manusia siapa tidak mahu ganjaran dan kebaikan yang sudah dinyatakan beribu kali ganda? Senjata ini juga salah satunya yang memberi kekuatan mental, fizikal dan keimanan manusia tanpa disedari.

Perbandingan diantara mereka yang menyalahgunakan senjata sehingga di'makan' senjata sendiri dengan menggunakan senjata ke jalan yang baik amat jelas punya dua kriteria yang amat jauh berbeza.

~~ Terus panjatkan doa moga ibadah kita diterima olehNya.~~

Thursday, June 25, 2015

Adik ada 3 kakak?

Ramadhan kali ini lebih berselera waktu berbuka dan sahur. Bila santai bersama pun lebih meriah kerana ketiga-tiga anak ada di rumah. Kak Reen sekarang cuti sem tiga bulan. Ada saja modal cerita bila mereka berkumpul bersama. Apa yang menghairankan di rumah ini ada dua laptop dan dua PC tapi tetap mereka boleh duduk berkongsi melihat satu PC yang sama bertiga.

Petang itu ketika aku sedang menonton televisyen, biasalah sambil mata melihat skrin tv telinga tetap dapat menangkap butir bicara mereka bertiga. Ada yang buat gelak ketawa mereka turut membuat aku senyum sama. Bila adik berkata "Ini mesti kakak yang buat." Kak Meen menjawab "Kakak taklah dik." Adik pula menjawab "Adik tak kata kakak mana satu." Bila begitu Kak Reen merasa kalau bukan Kak Meen mestilah maksud adik dia lalu Kak Reen berkata "Eh kakaklah pulak". Tapi selamba adik menjawab. "Adik tak kata kakak siapa pun. Kakak adik kan ada tiga." Terkejutlah dua-dua kakak. Aku matikan diri sambil pasang telinga mahu juga tahu siapalah kakak satu lagi yang adik maksudkan. "Hitam kan kakak adik juga." Manalah semua tidak tergelak. Hitam itu mama Si Kecik dan Si Baby yang dimaksudkannya. Kami semua tahu adik membahasakan diri dengan anak-anak kucing itu kakak.Tapi tidak pula kami tahu yang dia memanggil Si Hitam itu kakak.

Si Kecik - Paling tinggi egonya sebab selalu menunjuk hasil tangkapan yang dibawa masih hidup buat orang terjerit-jerit
Si Baby - Masih anak lagi. Mengantuk kena kejut cahaya kamera. Biar tak cantik tapi menarik:)
Dua beradik - Mana pergi mamanya  Si Hitam waktu ini pun tidak diketahui. Duduk berkongsi di atas tong sampah menanti pintu dapur dibuka.

~~ Kucing-kucing di tempat kita lebih bernasib baik mendapat perlindungan dan makanan yang sempurna berbanding saudara kita yang berpuasa di dalam khemah, kancah keganasan dan runtuhan bangunan di sana-sini. Renungkan. ~~


Wednesday, June 24, 2015

Whatsapp sarat ibarat perut kekenyangan


Bila group whatsapp kian bertambah semakin sesak 'perut' di dalam telefon untuk menerima. Akibat dari terlalu kenyang, telefon bimbit boleh jadi sakit seperti manusia yang terlebih makan. Sumbat semua tidak kira siang-malam-pagi-petang akhirnya tersadai menerima padah. Sakit mulalah menjengah diri. Itulah hikmahnya mengapa ramadhan didatangkan buat umat Islam.
Mohon dari google tepek di sini

Namun apa yang ingin diperkatakan di sini apabila telefon bimbit mula tergantung atau jem gara-gara whatsapp. Sekadar memberitahu kepada yang masih belum mengetahui langkah yang boleh dibuat:-

1. Pergi ke settings whatsapp
2. pilih/tekan account
3. kemudian pilih/tekan network usage
4. akhir sekali reset statistic

Bijak juga mereka mencipta ini. Tidak perlu bimbang kerana ia tidak akan mengganggu fail yang lain. Boleh diperhatikan sebelum ke reset statistic beribu-ribu kb telah kita gunakan. Sebaik reset semua akan kembali kosong. Selepas itu akan lajulah kembali untuk berwhatsapp. Sila rajin cuci seperti mana kita sekarang sedang mencuci perut kita. Jangan sampai kekenyangan ia boleh membawa penyakit:)

~~ Manusia pun lebih kurang macam telefon bimbit ada jangka hayat juga. Sampai masa tidak boleh digunakan.~~

