Thursday, July 24, 2014

Selamat Hari Raya Aidilfitri, kad di kirim pengganti diri

Titisan buat blogger dihormati 
Ramadhan kian mengundurkan diri 
moga ibadah puasa kita diberkati 
menjelang Aidilfitri yang dinanti 
aku dari TITISAN NURANI 
menghulur tangan & jari-jemari 
andai ada yang terguris di hati 
atau tercalar dek komen diberi 
mahupun terlebih di sana-sini 
atau terkurang tidak diingini 
Ampun & Maaf setulus hati 
Selamat Hari Raya Aidilfitri

Tayangan beberapa kad kiriman yang telah aku terima. Terima kasih semuanya:)

Puan Nurhayati - Ulangtayang sekali lagi kad kiriman teman pakar memasak
Syukran jazilan - Begitulah harapan moga ukhuwah terjalin berkekalan.
Kesuma Angsana - Ibu tiga permata yang agak kesibukan sekarang ini.
Terima kasih - Huluran tangan disambut dengan rasa terharu dan jutaan terima kasih tidak terhingga buat KA sekeluarga juga.
Ustazah Nor Azimah - Salah satu blog yang memuhasabahkan diriku yg kerdil
Harapan - Begitulah mohon ukhuwah terjalin hingga ke jannah. Moga kebahagiaan milik kita semua umat Islam.
Adinda Qaseh Vee - Seorang blogger yang suka mencuba resepi baru. Terima kasih QV.
Pantun - Ramadhan pergi syawal menjelma, moga bahagia milik kita semua.
~~ Sebelum berundur untuk bercuti, Selamat Hari Raya Aidilfitri, Insya-Allah kita berjumpa lagi.~~ 

Wednesday, July 23, 2014

Ketupat ini membuka mood Hari Raya adik

Palsu
Tergantung

 ~~ Insya-Allah beberapa hari lagi dapatlah merasa ketupat yang betul.~~

Tuesday, July 22, 2014

Kuntum pilihan ramai anak-anak

Adik kurang sihat sejak sehari-dua ini. Selain batuk dan selsema, semalam pula menjadi demam. Apabila usia sudah mahu menginjak 11 tahun, disuruh berbuka pun pastinya tidak akan dihiraukan. Mama-papa yang bekerja hati tidak senang bila badan adik panas ditambah bila berpuasa kepanasan bertambah lagi. Sudah dua hari juga tidak ke sekolah agama. Sekolah kebangsaan masih lagi gigih dan terpaksa juga dihantar. Semalam pihak sekolah suruh adik berbuka dan balik. Tetapi adik tetap dengan cara dia yang kalau dia kata tidak maka tidaklah. Cikgu pun sudah arif dengan perangai adik.

Penghibur - Selepas solat Isya' dengan tidak berterawih terus saja membuat kerja sekolah. Kemudian mengulek majalah yang baru dapat.  Edisi bulan Jun lewat di hantar jadi bulan ini sekali dapat dua iaitu Jun dan Julai. Tetapi kerana penangan ubat yang dimakan tidak sampai 15 minit sudah hanyut dibuai mimpi
Hadiah - Kali ini pihak penerbit Kuntum memberikan hadiah bekas makanan seperti di atas.  Satu daya tarikan pihak pemasaran menjentik keinginan anak-anak untuk memilikinya
Merenung anak-anak kita yang selsema, batuk dan sedikit demam tetapi di hadapan rumah sudah ada klinik untuk mendapatkan ubat. Sebab itulah bila adik tidak mahu berbuka sebenarnya ia membuka mata hati aku lebih celik. Anak-anak di negara yang teraniaya walau tidak berpuasa tetapi mereka tidak mempunyai makanan. Setakat batuk-selsema perkara remeh kerana ramai yang cedera-parah akan diutamakan.

