Showing posts with label Jawi. Show all posts
Showing posts with label Jawi. Show all posts

Thursday, April 2, 2015

Dia ibarat kain putih

Rutin biasa selepas solat maghrib anak-anak akan mula bertandang ke rumah dan satu-persatu memberi salam. Masing-masing dengan misi untuk meneruskan pembacaan Al-Quran atau Iqra'. Mereka juga tahu siapa yang sampai dulu dialah yang akan duduk di depan aku bersila sebaik melihat kawan mereka selesai. Malam tadi aku ada anak baru. Seorang anak lelaki berusia 5 tahun. Comel dan montel sedap mata memandang. Aku dan anak-anak aku sama naik, kami suka bila ada budak comel. Sentuhan pertama kami mestilah pipinya yang gebu.  

Aku: Mama nak panggil apa ni?
Anak: Abang (senyum malu-malu). 
Aku: Oohh.. abang pernah tengok dan baca Iqra' ini?
Anak: Tak (geleng kepala sambil bersuara perlahan).

Ibarat kain putih, sebagai anak yang tidak mengerti apa-apa ingin aku berpesan kepada semua yang bergelar ibu-bapa, tolonglah didik sedikit-sebanyak huruf-huruf yang digunakan di dalam Al-Quran. Alif, Ba, Ta dan seterusnya sebaik anak sudah boleh bercakap. Tidak kenal huruf nga, pa, cya dan ga itu tidak mengapa kerana bila masuk alam persekolahan mereka akan belajar jawi. Kasihan kepada anak yang tiada pendedahan langsung ketika memulakan membaca kerana rata-rata anak sekarang bila masuk usia 5 tahun sudah mengenal huruf-huruf hijaiah. Cuma membunyikan bila yang sudah bertanda perlukan asuhan seterusnya dari yang mengajar mengaji. Ini kali pertama aku dipertemukan dengan anak yang begini sehingga membaca basmallah pun tidak tahu.

Aku: Bismillahirrohman
Anak: Bissila... (tidak mampu sudah untuk menyambung)
Aku: Cuba sebut milo macam mama, mil.. mil...
Anak: Milo, mil..mil...
Aku: Bismillah
Anak: Bismillah

Malam tadi itu saja yang mampu dia dapat. Hairan sebab sekarang di televisyen pun selalu terpapar bacaan Al-fatihah. Lebih memeranjatkan bila aku mahu dia ikut ibu solat/sembahyang, dia mengatakan ibu tidak solat. Menyesal bertanya tapi dalam hati aku sangat sedih. Renungkanlah..

~~ Tidak mengapa abang (anak tersebut), mama Zakie akan didik abang menjadi seperti kawan-kawan yang lain. Mama percaya abang pun boleh.~~


Tuesday, February 28, 2012

Hendak mengeja jawi pun susah...

Kelas tambahan celik jawi dan bahasa Arab di sekolah agama adik tahun ini baru bermula sabtu lepas. Kelas dibuka setiap hari Sabtu minggu ke2 dan ke4 setiap bulan. Menurut adik ramai yang hadir dan turut-serta. Tetapi sebenarnya aku telah memberi pencerahan pada anak aku sedari usia mereka 4 tahun lagi. Aku juga menghantar anak-anak ke Tadika Islam, walau tidak pandai pun apabila diajar saban hari bolehlah juga akhirnya mereka membaca dan menulis jawi sebaik masuk tahun satu sekolah rendah (walau kelihatan bagaikan tulisan trengkas).

Kecoh - Turun kelas ada yang muntah mungkin tidak sihat. Nasib baik si bapa telah menanti.

Adik - Pantas sebab hendak ikut papa-mama pergi jenguk kakak di asrama.

Begitupun pendedahan oleh sekolah agama di mana anak aku belajar dibuat setiap tahun namun masih lagi ada anak-anak yang tidak dapat mengusainya. Itu yang diberitahu oleh pihak sekolah. Anak-anak diajar untuk mengenal huruf hijaiah satu-persatu. Diajar untuk membunyikannya. Juga diajar huruf-huruf mana yang boleh dicantum dan tidak boleh. Kalau dilihat sebenarnya anak sekarang lebih beruntung kerana guru-guru semakih gigih tidak mengenal penat dan jemu mengajar. Buku-buku panduan yang murah-murah pun banyak. Huruf jawi sekarang juga bukan seperti zaman aku dulu. Kalau dulu mahu mengeja FALSAFAH atau PENYAPU huruf awal tetap 'fa' tetapi kini huruf 'fa' dan 'pa' telah diaplikasikan sepenuhnya.

Begitu juga dulu mana ada huruf 'V'? Satu yang menyedihkan bila mahu mengeja atau menulis nama bapak. Waktu itu biasanya huruf 'v' akan diganti dengan huruf 'ba' lalu bunyi akan jauh lari dari yang sebenar. Seingat aku (kalau tidak silap) tidak lama sebaik melahirkan anak sulung barulah diperkenalkan huruf 'va'. Sejak itu barulah nama bapak dapat dieja dengan betul. Pa, Wau, Ro, Va, Ya dan Ta jadilah PURVIT (ramai yang kata nama bapak unik).

Huruf hijaiah dan jawi - hasil carian google (Huruf yang dibulatkan tidak ada di dalam al-quran ye anak-anak...)

~~Anak-anak sudah memberi kata keinginan minta papa membeli keyboard yang ada huruf-huruf jawi. Gembira juga andai ianya dipenuhi kerana bolehlah mama tumpang sekaki.~~