Monday, September 30, 2013

Berkawan biar beribu...

Poslaju - Aku bercuti Sabtu lepas. Sedang mengulek pokok bunga bungkusan poslaju ini tiba. Membaca nama tertera di bungkusan tahulah ianya kiriman sahabat yang baru balik dari percutiannya ke Bali bersama keluarga. Aby, pemilik blog  Hidup bagaikan satu perlumbaan

Mudah Pecah - Syukur sebaik dibuka semuanya berkeadaan baik tidak ada cacat cela.

Bali - Entah bila akan aku jejaki bumi Bali belum ada dalam perancangan. Dapat memiliki cenderahati dari sana sudah cukup membuatkan aku rasa bahagia.

Cantik menawan kalbu - Inilah dia barangnya. Cantik. Sementara ini simpan dulu sebab rasa sayang hendak menggunakan. Insya-Allah Hari Raya Haji ini bolehlah kami menggayakan tempat tissu baru ini.
Mencanting kain corak batik
tradisi bangsa usah perlekeh
pancen hati Aby apik
kesuwun seng akeh-akeh 
(kepada yang tidak faham kenalah bertanya aby supaya dia menjawabnya.)

Kepada yang belum mengenali sahabatku ini silalah ke blog Aby boleh turut menjadi sahabat anda juga. Berkawan biar beribu, bermusuh jangan sekali.

~~ Tidak bersegmen dan berGA pun ada yang memberi. Malu tapi mahu hihi...~~


Friday, September 27, 2013

Besarnya!!

Ikan pertama besar - Terkejut sebaik buka kotak polystyrene yang hubby bawa balik. Tidak pernah membeli ikan ini. Mungkin pernah membeli tapi yang telah dipotong tidak nampak yang seekor begini. Alhamdulillah... orang memberi kita merasa. Dapat dari kawan hubby.

Menyiang  - Sementara hubby menyiang ikan yang besar aku membantu ikan yang kecil-kecil. Nelayan sudah biasa makan ikan besar, ikan kecil begini mereka campak saja. Tapi buat kami janji fresh kami suka. Sisik pun masih membalut penuh seluruh ikan-ikan. Puas!

Ikan pertama - Memenuhi ruang kedua-dua sink di dapur. Biasalah kalau siang-menyiang ikan biasa hubby yang buat sebab hubby tidak pandai memasak. Kalau serah pada aku ikan ini mahu aku kapak-kapak semacam.

Ikan kedua besar - Tidak pernah membeli juga ikan Yu ini. Entah apa rasa aku pun tidak tahu. Tapi hubby sudah belajar dari temannya cara untuk menyiang. Leceh sebab ada kulit di lapisan luar. Siap sudah disiang belum aku sentuh lagi untuk masak. Kena menggoogle resepi yang boleh dibuat. Harap-harap aku boleh makan. Sayang sebab pemberian orang tidak baik ditolak.

 
~~ Betapa rezeki Allah berikan bukan sekadar di atas bumi. Dasar lautan dalam pun diteroka manusia untuk dijadikan habuan setiap hari.~~

Thursday, September 26, 2013

Tetamu hujung minggu

Menjadi kebiasaan bila tetamu yang datang adalah teman kepada pasangan kita pasti bahasa yang kita tanyakan hanya ala-kadar sahaja. Apa lagi bila datangnya bersendirian tanpa anak atau pasangannya. Tetapi dalam berbahasa ala-kadar itulah kita perlu berhati-hati dengan pertanyaan kita. Pertanyaan yang tidak pasti sebaiknya dielakkan.

"Tak bawa isteri?" - kalau betul dia sudah punya isteri, seandainya belum? Tidak semua yang kelihatan berusia telah punya isteri. Lagi membimbangkan ditakdirkan dia sudah berpisah bagaimana?

"Kenapa tak bawa anak-anak" - kalaulah betul dia mempunyai anak.

Persoalan inilah yang membuat aku terfikir untuk dijadikan entri pada hari ini. Bekas pekerja hubby datang berziarah ke rumah hujung minggu lalu. Datang bersendirian tanpa isteri dan anak. Mujur saja mulut aku tidak bertanyakan isteri dan anak. Sebaik aku keluar membawa hidangan aku sekadar mengucap salam. Menjemput apa yang aku masak, kemudian aku tinggalkan hubby berdua denganya.

