Showing posts with label Alzheimer. Show all posts
Showing posts with label Alzheimer. Show all posts

Friday, March 1, 2013

Apakah bapak sudah berubah?

Sewaktu bertolak pergi tidak ada tanda-tanda yang dia demam. Tetapi dalam perjalanan kelihatan bapak sudah ada tanda tidak sihat.Malam Jumaat itu terpaksalah kami bermalam di Batu Pahat, kampung hubby. Pagi sabtu bapak masuk bilik air pun sekadar cuci muka dan gosok gigi. Sarapan sudah tidak berselera tetapi kami terpaksa juga bertolak ke Muar sebab majlis Kak Uda pada hari itu. Kami sudah tidak dapat menghadirkan diri pada majlis akad nikah dan berinai malamnya jadi kalau boleh biarlah majlis resepsi itu kami dapat menghadirkan diri.

Tiba di Muar aku sudah sepakat dengan hubby yang bapak tidak boleh berada di rumah Kak Uda sebab pasti ramai tetamu. Kami menyewa homestay terdekat. Syukur hanya dua pintu jarak dari rumah Kak Uda. Tengahari selepas solat zuhor bapak masih mahu mengikut kami ke majlis persandingan. Masuk ke dewan bapak sudah tidak larat. Dengan bertemankan hubby bapak duduk saja di meja tetamu bukan yang dikhaskan buat keluarga kami. Sewaktu majlis berlangsung pun bapak kelihatan tidak seceria selalu. Selesai majlis lebih-kurang kami mohon beredar dulu.

Menjelang mahgrib bapak sudah kelihatan pucat tidak bermaya. Ubat yang ada kami berikan. Hubby urut seluruh badan sebab bapak tidak mahu orang lain mengurutnya. Mungkin sudah biasa dengan urutan tangan hubby. Abang, kakak-kakak, ipar-ipar aku semua kebingungan tapi buat aku, Mak Zah dan hubby sudah biasa sebab bapak kalau tidak sihat akan begitu sejak dia sembuh dari kemalangan dulu. Malam itu dari satu anak ke satu anak, dari satu cucu ke satu cucu menjaga bapak. Akhirnya bapak tidak mahu tidur di bilik sebaliknya di hall. Mudah bagi anak-cucu-cicitnya menjaga. Malam itu aku dan hubby tidak bersama bapak dan memberi peluang abang/kakak/ipar-ipar menjaga bapak. Ramai yang berkumpul di homestay yang aku sewa.

Esoknya bapak boleh berkata " Tak sama juga usop, zahrah dan zakie, bapak lagi selesa." Tersirap aku dan hubby dengan kata-kata bapak. Percayalah bapak bukan jenis yang begini. Bapak terlalu menjaga sensiviti anak-anak tapi pagi itu bapak boleh berkata begitu. Sebaik bapak terlena mungkin penangan ubat, Mak Zah bersuara "Bapak dah tua kena ingat, biarlah kita yang rasa kecik hati asal jangan dia yang kecik hati." Masing-masing akur. Aku sebagai adik diam tidak tahu mahu berkata apa. 
Bapak dengan menantu dan cucunya - Inilah satu-satu gambar bapak  yang ada pada majlis tempohari.

~~ Kenapa bapak jadi begini? Adakah ini sindrom Alzheimer sebab arwah embah (atok) dulu ada penyakit itu. Aku takut tapi redha andai ianya terjadi pula pada anak embah iaitu bapak aku kini. Tapi doa kami adik-beradik moga bapak terus diberi kesihatan yang terbaik bagi memudahkan dia beribadat.~~





Thursday, March 22, 2012

Pernahkah terjadi begini?

Cerita semalam dipaparkan hari ini.