~~ Hargai keamanan dan sentiasa beringat Allah masih memberi kasih dan sayangNya buat kita semua.~~

Monday, July 21, 2014

Buah kopi yang bagaikan anggur

Pernah melihat bagaimana kopi itu terhasil? Makcik percaya anak-anak yang tinggal di bandar dan tidak ada kampung pasti pokok kopi pun tidak pernah jumpa. Salah duga mahu disangka buah kopi itu anggur berwarna oren:) 

Rapat-rapat - Beginilah keadaan buah-buah kopi di atas pokok. Kalau mahu memetik sepatutnya kena pilih yang masak tetapi oleh kerana kedudukan yang rapat biasa yang hijau pun ikut sama.
Besar - Baginilah keadaannya. Siapa sangka biji-biji begini akhirnya bila diproses menjadi serbuk kopi yang enak. Ada jelli menyaluti biji di dalamnya. Manis. Dulu sewaktu zaman aku kanak-kanak selepas jelli habis kami sembur keluar tapi tidak buang. Cuci dan jemur sebab yang di gunakan adalah biji di dalamnya. Kedudukan biji kopi adalah di dalam cengkerangnya. Kulit yang merah itu kita buang. Akan keluar dua biji seperti gambar di bawah. Biji ini disaluti jelli. Kemudian buang juga kulit keras berjelli barulah ada isi biji kopi di dalamnya.
Berjelli - Boleh katakan setiap biji akan mengandungi dua biji seperti ini. Setelah direndam di dalam air beberapa hari jelli akan tertanggal, jemur bijinya atau sangan (goreng di dalam kuali tanpa minyak). Kemudian keluarkan isinya dari kulit yang keras seperti cengkerang dan sangan. Sewaktu sangan itulah biasa diletak sedikit butter atau margerin. Kemudian di kisar. Kalau yang suka kasar tidak perlu diayak tetapi kalau mahu yang halus ambillah yang sudah diayak.
~~ Pokok kopi yang sudah tidak terjaga pun meriah berbuah. Seandainya pokok ini berada di bumi Palestine lama sudah tidak nampak bayangnya. ~~


Saturday, July 19, 2014

Hanya beberapa hari saja lagi untuk menikmati suasana begini

Banyak dan ramai - Jumlah gerai yang begini sesak dan banyak bertambah sesak dengan kunjungan manusia yang ramai tidak terkata.

1 Malaysia - Apa yang pasti bukan saja yang menjalankan ibadah puasa saja yang bertandang. Sahabat kita yang bukan Islam juga tertarik sama untuk membeli juadah yang beraneka.

Adik - Anak-anak pasti gembira sebab apa saja yang diingini pasti ada dijual.  Kuih tradisi negeri lain pun boleh didapati bila ada bazar ramadhan begini.

~~ Kemeriahan Malaysia tahun ini pasti sedikit tercalar dengan tragedi MH17.~~

Friday, July 18, 2014

Indahnya sebuah ukhuwah

Mohon maghfirahMu Ya Allah 
bertasbih bertahmid di bulan ramadhan
indah jalinan sebuah ukhuwah 
cenderahati dikirim sebagai ingatan

Kiriman - Inner-neck, saputangan embroidery, kad ucapan dan contact card.
 Alunan gemersik tadarus Al-Quran
bacaan menginjak ke Juz Amma
erat terasa sebagai teman
jazakallah buat blogger Ema
 
Cantik - Saputangan yang siap tersulam dengan ucapan dari Ema. Warna sebenar adalah biru laut tetapi kesan pencahayaan lampu di bilik kelihatan lain pula.
Allahumma innaka 'afuwun tuhibbu afwa fakfuanna
 jadikan zikir di bulan mulia 
sungguh menarik kiriman Ema
ganjaran pasti dari Allah jua 

Model - Adik menggayakan inner-neck yang dikirimkan. Sewaktu adik baru hendak mula belajar mama mohon adik menggayakannya. Minum dulu sebab dahaga selepas terawih.
Suroh Al-Qadr jadikan amalan
mengharap lailatul-Qadar dalam rangkulan
kepada semua rakan taulan
klik di sini jika mahu berkenalan

Salah satu yang disukai oleh baginda Rasulullah adalah sikap suka memberi; samada berbentuk sedekah, hadiah, hibah atau sebarang bantuan dan pertolongan.  Mengeratkan ikatan ukhuwah islamiyah dan melahirkan kasih sayang. Sabda baginda yang bermaksud: "Janganlah engkau menghina seorang jiran yang menghadiahkan kepada jirannya walaupun hanya dengan kuku kambing." (Hadith riwayat Muslim).

