Thursday, October 31, 2013

Masih ku ingat lagi - Kisah 7

Minyak rambut cap bunga ros berwarna hijau setia duduk di atas almari usang. Walau yang tinggal hanya setitik-dua tetap aku tonggeng berulang-ulang. Aku halakan muncung botol dan ketuk-ketuk berkali-kali di atas tapak tangan untuk mendapatkan bau harum minyak tersebut. Sebaik ada bau terhidu segera telapak tangan menghala sapu di atas kepala. Begitulah ketika zaman aku kanak-kanak dulu. Tidak ada hair-cream seperti anak-anak sekarang. Bila allahyarhamah emak balik dari majlis aqiqah, bertunang atau majlis yang menggunakan bunga rampai, pasti bunga rampai ini akan mengambil alih isi botol tadi kemudian mak akan campurkan dengan minyak kelapa hasil buatan sendiri. Tidak lupa kami tambah dengan bunga hasil tanaman mak seperti bunga kenanga, melur atau cempaka. Itulah yang kami adik-beradik gunakan untuk menjaga rambut agar kelihatan rapi.
 
Bunga kenanga aku - Banyak berkembang sebab musim hujan. Tetapi bunga ros jepun yang menjadi penutup tanah pada pasu pula tidak meriah bila hujan selalu. Meriah dengan dedaunan saja.

Hari ini bunga kenanga di dalam pasu bunga aku banyak mekarnya. Aku petik yang telah kuning dan masukkan ke dalam kereta. Boleh pula adik kata "bau kereta mama macam bau kedai aromatherapy". Bila aku cerita hal di atas semestinya dia senyum. Faham atau tidak akan kesusahan mamanya dulu entahkan tidak. 

~~ Kesusahan dulu terlalu pahit untuk dikenang tapi indah untuk dijadikan sebagai pengajaran.~~

Wednesday, October 30, 2013

Tuesday, October 29, 2013

Tahu-tahu kulit sudah memenuhi balang

Setiap kali hubby ke kedai untuk membeli roti pasti aku dan adik akan berpesan untuk membeli jajan. Dulu ketika zaman kanak-kanak aku tidak berpeluang membeli jajan. Hidup dalam keluarga miskin dapat pergi ke sekolah sudah beruntung. Bila fikirkan balik aku bukan sekadar beruntung bahkan bersyukur sebab nasib baik bapak dan arwah mak celik ilmu. Susah bagaimana pun kami anak-anaknya masih dihantar ke sekolah.

Jajan - Dulu kacang tanah adalah sebab tanam sendiri. Dari setengah kilo pistachios ini saja yang tinggal. Aku, Mak Zah dan adik saja yang makan. Hubby makan sikit saja.

Kulit - Lihatlah hampir penuh balang dengan kulit. Tidak sedar walau satu-satu-satu yang masuk ke mulut lama-lama yang tinggal kulit lebih banyak dari isi.
~~ Kudapan ini sentiasa ada di rumah. Sambil menemani adik belajar sambil tangan ligat mengopek dan mulut mengunyah ini. ~~

Saturday, October 26, 2013

Si Hitam pembuka selera keluarga

Usah dirindu merak kayangan 
punah pengabdian tanpa diduga 
sudah bertemu juadah hidangan 
rempah pemberian teman blogger 

Rempah - Sungguh tidak menjangka, akhirnya dapat juga aku merasa resepi izan mama mia ini
Pada hari Sabtu lepas, sedang aku membersihkah porch dengan adik dan hubby, ada pula posmen datang menghulur surat. Bungkusan dari teman blogger izan mama mia. Tiada isyarat diberi tiba-tiba aku mendapat rezeki. Tengahari itu juga aku olah daripada rempah yang diberi memandangkan bahan diperlukan semuanya telah sedia ada.
Resepi - Ikut saja resepi disertakan, tidak salah jika membuat sedikit penambahan. Aku masak separuh saja, sekadar ingin merasa. Boleh masak lagi bila si kakak-kakak balik kelak. Tambahan pula baru beberapa hari lepas daging telah menjadi hidangan kami.
Tradisi - Tumbuk menggunakan lesung lagi nikmat, barulah sedap rasa terangkat.
Aku juga ada masukkan sedikit lada hitam,  tumbuk bersama bawang-bawang dan halia. Tumis semua kemudian masukkan serai yang telah dititik. Tumisan masak masukkanlah daging yang telah diperap dengan rempah tadi, kemudian masukkan pula kicap. Tutup periuk, set anggaran masa biasa daging empok.. 