Sebaik tetamu pulang barulah aku bertanya kepoh kepada hubby kenapa tidak dibawa isteri atau anaknya. Dari kata-kata hubby tahulah dia jenis yang kurang berjalan dengan isteri dan anak. Anak pula adalah anak angkat yang telah remaja. Bernikah sudah berbelas tahun tetapi masih kurang sehaluan. Nasib baik aku tidak bertanya soalan seperti di atas.

~~ Berhati-hati ketika membuka mulut kepada tetamu yang baru kita kenali.~~

Tuesday, September 24, 2013

Hari Qurban kian menghampiri

Rutin setiap tahun bila hampir ke bulan Zulhijjah adalah menjadi tanggungjawab hubby untuk mencari lembu untuk di sembelih sewaktu Hari Raya Haji dan tiga hari tasyrik. Ahad lepas kami ke ladang lembu yang terletak di Kampung Parit Sikom, Pontian.
Comel - Lihat bapa kambing ini menjaga dua ekor anaknya. Kesian adik kata mama dia mungkin sudah kena sembelih itu yang papa kambing yang jaga anak-anaknya.
Kandang - Bersusun-susun lembu dan kambing di dalam kandang. Bau usah dicakap. Memang kami sudah tahu kalau ke ladang lembu kena membawa bekal baju untuk ditukar sebaik keluar dari kawasannya. Melekat di baju
Lembu 1 - Yang di hadapan ini salah satu yang telah ditempah.
Lembu 2 - Lembu yang hitam ada tanda putih di atas kepala juga telah dipilih.
Lembu 3 - Warna putih di tengah itu juga akan dikorbankan.
Hampas soya - Salah satu makanan lembu yang tuan punya ladang tunjukkan kepada adik.
Adik - Dalam kata bau busuk ladang tetap hendak berposing di panas terik.
Jika di izinkah Allah,  tiga ekor akan menjadi korban untuk Hari Raya Haji tahun ini. Bererti ketika umat Islam yang menunaikan ibadah Haji melontar jamrah, kami di sini akan sibuk melakukan ibadah Qurban.

~~ Harga lembu mencanak naik berbanding tahun lepas ekoran kenaikan harga makanan dan susah mendapat kelulusan AP dari satu negara orang putih.~~

Monday, September 23, 2013

Anak mama sudah besar

Menjadi kebiasaan malam sebelum tidur, papa pasti akan menyediakan segala keperluan adik seperti pakaian sekolah adik, bakul sikat/bedak/cologne dan sebagainya termasuk duit jajan siap dalam dompet adik. Malam semalam sebelum masuk tidur adik membuat itu semua sendiri tanpa bantuan sesiapa. Sebenarnya kami kasihan sebab rutin harian adik, siang hari dari jam 7:00 pagi sehingga jam 6:30 petang adik berada di sekolah. Rehat sebentar tengahari sementara untuk ke sekolah agama memang ada. Malam pula selepas maghrib adik perlu ke tuisyen. Balik tuisyen membuat kerja sekolah. Sebab itu keperluan bangun tidur biasa disediakan oleh papanya sebelum masuk tidur.

Adik: Mama cakap dengan papa biar adik buat sendiri mulai malam ini. (papa belum balik dari masjid).
Mama: Kenapa?
Adik: Mama jangan cakap adik cakap tau. Cakap aje biar adik buat sendiri.
Mama: Oklah, tak ada masalah, mama lagi suka dan lagi baik.
Adik: Masa papa sakit adik boleh buat sekarang biarlah adik buat terus. Mama tak payah buat untuk adik. Adik kan dah besar.
Mama: Oh anak mama sudah besar ye:)

Adik - Betul anak mama sudah besar:)

Akan tiba masanya anak kita akan terfikir sendiri mana yang patut dia kena lakukan sendiri dan mana yang perlukan bantuan. Anak-anak terlebih mendapat bantuan sebab sedari lahir sudah ada pembantu rumah. Tetapi syukur juga naluri mahu berdikari akan timbul juga dengan sendirinya setanding dengan usia yang bertambah.

~~ Doa setiap ibu-bapa mahukan yang terbaik buat anak-anak.~~


Saturday, September 21, 2013

Sudah dapat gading bertuah, tanduk tidak berguna lagi

Lama - Membelinya bila hendak masuk sekolah tahun 2013. Bila hendak naik sekolah semua peralatan termasuk ini ada dalam senarai
Baru - Bila kakak-kakak membeli barang untuk dibawa balik asrama, dia pun belanja juga tetapi membeli yang ini. Murah saja baru RM3.90/- berbanding yang lama lagi baik sebab ada poket asingkan syiling dan duit ringgit. Tapi sebab ada bling-bling dan warna pula pink itu yang menarik pandangan matanya.

Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan. Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan besar (Al-Israa':31).

~~ Mama dia pakai dompet selagi boleh tidak bertukar.~~


Friday, September 20, 2013

Merah, rangup dan bersari

Merah menyala - Rangup dan manis rasanya. Anak yang mengaji dengan akau yang menghantar ke rumah. Malu-malu bila ditanya sebab lama sudah tidak datang mengaji. Tapi kena perintah ibunya untuk menghantar jambu ini terpaksa juga dia berkunjung ke rumah. Itu yang sengih tanpa jawapan.

Warna-warni - Kicap manis + gula + garam + asam jawa. Jangan lupa asasnya cili padi yang pedas meletops!

Siap - Gunakan pisau sendiri untuk memotong ketika hendak makan agar jusnya tidak hilang. Kalau potong awal-awal nanti disebabkan oxsidan warna lebam tidak cantik. Potong terus makan baru sedap!!
Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma) dan dia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil dan kedekut) sedang Allah menjanjikan kamu dengan keampunan daripadanya serta kelebihan kurniaan Nya dan (ingatlah) Allah mana luas limpah rahmatNya dan lagi sentiasa meliputi pengetahuanNya (Al-Baqarah:268).

 ~~ Melimpah-ruah rezeki buah-buahan yang ada di bumi Malaysia.~~

Thursday, September 19, 2013

Nikmat bersama keluarga sebelum Izrael menjemput

Steamboat & BBQ - Tidak dapat diraikan pada -05-09-2013 sebab dua anak belum balik. Cuti Hari Malaysia itulah kami berkumpul dan mengikut kehendak anak-anak kami makan di sini. Pilihan dua kuah sup and tomyam.
Adik - Selain sotong, udang, ketam dan kerang adik juga suka mee. Tapi yg bebebola semua anak-anak kurang gemar.
Pertemuan - Sedang menikmati hidangan ada suara menegur. Terkejut bercampur gembira bila dipertemukan dengan teman blogger Azian Iskandar. Anak-anak Azian dan keluarga juga ada. Ambil kesempatan berposing sama. Yasmin (anak ke dua aku) dan Muiz & Muaz (anak Azian) tidak ada sama pula. Buat hal masing-masinglah mereka.
Malay Steamboat & BBQ - Inilah tempatnya.
Hadiah dari papa - Terima kasih pada en hubby hadiahkan mama ini pada malam tersebut. Belum mahir dan masih belajar lagi dengan gadget baru ini. Aku belajar dengan adik sebab anak-anak menggunakan S3, sama saja applikasinya.
~~ Sehari meniti usia bererti sehari juga meniti arah kematian yang akan tiba bila-bila masa saja. Moga aku masih diberi peluang untuk melihat anak-anak boleh berdikari sebelum Izrael datang menjemput pergi.~~


Tuesday, September 17, 2013

Pucuk dicita ulam mendatang

Sungguh tidak aku menduga maksud dari komen Anim di entri ini
Delete
Blogger ANIM said...
tak pe..mama/papa adik dapat baca buku yang dihajatkan nanti, insyaAllah..camnapun, adik yang paling bijak. sementalah duit berbaki ditangan kan, tak beli rugi, hee:-))


Betullah sebagaimana komen yang diberi.. Lihatlah rentetannya:-
Delete
Slip Poslaju  - Sebaik penghantar Poslaju menghulur segera papa mengarahkan adik mengambil wudhuk. Manakan tidak tertera di bungkusan ianya adalah Al-Quran. Menurut apa yang kami tahu bila beg/pembungkus lebih ringan dari naskah Al-Quran adalah wajib kita mengambil wudhuk sebelum membawa/menyentuhnya. Kalau naskah itu lebih ringan dari beg/pembungkus tidak perlu berwudhuk, contohnya ianya dibawa bersama di dalam beg yang mengandungi barangan lain. Walllahualam..

Cikgu Hanim - Hamba Allah yang mengirimkan naskah tersebut. Jauh di dalam hati kalau Al-Quran adalah nanti budak yang menayang Al-Quran baru. "Jangan-jangan macam Quran yang adik dapat masa ke kilang Al-Quran di Mekah hari itu mama" Itu kata adik. Aku pun sebelum membuka bungkusan ke bilik air untuk berwudhuk juga. Gelihati pula bila diingatkan.