Tuesday, June 23, 2015

Tersepit di celah kemajuan

Lumrah biasa terkadang kita tidak sedar apa yang terjadi kepada insan-insan terdekat dengan kehidupan harian kita. Jiran adalah saudara terdekat walaupun bukan darah daging. Aku terpana apabila diberitahu salah satu rumah jiran berhampiran rumah kediaman aku akan diperintah lelong oleh pihak bank. Terkedu. Terperanjat. Kasihan. Sedih.  Semua rasa itu berbaur menjadi satu di dalam minda aku suami-isteri. Bila pihak bank menyatakan sejak membeli tidak dibayar aku dan hubby terkedu betul. Apa yang kami tahu rumah tersebut juga dibelinya dari orang lain. Tidak lama selepas itu dia menyewakan pula kepada orang lain. Aku tidak ambil tahu berapa dia sewakan dan berapa banyak harga yang perlu dibayar kepada pihak bank setiap bulan.

Mahu membantu dengan jumlah yang melibatkan angka agak besar tentulah tidak kami mampu, apa lagi bukan darah-daging walaupun ianya jiran. Serba-salah. Pernah terjadi sebelum ini yang akhirnya rumah itu aku dan hubby sepakat membelinya. Kini sekali lagi terjadi. Perbincangan terpaksa dibuat. Sepakat kami membeli saja rumah tersebut. Bayaran yang perlu dibayar kepada pihak bank sudah hubby langsaikan melalui pihak peguam kami. Seterusnya rumah tersebut kini sudah dicavietkan ke atas nama anak dara sulung kami. Tindakan kami sekurang-kurangnya dapat memberhentikan perintah lelong yang akan dibuat. Daripada rumah jatuh ke tangan bukan bangsa aku lebih baik kami membelinya. Kalau anak-anak tidak mahu duduk kelak (anak-anak aku semuanya perempuan, manalah tahu suami masing-masing tidak mahu) rumah-rumah yang kami ada dijadikan homestay. Teringin juga mengikut jejak-langkah anak Melayu pantai timur yang rata-rata mempunyai homestay. Tidak dapat 7 buah sementara ini dapat  3-4 buah pun jadilah. Sementelahan anak kami pun tiga saja.

Apakah 'orang yang duduk di atas' tidak nampak masalah yang kita rakyat marhaen ini hadapi. Rumah yang harga tidak sampai RM200/- pun masih ada yang tersepit tidak mampu membayarnya apa lagi jika mencecah jutaan ringgit. Semput hingga akhirnya tersepit. Bila sudah tersangkut akan disenarai hitam pula dan langsung tidak boleh membuat pinjaman bank. Kasihan golongan seperti mereka ini. Tindakan kami sekurang-kurangnya dapat membantu pasangan ini dari disenarai-hitamkan pihak bank. 

~~ Kerana rumah itu dua pembayaran projeknya hanya berbaki RM 2000/- saja. Kasihan hubby.~~





Monday, June 22, 2015

Cabaran dan harapan

Nasib Kak Reen kena menjalani praktikal di bulan ramadhan. Hari Ahad semalam merupakan hari pertama dan dapatlah mama menghantar sebab cuti hujung minggu mama adalah Sabtu/Ahad. Sebaik parkir di JAIJ kami melangkah kaki menuju bangunan mahkamah tinggi itu. Sebenarnya itulah kali pertama mama menjejakkan kaki di situ. Mengah juga mama dibuatnya. Elok benar kalau untuk exercise sebelum masuk pejabat.

