Saturday, November 30, 2013

Mini GA KakNi Edisi Tupperware

Sabtu yang indah ini ingin aku bersama-sama memeriahkan GA anjuran teman blogger. Marilah ramai-ramai kita memeriahkannya GA KakNi ini kerana inilah julung kalinya beliau menganjurkan GA di blognya. Mahu tahu lebih lanjut silalah klik di sini.

Banner - Salah satu syaratnya kena ada banner ini
Syarat-syarat penyertaan:
1. Terbuka kepada blogger yang ada alamat di Malaysia sahaja.
2. Anda mestilah follower blog kakni; goncar.blogspot.com *UPDATE*
3. Like FB page KakNi; KakNi Shoppe (preferable) atau pd yg tiada FB, FOLLOW blog Kakni Shoppe di goncar-mall.blogspot.com
4. Letakkan banner di atas di dalam entry penyertaan anda
5. Letak tajuk Mini GA KakNi Edisi Tupperware di dalam entry penyertaan anda
6. Letak link entry penyertaan anda di ruangan komen entry ini
7. Tempoh penyertaan GA: 28/11/2013 hingga 6/12/2013

~~ Selamat berhujung minggu bersama keluarga.~~

Friday, November 29, 2013

Bila berjalan mesti mahu menyinggah

Sebenarnya bila bercuti atau berjalan yang membuat lambat tiba destinasi kerana suka menyinggah mana yang disukai anak-anak. Walau sudah dalam perjalanan pulang pun masih ada tempat yang mahu disinggah. Mama mereka kalau boleh mahu cepat tiba rumah boleh rehat segera. Bayangan tilam dan bantal sudah di depan mata bila keletihan.

Tutti Frutti - Nampak ini pun kena singgah membeli

Sate -Nampak warung singgah lagi.

Parit Botak Batu Pahat - Adik makan beehoon soto di warung yang terletak di Parit Botak, sudah hampir dengan Universiti Tun Hussien Onn

Otak-otak - Ada disediakan otak-otak untuk setiap pengunjung. Tapi tidak sesedap otak-otak Kempas yang biasa kami makan.

JPO - Tinggal lima minit tiba rumah boleh juga singgah di sini. Mahu angkat kamera pun sudah tidak larat

Hujan - Sekadar menjenguk tak sampai 15 minit keluar semula. Parking pun tak perlu bayar sebab tidak lebih 15 minit. Kalau lebih 15 minit sudah kena RM3/-. Mahal parking di JPO.
Berita hari ini sangat mengujakan. Pertama kali di negara kita diadakan sekolah agama di penjara. Sultan Johor telah merasmikan sekolah agama tersebut di Penjara Kluang. Penjara yang menempatkan anggaran 2300 banduan dan 70% adalah beragama Islam. Aku tabik dan bangga dengan tindakan baginda sultan dalam hal ini. Sahsiah banduan kena dibersihkan bukan dari etika peribadi tapi iman di dada juga perlu dibaja moga bila dibebaskan kelak adalah sedikit sebanyak ilmu agama sebagai pendinding dari melakukan perkara yang sama berulang.

~~ Memandu pergi kerja bila musim cuti sekolah adalah suatu yang sangat tenang. Boleh tiba pejabat jarum jam belum mencecah 7:30 pagi.~~


Thursday, November 28, 2013

Masam-manis si buah kemang

Buluh lemang tidak berduri 
kusam warnanya sudah biasa 
buah kemang nama diberi 
masam-manis sedap terasa 

Buah kemang - Salah satu buah tersebut
    
Kupas - Anakanda Nurul yang rajin tolong membuang kulit
Bersih - Putih melepak sedap ditekak
Ketika singgah di pasar Parit Jawa aku melihat buah ini banyak di jual. Membeli lima biji untuk dikongsi makan di rumah Kak Uda kami. Tetapi sewaktu dalam perjalanan menuju Muar aku perhatikan banyak buah ini di jual di tepi-tepi jalan. Lebih kesal sebab yang di tepi jalan kelihatan lebih besar berbanding yang dijual di pasarnya. Oleh itu ketika perjalanan balik esoknya kami membeli yang di tepi jalan untuk dibawa balik ke JB. Masak asam pedas aku masukkan hirisan buah kemang ini. Selain itu campur dengan sambal belacan pun sedap. 