Dalam periuk - Walau hitam tapi menawan, rasa pula boleh tahan.
20 minit - Dalam pressure cooker sekejap saja, buka penutup masaklah ia.
Bila pressure cooker sudah berbunyi 'ting!', keluarkan wap dan buka penutup. Masukkan bawang besar yang telah dipotong-potong bulat. Kacau-kacau dan tidak perlu setting masa lagi sebab pressure cooker bila baru dibuka masih menggelegak dan mendidih lagi walau tutupnya dibuka. Apabila bawang sudah masak tuang dalam mangkuk hidangan. Hias dengan carrot yang separuh masak (aku buat sekali untuk berkongsi dengan sup) dan daun sup. Sedia untuk dimakan.
Sedia - Lobak dan daun sup sebagai penyeri, makanlah apa tunggu lagi.
Sup bebola - Makan pun ada padanannya, sebagai membuka lebih selera. Perlukan kuah ketika makan
Bungkus nasi dengan daun pisang - Bungkus begini sedap juga, sebaik dibuka semerbak aromanya. Masukkan ke dalam pinggan makanlah dengan lauk yang di hidangkan tadi.
Burung selasih hinggap di tangga
niat menuju ke tanah rata
terima kasih tidak terhingga
buat Izan yang jauh dimata

~~ Ingin bersahabat atau membeli rempah masak hitam ini silalah berhubung dengan izan di sini.~~

Friday, October 25, 2013

Bikin Dialog Gambar Minah Ni Kalau Nak Topup RM30

Mendapat undangan Shakira untuk turut serta segmen anjuran beliau. Tajuk di atas adalah pilihan tuan empunya penganjur segmen. Sila klik di sini untuk lebih lanjut.

Bersimpuh di pelamin sambil berangan
makan tidur bagaikan raja 
segmen dibuat memenuhi undangan 
sebagai penghibur hati sahaja
Boleh saja klik di sini untuk tahu syaratnya
Dialog dari Titisan Nurani: Kenapalah dah cantik siap-siap ni ada jerawat besar timbul tiba-tiba. Mak Andam manalah pulak pergi ni?

Tarikh tutup segmen pada hari ini jam 9:00 pagi. Mungkin aku ini peserta terakhir memandangkan beberapa minit lagi akan ke jam 9:00 pagi. Sebenarnya aku lupa sebab menjangkakan esok tarikh akhirnya. Biasa aku berGA atau bersegmen pada hari Sabtu yang lebih santai. Semalam aku mendapat notis dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia mengatakan pada hari ini tiada transaksi cukai/duti dari jam 4:00 petang sehingga jam 6:00 petang. Oleh itu sebaiknya hari ini kami rehatkan untuk mengekspot. Niat asal mahu berentri hal belanjawan 2014 tundalah dulu.

~~Tidak sempat turut bersegmen anjuran Shakira ini, boleh saja menjadi sahabat beliau dengn klik di sini.~~


Thursday, October 24, 2013

Indahnya sebuah persahabatan di alam maya

Walau tinggal di dalam hutan
tidak kenal kayu dan rotan
duduknya kami berdekatan
bersua tidak berkesempatan

Label - Silalah telefon Seri Kandi jika anda berkeinginan untuk menikmati cheese tart yang lazat Aku menempah sebelum Hari Raya Haji. Ingatkan boleh dihidang buat anak-anak yang balik bercuti.Tidak ada rezeki si kakak-kakak.
Tidak sabar - Baru dibuka untuk disnap gambarnya sudah ada tangan budak yang tidak sabar. Mana tidaknya biasa membeli warna kuning tetapi kali ini tart warna coklat. Rumah kami semuanya 'hantu' coklat. Filling pula strawberry sangat-sangat sedap gandingannya.Tidak sempatlah menanti kakak-kakak balik.
Hutan tercemar perbuatan sengaja
durjana manusia tidak terperi
membelinya aku sedikit saja
berganda-ganda hadiah diberi

Rempah-ratus - Semua ini aku tidak membeli ye kawan-kawan tetapi Seri Kandi yang memberikan secara percuma. Terima Kasih Seri Kandi.
Seratus - Mengalahkan pakar masak aku ingin juga memiliki set yang Seri Kandi jual ini. Kepada yang teringin untuk memiliki set ini silalah berhubung di nombor seperti lebel di gambar pertama.
Posmen - Inilah Aini adik Sri Kandi (terima kasih Aini sayang) yang menjadi posmennya. Seri Kandi terlalu sibuk macam aku juga. Di tambah lagi dia mahu mengikut buah hati pengarang jantungnya yang outstation.
~~ Sesuatu yang indah untuk dikenang bila aku berhenti dari berblog kelak, mungkin inilah dia.~~


