Showing posts with label Lucu. Show all posts
Showing posts with label Lucu. Show all posts

Wednesday, January 18, 2017

Jojo bergaya dengan setokin baru




~~ Kak Reen dan Kak Meen punya kerja semua ini.~~

Tuesday, November 29, 2016

Siddiq, Amanah, Tabligh & Fathonah

Hari: Ahad
Waktu :Petang selepas habis waktu melawat pesakit di HSI
Lokasi: Perjalanan dari HSI balik rumah

Ketika dalam perjalanan pulang dari menziarahi anak buah aka sepupu anak-anakku di dalam kereta tanpa papa. Biasalah hari Ahad mama cuti tapi papa bekerja. Begitulah yang terpaksa dihadapi oleh anak-anak yang mempunyai mama/papa jika salah seorang bekerja swasta atau kakitangan awam. Jumaat pula jika berjalan dengan papa tanpa mama. Cerita-ceriti tiba-tiba boleh keluar isu business on-line.

Kak Meen: Dia ni buat business bagus mama, berlandaskan syariat. Papa dia tu jenis yang apa tu. Ada janggut, pakai serban ala... wali eh?

Kak Reen: Wali tu syarat nak sah nikah (masa itu semua sudah mula gelak).

Mama: Eh.. ada juga wali macam wali songo, ulama dipanggil wali juga.

Kak Meen: Bukanlah.. ala ingat tapi susahnya nak sebut.

Kak Reen: Tabligh? (Sebab ramai kawan papa kalangan orang Tabligh)

Kak Meen: Bukanlah..

Adik: Ala... kalau bukan tabligh, siddiq, amanah atau fathonahlah.

Semua: Hahaha... apa-apalah adik ni kan. (semua sudah gelak😁😁😁😁😁)

Habis pecah berderai gelak kami di dalam kereta. Mama yang memandu pun sudah terikut gelak tidak tahan. Sebenarnya apa yang mahu Kak Meen katakan jenis orang warak yang macam ahli Sufi. Kelakar juga sebab siapalah yang boleh menilai orang itu ahli sufi. Mata kita ini memandang dari luaran. Tetapi buat mama boleh diterima juga apa yang Kak Meen buat tanggapan. Sebab biarlah beranggapan orang itu baik daripada beranggapan yang sebaliknya. Walaupun pakaian bukan melambangkan iman seseorang, tetapi sekurang-kurangnya pakaian melambangkan sejauh mana dia menghargai cara berpakaian agama yang dianuti.


Hiasan entri - Jagung rebus (Mak Zah bawa dari kampung) dan sukun goreng cecah sambal kicap menjadi hidangan petang kami ahad lepas.

~~Siddiq (jujur), amanah (dipercayai), tabligh (menyampaikan) & fathonah (cerdik/cerdas). Buat anak-anak inilah 4 sifat terpuji baginda rasullullah. ~~







Monday, October 10, 2016

Hukum ular panjang

Habis membaca doa untuk memulakan bacaan selepas al-fatihah kenalah membaca arahan yang tertera di atas muka surat tersebut. Mama pun akur menanti kerana bibir anak itu menuturkan patah-patah ayat yang ada. Tiba-tiba apa yang keluar dari bibirnya " Tanda ular panjang kena baca panjang" Macam manalah mama tidak tersembur ketawa. 

Mad - Inilah yang dikatakan ular panjang oleh si abang yang berusia 6 tahun itu. Si abang ini belum pandai membaca jawi untuk perkataan panjang seperti di atas. Jika yang pendik seperti perkataan harkat itu dia pandai.  
Aku mengambil iktibar ini untuk diri aku sendiri. Selalu aku berkata pada anak-anak, "Tengok ada tanda macam ular panjang ini kenalah baca panjang 6 harkat". Jadi dia faham kena baca 6 harkat tetapi menggantikan perkataan mad kepada ular panjang itulah yang silap. Rata-rata semua anak sudah faham huruf mad lazim atau tabi' iaitu Alif, Wau dan Ya dibaca dengan dua harkat tetapi dengan mad-mad yang lain seperti mad wajib mutasil, jaiz munfasil dan sebagainya biasa bila sudah masuk Al-Quran baru mereka akan lebih faham kerana di sekolah juga mereka akan didedahkan dengan hukum-hukum tajwid ini.