~~ Walau sedap di tekak aku dan hubby, namun anak-anak pula mengatakan ada bau yang tidak disukai mereka.~~


Tuesday, November 26, 2013

Seharian menjadi puteri-puteri Gunung Ledang

Tiada tujuh dulang hati nyamuk, pinang muda dan sebagainya dibawa sebagai persembahan ketika menjejakkan kaki ke sana. Tatapi sekadar membawa sandwich tuna, nugget, air kopi panas, air mineral dan kacang goreng sebagai bekalan. Destinasi di tuju adalah Airterjun Gunung Ledang. Lama sudah kami tidak menjejakkan kaki ke sini. Bersempena cuti berderet tiga hari yang lepas buat negeri Johor kami ke sini lagi.

Papan tanda - Mengalu-alukan pengunjung yang berkunjung
Cenderahati - Belum mendaki gunung sudah sibuk. Kak Yasmien membeli selipar jepun.
Tangga - Mendaki hingga berpeluh-peluh.
Buah hatiku - Kak Yasmien dan adik baru mula warm-up
Posing - Muka Kak Hanis tertutup tanganlah pula.
Papa - Menggigil-gigil kesejukan kerana hampir subuh bumi Ledang disimbahi hujan lebat. Sandwich, nugget, air panas semua habis baru kami balik. Selesai tukar baju kebetulan pula solat zuhor pun masuk.
Kelaparan - Selesai solat di surau yang disediakan kami pulang. Singgah di pekan Ledang mencari makanan. Anak-anak sepakat mahu makan KFC. Ikutlah saja. Ikut tekak aku dan hubby mahu mencari nasi tapi tidak terjumpa pula restoran.

~~ Melihat terjunan air yang jernih aku membayangkan tsunami yang melanda, kebakaran sana-sini. Air, angin, api semua ini bagaikan tentera Allah. Jika ia besar tidak terlawan oleh kita. Maha berkuasa Allah mencipta semua ini.~~



Monday, November 25, 2013

Mari mengenal ole-ole kami dari kampung

Tiga hari negeri Johor bercuti kami pun sama bercuti. Balik dari air terjun Gunung Ledang kami berehat di kampung Batu Pahat untuk menghilangkan rasa letih. Niat untuk terus balik JB kami tangguh sehari lagi. Semalam aku, hubby dan dua anak kami menjelajah keliling rumah mencari apa juga yang boleh dibawa balik. 

Daun limau purut - Masak tomyam, rendang atau asam pedas selalu digunakan Banyak ini aku patahkan rantingnya untuk dibawa balik

Pucuk tenggek burung - Makan berulamkan pucuk daun ini dengan sambal belacan sangat membuka selera. Hubby petik di belakang rumah sebelah pokok inai. Ada juga daun inai kami bawa balik tapi belum di tumbuk lagi.

Pokok terung pipit - Mahu mencuba nasib untuk di tanam di pasu bunga. Mana tahu boleh berbuah.

Daun kunyit - Masak rendang atau singgang pun sedap dengan hirisan daun ini. Rumah sendiri tidak sempat besar daunya asyik kena petik saja. Terlanjur balik kampung ambillah untuk kegunaan.

Daun kadok - Bukan daun sirih walau kelihatan bagaikan serupa. Sedap dimasukkan sama bila masak lemak ikan. Buat botok-botok, urap atau ulam pun sedap juga.

Pucuk beruas - Ada aroma yang sedap bila dijadikan ulam. Rebus dan cecah dengan sambal belacan. Hubby dan anak-anak lebih suka masukkan pucuk ini ke dalam asam pedas.

