Showing posts with label Hidayah. Show all posts
Showing posts with label Hidayah. Show all posts

Friday, July 11, 2014

Semoga ada hidayah buatnya

Lemah longlai seluruh badan aku sebaik berita bagaikan halilintar masuk ke cuping telinga. Sedih tidak terkata sehingga tanpa sedar pelupuk mata aku serta-merta luruh dengan air hangat. Sebenarnya dia tidak ada apa-apa kaitan persaudaraan langsung dengan aku. Apa lagi saudara seagama. Tetapi ikatan kemanusiaan itulah yang membuat kami akrab. Kanser tahap empat! sungguh aku bagaikan tidak percaya tetapi segera kembali bahawa kekuasaan Allah tidak ada siapa mampu menandingi.

Suara manja anak gadis yang selalu mengucapkan selamat pagi pada aku melalui corong telefon kini sunyi seketika. "Good morning kakak" Memanggil aku kakak, walau usianya dua kali ganda usia aku kerana dia anak gadis baru berusia 23 tahun yang sudah kematian ibu-bapa. Hanya dua beradik dan dia adalah adik kepada seorang abang. Mendiang bapanya seorang kaki judi meninggalkan rumah dengan bill api dan air yang jumlahnya mencecah lima angka. Rumah juga terpaksa di re-finance. Abang pula sudah tidak hiraukan rumah kerana bertugas dan tinggal di Singapura. Gadis inilah  bekerja keras membiayai hutang mendiang si ayah sehingga sanggup menjadi freelance photographer, agent insurance dan bekerja di syarikat forwarding agent yang link dengan syarikat aku bekerja. Rumah yang diduduki tiga bilik disewakan bagi menampung pembayaran bulanan rumah tersebut dengan bank.

Dua minggu lepas. Bermula dengan sangkaan gastrik dia ke hospital pakar. Dua hari selepas keluar wad sakit berulang. Mujur dia agent insurance lalu pihak atas membawanya terus ke pakar lain pula. Masuk saja di sini sebaik scan dan x-ray terus saja operation dijalankan. Tidak perlu tandatangan orang lain lagi. Kanser ovari!. Kini terlantar sendirian. Adalah makcik (adik mendiang ibunya) datang sekali sebab dia datang dari Ipoh. Menurut teman selaku supervisor agent insurancenya doktor sudah mengatakan chemotherapy terpaksa dijalankan sehingga 13 kali untuk sembuh. Kini dia terlantar sendirian di hospital. Bantuan sepenuhnya dibuat oleh pihak hospital kerana operation ovari yang baru dilalui 5 hari lepas. Baru sekali chemo kelihatan seluruh badan sudah pucat-biru tidak bermaya. Melihat senyuman yang sukar dari bibirnya sudah buat hatiku terharu tidak tertahan.

Inilah dikatakan ujian setiap manusia yang hidup tidak sama. Jadi andai berpeluang punya anak lebih usah disekat. Melihat gadis ini sendirian tanpa sesiapa disisinya, aku terfikir kalaulah dia ada adik-beradik lain alangkah lebih baik. Mesti ada yang menjaganya di dalam wad tersebut. Sedih aku melihat keadaannya. 

~~ Kasihan kepada yang zimmi kerana mereka golongan baik sayangnya belum ada hidayah. ~~



Thursday, March 27, 2014

Titipan doa dari kami semua

Majlis doa selamat diadakan bersempena sahabat kami yang akan menunaikan ibadah umrah. Seperti biasa tuan rumah akan merisik aku. Pantas aku katakan Insya-Allah dan jangan bimbang sebab jauh di sudut hati tidak bimbang sebab aku ada 'penyelamat' jika majlis dibuat waktu cuti sekolah.Anakanda sulung aku sudah boleh menjadi 'penyelamat' sekiranya aku ABC. Jadi malam itu majlis Yasiin, tahlil dan doa selamat diimamkan oleh anak dara sulung aku. Alhamdulillah selesai dengan baik.

Manja - Dua hero ini aku kenyit-kenyit dan pancing dengan games di handset aku lalu melekat duduk dengan aku hingga selesai majlis. Waktu makan pun dia boleh tinggalkan ibu masing-masing. Mahu melihat gambar ini dari yang aku captured. Suka benar kalau boleh mahu ikut aku balik agaknya. Sebenarnya aku yang terlebih seronok. Comel kan:)
Puan Rosyidah - Inilah sahabat kami yang akan menunaikan Umrah dan akan bertolak pada hari Ahad ini. Beliau menjalankan perniagaan dari rumah. Frozen karipap, samosa, roti pizza di ekspot ke Tempines, Singapore. Doakan moga beliau dan keluarga dipermudahkan dan diberi kesihatan terbaik untuk menjalankan ibadah di tanah suci.
Air dalam bekas - Setiap kali ada majlis begini mesti akan ada air begini diletak dihadapan aku. Kali ini duduknya di depan anak dara sulung aku. Bagi peluang dia mengendali sesekali boleh juga mama jadi makmum.
Selesai majlis - Ramai juga kariah yang hadir pada malam itu. Syukur alhamdulillah moga doa-doa kami diterima Allah.  Juadah dihidang banyak. Pilih sajalah mana satu idaman hati.
Kami punya - Ini pilihan aku, Mak Zah, Nurienne dan adik. Yasmien sedang ABC tidak dapat turut sama tetapi kami dibekalkan berkat untuk dibawa balik. Dapatlah hubby dan Yasmien merasa juga.
~~ Setiap kali ada majlis amal di waktu sekarang sebaiknya bersama-sama juga kita mendoakan semoga Allah memberikan petunjukNya ke atas MH370.~~