~~ Anak ibarat kain putih. Jika kita selalu sebut ular panjang, jangan salahkan mereka mengapa sebut ular panjang juga. Ingatan buat diri ku ini kenalah menggunakan perkataan yang betul.~~

Wednesday, September 21, 2016

Adik dengan F1 dia

Pada 17-09-2016 yang lepas adik ada menduduki peperiksaan ujian hafazan untuk Peperiksaan Sekolah Darjah Khas Agama, Negeri Johor. Adik belajar di sekolah dia di sana tetapi semua peperiksaan dijalankan di JB, sekolah yang dekat dengan rumah kami (sengaja membuat pendaftaran peperiksaan di JB sebab peperiksaan besarnya akan dijalankan sewaktu cuti sekolah akhir tahun). Jabatan Agama Johor memberikan kelonggaran ini. Biasalah bila anak duduk dewan peperiksaan mama dia duduk depan sejadah. Selesai aku membaca Yaasiin beralih untuk berzikir. Sambil berzikir mengemas barang adik sebab Ahadnya dia akan balik. Tiba-tiba mata melilau terpandang fail yang satu. Boleh senyum tanda tidak khusyuk.



Kalau adik boleh racing F1 kagum besar mama/papa dibuatnya. Lupa pula hendak bertanya adik apa maksud F1 di fail ini. Aku rasa mungkin abbreviation untuk File nombor satu atau Form One bukan Formula One. Sebab adik salah seorang yang dilantik dari lima pelajar sebagai perwakilan pelajar tingkatan satu. Ini salah satu tanggungjawab yang dia kena buat mungkin.

~~ Kalaulah anak aku boleh berlegar di litar perlumbaan F1 apa agaknya aku rasa. Sudahlah perempuan! Kelakar dan suatu yang mustahil.~~


Wednesday, April 27, 2016

Unta mama terbang

Aku sudah mendengar anak-anak meriah bermain di ruang tamu. Biasalah selepas mengaji jika ada peluang bermain mereka akan bermain.

Suara 1: Mama tengok dah bersepah ni (menjerit memberitahu)
Mama: Siapa buat baik kemas balik (bersuara dari dalam bilik tanpa melihat)
Suara 2: Dia ni mama, dia
Suara 3: Sama-samalah kemas
Suara 4: Mama tengok unta mama terbang
Mama: Hah? (dalam hati apa dah jadi agaknya ruang tamu aku)

Terbang - Unta terbang hingga di atas kipas. Masing-masing tidak mampu untuk turunkan. Aku biarkan saja sehingga pagi ini masih di situ lagi.

Kemas - Habis patung-patung kecil di dalam bakul ini dibuat main baling-baling. Selepas mengaji bukan terus balik tapi main baling-baling akibatnya unta terbang atas kipas. Ini hasil siapa yang mengemas tidaklah aku tahu. Tapi rasa aku si anak dara yang buat. 

Meriah - Bagaikan anak-anak yang ceria bunga raya putih di halaman secoet aku  juga meriah pagi ini.

Suka - Pergi kerja pagi ini pun rasa sayang mahu meninggalkan halaman sebab pastinya balik kerja petang bunga ini semuanya akan layu dek cuaca yang panas.

~~ Nikmati keindahan dan keceriaan dengan kesyukuran.~~

Thursday, April 7, 2016

Doa, nun sakinah dan makan kuku

Gelagat anak-anak yang belum ada dosa selalu membuat kita bahagia. Biarpun ada kalanya tindakan dan tingkah-laku mereka boleh membangkit rasa geram atau marah. Begitulah juga dengan anak-anak yang mengaji dengan aku. Malam tadi sebelum memulakan bacaan aku bacakan dulu doa panjang umur buat Caca kerana semalam ulangtahunnya yang ke 9 buatnya.  Sebaik aku memulakan bacaan "Allahuma towwil-umurona wasahhih ajsadana..." Budak Danish boleh ikut membaca Allahumma towwil-umurona juga. Manalah yang lain tidak gelak. Kenalah aku baca semula minta dia jawab amin saja hingga akhir. Malam tadi juga Danish mula mengenal hukum dan cara membunyikan nun sakinah. Begitu juga tanwin bila bertemu dengan huruf 'RO".

Nun Sakinah - Bertemu dengan perkataan Sakinah inilah dia yang sudah gelihati dek kerana ikut mama membaca doa tadi bertambah lebar senyumnya. Sebab ada kawannya bernama Nurul Sakinah.

Dengung - Danish sudah tahu apa itu dengung. Biasa aku ajar anak-anak kalau dengung cuba rasa dahi dan pangkal hidung ada rasa nnnnggggg....  itulah dengung. Masing-masing sudah arif bab ini. Jadi kalau tidak dengung tahulah  dia bagaimana utk membacanya.
Iqrak 5 - Dari tidak mengenal apa-apa bermula tahun lepas sebaik masuk tadika kini masih di tadika juga Danish sudah boleh membaca kerana kini dia sudah sampai Iqrak 5. Lihatlah jari Danish yang gebu selalu aku pegang dan letak dipipi aku jarinya ini. Pipi dia lagilah aku gomol-gomol. Montel - itu yang geram.
Sodaqallahul'azim... sebaik habis membaca tiba giliran Caca membaca. Senyum yang belum habis kerana ikut membaca doa dan bertemu perkataan 'Sakinah' bertambah menjadi gleak ketawa yang panjang gara-gara budak Danish ini selepas membaca doa akhir membaca Quran tiba-tiba duduk membelek kuku kaki dan mahu digigitnya. Belum sempat mengigit kuku kepalanya aku dongakkan. "Abang lapar ke? Nah ambil kuku kaki mama lagi besar. Puas boleh kenyang." Bila aku berkata begitulah sudahnya masing-masing tergelak termasuk si Caca yang baru memulakan bacaan.