Nangka muda - Malam tadi sebaik tiba di rumah telah pun di rebus dan aku gulai. Bersahur juga aku makan dengan gulai nangka muda dan ikan goreng saja.
Bunga kantan - Masak asam pedas, masak laksa tak pernah tinggal bunga istimewa ini. Tinggal tiga bunga saja sebab kakak ipar sudah bawa agih kepada kawan pejabatnya.

Jantung pisang - Aisyah tolong pegang. Belum di rebus lagi. Tunggu petang ini balik kerja akan aku rebus.  Pasti sedap berbuka petang ini berulam jantung pisang dicecah dengan sambal asam:)
~~ Risau bila dikatakan soalan SPM mathematics bocor. Hari ini pula dikatakan kertas Sejaran pula. Mengguris rasa tidak tenteram aku sebagai ibu. Siapakah dalang semua ini?~~

Thursday, November 21, 2013

Tabungan untuk masa depan yang belum pasti

Isnin baru lepas adik dan Kak Yasmien mengikut papa ke tapak projek. Kali pertama mengikut kebetulan cuti sekolah. Bekerja dengan syarikat swasta kena banyak tabungan. Biasanya andai ada projek-projek kecil hubby akan cuba masuk tender bagi menambah tabungan keluarga. Balik dari tapak itulah anak-anak sudah melihat cek pembayaran tuan empunya projek kepada hubby. Melihat jumlah cek anak-anak sudah besar mata. Menjangka semua itu adalah milik keluarga. Papa mereka kenalah menerangkan semua jumlah tersebut untuk menampung balik modal yang telah dikeluarkan sepanjang projek berjalan. Membayar gaji pekerja dan petrol yang digunakan untuk berulang-alik dari JB ke tapak projek.
Adik dengan papa - Bila mahukan sesuatu begitulah muka adik. Papa kena memujuk untuk memberikan dia faham bukan mudah.
Walaupun akur dengan penerangan tetapi masing-masing masih memasang permintaan yang diidam-idamkan. Seringkali kena dijelaskan bahawa papa mereka bekerja disyarikat GLC, mama pula swasta; tabungan kena kukuh untuk masa depan pembelajaran mereka. Ditakdirkan mama/papa dijemput Allah sebelum mereka tamat belajar kemana mahu dicari. Meminjam pun rasanya masa akan datang andai masih di bawah payung pemerintahan yang sama pasti perit akibatnya.

~~ Anak-anak masih belum dapat melihat masa depan mereka bagaimana tinggal di bumi Malaysia yang bertuah ini andai tidak mempunyai tabungan dari sekarang.~~


Tuesday, November 19, 2013

Rezeki bila tiba musim cuti sekolah

Bila cuti sekolah saja, akan bermulalah majlis bertunang, majlis menikah, majlis kenduri-kendara atau apa juga majlis yang melibatkan saudara-mara dapat berkumpul bersama-sama untuk meraikan majlis yang dirancang.

Hari pertama cuti sekolah akhir tahun 2013 - Majlis pertunangan anak kakak yang menyewa rumah kami
Bila ada majis pertunangan atau pengantin pula pasti ada gubahan. Gubahan pula mengikut kretiviti masing-masing. Ada yang hasil tangan sendiri. Tidak kurang juga ada yang sanggup menempah hingga ribuan ringgit semata-mata untuk mendapat kepuasan di hati.

Cantik - Semuanya hasil gubahan sendiri.
Apa yang pasti, mereka yang menjana pendapatan yang berkaitan dengan musim cuti sekolah pasti dapat imbuhan yang berlipat-kali ganda. Mak andam, Pak andam, syarikat membuat gubahan, syarikat catering, pembuat kek/coklat, sewa-beli khemah, kedai peralatan pengantin dan sebagainya semuanya senyum lebar.