~~ Allah jua yang maha mengetahui disebalik tragedi pesawat MH17. Moga Allah memberikan pengampunan andai ada kelalaian kita semua. Kami bersujud padaMu Ya Allah.~~ 


Thursday, July 17, 2014

VEP mereka naik harga, kita percuma lagi

Bermula awal bulan ini setiap kenderaan yang masuk ke negara jiran kita, Singapore akan diberi kertas notis berkenaan kenaikan harga kenderaan yang mahu memasuki negara tersebut. Berbanding negara kita yang tidak mengenakan apa-apa bayaran kepada mereka. Jika mengikut pendapat aku kenderaan dari sana rasanya jauh lebih banyak yang memasuki negara kita tapi tidak pun dikenakan apa-apa bayaran. Pagi ini mendengar berita dari radio IKIM FM barulah ada ura-ura negara kita juga akan membuat seperti itu. Namun ini pun dikatakan masih dalam pertimbangan. Kita tunggu dan lihatlah apa pelaksanaannya kelak.

Notice - Inilah notis yang diberikan kepada setiap kenderaan yang memasuki Singapore. Berkuat-kuasa dari 01-08-2014 semua VEP (permit kemasukan kenderaan)  sudah dinaikkan dan hanya motosikal saja yang kekal.  Nilai setelah di gandakan lebih dua kali ganda Ringgit Malaysia kiralah berapa yang perlu dibayar rakyat Malaysia yang mahu memasuki negera mereka.
Syiling baru - Selalu bila customer membayar GST jarang menggunakan cash. Baru-baru ini ada pula yang menggunakan cash dan baru aku perasan mereka sudah ada syiling SGD 1/- yang baru. Cantik juga dengan dwi-warna.
Lama - Dulu syiling SGD 1/- dia begini tapi masih boleh digunakan lagi buat masa ini. Pasti lama-lama syiling ini tiada lagi dan jadilah sejarah buat negara mereka.
~~ Mengikut pemerhatian aku banyak hal negara kita selalu mengalah dengan negara luar.~~


Wednesday, July 16, 2014

Bila anak-anak belajar berpuasa

Pada hari-hari biasa, balik sekolah adik akan diambil oleh Mak Zah. Tetapi bila tiba hari Ahad satu rutin aku pula untuk mengambil adik balik sekolah. Suka melihat gelagat anak-anak yang menanti bas atau van masing-masing. Biasanya anak-anak tahun satu hingga tiga keluar dulu. Comel-comel mereka semuanya. Melihat gelagat anak-anak di bulan ramadhan ini buat aku senyum sendirian.

Anak perempuan  - Letih. Tidak berganjak sambil bermain lubang simen yang ada pasir dikacau-kacau bagaikan membuat adunan kuih. Tetapi tidak ada suara keluar dari mulut masing-masing. Walau duduk di simen sebab kerusi tempat menunggu bas sudah penuh tetapi baju dan kasut bersih.
Anak lelaki - Bila aku bertanya "Puasa tak sayang?" Semua menjawab berpuasa tetapi ligat bermain bagaikan tidak berpuasa. Baju pun basah bermandi peluh. Alhamdulillah mereka sihat dan gigih.
Kelabu - Kasut dia Masya-Allah! Puaslah balik si ibu mahu menyental kasutnya:)
~~ Anak-anak kita bahagia bebas bermain tanpa kebimbangan adanya sasaran peluru menembusi. Alangkah sedihnya anak-anak di negara yang ditindas tanpa belas kasihan, bagaimanalah mereka berpuasa.~~

 

Tuesday, July 15, 2014

Segmen KAD RAYA BERSAMA AIZU

Bersempena memperingati dimana turunnya kitab suci Al-Quran yang menjadi garispanduan seluruh umat di dunia, Titisan Nurani mengambil kesempatan untuk sama-sama kita menjadikan Al-Quran sebagai pendamping dalam kehidupan. Negeri Johor tidak bercuti walau banyak negeri di Malaysia menjadikan hari ini sebagai cuti umum. 