Caca gelak sambil mengaji - Bila aku marah suruh berhenti gelak bagaikan tidak boleh. Setiap kali waqaf dari yang di baca akan tergelak. Marah aku sudah tidak mempan untukmenghentikan mereka tergelak. Aku sebenarnya gelihati juga tapi terpaksa pura-pura bertahan.  Aku gelihati melihat mereka gelak bukan kerana apa pun.

~~ Anak-anak memang boleh membuat sesebuah rumah lebih ceria.~~


Wednesday, February 24, 2016

Potong ikut suka

Waktu:  Selepas masing-masing sudah habis mengaji

Mama: Pergilah dapur dalam fridge ada kuih mama buat tadi.
Anak: Kuih apa mama? (Mana satu yang bertanya aku pun tidak pasti)
Mama: Pergi ajelah tengok. Ada yang mama dah potong. Kalau nak lagi potonglah lagi ada pisaunya mama letak sebelah. (Berlarilah mereka masuk dapur). 

Seperti biasa budak-budak habis mengaji baru aku mengaji sendiri untuk diri sendiri sementara menanti solat Isyak. Kecoh mereka di dapur seperti selalu. Selesai solat isyak aku lihat loyang masih di atas meja. Apa jadi? Hahaha.... tengoklah.

Puding roti - Buat seloyang saja pun. 
Kecah - Bila potong ikut suka hati masing-masing.
Itulah dikatakan anak tidak ada dosa. Tidak ada rasa bersalah pun janji sudah ada kebenaran mama. Mama pun tidaklah boleh salahkan mereka yang tidak matang. Kalau dipotongkan elok-elok dan masukkan dalam pinggan macam biasa tidaklah jadi kecah begini.

~~ Adanya anak-anak ini pengubat kesunyian rumah kami.~~


Friday, October 23, 2015

"Rancangan tergendala sebentar"

Hari ini 10 Muharram. Tarikh yang terlalu banyak tragedi dalam sejarah Islam. Sekadar sama-sama mengingat betapa hari ini kita sudah terlalu banyak nikmat yang Allah berikan. Tidak mahu membariskan rentetan yang banyak terjadi aku kisahkan hal dua hari lepas.

Rutin biasa selepas maghrib akan kedengaran satu persatu suara anak-anak memberi salam. Masing-masing sudah arif siapa yang masuk dulu dialah yang akan duduk bersila di hadapan mama ini. Mereka juga tahu sementara menunggu giliran mereka membaca dulu apa yang akan dibaca nanti. Sedang khusyuk mendengar salah seorang anak membaca tiba-tiba ada suara "terkencinglah mama." Kakak sepupunya sudah masam muka. Sebab ini bukan kali pertama terjadi. Kakak sepupunya pula anak perempuan baru berusia 9 tahun merupakan anak bongsu.  Kalau sebelum ini ada kakak lebih besar boleh membantu, kali ini sudah pasti dia tidak tahu. Terpaksa memanggil Kak Meen menguruskan bujang cilik baru berusia 4 tahun itu. Ambil gayong cuci kaki lap lepas itu masuk dalam bilik air mandikan. tersipu-sipu Kak Meen memandikan sebab biasa adik-beradik semuanya 'bunga' belaka, kali ini kena mandikan budak ada 'kuntum'. Alahai mahu mengharapkan siapa lagi. Mak Zah di bilik sebelah pun sedang khusyuk membaca Al-Quran juga.
Seluar/baju lama - Malam tadi datang mengaji dipulangkan baju ini walaupun aku sudah kata tak payah pulang boleh bagi adik pakai sebab dia ada adik perempuan yang kini berusia 2 tahun lebih.
 "Rancangan tergendala sebentar" Itu kata anak-anak. Senyum kami semua dibuat si Danish. Selesai memandikan Kak Meen serah pada mama. Semua kena keluar bilik sebab mama mahu pakaikan hero satu ini 'baju baru'. Bongkar kotak baju lama. Jumpa seluar panjang entah Kak Reen, Kak Meen atau adik punya. Tanpa berseluar dalam terus pakaikan seluar lama yang masih elok. Mana ada seluar dalam lelaki kecil di rumah kami. T-shirt adik tentulah ala-ala perempuan terpaksa disarungkan juga. Mujurlah dia masih kecil tidak malu lagi. Selepas dibedak dan disikat terus senyum. Tapi ada kawan-kawan yang melihat yang mahu ketawa aku jegilkan mata. Tidak berani mahu mengejek. Selesai kerja mama baru sambung 'rancangan yang tergendala'. Danish bercuti membaca Iqra'. Santai-santai bagai tidak ada apa yang berlaku. Boleh main-main lagi sedangkan Kak Meen masih dengan kerja mambersihkan kencing dia di lantai. Lihatlah itu dikatakan budak.