Tuesday, October 22, 2013

Walau jauh di mata tetapi dekat di hati

Gelanggang silat mula dibuka 
rentak mengikut madah asli
jauh untuk memandang muka
ikatan bertaut indah sekali

Collagen - Jauh di sudut hati terfikir mungkin si pemberi (Zana) mahu aku kelihatan awet muda. Melihat ini juga adik buat tidak kisah kerana padanya ini barangan untuk mama.
Rentak rebana dipalu perkasa
mempelai berbaju songket anyaman
kotak dibuka terharu rasa
melihat semua cenderahati kiriman

Di dalam kotak - Sebaik kotak di buka inilah isi di dalamnya. Adik cepat saja mencapai purse tersebut. Boleh tengok tapi tidak boleh ambil ye adik.  Sebab cuti sekolah sudah hampir. Mama gunakan dulu untuk menyimpan barangan mama. Boleh masuk barang kecil dalam handbag mama untuk lebih kemas. Pin tudung bolehlah kalau adik mahu berkongsi dengan mama. Cantik mutiara putih pilihan Zana buatku.
Menganyam kasih sudah sebati
terlaksana sudah satu impian
buat Zana yang baik hati
dari kakak syukran jazilan

 Fridge magnet - Aku pasti  Zana sudah arif benar yang kami sekeluarga adalah pengumpul FM sebab itulah dikirimkan ini juga buat kami. Terima kasih Zana.


Sungguh indah perhubungan sebagai teman blogger. Walau jauh di mata, suara sering bertandang di telinga, berbual mesra sambil membayangkan wajah masing-masing tetapi dua mata tidak pernah bertemu.Namun keakraban tetap kukuh di sudut hati. Tidak lupa terima kasih kepada adinda Aini (adik Seri Kandi) juga Seri Kandi yang menjadi posmen pada titipan cenderhati ini.

~~ Al-Bukhari dari Abu Musa Al-Asy'ari meriwayatkan " Diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat seperti penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan sama ada anda membelinya atau hanya mendapat haruman baunya. Tukang besi pula samada bajunya sendiri terbakar atau anda sendiri tercium bau busuknya".~~

Monday, October 21, 2013

Lawak Hari Raya Qurban 1434H

Setiap kali tiba Hari Raya Qurban, Pak Haji yang satu ini pasti akan berpesan pada hubby untuk memberinya 'buah' tersebut. Tahun ini pula masing-masing yang membuat ibadah qurban boleh dikatakan setiap seekor lembu yang dikorbankan ada tuan yang membuat qurban minta 'buah' tersebut. Oleh itu tidak dapatlah hubby memenuhi permintaan Pak Haji. Lembu qurban kami pula entah kemana pergi buahnya boleh tidak dapat dijejaki. Mungkin ada yang berminat lalu menambilnya tetapi malu sehingga menjadi bahan lawak mengatakan "lembu betina agaknya sebab buahnya tak ada". Semua yang bekerja ketawa sebab manalah ada lembu betina dijadikan korban.

Hubby: Kesianlah abang dengan Pak Aji tahun ini tak dapat nak bagi.
Aku: Bukan tak nak bagi tapi dah tak ada, dia pun faham kan.
Hubby: A'ah... cuma kesian sebab orang tua mesti dia terkilan.
Adik: Dekat pasar banyak buahlah papa, papa belilah untuk atok tu.
Aku: Bukan buah sebarang buah ni dik
Adik: Kenapa atok tu nak buah itu papa?
Hubby: Buah ni ada kalau papa sembelih lembu aje dik (aku sudah tidak dapat menahan gelak)
Adik: Kalau macam tu adik pun nak jugalah papa. (berderai ketawa aku dengan hubby)

Tambah gelihati boleh pula adik ipar aku bertanya masakan istimewa Hari Raya Haji apa yang Pak Haji itu hendak buat dengan 'buah' tersebut. Aku dan hubby tidak ada jawapan sebab tidak pernah pun bertanya. Tetapi rezeki Pak Haji tersebut bila hubby menyembelih pada hari tasyrik pertama di tempat kerjanya dapat pula 'buah' dari kedua-dua ekor lembu yang dikorbankan. Gembira Pak Haji sebab tahun-tahun sebelum mendapat sepasang saja tetapi tahun ini walau lambat dia dapat dua pasang 'buah' idamannya.