Mahkamah Tinggi Johor - Di sinilah semalam mama menghantar Kak Reen
Pintu masuk - Melihat langkah Kak Reen mama pula rasa terharu. Terasa semakin besar anak mama dan rasa mama semakin dekat menghampiri untuk bertemu Allah.
Etika berpakaian - Paparan di pintu masuk bangunan. Mama pula menghantar memakai seluar labuh. Walaupun seluar mama kalau dilihat bagaikan kain ia tetap juga seluar dan pastinya tidak dibenarkan untuk masuk. Tetapi pakcik guard itu terlalu baik memberi kebenaran hanya mama sendiri rasa tidak sedap hati. Jadi hantar Kak Reen di lobi bangunan saja. Entah mengapa pakcik guard itu boleh ingat mama tua ini kakak pada Kak Reen. Mungkin mata orang sudah tua tidak jelas. Kak Reen remaja lagi berbanding mama yang sudah tua benar ini.
Kak Reen - Langkah pertama belajar untuk bekerja. Walau pun ini sekadar praktikal tetapi sekurang-kurangnya dapat memberi pendedahan bagaimana situasi alam pekerjaan. Kak Reen tidak pernah bekerja hatta bekerja sementara selama hidup sebagai anak mama. Semalam merupakan hari pertamanya. Beg samsung itu adalah telekung dan peralatan yang pihak U berikan untuk digunakan sewaktu praktikal.
Syukur kerana Kak Reen dilingkungi dengan pekerja-pekerja yang sangat berhemah. Ramai yang lebih kurang usia mama menurut Kak Reen. Jadi ada juga yang membahasakan diri mak hanya Kak Reen saja memanggilnya kakak sebab rata-rata mereka memanggilnya kakak. Etika kerja juga di beritahu dengan baik. Contohnya setiap apa juga kes yang ada tidak bolehlah didedahkan dalam facebook, blog, tweeter dan sebagainya. Walaupun Kak Reen tahu sebab dalam pembelajaran juga sering ditekankan hal ini tetapi ianya sebagai peringatan juga. Doakan anak dara mama ini mampu memberi yang terbaik untuk pembelajaran seterusnya.

~~ Perjalanan masih panjang, moga mama masih ada peluang melihat kejayaan anak-anak mama.~~


Friday, June 19, 2015

Riadah malam ramadhan

Rutin tahunan setiap kali ramadhan tiba tidak adalah joging seperti biasa. Kalau bukan bulan ramadhan setiap kali ada cuti atau pun ketika hujung minggu hari Sabtu dan Ahad menjadi kebiasaan untuk beriadah di padang tapi  sebulan ini bercutilah.

Namun sebenarnya ada yang lebih istimewa riadah di bulan ramadhan ini. Selain dapat dilakukan setiap malam, masa juga lebih panjang. Riadah hujung minggu biasanya satu jam atau jika lebih pun adalah terlebih dalam 15 atau 30 minit. Jauh bezanya bila beriadah di malam bulan ramadhan. Masa lebih panjang dan dilakukan dengan santai. Tanpa kita sedar dengan bersolat terawih banyak anggota kita terlibat untuk beriadah sama, sehingga jari tangan dan kaki pun turut melakukannya ketika kita duduk tahiyyat atau duduk antara dua sujud. Dari mengangkat takbiratul-ihram, qiam, rukuk, berdiri semula, sujud, duduk antara dua sujud (iftirasy), duduk tawaru (tahiyyat akhir) dan memberi salam semuanya melibatkan pergerakan yang berulang-ulang setiap dua rakaat terawih yang kita lakukan. Bila ada masa senggang mulut pula tidak lepas membaca "Allahumma innaka afuun tuhibbuafwafa'fuanna yaakareem". Riadah inilah yang aku maksudkan.

~~ Istimewanya riadah dibulan ramadhan dapat kita lakukan setiap malam. ~~

Thursday, June 18, 2015

Ramadhan 1436H sudah menjelma

Alhamdulillah masih berpeluang untuk menikmati ramadhan tahun ini.
Alif, Laaaam, Miiiim - Malam tadi rata-rata semua sudah memulakan tadarus. Walau sebelum 1 ramadhan sudah hampir ke juz Amma kena mulakan balik dari juzuk pertama. Masing-masing berebut mencari ganjaran terbaik di bulan yang mulia ini.  Hari ini Johor cuti umum boleh diambil peluang untuk membaca lebih 4-5 juzuk. 
Walaupun berpuasa bagaimana pun environment keliling lebih kurang sama. Banyak tempat mencari rezeki di sana-sini. Bazar pula kian rancak di merata tempat. Pasaraya-pasaraya semakin riang mengalunkan lagu-lagu raya. Siang-malam-pagi-petang sana-sini ada tawaran harga murah. Masjid pula kian meriah di waktu terawih bermula. Walau di mana kita berada kelompok manusia tidak dapat dihindari. Bila ramai manusia, mata pun banyak yang melihat dan akan dapat dilihat. Begitu juga dengan mulut yang sama banyaknya dengan jumlah manusia yang ada. Tidak kurang telinga yang rata-rata mempunyai sepasang telinga untuk mendengar. Menjaga anggota pancaindera ini juga amanah kita semua. Dosa kecil akan terampun dengan solat dan ibadah yang dilakukan. Dosa besar kena segera bertaubat.