Terkocoh-kacah turun kereta
pantas kaki melangkah naik tangga
buka beg tangan mencari kunci pejabat
minda kosong seketika
kemana pergi semua kunci-kunci?
otak ligat berputaran baru teringat
semalam masukkan dalam dashboard kereta
mujur kereta yang sama digunakan

Masuk waktu solat pergi berwuduk
membetulkan getah ikatan rambut
selesai ikat rambut tercari-cari serkop kepala
kemana menghilang?... jadi bingung seketika
mana mungkin baru sekejap dipegang boleh hilang
malu bila tersedar ada dikepit di celah-celah peha

Semua orang pun banyak kerja
masuk solat zuhor terus bergerak pantas
baru dua rokaat terus bagi salam
tersedar niat bersolat zuhor bukan solat qobliah
berdiri sekali lagi untuk bersolat zuhor
itulah akibatnya.....
tidak mahu qobliah sebab kerja banyak konon
tapi tidak ada kekhusyukan
kenalah solat zuhor semula...


~~ Usah kata yang ada alzheimer saja yang lupa, ada waktu tertentu aku pun sama juga.~~

Thursday, August 11, 2011

Tinggal kenangan...

Dulu masa aku kanak-kanak boleh dikatakan andai tiba cuti sekolah akan dihabiskan masa di Choa Chu Kang, Singapura. Perkampungan ini telah dijadikan tempat pengebumian umat Islam dikenali sebagai Pusara Aman. Di sinilah tempat permainan aku dulu dengan atuk dan nenek yang dua orang sebelum terpaksa berpindah ke Boon Lay Aveue. Nenek tiri tidak mempunyai anak tapi kami lebih sayang padanya. Nenek aku sebenar isteri kedua atuk. Nenek tiri meninggal dulu berbanding nenek aku yang sebenar.

Sewaktu dipanjat usia tua penyakit alzheimer atuk amat ketara sekali. Bila makan di warung yang dia gemari, selesai makan terus balik - tidak pernah membayar. Pakcik aku sudah memberitahu kepada tuan restoran apa saja yang atuk hendak makan beri saja dan dicatat dalam buku untuk pakcik bayar setiap hari Ahad. Selalunya bila dia menaiki lif selipar ditinggalkan di luar pintu, kemudian tiba di atas dia marah kerana selipar hilang katanya. Kalau hilang dan salah tingkat sudah berkali-kali, tetapi kebanyakan penghuni di blok sudah kenal dan biasanya akan dihantar balik.

Kalau mandi usah dikira dalam sehari dia boleh mandi berkali-kali selagi dia nampak pintu bilik air terbuka mesti dia akan mandi. Tapi yang menghairankan semua bacaan solat dia baca betul belaka. Solat juga bila diberitahu mesti akan ditunaikan. Puasa juga dia lakukan. Cuma jangan sesekali dia mendengar azan berkumandang. Kalau azan zohor bererti dia akan berbukalah waktu zohor. Kalau azan asar dia berbukalah waktu asar. Biasanya makcik aku yang kena menyediakan makanan untuk dia berbuka. Selepas berbuka bila kita katakan contohnya solat zuhor dia akan solat zuhor tidak pula dia solat maghrib. Waktu itu aku masih kanak-kanak tapi tahu atuk sudah nyanyuk. Fizikal atuk kuat tapi ingatannya tidak.

Kini segalanya tinggal kenangan. Atuk telah pergi menghadap Ilahi ketika usianya 109 tahun. Moga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama kalangan mereka yang solleh.




~~~Orang-orang yang memiliki keuzuran seperti seperti atuk aku itu, gugur kewajipan puasa dari bahunya. Harus baginya berbuka puasa, namun wajib diganti dengan puasa pada hari lain (apabila hilang keuzuran nanti). Kecuali jika sakit atau keuzurannya berterusan hingga bila-bila, maka diberi kelonggaran kepadanya untuk menggantinya dengan fidyah (tanggungjawab anak-cucu). Firman Allah (bermaksud); “Maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang ia berbuka itu) pada hari-hari yang lain, dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin” (Surah al-Baqarah, ayat 184) ~~~