Menggoda mata - Ferraro Roche yang sedap tu:)
Begitulah indah dan seronoknya hidup dalam kelompok bangsa Melayu, sehinggakan mereka yang bukan Melayu pun sudah pandai bahkan ada yang lebih maju perniagaan mereka dengan menjadi pembekal barangan untuk kegunaan komuniti masyarakat Melayu. Bahan membuat kek/coklat, alat membuat bunga, perencah masakan semua rahsia telah mereka tahu. 
Tersusun - Sebelah kiri dari perempuan untuk lelaki dan kanan dari lelaki untuk pihak perempuan. Selamat bertunang buat mereka. Jaga pergaulan moga kekal hingga disatukan tahun hadapan.
~~ Melimpah-ruah rezeki bila cuti sekolah Allah berikan dengan berbagai bentuk dan cara.~~

Monday, November 18, 2013

Andai begitulah caranya usah tanya hak anda

Hujan rintik-rintik di luar dewan masih lagi tidak berhenti. Aku biarkan adik dengan cikgunya yang sibuk dengan aktiviti jualan mereka sambil itu aku menyusuri tempat mencari ruang kosong. Kelihatan masih banyak kerusi tidak ada yang duduk, tetapi rata-rata ada beg di atasnya. Akhirnya aku dapat satu tempat kosong. Sementara menanti majlis bermula aku membelek naskah aturcara majlis. Kedengaran pengumumuan memohon kerjasama semua hadirin berdiri bila lagu kebangsaan, lagu negeri Johor dan lagu sekolah dimainkan. Tidak lama kemudian berkumandang kompang dipalu tanda def-def kehormat sudah tiba diikuti perarakan kontinjen pasukan pakaian beruniform mengiringi. 

Lagu-lagu kebangsaan, negeri dan sekolah pun berkumandang. Sayangnya masih ramai yang masih tidak menghormati atau mematuhi apa yang diarahkan sebelum ini. Bukan prejudis tetapi jelas di depan mata mereka yang bukan bangsaku mengabaikan. Melihat kami ramai-ramai berdiri tegak bagaikan tidak ada rasa apa dihati mereka. Mungkinkah mereka tidak faham arahan dengan bahasa Melayu sebentar tadi. Jauh di sudut hati aku, kalaulah aku ada kuasa menarik kewarganegaraannya pasti akan aku lakukan. Bila membincangkan soal hak bukan main lantang bersuara. Namun hal yang begini mudah mereka buat acuh tak acuh.

~~ Bangsa kita bukan mudah lupa tapi selalu buat-buat lupa. Bila kepala diinjak-injak sudah tidak mampu mahu angkat leher. Bangunlah anak-cucu makcik semua. Macam makcik ini tidak lama di bumi ini tapi anak-cucu semua masih panjang perjalanannya sayang.~~




Saturday, November 16, 2013

Cuti sekolah sudah bermula

Hari ini cuti sekolah hujung tahun sudah bermula. Hari ini juga tidak kelihatan lagi anak-anak yang selalu bangun pagi terus mandi, solat dan bersiap ke sekolah. Sebaliknya bangun pagi masuk ke bilik air bukan mandi tetapi sekadar berus gigi, berwuduk dan solat subuh. Habis solat menuju semula ke bilik, sambung mengulek mimpi. Melupakan kisah sekolah untuk seketika. Tahun hadapan kelas lain akan diduduki pula.

Kereta Kuda - Anak-anak paling gembira dapat menaiki kereta kuda ini. Aku rasa selain memancing ikan, kereta kuda inilah yang paling menarik tumpuan anak-anak.
Dua hari lepas sekolah adik mengadakan majlis anugerah cemerlang. Adik tidak cemerlang tahun ini sekadar sama-sama memeriahkan suasana. Berbagai acara diadakan seperti tarian, jualan amal, permainan dan sebagainya.