Apabila NuzulQuran tiba bermakna Aidilfitri juga akan menjelma tidak lama lagi. Mengambil peluang itulah aku turut serta segmen anjuran Aizu.

Banner - Ini kena ada sebagai salah satu syarat

Ingin turut serta sila lihat di sini
Syarat diberikan mudah saja:-
  1. Follow blog AIZU..  (lama sudah menjadi teman Aizu)
  2. Mestilah ada blog.. (Titisan Nurani nama blog diberi)
  3. Buat n3 bertajuk "Segmen KAD RAYA BERSAMA AIZU"..berserta banner di atas itu.
  4. Ajak kawan2 join..  (Titisan Nurani dengan ini mengalu-alukan semua teman-sahabat-handai-rakan-taulan untuk turut serta segmen anjura Aizu ini)
  5. Selesai semua, tinggalkan LINK di bahagian komen di sini
  6. Ok, itulah saja syaratnya. 
  7. Tarikh tutup pada 17hb Julai/19 Ramadhan ini. 
Sebelum mendapat kad raya Aizu aku sudah mendapat kad pertama dari seorang blogger pakar memasak.

Nurhayati - Inilah kad pertama yang bertandang dan menjadi tatapan seisi keluarga. Terima kasih dari kami buat Yati dan keluarga.
~~ Bersempena hari baik, bulan baik ini bersama kita tingkatkan keimanan dengan Al-Quran, jalinkan ukhuwah dengan kad Hari Raya yang dikirimkan.~~

Monday, July 14, 2014

Eh... papa konvo lagi?

Senyum lebar kami berdua apabila pihak sekolah mahu diantara kami berdua berbincang siapa yang akan naik ke pentas mewakili pihak Kak Reen. Anugerah Cemerlang di Maahad bekas sekolah tempat Kak Reen belajar menganjurkan majlis tersebut hari Sabtu lepas. Papa tolak mama, mama sorong papa. Mama punya alasan besar mengatakan yang memberi hadiah lelaki sebaiknya papalah menjadi wakil. Mudah sikit untuk bersalam. Kami sebenarnya malu bila pihak maahad mahu setiap yang mengambil hadiah tersebut memakai jubah macam konvo dulu-dulu.
Pelajar - Salah seorang pelajar yang mengambil hadiah. Rata-rata yang naik ke atas pentas untuk SPM 2013 tuan empunya badan tidak dapat menghadirkan diri. Samada mewakilkan ibu-bapa atau kakak/abang kerana kebanyakan sudah berada di IPTA yang jauh dari sini.
Senyum - Papa senyum lebar terkenang dulu-dululah agaknya. Adik pula kalau memakai jubah ini labuh dan besar,  itulah yang terpaksa papa juga yang menjadi wakil

Semoga kemerlangan anak-anak yang terlibat bukan cemerlang di bidang akademik sahaja. Sepertimana harapan pihak sekolah dan ibu-bapa semua, kami mengharapkan mereka cemerlang dengan sahsiah diri selaras dengan kejayaan akademiknya. Mampu menjadi hamba Allah yang cemerlang di dunia dan akhirat. 

~~ Insya-Allah jika ada izin Allah Kak Reen akan berpeluang untuk naik ke pentas ini andai keputusan MUET yang diduduki tahun ini membuahkan kejayaan kerana peperiksaan tempohari diambil di sini.~~
 

Friday, July 11, 2014

Semoga ada hidayah buatnya

Lemah longlai seluruh badan aku sebaik berita bagaikan halilintar masuk ke cuping telinga. Sedih tidak terkata sehingga tanpa sedar pelupuk mata aku serta-merta luruh dengan air hangat. Sebenarnya dia tidak ada apa-apa kaitan persaudaraan langsung dengan aku. Apa lagi saudara seagama. Tetapi ikatan kemanusiaan itulah yang membuat kami akrab. Kanser tahap empat! sungguh aku bagaikan tidak percaya tetapi segera kembali bahawa kekuasaan Allah tidak ada siapa mampu menandingi.