Tuesday, January 21, 2014

Hidayah yang terindah

Kuliah subuh kami pada hari Ahad lepas agak istimewa kerana pihak masjid membawa penampilan seorang muallaf dari Sabah. Uztaz Mohd Farhan Abdullah. Telah memeluk Islam 21 tahun lalu. Sekarang telah menjadi seorang hafiz walau asalnya beliau dilahirkan dari keluarga Kristian yang sangat kuat berpegang kepada agamanya. Bapanya merupakan seorang paderi dan hampir saja beliau  mati ditembak sebaik bapanya mengetahui beliau memeluk agama Islam. Peluru pertama tersasar sebab beliau tunduk dan peluru kedua melepasi ke atas bumbung sebab senapang ditolak oleh si ibu. Sejak itulah beliau keluar dari rumah dan kembali semula selepas 8 tahun meninggalkan keluarga. Balik dengan misi penuh bermakna apabila beliau dapat mengislamkan seluruh ahli keluarga kecuali bapanya yang masih teragak-agak bimbang dipengapakan oleh kalangan sahabatnya. Namun akhirnya bapa beliau juga memeluk agama Islam dihari tuanya. Ketika bapanya memeluk agama Islam inilah peristiwa sedih terjadi dimana sibapa telah dipukul oleh orang tidak dikenali sehingga pengsan dan menerima jahitan dikepala Namun keluarga mereka gembira sebab di bapa sudah menerima agama fitrah seperti ibu dan mereka adik-beradik. Mereka mampu mendirikan madrasah di tanah keluarga untuk menyebarkan syiar Islam. Indahnya hidayah mereka tidak dapat aku bayangkan.

Pendikkan cerita, apa yang menjadi titik-tolak permulaan beliau memeluk agama fitrah ini adalah kerana mimpi. Beliau bermimpi bertemu dengan tiga lelaki. Seorang berjubah putih yang tertulis kalimah arab iaitu syahadah, seorang lagi berjubah hitam tertera tanda salib dan satu lagi jubah hijau.  Lelaki berjubah hijau itu memberi kata-dua untuk beliau membuat pilihan. Kalau mengikut yang berjubah hitam ada gaung/kolam yang dipenuhi oleh binatang buas dan berbisa. Lalu kelihatan selepas itu si jubah hitam ditelan masuk ke dalam kolam yang dipenuhi binatang buas dan berbisa tadi. Oleh itu beliau memilih untuk ke lelaki yang berjubah putih. Sebaik tersedar dari mimpi itulah beliau bertekad untuk memeluk agama Islam. Menurut ustaz yang membimbing beliau mimpi tersebut sebenarnya sekadar asbab saja. Tapi yang pasti NUR untuknya telah tiba.

Kemampuan beliau yang bersungguh mendalami Islam amat mengagumkan bila dalam masa 8 tahun itulah beliau belajar agama dan mampu hafaz 30 juzuk Al-Quran. Bayangkan kesungguhan, kecekalan dan kegigihan beliau mendalami Islam. Kita yang berusia sudah melebihi 40 tahun (akulah itu) membaca Al-Quran setiap hari pun tidak mampu menjadi sepertinya. Terharu mendengar rentetan cerita beliau yang sehingga kini masih gigih menyebarkan syiar Islam di tanahairnya di Sabah walau kini beliau menetap di Semenanjung. Di Semenanjung juga beliau gigih menjalankan aktiviti mengajar pelajar untuk menjadi hafiz/hafizah.

~~ Mendapat didikan Islam sedari kecil tetapi tidak mengaplikasikan dalam kehidupan tidak sama dengan mereka yang baru mengenal Islam tetapi mengaplikasikan sepenuhnya dalam hidup.~~

Monday, September 30, 2013

Berkawan biar beribu...

Poslaju - Aku bercuti Sabtu lepas. Sedang mengulek pokok bunga bungkusan poslaju ini tiba. Membaca nama tertera di bungkusan tahulah ianya kiriman sahabat yang baru balik dari percutiannya ke Bali bersama keluarga. Aby, pemilik blog  Hidup bagaikan satu perlumbaan

Mudah Pecah - Syukur sebaik dibuka semuanya berkeadaan baik tidak ada cacat cela.

Bali - Entah bila akan aku jejaki bumi Bali belum ada dalam perancangan. Dapat memiliki cenderahati dari sana sudah cukup membuatkan aku rasa bahagia.

