Showing posts with label Makanan. Show all posts
Showing posts with label Makanan. Show all posts

Tuesday, February 21, 2017

Berkejaran masa hingga kerugian

Hujung minggu yang agak bercelaru. Berkejaran melakukan setiap yang sudah terpahat di minda. Selesai satu agenda berkejar buat yang satu lagi. Bermula bangun pagi dengan menggoreng nasi sebagai hidangan sarapan pagi dan Hubby pula mencuci baju. Selesai itu mengambil bawang-bawang, ikan bilis dan cili untuk diolah sebagai kegunaan seminggu. Hubby pula berkejar melihat rumah yang belum siap untuk direnovation. Tuan rumah memberitahu sebelum hujung bulan perlu disiapkan semua kerana si anak sudah mahu berpindah rumah tersebut. 

Selesai yang satu berkejar pula ke hospital memenuhi temujanji untuk fisio jari aku yang tidak ada perubahan lagi.  Selesai fisio hantar Mak Zah pergi mengambil ubatnya. Kemudian terus berkejar ke Tabung Haji menguruskan pusaka allahyarham bapak. Selasai di sini memandu pula terus ke TM Point untuk upgrade wifi di rumah yang sudah semakin lembab taliannya. Seringkali bila surfing tiba-tiba hanging. Jalan terbaik ikut kata anak-anak upgrade sajalah. Berjam juga berada di TM Point. Mujur juga masuk waktu solat sekarang agak lewat. Makan tengahari itu kami di warung saja. 

Masak untuk makan malam badan sudah letih. Untuk defrost ikan yang beku di peti ais pun malas. Cepat saja tangan mencapai ikan di dalam tin 😀kerana inilah kerja paling cepat dan mudah. Makanlah ala kadar apa yang ada.
Hidangan 1 - Sardin letak cili dan bawang-bawang saja. Bukan sambal tumis pun. Sayur kailan juga tumis-tumis saja.

Hidangan 2 - Telur dadar letak bawang dan cili saja. Daging beryani seketul ini baki semalam punya hidangan tidak habis dipanaskan.
Betapa dunia akhir zaman ini  manusia termasuk aku sendiri ini sentiasa berkejar dengan masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh. Merenung dalam diri sendiri betapa aku berkejaran ke sana-sini semua kerana duniawi. Azan berkumandang masih duduk berurusan dengan TM Point. Selesai urusan sibuk mengisi perut hingga pembersihan rohani dikemudiankan. Hampir jam 2:45 petang baru mendirikan solat zuhor selepas makan. Lihatlah makan diutamakan. Allahuakbar!!

~~ Sering terjadinya insaf dalam diri setelah ianya berlaku baru tersedar.~~


Wednesday, February 15, 2017

Jahilliah zaman teknologi canggih

Sedap - Mee rebus yang kami suami-isteri nikmati. Kalau anak-anak biasa suka mee karinya.
Mendepani kehidupan dalam dunia serba canggih dan penuh teknologi moden tidak menghalang isu berdepan dengan perlakuan bersifat jahilliah. Bukan bermimpi tetapi ini adalah realiti. Perbualan berbasa-basi tanpa diduga terjahan kami secara berseloroh adalah satu realiti. 

Hubby: Cuti panjang bukan main abang tengok. Makan angin ke mana?

Tuan kedai: Eh... saya tak ke manalah bang. Sejak Hari Raya ketiga sampai hari ini tak cuti-cuti.

Hubby: Jangan main-main dik. Abang dengan kakak tiap kali lalu toleh sini asyik tutup aje. Jangan ada yang cuba main cak-ba dik (Hubby aku biasalah suka berseloroh).

Tuan kedai: Saya rasa ini dah dua customer yang cakap samalah bang. Hari itu driver lori yang cakap, ini abang dengan kakak.