Suara manja anak gadis yang selalu mengucapkan selamat pagi pada aku melalui corong telefon kini sunyi seketika. "Good morning kakak" Memanggil aku kakak, walau usianya dua kali ganda usia aku kerana dia anak gadis baru berusia 23 tahun yang sudah kematian ibu-bapa. Hanya dua beradik dan dia adalah adik kepada seorang abang. Mendiang bapanya seorang kaki judi meninggalkan rumah dengan bill api dan air yang jumlahnya mencecah lima angka. Rumah juga terpaksa di re-finance. Abang pula sudah tidak hiraukan rumah kerana bertugas dan tinggal di Singapura. Gadis inilah  bekerja keras membiayai hutang mendiang si ayah sehingga sanggup menjadi freelance photographer, agent insurance dan bekerja di syarikat forwarding agent yang link dengan syarikat aku bekerja. Rumah yang diduduki tiga bilik disewakan bagi menampung pembayaran bulanan rumah tersebut dengan bank.

Dua minggu lepas. Bermula dengan sangkaan gastrik dia ke hospital pakar. Dua hari selepas keluar wad sakit berulang. Mujur dia agent insurance lalu pihak atas membawanya terus ke pakar lain pula. Masuk saja di sini sebaik scan dan x-ray terus saja operation dijalankan. Tidak perlu tandatangan orang lain lagi. Kanser ovari!. Kini terlantar sendirian. Adalah makcik (adik mendiang ibunya) datang sekali sebab dia datang dari Ipoh. Menurut teman selaku supervisor agent insurancenya doktor sudah mengatakan chemotherapy terpaksa dijalankan sehingga 13 kali untuk sembuh. Kini dia terlantar sendirian di hospital. Bantuan sepenuhnya dibuat oleh pihak hospital kerana operation ovari yang baru dilalui 5 hari lepas. Baru sekali chemo kelihatan seluruh badan sudah pucat-biru tidak bermaya. Melihat senyuman yang sukar dari bibirnya sudah buat hatiku terharu tidak tertahan.

Inilah dikatakan ujian setiap manusia yang hidup tidak sama. Jadi andai berpeluang punya anak lebih usah disekat. Melihat gadis ini sendirian tanpa sesiapa disisinya, aku terfikir kalaulah dia ada adik-beradik lain alangkah lebih baik. Mesti ada yang menjaganya di dalam wad tersebut. Sedih aku melihat keadaannya. 

~~ Kasihan kepada yang zimmi kerana mereka golongan baik sayangnya belum ada hidayah. ~~



Thursday, July 10, 2014

Ganjaran kepada yang bersabar

Sabar adalah antara sifat golongan orang beriman dan menjadi salah satu amal soleh. Orang yang melakukannya akan mendapat ganjaran pahala besar. Firman Allah: “Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah waspada dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beruntung.” – (QS: Ali Imran, ayat 200).

Oleh itu tidak hairanlah bersabar dalam berbuat sesuatu pasti ada ganjaran menanti sesudahnya. Termasuklah bersabar mengumpul setem untuk mengejar sasaran pun tidaklah salah, asal saja jangan hanya kerana setem kita berbelanja barang yang bukan keperluan. Banyak shopping complex sekarang yang menjadikan setem dan voucher tebusan sebagai memancing pembeli agar akan datang dan datang lagi.

Setem Aeon -  Sudah diberikan kepada teman sepejabat yang juga mengumpul setem ini. Aku tidak mempunyai apa-apa sasaran jadi berikan saja kepadanya. Tarikh untuk redeem ada lagi tapi untuk mendapatkan setem sudah berakhir.
Popular Bookstore - Sama juga dengan ini sampai kaunter siap membayar semua harga buku-buku dapat setem juga. Sejak ramadhan ini belum lagi kesana.
Giant Hypermarket - Ini baki yang ada lagi sebab selalu berkunjung ke sini. Sebanyak 60 setem sudah digunakan.
Milik kami  - Dengan 60 setem Giant di atas dapat redeem pisau ini. Diperolehi setelah dua kali berbelanja. Pisau ini pilihan hubby sebab biasa yang membersihkan ikan/ayam/daging bukan aku tetapi hubby. Aku tukang masak saja.
~~Salah satu pesanan Imam Syafie sebelum wafat; supaya kita menjaga hak kepada diri kita sendiri dengan mengurangkan tidur, mengurangkan makan, percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada. Renungkan bersama.~~ 


Wednesday, July 9, 2014

KFC - Sebenarnya adik hendak selimut Doraemon


~~ Sebab itu baki ayam masih tergolek di dalam oven sehingga sahur.~~

Tuesday, July 8, 2014

Satukan yang retak supaya menjadi indah

Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah orang-orang yang bersaudara. (QS Ali Imran:103).