Contingent - Dalam pada tidak dapat naik pentas untuk mengambil hadiah tahun ini kerana keputusan yang merudum, dapat pula jadi ketua contingent perbarisan. Gelihati mama/papa dibuatnya sebab biasa ketua dilantik dari kalangan murid tahun 5 atau 6. Ligat juga adik sebenarnya hingga gelap muka kerana seminggu berlatih.
~~ Bukan semua yang kita mahu akan dapat diraih dengan mudah. Ada kala ujian datang tanpa diduga mungkin untuk mengembalikan kesedaran diri yang terlalai seketika.~~

Friday, November 15, 2013

Sejenak ke Kompleks Pekan Rabu

Membawa Mak Zah ke Kompleks Pekan Rabu hari minggu lepas. Sebenarnya ini kali pertama kami menjejaki kaki ke sini sebab tidak pernah ada tujuan. Sunyi sepi. Aku  rasa kalaulah tidak ada pejabat kastam immigresen di sini lagilah boleh jagi gajah putih sajalah bangunan tersebut. Tetapi kali ini pergi kami kerana mendengar iklan di radio berkenaan sakit kepala disebabkan resdung yang boleh diubati. Puas sudah berjumpa doktor kali ini kami mencuba cara tradisi moden.

Bilik pendaftaran  - Selepas mendaftar dan ambil nombor kena tunggu giliran

Bilik rawatan - Satu sessi hanya boleh memuatkan tiga orang pesakit.
Aku dan hubby tidak dibenarkan masuk kerana bilik rawatan tidak besar. Menurut Mak Zah sewaktu treatment, muka diurut seperti kita membuat facial sebaik diberi minum ubatnya. Kemudian direhatkan sebentar. Bila sudah bersin-bersin akan dibawa ke tempat untuk menundukkan kepala. Masa itulah semua sisa perkumuhan keluar dari hidung. Sampai merah-merah mata dan hidung Mak Zah sebaik keluar dari bilik itu. Begitu juga makcik yang membuat pemeriksaan sama di sebelah Mak Zah. 

Res-Dung Juice - RM150/- sebotol ini. Untuk seminggu ini kelihatan macam agak berkesan. Kalau betul kenalah diteruskan. Apa yang penting juice ini mendapat kelulusan yg tidak membimbangkan.

~~ Kita berusaha tetapi yang menyembuhkannya tetap Allah juga.~~


Thursday, November 14, 2013

10 Muharram mengingatkan peristiwa di Karbala

Semalam balik kerja terasa begitu letih sangat dan pasti minda terus ligat mencari jalan mudah untuk segera rehat. Elok benar kerana hari pasar malam. Pilih, bungkus, bayar dan bawa balik. Sampai rumah tidak perlu lagi bersilat memasak di dapur. Semua bungkusan Mak Zah ambil dan masukkan ke dalam bekas. Siap.

Bergumpal di seat sebelah -  Ada ayam goreng empat ketul, nasi lemak kukus, laksam dan yong-taufu.

Dua bungkus air - Air chrysanthemum dan air mata kucing
Kalaulah setiap hari ada pasar malam atau bazar seperti bazar ramadhan alangkah mudahnya. Boleh pilih mana suka. Hari ini aku dapat merasakan akan keletihan lagi memandangkan tugasan yang kian berlambak. Tapi sayang untuk tidak berpuasa kerana 10 Muharram tahun ini sangat cantik jatuhnya pada hari Khamis. Bila 10 Muharram pastinya kita tidak akan lupa peristiwa di Karbala zaman cucu baginda rasulullah diinjak-injak sebegitu hina oleh kaum Musyrikin. Sayangnya adik tidak turut berpuasa hari ini kerana ada makan-makan di kelasnya. 

Sayuran - Beli pucuk meranti, sawi, bayam, tomato, bendi, buncis dan cili.  Daun sup dan taugeh beli juga untuk buat beehoon goreng adik ada jamuan kelas katanya.
~~ Sekali lagi mohon maaf tidak dapat menjejaki teman-teman. Esok rasanya tugasan aku akan sedikit ada kelonggaran untuk aku jejaki teman-teman yang menjenguk di sini. Terima kasih.~~


Wednesday, November 13, 2013

Lihatlah kek adik buat dengan bread maker


~~ Maaf, dua-tiga hari ini aku kesibukan hingga mahu publish ini pun sampai ke petang.~~

Tuesday, November 12, 2013

Novel akhir tahun adik

Dapat juga adik novel seperti selalu walau kali ini tidak sebanyak mana. Sekolah agama adik melepasi syarat untuk dia membeli novel. Kali ini 4 buah kerana adik mendapat nombor dua. Jadilah kerana sekolah kebangsaan keputusan adik sangat-sangat merudum. Nombor 15 bayangkanlah sedih tidak terkata.