Lengan baju - Sudah aku kata baju anak aku semuanya anak dara. Mujur bujang cilik masih tidak malu lagi. Mana boleh pakai balik jubah yang sudah kena kencing. Terpaksalah memakai baju lama ini.
Sesekali tergendala tidak mengapa. Biar tergendala sekarang jangan tergendala kelak ketika meniti titian as-sirot. Lain kali dia tahu sebelum datang rumah mama dia akan buang air dulu. Itu janjinya. 

~~ Biarpun pelat dan susah pada awalnya tapi kini dia sudah mampu mengenal huruf dan makhrojal jauh lebih baik berbanding pada awalnya dulu. Sudah masuk Iqra' 3 pun. ~~


Thursday, June 25, 2015

Adik ada 3 kakak?

Ramadhan kali ini lebih berselera waktu berbuka dan sahur. Bila santai bersama pun lebih meriah kerana ketiga-tiga anak ada di rumah. Kak Reen sekarang cuti sem tiga bulan. Ada saja modal cerita bila mereka berkumpul bersama. Apa yang menghairankan di rumah ini ada dua laptop dan dua PC tapi tetap mereka boleh duduk berkongsi melihat satu PC yang sama bertiga.

Petang itu ketika aku sedang menonton televisyen, biasalah sambil mata melihat skrin tv telinga tetap dapat menangkap butir bicara mereka bertiga. Ada yang buat gelak ketawa mereka turut membuat aku senyum sama. Bila adik berkata "Ini mesti kakak yang buat." Kak Meen menjawab "Kakak taklah dik." Adik pula menjawab "Adik tak kata kakak mana satu." Bila begitu Kak Reen merasa kalau bukan Kak Meen mestilah maksud adik dia lalu Kak Reen berkata "Eh kakaklah pulak". Tapi selamba adik menjawab. "Adik tak kata kakak siapa pun. Kakak adik kan ada tiga." Terkejutlah dua-dua kakak. Aku matikan diri sambil pasang telinga mahu juga tahu siapalah kakak satu lagi yang adik maksudkan. "Hitam kan kakak adik juga." Manalah semua tidak tergelak. Hitam itu mama Si Kecik dan Si Baby yang dimaksudkannya. Kami semua tahu adik membahasakan diri dengan anak-anak kucing itu kakak.Tapi tidak pula kami tahu yang dia memanggil Si Hitam itu kakak.

Si Kecik - Paling tinggi egonya sebab selalu menunjuk hasil tangkapan yang dibawa masih hidup buat orang terjerit-jerit
Si Baby - Masih anak lagi. Mengantuk kena kejut cahaya kamera. Biar tak cantik tapi menarik:)
Dua beradik - Mana pergi mamanya  Si Hitam waktu ini pun tidak diketahui. Duduk berkongsi di atas tong sampah menanti pintu dapur dibuka.

~~ Kucing-kucing di tempat kita lebih bernasib baik mendapat perlindungan dan makanan yang sempurna berbanding saudara kita yang berpuasa di dalam khemah, kancah keganasan dan runtuhan bangunan di sana-sini. Renungkan. ~~


Friday, November 28, 2014

Hairan kulit telur yang liat

Hari kedua yang sibuk buat aku semalam. Persediaan untuk sarapan, makan tengahari dan bekal buat hubby terpaksa aku tangani sendiri sebab Mak Zah balik kampung dengan adik. Sebenarnya kalau tidak dibuat Kak Meen pun boleh buat sendiri untuk sarapan dan makan tengaharinya sendirian, tetapi ada rasa kurang sedap di hati mama,  itu yang terkocoh-kacah sediakan juga. Paling utama sekarang aku kena sediakan jus epal hijau buat bekal hubby ke tempat kerja. 

Selesai solat kembali semula ke dapur. Entah mengapa boleh terdetik malas masak nasi di pejabat, jadi aku tidak membawa bekal. Sebaliknya aku capai sebungkus meggi, ambil segenggam taugeh, dua/tiga helai daun sup, sebiji bawang kecil, sebiji bawang putih dan beberapa biji cili padi. Semua ini masuk saja dalam satu bekas. Teringat pula mahu letak telur. Capai sebiji telur dan seketul sosej. Siap! terus keluar melangkah pergi kerja.