Aku pandang hubby dan hubby pula memandang aku. Sewaktu aku menjemput adik tempohari juga sudah bercadang untuk singgah sebab kawan adik yang menumpang sama juga mahu merasa. Niat di hati mahu singgah makan mee kari kegemaran adik tetapi tidak kesampaian. Benar sudah berkali-kali setiap kami lalu apa yang kami lihat kedai ini tutup. Kali ini kami dapat singgah di sini setelah menumpang bersolat asar di sebuah petrol kiosk yang berdekatan dengan kedai mereka. Ketika kami menyusur tepi jalan dan lalu betul-betul di hadapan kedainya kelihatan kedai sudah dibuka itu yang kami singgah sebab sudah lama merindui masakan airtangan si isterinya yang sedap.

Apa pandangan kita? Berasa syak-wasangka? Menuduh ada yang mendengki? Kenapa? Rasa simpati pula bila dikatakan keluarga mereka sering diuji sehingga suatu ketika dulu isteri dan anak-anak tidak dibenarkan ke kedai bimbang kesihatan yang mengganggu keluarga. Aku dan hubby tidak mampu berkata apa-apa. Sekadar menasihati kepadanya untuk sentiasa berada di landasan yang dibenarkan dalam agama. Bimbang juga apabila sifat jahilliah dilawan dengan jahilliah akibatnya kekufuran yang diperolehi. Na'uzubillah..

~~ Apabila melihat bangsa sendiri berjaya sebaiknya bersyukur bukan iri.~~


Thursday, February 9, 2017

Makan bersama di Ponderosa Golf

Bukan meraikan perayaan mereka. Apa yang dibuat bagaikan ulangtahun meraikan kejayaan syarikat. Hanya apa yang membezakan kerana setiap tahun 'kesyukuran' ini dibuat selepas Tahun Baru Cina dan selepas pembayaran bonus diberikan kepada semua. Apa lagi tempat atau restoran pilihan adalah atas susunatur aku juga. Boss-boss aku biasa mengikut saja. Mereka pun bukanlah makan sangat. Aku lihat minum saja yang lebih. Sehinggakan mana yang tidak habis aku minta waiter bungkus buat aku bawa balik.

Ponderosa - Kami makan-makan di sini. Pintu masuk ke restoran di Ponderosa Golf  & Country Resort

Gambar 1 - Biasalah pembukaan mestilah dengan Yee Sang. Selepas itu kami menikmati sup ada mushromm, dim-sum dan red dates aku lupa apa nama sup herba ini. Sedap.

Gambar 2 - Cod fish ada dua versi sebenarnya satu lagi goreng tapi terkeluar pula dari gambar ini. dan  roasted duck

Gambar 3 - Mushroom & Yam with macadamia nuts dan teriyaki fried prawns

Gambar  4 - Lotus leaf fried rice dan dessert entah apa. Tapi lidah aku rasa bagaikan tepung beras dan pulut berinti kacang merah. Sedap juga sejuk-sejuk masuk tekak. Apa yang geli hati salah seorang boss aku hampir saja mahu menguyah daun plastik yang disangkanya bahan makanan. Gelak kami semua satu meja😀

Meja lain - Untuk meja foreign workers  kami order mengikut kehendak mereka. Sebab pengajaran pada tahun-tahun sebelumnya mereka tidak makan sea-food. Mereka lebih suka makan nasi dan lauk-lauk seperti kita masak di rumah. Udang, ketam, sotong semua mereka tidak pandai makan. Lihatlah sayur itu sedikit pun tidak dicuitnya. Aku bungkus bawa balik.
Makan dengan kos beribu-ribu ringgit kalau dibuang begitu saja aku rasa membazir. Mana yang tidak habis semua aku minta bungkus sebab semuanya masih berkeadaan baik. Kalau tidak dimakan di rumah pun boleh berikan kepada kucing atau ayam (aku ada ayam😁.) Boleh dikatakan setiap meja memang ada berbaki dan aku minta waiter bungkus. Mereka yang berkehendak akan mengambilnya sebelum balik.