Terlajak tanpa sengaja segera berundur. Mohon keampunan dan berniat untuk tidak mengulangi lagi. Istighfar dan berzikir sebanyak mana yang termampu. Peluang yang ada hari ini tidak akan pernah berulang lagi. Ujian masih banyak merata-rata walau syaiton sudah digari dek kerana rutin kebiasaan. Nasihat buat yang menulis dan juga keluarga sama.

~~ Bersama kita didik mata, mulut, telinga dan anggota yang lain untuk turut berpuasa sama seperti mana perut kita. Selamat berpuasa. ~~

* Mohon tidak perlulah melihat gambar entri di bawah. Itu entri semalam sebelum kita berpuasa. 

Wednesday, June 17, 2015

Riang-ria bersama keluarga - 7

Entri riang-ria terakhir sebelum menyambut ramadhan esok. Selepas hidangan malam yang kami nikmati ini bermakna kami akan makan di luar selepas ramadhan 1436H berakhir. Moga masih diberi peluang untuk menikmat riang-ria ini lagi, lagi dan lagi.


Dengan rendah hati tuan empunya blog memohon ampun dan maaf di atas segala keterlanjuran. Moga kemaafan kalian tidak membebankan ibadah yang akan sama-sama kita jalani di bulan ramadhan yang mulia.

~~SELAMAT MENJALANKAN IBADAH DI BULAN RAMADHAN.~~



Riang-ria bersama keluarga - 6




~~ Pastinya menggamit kerinduan kami semua.~~

Tuesday, June 16, 2015

Riang-ria bersama keluarga - 5

Biar jauh mana pun perjalanan akhirnya kerinduan untuk berada di rumah sendiri tetap lahir dengan sendirinya. Ibarat sireh pulang ke gagang, keriangan perjalanan dan percutian akhirnya membawa kami pulang ke rumah dengan satu kepuasan walau letihnya ada dirasakan.

Keropok Seri Sura - Setiap kali ke pantai timur di sinilah biasanya kami singgah membeli keropok sebagai ole-ole saudara-sahabat-handai-jiran-tetangga.  Kedudukannya di Dungun berhampiran peisiran pantai di mana tahun lepas kami menyewa homestay berhampiran tempat ini.

Hujan - JB pula hujan sudah tiba musimnya. Baju banyak yang perlu di cuci. Bukan setakat di porch penuh dengan ampaian tetapi juga di semua bilik menjadi mangsa ada kayu penyidai untuk menampung mana yang perlu.

Homework - Adik kena berkerah menyiapkan mana kerja sekolah yang belum siap. Ini sewaktu di homestay waktu malam ada juga dibuat tetapi tidak sepenuhnya. Balik itulah berbaki sehari dia siapkan semuanya.

Berada di KPJ - Malam kedua balik bercuti kami mendapat berita Pak Usu (adik papa) berada di wad. Mengalami masalah jantung yang perlu menjalani by-pass kerana tiga injap tersumbat.  Mahu menggunakan kaedah balloon (aku kurang arif) menurut doktor sudah tidak boleh kerana injap sudah bengkak. Menanti appointment doktor untuk melakukan operation by-pass tidak lama lagi.  
Adik punya - Hari pertama naik sekolah sah apa yang dilihat online sewaktu cuti yang adik mendapat tempat pertama dlm kelas dan seluruh darjah 6 adalah betul. Alhamdulillah. Bila cikgu sudah mengesahkan kenalah membeli apa yang dijanjikan sebab yang lama sudah putus wirenya. Lagi tanpa diduga sekolah agama juga buat kali pertama adik dpt mengalahkan rakan baiknya mendapat nombor satu juga. Bengkoklah mama kali ini sebab sudah berjanji utk membelikan dia sesuatu. Minggu ini harapnya dapatlah ditunaikan. 
Musim hujan sudah melanda. Akan turun bila-bila masa saja di JB sekarang. Tidak pagi akan turun di tengahari. Tidak tengahari akan turun di petang mahupun awal malam. Cuaca sedikit sejuk dapat menjimatkan elektrik dari menggunakan airconditioner sepanjang masa. 

~~ Panjang umur esok ada peluang sehari lagi buat kita untuk makan di siang hari sebelum berpeluang menemui ramadhan 1436H.~~


Riang-ria bersama keluarga - 4

Taman Tamaddun Islam (TTI) menjadi salah satu destinasi persinggahan kami. Berkali-kali ke Kuala Terengganu tetapi kami belum berkesempatan untuk singgah. Mengambil kesempatan cuti panjang kali ini akhirnya kami berpeluang untuk singgah di TTI.