~~ Aku siap mengoogle gara-gara mengapa ramai benar yang suka 'buah' tersebut. ~~

* Maaf andai entri ini mengundang rasa tidak senang.


Saturday, October 19, 2013

Seketika merenung anggota kita

Rata-rata kita mempunyai bunyi batuk, menangis, ketawa, bersin, sendawa, bahkan buang angin yang lebih kurang sama. Apa yang membezakan mungkin dari segi kekuatan bunyi dan memek muka masing-masing. Begitu juga dengan pergerakan tangan dan kaki bila kita berjalan. Bagaimana Allah seimbangkan kaki dan tangan tidak berlaga. Bila kaki kanan bergerak ke depan, kaki kiri bersedia untuk menapak di belakang. Manakala bila kaki kanan ke belakang tangan kanan pula diberi peluang untuk ke hadapan. Tidak ada perebutan masing-masing mahu ke depan atau kebelakang secara serentak. Tolak ansur ini Allah telah didik dalam diri kita sedari mula lagi. Bila bayi mula merangkak pun dia telah tahu untuk menyeimbangkan pergerakan.

Begitu juga walau telinga kita satu di kanan dan kiri tidak pernah bertemu tapi keduanya diperlukan untuk mendapatkan pendengaran yang baik, jika satu tidak berfungsi pasti kepala pun boleh jadi teleng semata-mata untuk mencari arah tumpuan. Lubang hidung yang duduk sebelah-menyebelah pun sama. Susahnya bila tersumbat walau sebelah. Keduanya diperlukan untuk mendapat keselesaan.

Oleh itu sekiranya dalam pergaulan tidak perlulah bertegang masing-masing tidak mahu beralah. Tidak rugi sedikit beralah demi untuk mencari keindahan dan keamanan. Mengalah bukan untuk diinjak-injak tapi untuk mencari keindahan dan ketenangan. Alangkah indahnya dunia ini andai semua manusia boleh bertoleransi seperti anggota kita.

~~ Setiap yang Allah jadikan pasti ada hikmah yang tersembunyi. ~~


Friday, October 18, 2013

Apabila ramai adik dan mama dalam satu rumah

Bila berkumpul di rumah bapak, maka ramailah yang akan menjadi 'adik'. Kak Long dan abang aku (satu-satunya anak lelaki mak/bapak kami) bila memanggil kami adik-adiknya dengan panggilan adik. Oleh itu bila Kak Long atau abang yang membuat panggilan 'adik' semua kami akan menoleh. Tidak kurang setiap anak bongsu dalam keluarga kami pasti dipanggil adik. Kiralah berapa ramai 'adik' dalam keluarga kami. Apa lagi bila berada di kampung, dari dapur untuk memanggil yang di luar. Pasti akan ramailah 'adik' yang datang. Sehingga anak aku si adik komplen jangan panggil dia adik. Tapi biasa aku panggil dia dengan panggilan sayang atau manja. Begitu juga anak-anak lain biasa aku panggil Yang atau nama mereka.
Dua 'adik' - Posing selepas majlis tilawah Al-Quran. Firdaus menjadi wakil lelaki dan adik wakil perempuan. Kedua-dua mereka ini juga 'adik' dalam keluarga.

Sama juga dengan 'mama'. Kalau memanggil mama sudah dipesan sebut nama dihujungnya. Mama Zakie, Mama Leha atau mama siapa supaya tidaklah kami semuanya menoleh arah yang sama. Akibatnya anak-anak aku sendiri bila berada di rumah bapak memanggil aku mama Zakie, macamlah aku ini bukan mama dia. Kedengaran macam lucu bukan?