~~ Istimewanya hidup di Malaysia makanan mewah di sana-sini tapi sayangnya harga makanan semakin hari semakin mahal. Namun mahal bagaimanapun tetap kita beli, makan dan terus makan.~~


Monday, February 6, 2017

Pucuk ubi bergelombang

Sebut saja kampung, terbayang di ruang mata tumbuhan yang subur menghijau. Lebih mengujakan dedaunan hijau yang boleh dimasak atau dimakan sebagai sajian hidangan. Menjadi kebiasaan juga balik kampung dengan membawa hasil dedaunan tidak boleh dipisahkan. Kali ini paparan aku kepada pucuk ubi sayur. Bukan ubi biasa atau ubi pulut yang daun runcing. Kali ini pucuk ubi yang daunnya khas untuk sayuran. Bergelombang dan bundar disetiap hujungnya. Selain cantik untuk hiasan juga enak dijadikan hidangan. 


Pucuk ubi - Inilah daun pucuk ubi yang aku maksudkan. Gambar ketiga di atas ini sudah aku ratakan bagi melihat bentuknya seperti daun ubi biasa tetapi jika dibiar daun ini bergelombang cantik.
Mask lemak - Tetapi cantik bagaimana pun apabila sudah direbus dan dimasak lemak tetap sama juga rasanya seperti pucuk ubi yang biasa. Hanya yang ini ada cepat lembut. Tidak perlu rebus lama-lama.
Padanan - Selain ikan goreng dan goreng ayam kampung. sambal udang juga menjadikan padanan secocok untuk masak lemak pucuk ubi.
Cekodok - Bila sambal masih berbaki, cekocok roti pun sedap cecah dengan sambal tumis udang. Hiris bawang, daun bawang dan daun saderi masukkan ke dalam telur yang sudah dikacau dgn sedikit garam. Gunting roti comel-comel. Gaul dan goreng. Siap! Inlah bekal anak-anak ke sekolah sewaktu mereke sekolah rendah dulu. masuk asrama semua tinggal kenangan.
Pucuk ubi ini juga boleh dijadikan kerabu/urap. Perencah biasa adalah ikan bilis goreng, cili padi, bawang-bawang, kelapa parut, garam dan sedikit gula. Setelah direbus pucik ubi, keringkan air, potong sedikit supaya tidak terlalu panjang dan gaulkan bersama semua rencah yang sudah ditumbuk/blended. Campurkan dengan sedikit taugeh dan gaul rata. Siap sedia boleh dihidangkan.

~~ Menikmati hidangan bersama keluarga sebenarnya yang membuat selera bertambah.~~

Friday, February 3, 2017

Sanah Helwah Mak Zah

Pada hari Sabtu dimana kaum Cina meraikan Tahun Baru Cina mereka, kami pula meraikan hari ulangtahun Mak Zah. Anak-anak aku biasalah sebab sedari mereka lahir Mak Zah merupakan satu-satunya mak saudara yang sentiasa bersama kami, oleh itu kasih mereka kepada Mak Zah sudah seperti mama mereka juga. Tepat jam 12 tengah malam  sebaik keliling rumah kami berdentam-dentum dengan bunyi mercun, anak-anak mengejut Mak Zah yang sudah lena semata-mata untuk mengucapkan "Sanah Helwah Mak". Terpisat-pisat mata Mak Zah melayan kerenah anak-anak buahnya. "Hadiahnya esok ye mak". Aku hanya tahu kisah mereka pada keesokan pagi bila Mak Zah memberitahu aku apa yang anak-anak buat kepadanya tengahmalam itu.