Tengahari semalam mulalah aku mengolah meggi yang dibawa. Tiba-tiba ketika mahu pecahkan telur lain jadinya. Mengharap tidak mahu kuning telur beku konon masukkan ketika meggi hampir mahu di masuk ke dalam pinggan. "Eh.. eh... liat benar kulit telur ini" hairan di dalam hati. Aduhai telur rebus! Apa boleh buat makanlah juga. Ini pastinya telur rebus hasil balik dari majlis kahwin hari minggu lepas.

Semalam - Inilah meggi yang aku makan tengahari semalam.
Musim mendapat ole-ole sebaik balik dari jemputan majlis kahwin. Kadang-kadang telur rebus aku kumpul boleh masak kurma atau sambal tumis. Tetapi semalam kena sesekali makan meggi sedap betul aku rasa.

~~ Bila sibuk dan hati tidak tenang pagi ini baru aku membaca suroh Al-Kahfi.~~


Thursday, November 13, 2014

Musim 'potong' sudah bermula

Menuju bulan cuti sekolah di penghujung tahun berbagai jenis kad-kad jemputan mula diterima. Mendapat kad pula kena baca berhati-hati. Kad yang direka kreatif bukan saja untuk majlis perkahwinan, tetapi juga majlis aqiqah, berkhatan, ulangtahun perkahwinan, ulangtahun kelahiran, kesyukuran atas kejayaaan peperiksaan dan banyak lagi.  Aku hampir saja terkeliru majlis berkhatan dengan majlis aqiqah.

Marhaban - Selesai mambaca yasiin dan tahlil kami bermarhaban.
 
Sebenarnya aku salah anggap bila dikatakan majlis 'potong' aku sangkakan potong bermaksud sembelih kambing untuk aqiqah. Ditambah pula dikatakan ada bbq kambing golek. Mestilah tanggapan aku majlis aqiqah. Tetapi bila tiba di majlis semuanya tergelak kerana potong dimaksudkan adalah berkhatan. Makcik ini adalah ipar kepada pakcik sesusuan bapak yang baru meninggal 2 bulan lepas. Majlis dibuat untuk mendoakan keselamatan tiga cucunya yang akan dikhatan minggu depan. Ambil cuti sekolah 2 hari lebih awal katanya.

Makan - Selesai majlis apa lagi makan-makan seperti biasa
Anak-anak yang akan dikhatankan berusia 10, 9 dan 8 tahun daripada dua ibu berbeza. Tetapi menurut makcik aku itu kalau yang 8 tahun takut mungkin tidak jadi sebab bila ditanya sekejap kata mahu sekejap kata takut. Tetapi pendaftaran kepada pihak klinik sudah dibuat untuk ketiganya. Makcik dan sepupu aku tidak mahu memaksa.
Anak-ibu - Ada juga ibu-ibu lebih selesa makan di porch kerana bimbang anak-anak yang makan bersepah.
~~  Jika tidak ada aral melintang andai ada jemputan wajib hadirkan diri. Keluarga disayangi, masyarakat dihormati.Ukuwah terjalin pasti indah dirasai.~~

 

Wednesday, October 29, 2014

Silap yang melipat atau yang memakainya


~~ Bila mahu berwudhuk untuk solat Zuhor semalam baru tersedar.~~


Friday, October 10, 2014

Jawa itu adalah bangsa dan bahasa

Sekadar menitipkan apa yang ada di dalam WhatsApp group keluarga kami. Bolehlah membaca sambil senyum-senyum tetapi jangan sampai berdekah-dekah pula. Ketika menghayati tiap patah perkatan yang dittitipkan benar-benar membuat aku tersenyum sendirian. Selamat membaca:-

Hai jawa..
bangsa yg berwibawa
kerja lebih, sedikit ketawa
biar tidak bergaya, tapi lawa
kebun banyak, rumah macam singgahsana
rancang sikit tapi pasti terlaksana
kerja berat tiada hal punya
sembang lebih tapi kerja jalan
pantang orang ganggu nak diparangnya
kahwin banyak sebab mahu besarkan ahli keluarga
ramai anak bukti memang power

Jawa juga pandai dan ahli agama
tak kurang juga yang jadi ketua
aku jawa kau pun jawa
jangan selalu putus asa
biar kita cakap jawa orang tak suka
cakap jawa itu sekadar bahasa
janji kita berbudi bahasa
jawa Bandung halus budi pekerti
jawa barat pantang dikasari
jawa timur rajin cari rezeki
jawa tengah suka merantau seantero negeri

Jawa oh jawa
jawa kan cuma bangsa
yang penting memperjuangkan agama
bangsa-bangsa di dunia
agar kita saling sama mengenal
itu yang termaktub dalam kitabNya
"Tidaklah aku ciptakan kamu dengan sia-sia."
Inilah coretan anak jawa

Jika membaca titipan demi titipan WhatsApp Group keluarga kami bermacam-macam isu ada. Sehingga soalan-soalan buat anak-anak menjawab peperiksaan menggunakan bahasa Jawa pun ada. Anak-anak manalah faham, masing-masing semua akan geleng kepala. Menyebut perkataan (pronounce) pun tidak tepat inikan pula untuk memahaminya.

