Ketiga-tiganya masih berairmata ketika membuka Al-Quran masing-masing."Macam mana nak mengaji kalau suara pun tak keluar, airmata aje yang mama nampak" Aku cuba berseloroh tetapi ternyata tidak dapat mengubah ketiga-tiga mereka. Rasa sayu menerpa di hatiku lalu aku suruh semuanya menutup naskah Al-Quran masing-masing. Mujur kawan-kawan yang lain sudah balik. "Cerita dengan mama apa masalah kamu." Aku mula bertegas. Si abang (17 tahun merupakan anak angkat) dan si kakak (15 tahun) membisu tetapi si adik (lelaki, 10 tahun) pula serba-salah. "Cerita ajelah kak. Abang cakap ajelah". Aku belai belakang si kakak. Memujuk kalau tidak mahu bercerita duduk dulu dan bila rasa sudah selesa baliklah itu yang aku pesan. Tetapi sebaik melihat aku mahu angkat punggung si kakak bercerita dari A hingga Z. Sebentar-sebentar disambung oleh si abang.
Gara-gara telefon bimbit yang dibelikan oleh si ayah mereka menjadi mangsa. Ayah dan ibu mereka telah berpisah awal tahun 2012. Kini mereka tinggal dengan nenek/atok/ibu dan ayah tiri (aku kira telah berusia lebih 55 tahun agaknya - sebab katanya hampir pencen) yang baru dinikahi oleh si ibu November 2012. Mereka dihalang untuk bertemu dengan si ayah kandung. Anak-anak sudah berusia 17, 15 dan 10 tahun bukan kanak-kanak kecil mana mungkin. Mereka sudah pandai menyimpan rahsia. Baru aku tahu sekiranya mereka tidak datang mengaji sebenarnya mereka bertemu ayah kandung mereka secara rahsia tanpa pengetahuan si ibu. Bila waktu balik mengaji baru mereka balik. Baru aku tahu juga mengapa sejak awal tahun ini mereka datang lagi untuk mengaji lagi walau sudah khatam Al-Quran - ini saja jalan untuk mereka dapat bertemu ayah kandung mereka. Namun sebijak manapun mereka akhirnya tertangkap bila si nenek melihat ada telefon sedang di charging di dalam bilik si kakak. Semua SMS dengan si ayah dapat diketahui.
Apa yang aku musykil ayah tiri mereka adalah seorang professor, atok pula bekas polis, ibu berkerjaya tetapi mereka bagaikan tidak dapat membaca hati anak-anak remaja mereka. Kelembutan tiada dalam keluarga mereka Anak-anak sudah remaja masih ditalipinggangkan. Lagi sedih tergamak mendenda semua tanpa makan malam. Si abang membeli dua biji burger makan di porch rumah aku kerana takut diketahui ahli keluarga di rumah. Sayunya aku. Malam itu pula nasi di rumah aku habis walau lauk dan sayur masih ada berbaki lagi. Kalau aku tanak nasi bimbang lama menanti lain pula jadinya. Aku beri mereka setiap seorang satu air tin untuk dimakan bersama burger yang dibeli. Esoknya selepas habis mengaji aku beri mereka makan. Masuk hari ke tiga semua kembali normal.
Nasihat aku pada mereka jangan melawan bila atok/nenek/ibu/abah (ayah tiri mereka) memarahi. Jangan menjawab walau mereka selalu mengatakan mereka semua sama seperti ayah kandung mereka. Telan sebab ayah kandung mereka bukan jahat kenapa mesti marah kalau dikatakan mereka macam ayah kandung mereka - itu yang aku pesan. Aku juga berpesan sekiranya ayah kandung mereka tahu katakan yang buat masa ini mereka tidak dibenarkan menemuinya, daripada kena talipinggang berbirat di kaki dan badan. Aku nasihatkan mereka belajar bersungguh-sungguh supaya membolehkan mereka duduk di asrama. Tahun ini si kakak PMR dan si abang sekolah agama (tidak di sekolahkan sekolah kebangsaan - mungkin kerana hanya anak angkat, sedih bukan). Kalau semuanya baik mereka boleh bertemu lagi dengan ayah kandung mereka. Ayah kandung mereka pada pandangan aku jenis yang mudah mengalah dan lembut walau bertugas sebagai anggota polis.
Anak-anak sudah besar terpisah serta-merta dengan kasih seorang ayah pastinya perit buat mereka. Aku nampak jiwa mereka memberontak tetapi nasihat aku walau siapa pun mereka kenalah hormat. Mohon Allah beri petunjuk. Moga atok/nenek/ibu dan abah tiri mereka akan berlembut hati. Pesan aku juga jangan sesekali berbohong pada mereka kerana sekali bebohong andai terhidu sampai bila-bila orang tidak akan percaya lagi.
~~ Sesungguhnya dalam iman kita pun perlukan kasih-sayang. Kasih sayang pula perlukan pengertian dan kepercayaan. Tanpa kasih-sayang iman pun akan goncang. Pengertian dan kepercayaan pun akan pudar. Hargai kasih sayang yang ada. Jangan kerana harta membolehkan jalinan kasih sayang musnah sekelip mata. ~~