Showing posts with label Umum. Show all posts
Showing posts with label Umum. Show all posts

Monday, February 27, 2017

Makanan segera menjadi pilihan

Menjadi rutin setiap hari Sabtu itulah satu-satunya hari untuk bertemu anakanda di asrama. Semenjak berada di tingkatan dua inilah kali pertama kami pergi menjenguknya dua minggu sekali berbanding sejak dari tingkatan satu kami pergi setiap minggu. Semakin membesar semakin pandai berdikari. Apa lagi kini sudah dilantik menjadi Lembaga disiplin pelajar kenalah memikul sedikit tanggungjawab yang ditugaskan. Bukanlah berat mana contohnya minggu sebelum ini adik ditugaskan mengurus pendaftaran kemasukan pelajar tingkatan satu untuk tahun 2017.



Sudah beberapa kali bila kami datang, adik lebih suka keluar dari asrama berbanding memakan bekal yang mama bawa dan makan di asrama. Apa lagi ada kawan yang akan menumpang untuk bersama mencari barang keperluan. Kali ini kawan adik dari Melaka yang menumpang. Selesai makan tengahari masing-masing berbelanja membeli keperluan mereka. Biskut, air kotak, air mineral, kekacang dan toiletaries semua dibelanja. Selesai papa membayar semua jam sudah menginjak ke waktu asar. Sebelum balik ke asrama masing-masing mahu membeli KFC. Terperanjat aku rata-rata yang berada di dalam outlet KFC dan Marybrown adalah anak-anak dari tempat adik belajar. Bila di lihat sudah bagaikan pasukan bola sepak pasukan Selangor😀. Apa pun aku hanya membayar kepada anak yang menumpang kereta kami saja. 

~~ Makanan anak-anak asrama kini lebih lazat dan berkhasiat. Anak-anak semakin pandai. Silap sedikit dewan makan membuat menu pasti akan menjadi isu di mesyuarat perbadanan pelajar. Dahsyat! ~~



Friday, February 24, 2017

Hukuman di mata dunia


Jika di Teheran, Iran ada polis bahagian pencegahan kemungkaran. Difahamkan salah satu aktanya mengharamkan penjualan patung Barbie. Mereka mempunyai alasan mengapa ianya diharamkan. Bagi anak-anak di Malaysia Barbie merupakan salah satu patung permainan yang sangat menggembirakan. Bahkan ada yang mengumpul sehingga memenuhi ruang katil. Tidak ketinggalan ada anak-anak yang mandi, makan dan tidur pun berbual dengan barbienya. Anak aku sendiri membeli lampu tidur barbie pink untuk dipadankan dengan biliknya yang serba-serbinya pink.

Melihat di Acheh pula ada polis yang bertanggungjawab memantau hal-hal syariah Islam. Mereka juga diberikan kuasa untuk menangkap umat Islam yang melanggar hukum-hakam Islam. Contohnya andai didapati ada pasangan berkhalwat akan dihukum secara hudud. Wanita Islam dimestikan menutup aurat. Jika mahu berseluar panjang, pakaian mestilah labuh menutup hingga ke bawah punggung. Itu akta mereka biarpun masih ada yang melanggar susila ini. Tidak kuang sudah ada yang dihukum mengikut akta perundangan Islam tempat mereka.

Manakala di negara kita pula Jabatan Agama Islam berhak melakukan penangkapan tetapi tidak boleh bertindak sebaliknya pesalah akan dihantar ke balai polis untuk tindakan selanjutnya. Boleh membuat laporan tetapi tidak boleh bertindak. Boleh membuat aduan tetapi tidak boleh menangkap. Boleh menangkap tetapi tidak boleh menghukum. Boleh menghukum tapi bergantung pada kepetahan peguam. 

لَا يَغُرَّنَّكَ تَقَلُّبُ الَّذِينَ كَفَرُوا فِي الْبِلَادِ * مَتَاعٌ قَلِيلٌ ثُمَّ مَأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ ۚ وَبِئْسَ الْمِهَادُ
Janganlah sekali-kali kamu terperdaya oleh kebebasan orang-orang kafir bergerak di dalam negeri. Itu hanyalah kesenangan sementara, kemudian tempat tinggal mereka ialah Jahannam; dan itu adalah tempat yang seburuk-buruknya.” (Ali-Imran: 196-197).