~~ Bukan hasil ciptaan aku tapi sekadar tatapan dan pembacaan bersama.~~


Thursday, September 11, 2014

Bila lupa singgah dalam diri

Sebaik anak-anak yang mengaji balik kami segera bersiap untuk keluar makan malam di luar. Anak dara sudah aku beritahu awal-awal sebelum mama selesai mengajar mengaji, pastikan semua sudah sedia.  Biasa sangat kena menunggu anak dara membetulkan tudung yang berpusing-pusing. Risau aku dibuatnya. Tetapi malam itu apabila semua sudah selesai, hairan aku melihat hubby masih keluar-masuk bilik. Biasa kami sedang bersiap, enjin kereta sudah dihidupkan. Sebaik aku keluar bilik baru aku tahu hubby dan Mak Zah sibuk mencari kunci kereta. 

Malam itu terpaksa menggunakan kunci pendua yang remotenya sudah tidak berfungsi. Betul-betul hubby lupa dan kami tidak jumpa kunci tersebut. Hendak bawa kereta kerja biasalah kereta hubby macam-macam khazanah, anak-anak kurang suka. Kereta aku pula biasalah mandinya sebulan sekali (tapi dalam kereta aku bersih/wangi tau hihi...). Akhirnya keluar dan singgah di kedai membuat kunci kereta. 

Hijau - Fancy pula bila dah tua-tua pegang kunci warna hijau begini. Warna hitam dan kelabu sudah kehabisan stok. Ambil sajalah. Adik suka warna ini sweet katanya:) Tukang repair itu setting balik chip dalam remote rosak menggunakan komputernya dan dimasukkan ke dalam casing baru ini.
Kilat - Kalau mama yang pegang masih ok lagi tapi kalau papa terasa janggal pula. Kalau tidak kerana hilang kunci asal sampai bila-bila kunci kedua tidak dibetulkan. Elok jugalah sekarang dua-dua sudah berfungsi.
Balik dari makan malam kami ligat mencari lagi kunci asal. "Baik solat minta petunjuk" itu jalan terakhir. Sambil itu masih kebingungan. Kawan-kawan mahu tahu dimana hubby sumbat kunci itu? Mujur aku boleh terfikir "Cuba abang tengok kocek seluar abang solat asar petang tadi". Betul! kunci itu di dalam kocek seluar yang sudah di dalam mesin basuh. Nasib baik Mak Zah belum mencuci lagi. Kalau esok paginya pasti sudah bergumpal di dalam mesin. Sebenarnya petang itu balik dari solat Asar hubby ada memanaskan enjin kereta itu yang agaknya selepas itu lupa untuk sangkut di tempat kunci tapi masuk di dalam poket seluar.

~~ Bila usia bertambah sifat lupa tidak mudah lari dari diri.~~

Friday, August 15, 2014

Bila Pak Mat stress

Sekadar santai-santai di hari Jumaat.  Jangan stress ketika menjalankan tugas pada hari ini sebab esok sudah boleh bercuti. Tetapi hari ini aku bercuti sehingga Ahad kerana menghadiri majlis walimatulurus anak buah di Muar. Catatan ini diperolehi dari WhatApps yang aku terima dari group WhatApps keluarga. 

Pak Mat stress..

Pak Mat pemandu teksi menaikkan seorang gadis cantik di tengah jalan, tiba-tiba gadis itu pengsan di dalam kereta dan Pak Mat menghantarnya ke hospital.

Pak Mat sedikit stress!

Sampai di hospital, doktor mengatakan bahawa gadis itu hamil dan mengucapkan tahniah kepada Pak Mat. Pak Mat mengatakan bahawa dia bukan ayah dari bayi dikandung, tetapi gadis itu mengatakan Pak Mat itulah ayah bayinya.

Pak Mat bertambah stress!!

Pak Mat meminta ujian DNA dijalankan untuk membuktikan bahawa dia bukan ayah bayi itu. Pak Mat pun ditahan sementara menanti hasil ujian tersebut.

Pak Mat semakin stress!!!

Setelah ujian DNA keputusan dokor mengatakan bahawa Pak Mat mandul sejak dari lahir. Pak Mat pun kemudian dibenarkan pulang. Ketika dalam perjalanan pulang dia memikirkan 3 anaknya di rumah.

Pak Mat benar-benar stress!!!