Betapa indah sebuah penyatuan. Satukan yang retak demi sebuah keharmonian dan keindahan. Itu yang aku lakukan kepada pasu bunga kenanga aku yang pecah. 

Ikat - Asal pasu ini adalah milik bunga kenanga. Bila retak tanpa sedar lama-lama jadi pecah. Tapi hendak buang terasa sayang. Itu yang aku ikat dengan tali rafia.  Sewaktu menjadi pasu untuk bunga duduk di depan, kini tanaman utk kegunaan dapur duduk di belakang rumah.
Pulih - Lihatlah retak itu sudah pulih semula. Jika menggunakan gam pun tidak boleh sebab bila kena air selalu lama-lama rekah kembali. Tali rafia juga jalan yang terbaik.
Empat sekawan - Sudah aku tanam dengan benih pokok cili yang adik tabur dulu. Sebab pasu besar aku masuk sekali 4 anak pokok. Tunggulah harap tidak mengecewakan.
~~ Meruntun hati bila melihat situasi yang terjadi pada saudara-saudara kita di Palestine di bulan ramadhan ini. Semakin menjadi-jadi pula kejam-zalimnya puak rejim Israel. Teruskan doa buat saudara kita di sana. ~~
 

Monday, July 7, 2014

Mencari taman-taman kebahagiaan

“Apabila kamu melewati taman-taman syurga maka singgahlah.” Maka para sahabat bertanya, “Apa yang dimaksud taman-taman syurga itu wahai Rasulullah?” Baginda menjawab, “Halaqah-halaqah zikir, kerana sesungguhnya Allah subhanahu wata'ala memiliki malaikat yang berkeliling untuk mencari halaqah-halaqah zikir. Apabila mereka datang kepada orang-orang itu, maka mereka pun meliputinya.” (HR. Abu Nu’aim)

Itu sebahagian taman syurga yang membawa kebahagiaan di akhirat. Ini taman secoet aku yang membahagiakan diriku sementara hidup di dunia. Sampai masa akan ditinggalkan juga.

Sepakat - Boleh pula dia serentak keluar sekali. Kenapalah tidak mahu tunggu hampir Raya kelak.
Merah - Samalah juga yang ini sekali keluar dua tangkai. Kalau satu lagi masa Hari Raya alangkah baiknya. Berseri sikit laman secoet aku.
Dark Purple - Walau pokok kelihatan kian kurus tidak sangka boleh pula dia menghasilkan bunganya lagi. Memujuk hati tuan dia agaknya.
Jengking - Entah mengapa dipanggil orkid jengking aku pun tidak tahu.
Pink -  Yang ini pun cemburu mahu menunjukkan kebolehan juga walau hanya setangkai inilah saja yang dia termampu.
Patah - Nasib kurang baik entah bagaimana tiba-tiba sedar orkid ini terkulai patah. Sebab sayang aku ambil masuk dalam botol minyak yang sudah kosong. Bila sudah layu kelak baru aku buang. Tidak ada vase cantik, botol minyak masak pun boleh juga:)

~~ Baginda rasulullah juga mengatakan bahawa Raudhah, di Masjid Nabawi bersebelahan maqam baginda adalah taman syurga. Biarpun sesak ketika beada di sana tetapi ketenangan jiwa tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. ~~


Saturday, July 5, 2014

Nilai toll di dunia dan akhirat

Buat teman-teman yang mungkin musykil berkaitan toll di tempat aku. Sebenarnya sudah agak lama pihak PLUS melaksanakan pembayaran toll tidak lagi dengan sistem tunai di sini. Apa yang aku pasti dua tempat terhampir dengan tempat tinggal  kami ialah di toll Perling untuk ke Gelang Patah menghala ke Tuas. Manakala satu lagi adalah toll Kempas yang menghala ke Pasir Gudang dan boleh juga menghala ke JB untuk terus ke Woodland.