Doa - Papa tolong baca doa kami semua menadah tangan amin. Penuh pengharapan kami semua berdoa semoga usia yang Allah bagi pinjam ini dapat dipergunakan dengan sebaik-baiknya. 
Hidangan - Kami tahu Mama Leha sibuk jadi kami membawa apa yang patut. Mama Zakie paling senang beli kek Indulgence secret receipe dan KFC. Ada juga buat puding roti. Pulut kuning ini Mama Leha yang masak.
Dellisya - Cucu kami yang paling kecil pada hari tersebut. Dell suap mohon semoga usia nenek terus diberkati hingga ke jannah. Cucu saudara kami (cucu mama Leha)
Sebenarnya kami meraikan ulangtahun Mak Zah di rumah Mama Leha. Oleh itu dapatlah semua berkumpul di satu tempat sambil berziarah abang Haikal sepupu kepada anak-anak kami yang terlantar. Jika di rumah kami sudah pasti Mama Leha tidak dapat menghadirkan diri. Oleh sebab itulah kami adik-beradik sepakat untuk meraikannya di rumah Mama Leha.

~~ Bila berkumpul adik-beradik ingatan kepada almarhum bapak dan almarhumah emak kian terasa. Buat mak dan bapak Al-fatihah... ~~




Thursday, January 26, 2017

Warna merah di sana-sini

Jika di negara saudara kita merah kerana darah berhamburan kerana perjuangan yang tiada kesudahan. Tetapi di negara kita ini lain pula merahnya. Masuklah di mana-mana mall atau shopping complex kini warna merah di sana-sini. Bukan saja pakaian yang dijual berwarna merah, bahkan banner, karpet, ruang legar masuk, perhiasan di lobby semuanya merah belaka. Ketika menemankan anak dara aku membeli barang pencuci muka kami bertembung dengan persediaan kumpulan yang mahu membuat persembahan Lion-dance. Bergema seluruh bangunan dengan muzik rancak mereka. Dulu masa usia muda aku tidak kisah tetapi bila sudah berusia kini entahlah mengapa boleh rasa bingit dan pening pula.

Bersedia - Mereka sedang membuat persiapan. Ini di kawasan lobby mall. Niat mahu makan di tingkat ini aku batalkan. Anak dara aku pun tahu mama dia sudah tidak tahan.
Wrap - Naik ke atas sedikit lega bolehlah menikmati makan. Niat asal mahu makan nasi terpaksa dibatalkan dek bunyi bingit tidak tertahan
Kak Reen punya - Setelah didigit inilah wrap pilihan anak dara mama
Kenyang - Mama makan ini. Lengkap juga sebab  ada semua keperluan samalah dengan nasi dan lauk-pauk.
Kami sekeluarga tidak ada cadangan untuk makan angin. Tapi tetap ceria menghirup udara pinjaman Allah buat kita. Mengharap baik-baiklah semuanya. Sementara dapat berkumpul bersama seisi keluarga syukuri nikmat yang diberikan. Buat anak-anak di Johor hari ini merupakan hari akhir persekolahan sebelum bercuti sempena Tahun Baru Cina. Selamat bercuti buat semua.

~~ Bersusun kotak oren di pejabatku sekarang. Aromanya berlawanan dengan air-freshner yang sedia ada.~~

Wednesday, January 25, 2017

Warna-warni hidangan

Somtam
Spaghetti aglio olio
Pizza
Acar buah
Cekodok ikan bilis+carrot+taugeh

~~ Dua bawah saja yang homemade.~~

Tuesday, January 17, 2017

Makan di tepian pantai Mersing

Sekarang menjenguk adik dua minggu sekali sebab itu janji yang termetri sebelum sessi persekolahan 2017 bermula. Oleh itu sabtu lepas kami semua pergi bertemu adik selepas menghadirkan diri di majlis perkahwinan anak sepupu dan jiran sebelah taman. Pergi ke majlis sebelum tetamu lain hadir dan hidangan pun belum keluar. Tetapi kami memaklumkan kepada sepupu mengapa kami datang awal. Selepas berbual seketika kami pun bersalam dan terus bergerak untuk berjumpa adik. 

Selepas mendapat kebenaran warden asrama terus bawa adik keluar. Singgah di masjid untuk solat zuhor, kemudian bawa adik ke klinik. Ada banyak ruam di badannya. Dapat krim untuk disapu. Selepas itu barulah kami beredar mencari tempat makan. Minta bantuan wase untuk mencari lokasi dipertemukan dengan tempat berhampiran pantai. Cantik juga.