Siapa bapa kepada anak-anaknya yang 3 orang itu?  Pak Mat balik rumah dengan muka sugul dan kelat. Dia menuduh isterinya curang. Isterinya membawa Pak Mat berjumpa doktor pakar. Doktor mengatakan Pak Mat mengalami masalah ingatan sejak menjadi pemandu teksi dan dia terlupa bahawa dia menikahi janda anak 3 sebelum menjadi pemandu teksi..

Sekarang isteri Pak Mat pula menjadi stress bila melihat Pak Mat stress.

~ Siapa yang bernama Pak Mat janganlah marah, ini sekadar gurauan semata-mata. Selamat bersantai di hujung minggu:)~~

Thursday, August 14, 2014

Mama sudah hendak menopause!

Cuti Hari Raya tempohari. Membelai kulit lengan anak-anak sewaktu duduk-duduk sambil menonton televisyen. Sambil berbual sambil tangan membelai anak-anak biasalah. Bila ada yang kurang selesa timbullah conversation berikut:-

Mama: Kenapa lengan adik berjerawat ni? Cuba rasa kulit mama? Lepas mandi sapu losyen dik janganlah macam ini. Budak perempuan mestilah kena cantik.
Kakak Reen: A'ahlah adik ni cuba rasa kulit kakak. Lembut kan.
Kakak Meen: Kak Meen punya lagi lembut. Kakak guna scrub mandi. Adik rasalah.

Semua lengan adik rasa, setelah itu;
Adik: Eleh... adik rasa kulit mama paling lembut
(sambil tidak malu terus peluk dan sembabkan muka ke dada mama)

Kakak Reen: Mama lembut sebab dah nak menopauselah dik!
Kakak Meen: Betul ke cakap kakak tu mama?
Mama: Mungkin jugalah mama kan dah tua. Bila-bila masa saja akan menopauselah.
Adik: ????? (belum faham sebenarnya - bila dijelaskan kini sudah faham)

Anak-anak buat mama mereka ketawa besar. Akhirnya semua ikut mama ketawa walau jawapan sebenarnya tidak ada. Anak bertuah! Boleh pula masing-masing mengenakan mama mereka.

~~ Anak-anak perempuan mementingkan kecantikan walau hakikatnya belum pandai mencari duit sendiri.~~

Friday, May 30, 2014

Jangan tidur selepas waktu Asar

Hari Sabtu minggu lepas....
Sebaik tersedar kelihatan sudah terang benderang. Keluar bilik kelihatan dua anak daraku masih terlena di depan televisyen. Sayu hati kerana anak-anak tidur tidak berselimut dan tilam. Menuju ke depan tolak sliding door. Cerah. Dalam hati berdetik "Masya-Allah satu rumah dah terlewat tak solat subuh". Bergegas melihat jam menunjukkan pukul 5:20. Mula membayangkan tanda hari kiamat tetapi aku belum bersolat begitu juga anak-anak. "Kenapa abang pergi surau tidak kejutkan kami". Itu yang terdetik dalam hati aku. Hairan sebab tidak pernah en hubby begini. Terus ke bilik air. Sebab sudah terlewat lupakan soal mandi dulu. Niat di hati mahu solat subuh dulu baru mandi.

Sebaik selesai berwudhuk, keluar bilik air baru sedar aku sebenarnya mamai. Mujur tersedar kalau tidak sah-sah aku solat subuh dan pergi kerja. Terlena sewaktu menonton cerita hindustan. Sehinggakan waktu petang aku sangkakan aku sudah terlewat subuh. Sedangkan en hubby sebenarnya pergi servis kereta. Anak-anak pula sebenarnya semua juga terlena sebab menonton tv. Mudahnya syaitan menggoda sehingga aku rasakan sudah terlalu lama aku terlena bagaikan tidur di waktu malam. Sewaktu menonton sementara menanti iklan aku pejamkan mata tetapi terus terlena sehingga azan Asar pun tidak aku dengar.
Malam - Tidur sekejap sebelum tiba giliran mengaji macam anakanda Aqil ini tidak mengapa. Letih seharian di sekolah malam pula kena mengaji. Bagi peluang dia tidur sekejap. Kasihan... Ini kalau mak/ayahnya tahu mesti kena marah.Tapi aku tidak sampai hati.

Sebenarnya tidur sedikit di waktu tengahari tidaklah mengapa. Baginda rasulullah sallallahu alaihi wasallam juga melakukannya kerana dikatakan bagi mengimbangi kekuatan tubuh badan kita setelah bertahajjud di malam hari. Tetapi bukan selepas waktu Asar. Menurut Ibnu Qayyim; "Tidur di siang hari sangatlah dikeji kerana ia akan mewarisi penyakit kebengkakan (muka sembab dan tidak berseri), malapetaka, merosakkan warna kulit, radang limpa, lemah urat saraf dan melemahkah syahwat. Sekeji-keji tidur adalah ketika matahari terbit dan lagi keji tidur selepas Asar."