~~ Begitulah di dunia mungkin kita boleh terlepas pandang namun yang nyata di akhirat kelak walau sebesar zarah segalanya akan ditimbang untuk diberi balasan atau ganjaran setimpal.~~

Thursday, January 19, 2017

Ragam penyewa rumah

Benar - kita melihat orang lain tetapi lagi ramai orang lain yang melihat kita. Kita merasakan dia bersalah tetapi lagi ramai yang nampak akan kesalahan kita. Oleh sebab itulah sebelum bertindak kami suami-isteri berbincang baik-baik mencari penyelesaian terbaik agar ukhuwah sesama umat Islam tidak terputus begitu saja. Seminggu, dua minggu, sebulan dan kini dua bulan tetap tiada kata putus. Panggilan tidak dijawab. Whatsapp dihantar juga tidak dibalas. Kami buntu. Seminggu sebelum menghilang awal November itu dia ada mengirimkan whatsapp mengatakan yang dia akan keluar hujung bulan November. Kami akur bermakna dia tidak perlu membayar sewa untuk bulan tersebut. Tetapi sehingga akhir November 2016 sehingga kini bayangnya pun tidak kelihatan. 

Menjadi masalah kami sebab rumah tidak terurus. Daun-daun kering sudah kian berserakan. Barangan milik mereka masih ada di dalam. Orang pula sudah berpuluh-puluh bertanya mahu menyewa. Kami tidak boleh berbuat apa-apa lagi. Beranggapan penyewa menghadapi masalah tetapi sayangnya sedikit balasan melalui pesanan ringkas atau whatsapp langsung tiada. Mahu menelefon kami mungkin malu walaupun sebenarnya kami tidak kisah seandainya benar dia tidak mampu. Siapa lagi yang mahu membantu saudara sesama agama kita kalau bukan kita ini. Tekanan ekonomi siapa tidak tahu.

Dua minggu lepas seorang kakitangan awam beruniform datang memberi salam bersungguh-sungguh mahu menyewa. Lebih terkejut dia mengenali penyewa kami itu hingga meminta kebenaran untuk memanjat pagar kerana mahu mengambil topi keledar yang dipinjam oleh penyewa rumah kami itu. Topi itu ada disangkutkan di tepi pengampai baju. Dia minta aku melihat apa yang dia ambil sebab bimbang dikatakan pencuri pula. Minta juga aku memberitahunya bila penyewa itu balik kerana mahu menagih sesuatu darinya. Aku tidak mahu tahu itu kisah di antara mereka.

Memandangkan tiada penyelesaian akhirnya hubby terpaksa membuat laporan polis bercadang untuk memotong mangga dan masuk rumah sewa kami itu. Barang-barang mereka akan kami pindahkan ke rumah corner lot kami yang kosong. Rumah corner lot sengaja tidak disewakan sebab menjadi tempat aku dan hubby bercucuk-tanam dan membela ayam. Barangan projek hubby juga banyak simpan di rumah ini. Harapan kami sebenarnya kalau mahu keluar ambillah barang-barang milik mereka. Katil, almari, dapur dan mesin basuh semuanya amat diperlukan oleh si isteri. Mungkin tidak menjadi masalah kepada isteri pertamanya sebab anak-anak sudah besar. Tetapi isteri kedua ini anak masih bayi lagi - sungguh kami kasihan sebab itu sebenarnya kami amat memahami kesulitan yang dihadapi. Tidak perlu malu dengan kami. Hal laporan kepada polis dibuat juga sudah kami whatsapp kepadanya dengan harapan dia akan ambil semua barangannya tetapi tetap tiada. Mungkin hujung minggu ini terpaksalah kami bertindak sebagaimana yang disarankan oleh pihak polis.

~~ Melihat saudara seagama tersepit kita yang melihat terasa peritnya sama.~~

Tuesday, January 10, 2017

Ragam anak menagih kesabaran

Masa: Malam waktu belajar mengaji
Hari: Semalam

Ketika anak pertama yang mengaji duduk di hadapan aku, si comel itu sudah keluar bilik. Aku menjangkakan dia mahu ke bilik sebelah.Tidak seperti biasa dia akan cuba membelek dulu Iqra' dia sementara menanti gilirannya. Aku pula yang sudah tua ini tidak menduga ada sesuatu yang mahu dibuat olehnya tapi tidak kesampaian. Masuk anak kedua mengaji dia masih juga tidak masuk. Tidak lama dia masuk bilik dan mendapatkan kakak sepupunya yang sudah selesai membaca. Ada satu bau sudah dapat ditangkap ke hidung. 

"Siapa kentut? kena ambil wuduk balik." Boleh itu yang mama Zakie mereka ini bercakap dan sambung lagi menghadap anak yang duduk di depan untuk membaca. Tapi tiba-tiba Kak Meen masuk bilik "Mama, Icha terberak." Masya-Allah kenapa pula dengan si comel satu ini. Terpaksalah berhenti seketika. Kalau dulu si abangnya pernah terkencing ini si adiknya pula lagi dahsyat. Tapi anak kecil siapalah boleh menduga. Terpaksalah Kak Reen jadi tukang mandikan sementara Kak Meen mengambil tuala manakala aku selongkar kotak baju-baju kecil yang sudah lama tersimpan. Hujung tahun ini umur Icha akan masuk 4 tahun tapi mungkin sudah tidak tertahan terlepas juga. Cuma bernasib baik dia terbuang di depan toilet tidak di dalam bilik seperti abangnya dulu.