Sambal belacan - Lihat dalam set ada sambal belacan. Hanya hubby, mama dan Mak Zah saja yang makan ini. Anak-anak timun yang terkena sambal pun dia sudah tidak mahu.

Set - Nasi putih, siakap tiga rasa, tomyam campur, kailan ikan masin, telur dadar dan sotong goreng tepung.

Bolehlah - Telur dadar dan sotong goreng tepung

Lagi - Kailan ikan masin dan telur dadar

Siakap - Pilihan anak-anak masak tiga rasa. OK juga dan ini salah satu dish yang licin kami makan.
Selepas makan mencari keperluan adik. Belikan air mineral, susu, net cuci baju, ubat tambahan bimbang kalau demam/batuk dan lain-lain. Membantu juga kawan adik mengambilkan duit di ATM sebab tanpa ibu-bapa mereka tidak boleh keluar. Menumpang ibu-bapa orang lain juga tidak dibenarkan. Kasihan pada mereka itu lalu aku berikan anak-anak itu jajan. Dari rumah juga aku sudah rebus jagung yang Mak Zah bawa dari kampung. Puas mereka makan jagung😀. Sesekali makan sedap tapi adik dan kakak-kakaknya sudah puas. Kami menghantar adik balik ke asrama selepas asar. Naikkan semua keperluan adik, salam-peluk-cium-doa kami pun bertolak balik JB.

Bertahun lagi aku kena berulang-alik menziarahi adik selagi mampu. Hujung bulan ini mungkin papa akan menjemputnya dan balik untuk cuti Tahun Baru Cina dan balik sana semula ke sana kenalah mama yang menghantarnya sebab Isnin 30 Januari papa bekerja dan mama masih bercuti.

~~ Rutin selagi ada anak belum habis bersekolah beginilah.~~

Friday, January 13, 2017

Allah mengasihi setiap hambaNya

Semalam tidak makan seharian seharusnya diteruskan untuk makan sedikit hari ini, barulah beroleh banyak kebaikan. Boleh juga dikurangkan lemak yang singgah. Tetapi sebaliknya lihatlah apa yang aku bawa bekal hari ini. Bagaikan untuk makan dua hari. Seandaikan boleh dikirimkan kepada saudara kita, pelarian etnik Rohingya pastinya mereka akan makan berkongsi ramai-ramai. Subhanallah.

Sarapan 
Makan tengahari
Buah dengan aku susah berpisah itu yang susah mahu kurus
Minum petang
Sebenarnya sejak Kak Reen bekerja aku semakin gigih balik menyediakan semua ini bagai masa anak-anak bersekolah rendah dulu. Selalu juga Kak Reen berkata "Mama tak payahlah susah-susah nanti Reen buat sendiri". Tapi aku bagaikan tidak percaya kalau tidak disediakan belum tentu dia akan bawa bekal semua ini. Membeli di tempat kerjanya tahulah tempat exclusive memanglah mahal. Sebab itu aku bawakan dia bekal setiap hari. Gaji pun tidak sampai dua ribu mana mampu kalau makan di tempat exclusive begitu. Kalau ada warung bolehlah juga.

~~ Sungguh Allah masih mengasihi kita yang tidak pernah kebuluran. ~~


Thursday, January 12, 2017

Berurut, berbekam dan akupuntur

Tuan empunya kedai mempunyai dua lot kedai yang berhampiran adalah strategi mereka yang pandai kerana memudahkan pelanggan. Satu kedai perkhidmatan untuk kaum lelaki dan satu lagi untuk perempuan. Tetapi untuk perkhidmatan mata hanya di lot kedai yang diusahakan oleh si lelaki. Aku berurut di kedai yang perempuan ditemani Kak Meen manakala papa ke kedai untuk lelaki bertemankan Kak Reen sebab di sini boleh membuat therapy mata. Sementara menanti mama dan papa berurut kak Reen membuat perkhidmatan mata. 