Cantik menawan kalbu - Inilah dia barangnya. Cantik. Sementara ini simpan dulu sebab rasa sayang hendak menggunakan. Insya-Allah Hari Raya Haji ini bolehlah kami menggayakan tempat tissu baru ini.
Mencanting kain corak batik
tradisi bangsa usah perlekeh
pancen hati Aby apik
kesuwun seng akeh-akeh 
(kepada yang tidak faham kenalah bertanya aby supaya dia menjawabnya.)

Kepada yang belum mengenali sahabatku ini silalah ke blog Aby boleh turut menjadi sahabat anda juga. Berkawan biar beribu, bermusuh jangan sekali.

~~ Tidak bersegmen dan berGA pun ada yang memberi. Malu tapi mahu hihi...~~


Friday, December 30, 2011

Hidayah terindah 2011

Sekadar menitiskan beberapa kisah yang agak membekas dalam jiwa penduduk Islam di taman perumahan kami pada tahun 2011 yang akan kita tinggalkan.

Peristiwa pertama:-

Seorang anak lelaki Cina berusia 16 tahun. Bersekolah di sekolah aliran Melayu. Pergaulan tetap menjurus pada teman-teman sebangsa. Namun ketika di dalam kelas apabila matapelajaran Agama Islam dia lebih suka duduk sahaja di kelas. Tanpa pengetahuan teman Melayu dan ustaz yang mengajar sambil mata membaca buku lain tetapi telinga dipasang untuk mendengar. Hidayah datang pada awal tahun ini. Bertemu dengan ustaznya mahu memeluk agama Islam tetapi mohon jangan diberitahu kepada ke dua orang tuanya. Melafazkan syahadah di surau kami tanpa keraian bimbang ketahuan ibu-bapa. Rumahnya di hadapan surau taman perumahan kami. Setiap kali solat maghrib dan isya' kata hubby mesti dia akan berada di luar pagar rumah memerhati jemaah yang masuk ke surau. Minggu lepas bertemu hubby dan katanya mohon jemaah surau mendoakan agar dia berjaya SPM tahun 2012 bagi membolehkan dia keluar dari rumah dan mengamalkan cara hidup Islam sebenar.


Peristiwa ke dua: -

Lelaki juga dan telah memeluk agama Islam setahun lepas. Baru berpindah bersebelahan taman perumahan dan bersolat di surau kami. Merupakan anak angkat kepada keluarga Cina tetapi sedari kecil terasa disisih kerana keluarga telah mempunyai anak sendiri. Akibatnya dia melarikan diri sebaik habis sekolah dan menuju salah satu perkumpulan Tabligh. Melafazkan syahadah atas pimpinan kumpulan Tabligh ini. Mengenang dia tiada keluarga, salah satu keluarga Tabligh mengambil dia sebagai anak angkat. Setelah dididik asas-asas agama keluarga ini mahu menghantar dia ke Kelantan untuk tujuan mendalami agama. Namun kerana menganggap keluarga Tabligh ini juga sama seperti keluarga angkat Cinanya dulu - tidak sayangkan dia lagi, dia telah keluar dan menetap di rumah sekarang. Atas nasihat dan penjelasan penduduk taman perumahan kami kini dia kembali berbaik semula dengan keluarga angkat Islam ini dan dijangkakan akan memulakan pembelajaran yang dibiayai keluarga Tabligh ini di Kelantan mulai tahun hadapan.


Peristiwa ke tiga: -

Kejadian masih baru dan panas lagi. Menjelang maghrib 29-12-2011 semalam seorang lelaki Cina, telah mempunyai dua orang cahayamata dengan berseluar bawah lutut dan berkemeja ringkas bertemu hubby yang baru mahu masuk pagar surau. Senyuman hubby disambut dengan huluran tangan mahu berjabat tangan. Sebaik tangan berjabat dia menyuarakan hasrat mahu menjadi saudara kita. Bergegar jantung hubby. Azan sudah mahu berkumandang, hubby membawa dia masuk ke dalam perkarangan surau dan mengarahkan dia membersihkan muka, tangan dan kaki lalu di ajak masuk. Memandangkan solat maghrib sudah mahu bermula semua jemaah memberitahu dia duduk sahaja di belakang. Usai solat hubby bawa dia duduk sebelah, walau dia kelihatan kurang selesa sebab berseluar bawah lutut, namun masih mampu untuk turut tadah tangan mengaminkan doa. Malam tadi selepas solat maghrib seorang lagi hamba Allah pasrah menjadi umat Muhammad. Syukur.... Malam tadi juga AJK surau yang boleh berbahasa mandrin memberitahu perkara asas dan permulaan yang akan diberikan mulai malam ini. AJK surau kami telah mengundang seorang pensyarah dari UTM Skudai yang boleh berbahasa mandarin mengajar perkara asas sebelum akan disalurkan ke Perkim di Johor Bahru.


~~ Hidayah mereka baru tiba tetapi melihat cara mereka amat istiqamah membuat kita terasa betapa banyaknya ilmu agama yang perlu kita timba. Kita tahu tetapi untuk menjadi pendidik mereka yang masih baru terasa masih cetek ilmu.~~