Novel pilihan - Dari empat dua darinya karya Ain Maisarah. Penulis kesayangan adik. Dulu si kakak peminat Ain Maisarah, bila kakak sudah remaja adik pula yang mengambil alih minat padanya.

Hadiah - Badan Book Store menghadiahkan ini dari pembelian tersebut. Folder dari PTS Publication.

Cantik juga - Buat adik mestilah suka sebab bolehlah masuk 5 buah novel di dalam folder tersebut.
Bila sudah ada novel selepas habis peperiksaan akhir tahun mulalah ke hulu-hilir diusungnya novel. Sehingga minta tolong masukkan baju yang Mak Zah sudah lipat ke dalam almari pun keluar perkataan "sekejap ye".

~~ Budak perempuan kalau tidak bermain anak patung atau masak-masak, mesti novel menjadi sasaran.~~

Monday, November 11, 2013

Seharian adik mencari cinta

Sana-sini di sekolah sekarang mempunyai kegiatan masing-masing sementara mahu menghabiskan sisa-sisa sekolah yang tinggal seminggu ini. Kem keusahawanan, sukaneka, majlis makan-makan di kelas dan tidak kurang juga kem motivasi. Sabtu lepas adik dengan rakan-rakan dan guru sekolah agama ke kem motivasi di Hotel Le Grandeur.

Riadah dan sukaneka - Swimming pool dan padang tempat permainan di waktu pagi sebelum memulakan motivasi. Petang itu baru kami pergi menjemput adik. Sementara itu kami meninjau kawasan. Hubby pernah bertugas di sini dulu tapi nama hotel tersebut waktu itu masih lagi Sofitel Hotel. Sekarang telah dijenamakan baru menjadi Hotel La Grandeur.
Jam 5:30 petang - Balik dengan muka selamba melihat papa-mama sudah menanti di luar dewan. Keletihan seharian mendengar motivasi tentang 'mencari cinta'.
Posing - Bersama kakak-kakak tahun 6 yang akan berpisah tahun depan. Moga kakak-kakak mendapat keputusan UPSR yang terbaik (dijangkakan keluar pada hari Khamis ini)
Pada hari itu adik dihidangkan dengan motivasi mencari cinta. Menurut adik cinta kepada Allah dan rasulNya kenalah melakukan apa yang disuruh dan hindar segala laranganNya. Cinta pada mama/papa jangan sesekali melakukan perbuatan yang tidak disukai. Cinta pada guru/ustaz/ustazah mestilah belajar bersungguh-sungguh. Cinta pada keluarga, kawan, jiran, pemimpin dan negara semuanya ada diberikan. Suka juga mama-papa mendengar apa yang adik khabarkan kepada kami ketika seharian berada di La Grandeur. Apa yang penting dia mendapat maksud dari kem tersebut.
Lasagna - Singgah di Secret Receipe Airport Senai (berdekatan dengan La Grandeur) menikmati makan. Adik memang tidak lapar tetapi mama dengan papa yang berhajat untuk mengisi perut yang lapar. Kami tidak makan tenghari bila tinggal berdua. Mak Zah balik kampung.
Popia - Mama bila masuk SR tidak pernah lupa membeli ini sebagai hidangan.
Mi Kari - Tidak terhabis adik makan sebab sudah puas makan dengan makanan yang lazat dan sedap di hotel.
~~ Sesungguhnya rasa cinta itu adalah anugerah Allah kepada kita hambaNya yang sangat bernilai. Menikmati dan memberikan rasa cinta adalah hak kita yang perlu dibaja dan dijaga. ~~