Kak Reen - Sedang dipasang alat bagaikan google (bukan google internet ye😁). Ini google cerminmata. 
Pejamkan mata -  Sedang dalam rawatan. Power mata sudah mencecah 500 memang agak susah tapi hendak buat macam mana, terpaksa juga memakai cermin mata. Bukan boleh buat selalu di sini. 
Macam-macam - Banyak jenis perkhidmatan diberikan terpulang kepada pelanggan  mahu memilih yang mana satu. Sebenarnya aku pergi ke Bandar Baru Uda pada asalnya tetapi kerana sudah terlalu ramai dia minta datang keesokan  hari. Memandangkan tidak ada masa di hari lain itulah akhirnya kami ke sini. Harga lebih kurang saja. 
Cendol - Balik dari berurut makan cendol. Sedap juga sebab sejak ramadhan, baru ini kami semua menikmati kembali makan cendol.  Boleh pilih mahu tambahan apa. Aku pilih pulut dan jagung. Ada juga kacang dan lain-lain.
Mungkin aku akan mencuba perkhidmatan berbekamnya. Belum pernah berbekam seumur hidup walaupun berbekam sangat baik. Aku takut melihat darah tetapi mungkin sudah sampai masanya untuk aku mencuba. Mana tahu itu salah satu perubatan yang boleh mengubat belikat kanan aku dan ibu jari kanan yang tidak selesa. Akupuntur aku masih takut lagi bila melihat banyak jarum tercucuk sana-sini😅. Berubat sekadar usaha sebab penyembuhan tetap atas redha Allah juga.

~~  Berbekamlah. Jangan membiarkan darah yang berlebihan melimpah, maka ia akan membunuhmu - Hadith riwayat Bukhari dan Muslim. ~~


Friday, January 6, 2017

Nasi penyet, bakso dan cekodok

Biarpun sudah disenaraikan penduduk Malaysia di dalam rangking ke 10 tertinggi rakyatnya mengidap diabetes dan darah tinggi, tetap juga mahu mencari nasi. Nasi pilihan pula nasi penyet sebab hanya di sini yang ada nasi putih.  Di shopping mall yang kami singgah ini rata-rata menjual makanan segera yang waktu itu tidak pula membuka selera kami. Sebab itulah kami masuk di restoran nasi penyet ini.

Kak Reen - Iwak lele goreng. (iwak lele itu bermakna ikan keli).  Bukan di Bali saja disebut begitu, tetapi di Johor pun ada juga😁. Ini pilihan Kak Reen.

Mama punya - Pada menu dikatakan ayam kampung tetapi lidah aku tidak boleh ditipu jika ianya bukan ayam kampung. Sudah selalu menikmati ayam kampung sebab itu aku tahu apa yang dikatakan itu tidak betul. Apa yang dikatakan ayam kampung sebenarnya ayam pencen yang direbus kemudian digoreng. Aku kena tipu😥

Set - Inilah set hidangannya bersama nasi dan sup simple. Harga lupa pula sebab biasalah yang menjadi tukang bayar 'king' di rumah kami😀
Adik - Menjadi kegemaran adik hidangan yang berkuah. Bakso ini terlebih masin lalu tidaklah habis dimakan.

Cekodok - Biarpun tidak cantik tetapi sedap. Ada carrot dan ikan bilis. Cuma minyak yang menyerap boleh berganda kolestrol dibuatnya. Kena serapkan dengan tisu beberapa kali baru boleh suap ke mulut. Tapi sedap!
Apa yang kami makan ini sewaktu balik ke Batu Pahat baru-baru ini kerana meraikan majlis aqiqah anak buah en hubby yang mendapat baby baru. Memandangkan majlis dibuat waktu siang dan makanan semua ditempah catering jadi malam sebelum itu kami jalan-jalan cari makan di luar.

~~ Terus bersyukur kerana rezeki di tempat kita ada di sana-sini.~~