Sebelum tahun ini mungkin pekerja penerima toll boleh meraih banyak keuntungan kerana adanya duit dollar Singapore (SGD) kerana ramai pengguna di sini juga kalangan dari rakyat Singapura. Oleh sebab itu ada kalanya pembayaran dibuat menggunakan duit SGD. Pekerja yang menerima SGD berpeluang untuk meraih keuntungan berganda sebenarnya. Sebelum balik bekerja boleh saja ditukarkan duit SGD dengan duit ringgit Malaysia (RM). Cuba teman-teman bayangkan seandainya dalam sehari terdapat 300 pembayar toll dari rakyat Singapore? Nilai tukaran matawang lebih dua kali ganda. Hari ini saja ex-change rate mencecah 2.5523. Bayangkan kalau seorang membayar SGD 2.10/- x 300 (pengguna) = SGD630/-.  Nilai SGD630.00 x 2.5523 (ex-change rate) = RM1607.95. Kira sajalah bakinya.

Pada pendapat aku mungkin kerana inilah pihak pentadbiran mengambil langkah semua sistem tidak menggunakan lagi sistem tunai bila mendapati duit SGD semakin berkurangan. Selain itu berkemungkinan juga bagi mengelakkan rompakan yang pernah terjadi sebelum ini. Perompak pun tahu dua toll ini punya banyak duit SGD. Bukan saja untuk keselamatan pihak PLUS, tetapi juga keselamatan pekerja yang menerima tunai yang boleh menghadapi risiko tinggi.

Innalillahi wainna ilaihi rojiuun - Kullunafsin za iqotulmaut (sesungguhnya setiap yang hidup pasti akan menemui mati). Perginya beliau (Datuk Sharifah Aini binti Syed Jaafar) ke sisi Allah dengan tenang di bulan yang mulia. Sayu rasa hati.
~~ Mahu perjalanan lancar kena membayar toll. Di akhirat kelak bagaimana perjalanan kita andai tiada persediaan bagi mengelak 'toll' kenalah kita bersedia selagi Izrael belum datang menjemput. Khususon ila ruhi Al-marhumah Sharifah Aini binti Sharifah Noor - Al-fatihah.....~~



Friday, July 4, 2014

Menagih kesabaran tinggi di bulan Ramadhan

Bila hari Jumaat saja, perjalanan pergi kerja aku sangat-sangatlah selesa dan lancar. Tetapi sebaik tiba di Toll Kempas pagi tadi aku perhati lane di sebelah aku berderet panjang. Tahulah aku pasti ada yang terkena seperti aku dulu. Bunyi hon biasalah bertalu-talu. Mahu tahu bacalah di sini. Sebaik tiba giliran aku di sebelah lane aku hon kereta aku dan hulur pada sepasang remaja cina itu untuk menggunakan kad Touch & Go aku yang satu lagi. Berhenti ke hadapan sedikit kemudian dipulang kembali kad itu kepada aku. Remaja lelaki itu mahu membayar. Aku kata tidak perlu. Aku tahu apa yang dia rasa kerana pernah mengalami apa yang pernah dialami olehnya. 

Walau disarankan untuk lebih bersabar di bulan ramadhan ini tetapi bila tersangkut lama ketika dalam perjalanan pergi atau balik kerja bagaikan kesabaran hati dirobek-robek. Jadi sekurang-kurangnya dapat juga aku mengurangkan rasa tidak sabar ramai ketika tersangkut gara-gara remaja cina tadi yang tidak ada smart-tag dan Touch & Go. Apa yang pasti tunai tidak ada lagi di sini.


Lupakan kisah di atas aku mahu kongsikan waktu imsak dan iftar kami sekeluarga selagi tidak balik kampung.Cepat waktu iftar kami berbanding ketika balik kampung.
Jadual Imsak dan Iftar - Zon 2 negeri Johor

~~ Jika hari biasa bangun pagi perlu membuat sarapan apa salahnya kita gantikan waktu itu dengan bertadarus/membaca Al-Quran. Sesungguhnya kembar Ramadhan adalah Al-Quran.~~