Ada juga alim ulama' mengatakan; " Sesiapa yang tidur selepas Asar sehingga terganggu kewarasannya maka janganlah ia mencaci selain dari dirinya sendiri."

~~Jadikan pengajaran walau tidurku tidak sengaja tetapi sebaiknya bila sudah menghampiri Asar jangan cuba berbaring sehingga boleh membuat mata terus telena.~~

Wednesday, March 26, 2014

Cadbury coklat

Siapa kata sudah besar-besar tidak bergaduh. Adik boleh menelefon aku di pejabat semata-mata mahu mengatakan "mama kakak curi coklat adik" sambil menangis. Manalah aku tidak geram. Mana mungkin makanan di dalam peti sejuk itu boleh dikatakan 'kena curi'. Sudah tentu ada dalam satu rumah mestilah jika ada coklat tersimpan sesiapa saja oleh memakannya. Tidak mahu mendengar tangisan di corong telefon itulah aku memujuk dengan mengatakan "nanti mama minta tolong papa belikan lagi".

Mama beli - Membeli sebaik balik dari kerja sebab menyangka papa mereka sibuk service motor dan kerete.
Papa beli - Biasalah papa kalau anak yang hendak seboleh-boleh dia mesti cari punya hanya mama saja yang salah sangka lalu membeli juga.
Akibatnya - Beginilah jadinya. Biar puas makan coklat!
Cooking coklat - Kasihan papa punyalah mahu memberi anak rasa coklat yang lain boleh coklat untuk masakan yang dibeli. Suruh tukar katanya "tak apa boleh buat kuih" Kami semua ketawa berderai.
~~Seluruh ahli dalam rumah kami semuanya suka coklat. Sebab itu dalam peti sejuk kena sentiasa ada stok coklat.~~

Monday, October 21, 2013

Lawak Hari Raya Qurban 1434H

Setiap kali tiba Hari Raya Qurban, Pak Haji yang satu ini pasti akan berpesan pada hubby untuk memberinya 'buah' tersebut. Tahun ini pula masing-masing yang membuat ibadah qurban boleh dikatakan setiap seekor lembu yang dikorbankan ada tuan yang membuat qurban minta 'buah' tersebut. Oleh itu tidak dapatlah hubby memenuhi permintaan Pak Haji. Lembu qurban kami pula entah kemana pergi buahnya boleh tidak dapat dijejaki. Mungkin ada yang berminat lalu menambilnya tetapi malu sehingga menjadi bahan lawak mengatakan "lembu betina agaknya sebab buahnya tak ada". Semua yang bekerja ketawa sebab manalah ada lembu betina dijadikan korban.

Hubby: Kesianlah abang dengan Pak Aji tahun ini tak dapat nak bagi.
Aku: Bukan tak nak bagi tapi dah tak ada, dia pun faham kan.
Hubby: A'ah... cuma kesian sebab orang tua mesti dia terkilan.
Adik: Dekat pasar banyak buahlah papa, papa belilah untuk atok tu.
Aku: Bukan buah sebarang buah ni dik
Adik: Kenapa atok tu nak buah itu papa?
Hubby: Buah ni ada kalau papa sembelih lembu aje dik (aku sudah tidak dapat menahan gelak)
Adik: Kalau macam tu adik pun nak jugalah papa. (berderai ketawa aku dengan hubby)

Tambah gelihati boleh pula adik ipar aku bertanya masakan istimewa Hari Raya Haji apa yang Pak Haji itu hendak buat dengan 'buah' tersebut. Aku dan hubby tidak ada jawapan sebab tidak pernah pun bertanya. Tetapi rezeki Pak Haji tersebut bila hubby menyembelih pada hari tasyrik pertama di tempat kerjanya dapat pula 'buah' dari kedua-dua ekor lembu yang dikorbankan. Gembira Pak Haji sebab tahun-tahun sebelum mendapat sepasang saja tetapi tahun ini walau lambat dia dapat dua pasang 'buah' idamannya.

~~ Aku siap mengoogle gara-gara mengapa ramai benar yang suka 'buah' tersebut. ~~

* Maaf andai entri ini mengundang rasa tidak senang.


Thursday, October 10, 2013

Bila pula dia bertelur?

Tiga anak - Tidak bertelur tapi ada 3 anak. Adik punya kerja. Sebelah selipar telah tertanggal angry birdnya, lalu satu lagi ditanggalkan sama, dicuci bersih dijadikan anak mama angry bird dia. Satu lagi adalah rantai-kunci yang telah tertanggal rantainya.

Keluarga - Membayangkan macam dia ada tiga adik-beradik sebab adik pun mahu mama angry bird ini ada 3 anak juga.
~~ Anak-anak dengan permainan tidak boleh dipisahkan.~~