Al-Syahid Hasan Al-Bana - Sebaik sampul dibuka ini dia isinya!! "Papa!! dah tak payah cari dah buku yang papa nak. Kawan mama dah kirimkan untuk papa" Adik terus menjerit, tetapi dia juga yang pertama membuka buku tersebut dulu. Namun melihat sehelai muka surat terus dibelek gambar-gambar saja. Kemudian terus ke kulit belakang. "Papa bacalah". Nampak memang bukan minat adik buku begini. Kalau yang ilmiah dia kurang minat. Cuba novel Ain Maisara mahu diulek selagi belum tamat

Kulit belakang buku - Aku belum membaca lagi. Biarlah papa adik yg membaca dulu sebab dia yang lebih berkehendak sebenarnya. Terima kasih Anim
~~ Bagaikan pucuk dicita ulam mendatang. Allah jua yang membalas kebaikan Anim di atas pengiriman buku ini buat kami sekeluarga.Sungguh kami sangat terharu dengan pemberian ini.~~

Friday, September 13, 2013

Penghuni asing menumpang tinggal di dalam rumah

Sesungguhnya syaitan dan jin itu ada tetapi hantu tidak disebut di dalam Al-Quran. Kejadian terjadi kepada sepupu aku yang balik untuk beraya di rumah mereka yang juga rumah bibik (mak saudara aku aka adik arwah mak). Rumah ini disewakan kepada pekerja Indonesia yang mengerjakan kebun kelapa sawit sebaik bibik menikah dengan bapak. Bila sepupu aku balik kampung, pekerja ini akan keluar dan tinggal di rumah kawan mereka. Tetapi hari itu entah bagaimna sepupu lelaki aku dirasuk hysteria. Dia meracau yang tidak dapat kami fahami. Sepupu aku ini telah berusia 56 tahun. Sudah mempunyai cucu pun. Esoknya bila dibawa berjumpa ustaz, menurutnya sepupu aku telah diganggu jin kerana memasuki rumah yang telah lama ditinggalkan. Hairanlah kami sebab rumah itu bukan rumah tinggal atau kosong sebab ada pekerja mereka menghuni di situ. Pekerja tersebut juga tidak pernah mengadu apa-apa masalah.
Gambar lama - Jalan menuju ke rumah bibik.

Akibatnya mereka adik-beradik semua takut untuk bermalam di rumah sendiri. Sebelum ini, mereka telah banyak kali diganggu seperti tengah malam ada bunyi orang mandi di dalam bilik air. Si isteri juga pernah mendengar bagaikan ada orang menyapu sampah di halaman rumah pada waktu malam. Bunyi ada orang masak di dapur. Namun kerana tidak mahu anak-cucu mereka takut lalu biasa mereka buat tidak tahu saja. Mereka juga menganggap kalau diceritakan bimbang pekerja Indonesia mereka tidak mahu tinggal di situ sebab rumah tersebut masih lengkap dengan segala peralatan rumahnya. 

Bila terjadi begitu mereka balik sekadar singgah mengurus pekerja untuk kebun mereka dan akan lebih lama berada di rumah bapak. Mereka pula telah lama bermastautin di Lumut, Perak sebab beliau bekerja sebagai navy.

~~ Percaya atau tidak tetapi kisah ini benar-benar telah terjadi pada keluarga kami.~~


Thursday, September 12, 2013

Buku Hassan Al-Bana papa sudah habis

Sehari sebelum PTS Publisher datang ke sekolah agama adik, senarai nama buku telah diberikan kepada yang berminat. Biasalah kalau budak perempuan minat pada buku cerita adalah perkara biasa. Bila senarai diberikan kepada papa ada pula satu buku yang turut menarik perhatian. Papa pun pesan kepada adik untuk membelikan buku bertajuk Hassan Al-Bana. Kami mama/papa ingin juga membaca lebih lanjut berkenaan pengasas gerakan Ikhwanul Muslimin di Mesir itu. Harga tertera baru RM26/-. Malam itu diberikan kepada adik duit RM50/- kerana papa tahu adik pun mesti ada pilihan sendiri.

Tiga buah - Balik kerja tiga buku ini yang ditunjukkan. Buku Hassan Al-Bana sudah habis kata adik sebab cuma ada sedikit dan telah dibeli oleh kebanyakan ustaz dan ustazah sekolah.