~~ Cara dulu-dulu lebih praktikal, memanggil dengan panggilan Long, Angah, Uda, Alang dan sebagainya kemudian tambah nama di depannya. Kalau mak saudara dipanggil dengan mak atau pak dan tambah nama di depannya. Lebih mudah.~~



Thursday, October 17, 2013

Allahuakbar Walillahilhamd - 10 Zulhijjah 1434H


Kami - Selepas solat sunat Aidil Adha. Kak Nurienne demamlah pulak penat tolong mama di dapur agaknya.
Puteri-puteri kami - Bersedia ke padang surau untuk melihat majlis ibdah qurban kami sekeluarga
Pasrah dan redha - Lembu yang sudah pasrah dan redha untuk diqurbankan bersama adik yang takut tapi mahu berposing dengannya.
Tumbang - Kerjasama kaum lelaki yang tidak boleh dipertikaikan. Sambil bertakbir sambil membuat kerja.
Leher dan lubang - Sudah bersedia untuk hubby melakukan penyembelihan.
Sembelih - Selesai doa dibaca dan disebut nama-nama serta doa penyembelihan dilakukan. Iringan takbir membuat airmata aku luruh tanpa sedar. Syahdu di pagi itu.
Alhamdulillah - Selesai sudah kelima-lima ekor lembu hubby sembelih.
Melapah - Kerjasama ahli kariah setempat. Tugasan telah hubby berikan kepada nama-nama yang telah tercatat. Masing-masing telah tahu tanggungjawab mereka.
Sebelum menjelang solat zuhor semua kerja-kerja selesai dilaksanakan. Menjadi tanggungjawab AJK yang dilantik untuk mengagihkan. Setiap jalan dari jalan Damai 1 sehingga Damai 9 di taman perumahan ada seorang wakil dilantik. Lebihan daging kami agih kepada taman perumahan sebelah taman.

~~ Semoga Allah menerima segala ibadah kami - Amin.~~

Monday, October 14, 2013

Selamat Hari Raya Aidil Adha

Sewaktu kita sibuk membuat persiapan untuk merayakan Aidil-Adha esok, umat Islam yang sedang berwukuf di Padang Arafah kini sedang dilanda ujian banjir. Bersama kita mendoakan moga doa-doa para jemaah yang kini sedang menunaikan ibadah haji dimakbulkan Allah. Sesungguhnya hari ini merupakan salah satu hari terbaik untuk kita berdoa. Beruntung mereka yang menjadi tetamu Allah di Padang Arafah hari ini. 
Untuk melontar - Hubby dan sahabatnya di kawasan melontar jamrah
Esok pula ketika jemaah sibuk melontar jamrah Qubra kita di sini sibuk menyambut Aidil Aidha dan melakukan ibadah qurban. Sungguh kenangan menjalankan ibadah haji tidak pernah luput dari ingatan dan perasaan rindu membuak sentiasa walau belum lama umrah dilakukan tetapi ibadah haji itu terlalu indah.

~~ Selamat menyambut Aidil-Adha dan menjalankan ibadah qurban dari aku di TITISAN NURANI.~~

Friday, October 11, 2013

Setiap Jumaat adalah 'Good Day' kami

Tarikh: 08-10-2013
Masa: 2:00 petang 
Lokasi: Bilik mesyuarat
Agenda: Cuti pekerja

Hari terakhir boss bermesyuarat dengan kami sewaktu cuti Good Friday mereka. Oleh kerana kami semua bekerja jadi peluang dibuat untuk diadakan mesyuarat. Sejak hari tersebut hinggalah tarikh aku nyatakan di atas baru mereka datang lagi. Kali ini perbincangan banyak membincangkah berkaitan cuti. Cuti yang dimaksudkan termasuklah cuti am, cuti tahunan dan cuti sakit. 

Aku yang bagaikan CUEPAC (syarikat tempat aku bertugas tidak ada persatuan buruh) kenalah mempertahankan hak kami. Aku perlu bertegas apa yang pihak pekerja mahukan dengan harapan boss memahami dan menerima. Aku pun tahu batas-batas yang mana tidak melanggar etika dan keuntungan syarikat.

Boss: Jadi awak tidak mahu cuti pada 1 Januari?
Aku: Kalau hendak diberi mestilah kami suka tapi biasa negeri Johor menyambut awal Muharram (kalendar Islam). Boss aku akur dan memhami.
Boss: Bagimana dengan cuti Good Friday?
Aku: Buat kami setiap Jumaat adalah Good Day. Kami tidak ada Friday yang tidak good.