Passport - Empat dewasa dan satu kanak-kanak. Walau adik punya ketinggian hampir sama dengan kakak-kakak tetap masih di kira kanak-kanak kerana usia belum lagi 12 tahun. Passport ini boleh digunakan untuk tiga kali kunjungan.

Masuk - Selepas cop passport kami masuk ke dalam. Panas tidak terkira sehinggakan papa berkerut dahi dibuatnya.

Anak mama - Tiba disetiap replika masjid kami akan berhenti. Setiap satu juga kami abadikan sebagai kenangan bentuk  masjid tersebut. Mama/papa posing di Taj Mahal saja sehingga membuat anak-anak tergelak. Sealinnya anak-anak saja yang bergambar. Menggunakan khidmat monopod waktu beginilah kami dapat posing bersama.

Basikal 4 seater - Kami menyewa basikal ini. Pada awalnya mahu menyewa basikal setiap seorang satu basikal tetapi mama tidak pandai berbasikal. Tiada pilihan kami menyewa ini. Mahu menyewa buggy tetapi perlu ada khidmat mereka walau kita tahu menggunakannya pihak mereka tidak dibenarkannya. Perkidmatan trem juga ada tetapi tidak berhenti di semua destinasi masjid. Pilihan terbaik kami menyewa basikal ini. Enjoy!

Leceh - Dua anak ini setiap kali keluar pasti inilah yang paling melecehkan. Memakai kasut dan mengikat balik.

Sejuk - Berada di dalam bangunan berairconditioner untuk membeli cenderahati buat teman-teman mereka  apabila melihat di luar cuaca yang panas berdenting rasa bagaikan lesu mahu melangkah keluar.
Khidmat monopod - Kalau ada berlima bermakna kami menggunakan modopod sebab Mak Zah tidak ada.
Cantik - Seni ukiran bagaikan betul-betul mengikut masjid sebenarnya
Gembira - Biarpun panas terik bagaikan tidak dihiraukan kami semua
Cantik - Kalau untuk dijadikan rumah kediaman pun lebih dari mencukupi.

Carpet merah - Menarik kombinasi yang diaplikasikan.

Tertarik - Cornice siling yang digunakan benar-benar menepati mesjid sebenar.
Biarpun sudah lama TTI ini menjadi kunjungan ramai tetapi ini kali pertama buat keluarga kami kerana biasanya kami hanya singgah di Masjid Kristal yang berada bersebelahan tempat ini. Pergi kali ini kami tidak ke Masjid Kristal tetapi singgah di sini. Suasana yang cukup menakjubkan bila banyak masjid-masjid sebenar dijadikan replika untuk dijadikan tatapan kita semua. Rata-rata mereka yang membawa kamera canggih sanggup berjalan kaki dari satu masjid ke satu masjid untuk mendapatkan kepuasan gambar yang diambil. 

~~ Ada satu teka-teki - banyak sungguh masjid dibina berhampiran antara satu sama lain tetapi tidak ada orang yang bersolat. Masjid yang dimaksudkan inilah dia tempatnya. Sekadar replika. ~~

Monday, June 15, 2015

Riang-ria bersama keluarga - 3

Biarpun komuniti mereka tidak ramai dan sangat minoriti tetapi apabila tiba di sini akan kelihatan bangsa Cina tinggal di sini. Rata-rata mereka masih mengekalkan kedai secara tradisi. Apa yang menarik pengunjung dengan adanya tarikan lukisan 3 dimensi yang kini menjadi kegemaran remaja untuk berfoto. Tidak ketinggalan anak remaja kami biarkan mereka bertiga menelusuri lorong-lorang tersebut. Mama/papa hanya mampu mengikut lorong pertama saja. Cuaca yang panas teramat sangat mambuat mama/papa kurang selesa.
Lorong pertama

Seperti di Taman Tamadun Islam di sini pun ada lorong berpayung

Adik melayan kucing yang tersangkut

Kak Reen memberi ayam makan

Berehat seketika.
Mencari alternatif supaya tempat mereka juga dikunjungi pengunjung yang rata-rata mengejar ke Pasar Payang mereka membuat lukisan ini sebagai daya penarik. Berbagai cara dibuat bagi membolehkan kedai mereka walau kelihatan buruk tetapi tetap menjadi persinggahan mereka yang berkunjung ke sana. 