Harga - Bila ditanya baki duit ternyata tiada. Jawapan adik mudah saja. "Tiga buku ini sudah RM51/- sampai adik kena tambah guna duit jajan adik. Esok duit jajan adik, papa kena bagi RM6/- sebab papa dah hutang seringgit utk adik beli novel adik ini".  Lihatlah dia tidak terfikir yang buku pesanan papa tidak dapat mudah saja diganti buku pilihan dia sendiri. Makin disuruh tambah duit jajan dia sehari RM5/- kepada RM6/- esoknya.
Adik peminat Ain Maisara. Bila penulis itu ada di depan mata manalah dia tidak gembira. Dapat pelukan dan ciuman Ain Maisara sungguh membanggakan dia. Berulang-ulang cerita ini disebut. Novel yang dibeli hari itu siap ditandatangani oleh Ain Maisara lagi. Pandai pihak PTS mencari peminat mereka. Dapat 100 orang di setiap sekolah macam adik sudah banyak keuntungan dicapai. Strategi pemasaran yang bijak.

~~ Minat dengan penulis buku tidak sama minat dengan artis.~~

Tuesday, September 10, 2013

Bancaan itu tradisi bangsaku

Bancaan bukan bacaan. Bancaan ini adalah salah satu tradisi bangsaku. Apabila menerima anugerah yang baik-baik dari Allah seperti mendapat cahayamata, menyambut ulangtahun kelahiran, menerima menantu dan sebagainya, membuat sedikit hidangan untuk dimakan bersama sanak saudara atau jiran tetangga di sebut bancaan. Begitu juga bila sembuh daripada penyakit atau sembuh dari musibah yang melanda, membuat sedikit hidangan untuk diagihkan juga disebut bancaan. Biasanya hidangan bancaan seperti nasi ambeng yang dimakan di dulang besar untuk dikongsi makan bersama-sama setelah doa selamat dibacakan. Tidak ketinggalan membuat bubur merah-putih atau pulut kuning juga salah satu tradisi kami.

Pulut kuning - Bersempena kesembuhan en hubby aku buat ini hari minggu lepas
Rendang daging & sambal goreng - Buat juga ini sebagai lawan untuk di makan dengan pulut kuning tersebut
Bungkus - Masukkan ke dalam bekas dan susun begini
Siap - Inilah bancaan buat en hubby aku.
Untuk lebih mudah sebenarnya bancaan ini adalah sebagai tanda kesyukuran kepada Allah memberikan segala kebaikan kepada hambanya yang kerdil. Sedikit sahaja permintaan kita namun terlalu banyak kasihNya diberikan kepada hambaNya ini. Alhamdulillah en hubby sudah boleh bekerja sepenuhnya. Kesan-kesan luka dan jahitan pun kian pulih.

~~ Tradisi bangsa yang tidak membebankan tidak salah untuk diteruskan.~~

Monday, September 9, 2013

Perbandingan kepuasan yang dinikmati

Dari kampung - Mangga depan rumah kampung di Batu Pahat. Banyak buahnya tetapi kena berkongsi dengan monyet - selesai sudah aku gubah menjadi kerabu keesokkannya. Tidak boleh tunggu masak sebab sebelum sempat masak makhluk Allah yang ligat di atas pokok terlebih dulu menikmatinya. Tidak mengapalah berkongsi. Habitat mereka telah diganggu tidak boleh juga salahkan mereka. Allah sudah tentukan semua ini. Macam kata P Ramlee dalam filemnya. "Satu untuk engkau, satu untuk aku."
Petai - Dari kampung Pontian. Masih banyak di dalam peti-ais di rumah dan sudah di kupas oleh Mak Zah. Kami kurang sikit makan petai jadi banyak di agih pada jiran daripada untuk sendiri.
Hasil tangan hubby - Tanam di luar pagar rumah yang kami sewakan. Lebih besar dan bulat sedikit tetapi tidak lebat berbanding dikampung. Namun tiada gangguan.
Hasil tangan hubby juga - Di tanam di luar pagar rumah yang kami sewakan juga. Ramai juga yang dapat menikmati. Memetiknya pun dalam hujan lebat kerana hujan datang dengan tiba-tiba. Ramai  yang turut menikmati hasil tanaman hubby ini. Selain anak-anak dan teman asrama mereka, jiran-jiran dan abang kandung pun dapat menikmati sama.

Menikmati hasil dari apa yang ditanam sendiri tidak sama dengan hasil pemberian orang lain. Rasa bersyukurnya melebihi apa lagi bila dapat diagihkan pada mereka yang sudi.

~ Musim buah biasanya dikaitkan dengan musim batuk juga.~~