Spongebob - Gambar dari google

Boss aku senyum, tetapi apabila aku pembuat penjelasan mereka angguk tanda faham. Tahulah mereka mengapa aku perlu memberikan waktu rehat yang panjang kepada pekerja lelaki Islam setiap hari Jumaat. Namun ada juga permintaan aku yang ditolak. Boss tidak membenarkan baki cuti tahunan dibawa ke tahun berikutnya bermula tahun 2014. Namun sebagai ganti pihak syarikat akan membayar dengan duit. Sebenarnya buat kami untuk menghabiskan cuti tahunan biasanya tidak terhabis sehingga menginjak tahun berikutnya. Namun aku pun kena toleransi dalam hal ini dan akur dengan penjelasannya. Syarikat kami bukan ramai staff andai masing-masing mengumpul cuti untuk bercuti panjang pasti lambakan kerja akan terjadi. Namun permintaan aku agar semua cuti am perlu mengikut cuti yang telah diikrarkan oleh kerajaan negeri Johor diterima dengan hati terbuka. Mudah bagi kami yang mempunyai anak bersekolah dapat sama-sama bercuti pada hari tersebut.

~~ Walau siapa pun kita toleransi diperlukan untuk melancarkan sesebuah organisasi.~~


Thursday, October 10, 2013

Bila pula dia bertelur?

Tiga anak - Tidak bertelur tapi ada 3 anak. Adik punya kerja. Sebelah selipar telah tertanggal angry birdnya, lalu satu lagi ditanggalkan sama, dicuci bersih dijadikan anak mama angry bird dia. Satu lagi adalah rantai-kunci yang telah tertanggal rantainya.

Keluarga - Membayangkan macam dia ada tiga adik-beradik sebab adik pun mahu mama angry bird ini ada 3 anak juga.
~~ Anak-anak dengan permainan tidak boleh dipisahkan.~~


Tuesday, October 8, 2013

Indahnya pertemuan itu

Apabila mendapat surat dari sekolah adik mengatakan hari Sabtu adalah hari sekolah ganti gembiralah aku, kerana bila adik sekolah bererti rakaman di RTM mestilah ditunda. Oleh itu hajat aku untuk bertemu teman blogger pasti akan terlaksana kali ini. Beliau ada tugasan di Kompleks Tan Sri Mohd Rahmat, berdepan dengan Plaza Angsana saja dewan ini. Dulu pernah beliau ke JB tapi kami hampa bila di hari yang sama rumah aku dikunjungi ramai sanak saudara kerana waktu itu aku baru balik dari umrah.

Makan dulu - Aku memang lapar kerana sejak pagi belum menjamah apa-apa lagi. Hampir pukul dua petang baru menjamah makanan, berseleralah. Sebelum itu aku sempat berlaga pipi dulu dengan teman blogger yang ingin aku temui. Sementara beliau sibuk mengacara majlis yang meraikan dua pengantin aku pula menjamu selera dengan hubby dan anak-anak.
Bagaikan arits - Lihat siapa yang sedang berdendang itu? Inilah sahabat blogger yang aku temui dipetang yang indah. Gabungan suara ibu dan dua anak yang mengasyikkan. Siapa lagi kalau bukan Che Mid blogger yang mempunyai syarikat bernama Yahana Enterprise.
Kenangan - Sebagai kenangan aku abadikan dua anak daraku untuk bergambar bersama-sama dengan Che Mid dan dua hero kacaknya. Suara Farhan mendendangkan lagu mengingatkan aku pada Tom Jones.

Ole-ole - Beruntunglah suami Che Mid. Punya isteri yang mampu meneraju dua syarikat. Senang kata mampu mencari keperluan sendiri. Aku pula beruntung sama dapat menikmati sos rojak buah ini secara percuma. Terima kasih Che Mid.
Selepas bersalaman aku bergegas pula meneruskan agenda kami petang tersebut. Pembayaran duit lembu-lembu tempahan untuk Hari Raya Haji perlu dilunaskan. Tidak boleh pergi hari Ahad sebab pagi hingga tengahari adik ada rakaman. Petang pula perlu menghantar Nurienne balik asrama. Begitulah sibuknya bila sudah menjadi mama/papa. Niat hati mahu bertemu dengan seorang lagi blogger yang duduk sama daerah pun tidak kesampaian hingga kini. Insya-Allah akan aku cuba juga sebelum Hari Raya Haji minggu depan.
Mangga - Bila rojak buah sudah ada di dapur apa lagi inilah lawannya. Aku tahu tempat kerja hubby, landskap dia banyak pokok mangga. Berpuluh-puluh pokok semuanya bergayutan dengan buah yang menggeramkan. Hari minggu selepas menghantar adik rakaman di RTM aku kerjakan mangga ini dengan sos Che Mid.
 ~~ Andai ada izin Allah walau jauh di mana pun pasti akhirnya kami dipertemukan juga.~~