~~ Anak remaja pasti tertarik tempat begini tetapi tidak pada golongan warga emas seperti mama dan papa ini. ~~


Riang-ria bersama keluarga - 2

Destinasi riang-ria keluarga kami adalah menyusuri pantai timur, negeri-negeri yang kami kagumi kerana berbanding dengan negeri tempat kami lahir, di negeri-negeri inilah akan kelihatan saudara kami jauh lebih maju menerokai bidang ekonomi. Tumpang berbangga dengan kebolehan mereka sebenarnya. Dari berniaga kecil-kecilan sehingga yang lebih besar boleh dilihat di depan mata. Dari yang di tepi jalanan sehingga ke gedung-gedung mewah.

Tepian jalanan - Boleh dikatakan pemandangan ini pasti boleh dilihat. Murah itu yang pasti.
Makan malam pertama - Tidak banyak berbeza dengan hidangan biasa kami di JB tetapi yang pasti kami dapat merasakan harga bukan dua kali lebih murah tetapi lebih tiga/empat kali ganda lebih murah. Biasanya jika kami makan seafood seperti udang butter, siakap sweet-sour, sayur, kerapu lemon steam dan shark-fin soup untuk dimakan dengan nasi putih harga di JB (biasanya kami makan di Singgah Selalu tidak pernah kurang dari RM 300-400) Tetapi malam itu kami makan udang celup tepung, sotong celup tepung dan gambar di atas ini harga baru RM 100.60/-
Dua bills - Dua hari kami menikmati hidangan di tempat yang sama memandangkan ianya menepati selera kami. Malam pertama RM 100.60/- dan malam ke dua hanya RM157.15/-. Nama restoran tersebut adalah NR Seafood Village. Beralamat di Lot 9433, Jalan Pantai, Pengkalan Maras, 21020 Kuala Terengganu. (maaf gambar pudar sebab terkena air)
Restoran dan keluarga aku - Sementara menanti hidangan tiba lihatlah gelagat papa dengan anak-anak. Mereka berselfie mama pula mengambil gambar mereka tanpa mereka peduli.
Unik - Selain murah dan sedap restoran ini juga menarik jika dijadikan tempat untuk menikmati hidangan bersama keluarga. Sebab itulah tidak salah JJCM di TV3 menjadikan restoran ini salah satu tempat persinggahan mereka.
Mereka maju - Itu kata anak-anak kerana depan mata mereka rata-rata yang berniaga adalah bangsa Melayu tidak seperti di JB.  Keropok beraneka keropok juga boleh diperolehi. Cheese-ball, black-pepper, losong, lekor, kering semuanya boleh diperolehi. Memproses dengan cara yang lebih praktikal juga boleh kita lihat kerana rata-rata yang membeli adalah pengunjung yang jauh oleh itu mereka sudah ada teknik bagaimana untuk menjadikan keropok basah boleh bertahan lama sementara tiba masa untuk di simpan di tempat sejuk beku.
Sarapan - Kami bersarapan di warung tepi jalan saja. Nasi kerabu, laksam, pulut panggang yang lain dari versi JB itu yang menarik perhatian anak-anak. Jika di JB yang biasa pulut panggang berinti serunding tetapi ini isi ikan.  Sekali lagi apa yang jelas sedap dan murah.
Dari pemerhatian aku ramai bangsa kita yang jauh lebih maju tinggal di sini berbanding dengan mereka yang menetap di pantai barat (bukan tidak ada tetapi tidak ramai). Mencongak pendapatan dari empunya homestay yang kami tinggal saja mereka mampu menjana pendapatan lebih RM1050 sehari dari tujuh rumah yang dia ada. Aku mengandaikan jika ke tujuh-tujuh disewakan RM150/- sebulan tidak kurang RM31,500/- boleh diperolehi (kerana sewaktu kami katakan mahu kelaur lewat sedikit dia mohon maaf sebab penyewa baru sudah dalam senarai). Tetapi apa yang aku tahu ada yang disewakan RM250/- setanding dengan saiz rumah. Jika ditolak dengan kos maintenance dan utiliti pun aku dapat merasakan mereka boleh hidup senang.

~~ Sungguh sudah menjadi sabda baginda yang sumber pendapatan 9/10 adalah dari berniaga. Tapi aku masih belum berkemampuan. ~~