Upin-Ipin - Ini baju tidur adik sewaktu adik kecil dulu. Boleh ngam-nagm bila disarungkan ke badan Icha yang buat hal tanpa di duga oleh semua. Malam itu dia tidak mengaji sebab baru  siap dimandikan ibunya sudah datang menjemput.
Anak belum baligh menduga kesabaran mereka yang baligh inilah salah satunya. Kena ejek pun tidak berkesan dihatinya. Senyum saja siap boleh bertanya lagi bila aku sarungkan baju. "Baju siapa ni mama?" Tidak malu pun dia berbogel di depan mama Zakie dia ini. Boleh lagi berkata sabun mandi mama wangi. Alahai anak...

~~ Ragam anak tidak membawa apa-apa dosa tapi ragam orang dewasa boleh mengundang dosa.~~


Monday, January 9, 2017

Anugerah PBSM dan tanggungjawab

Punyalah lama dari sebelum masuk IPTA sampai sudah keluar baru dapat sijil yang satu ini.

Ucapan - Sebelum majlis penyampaian sijil dimulakan dengan ucapan presiden PBSM Johor dan diikuti oleh ucapan presiden PBSM Pontian.
Semua - Bergambar kenangan bersama mereka yang dianugerahkan
Penyampaian - Alhamdulillah akan sentiasa di praktikkan
Banyak sijil Kak Reen berkaitan dgn PBSM (Persatuan Bulan Sabit Merah) kerana dari dulu dia mempunyai wawasan mahu bersama-sama dengan NGO yang terlibat dengan misi membantu saudara di Palestine tetapi sehingga kini masih belum kesampaian. Kini sudah mula bekerja pun. Belajar undang-undang tapi kerja lain dari yang diimpikan. "Sementara belum bertemu yang dituju duduk dululah bagi meraih pengalaman". Itu kata aku. Mama dia pun dulu bukanlah mengambil bidang PA tetapi melompat dari satu syarikat ke satu syarikat akhirnya begini jadinya. Tetap menjadi kuli sehingga pencen mungkin sebab sudah malas mahu melompat lagi. Biarlah anak-anak pula belajar melompat.

Siang hari bekerja jadi kuli orang lain malam hari jadi kuli papa pula. Siapa lagi yang mahu membuat quotation, delivery order dan invoice yang papa mahu. Dapat juga papa mengurangkan kos membayar gaji. Dulu mama kena buat sekarang ada anak sendiri yang buat boleh bayar ikut suka tidak perlu EPF/Socso😉

~~ Selagi masih bernafas ada tanggungjawab yang perlu digalas.~~

Tuesday, January 3, 2017

Ubi kemili - hodoh di luar cantik di dalam

... mari kita lihat apa yang diperolehi en hubby sewaktu balik dari outstation.

Sepcies ubi keledek - Ubi kemili ini dulu almarhumah mak ada menanam hingga jemu-jelak kami adik-beradik makan. Tapi dek kerana kesempitan hidup, mahu tak mahu kami makan juga sebagai hidangan sarapan pagi.  Tetapi kali ini apa yang kami dapat ini bukanlah hasil tanam sendiri tapi hubby membelinya di Air Hitam ketika dalam perjalanan balik dari kerja luar baru-baru ini.
Cara masak - Setelah dibersihkan (tanpa buang kulit), direbus (letak sedikit garam) dan dikupas beginilah jadinya. Bermacam bentuk ubinya boleh didapati. Biasanya dimakan dengan kelapa parut yang diletak sedikit garam dan gula. Kepada anak kampung seperti aku sudah pasti dapat merasai nikmatnya tetapi tidak pada anak-anak. Mungkin sebab sudah lewat memperkenalkan kepada mereka.

Keratan - Jika dilihat bahagian dalamnya beginilah texturenya. Usah dilihat luaran asalnya yang kelihatan hodoh tetapi cantik bersih di dalamnya. Begitulah juga kita sebagai manusia jangan dilihat luarannya kerana hati manusia tidak siapa mampu menilai/membacanya.

~~ Selain manggis yang selalu dikaitkan hitam di luar putih di dalam, Ubi kemili juga punya sifat yang sama. ~~

Wednesday, December 28, 2016

Cuti di kampung yang indah - 1

Keluar rumah tanpa bersarapan. Oleh itu sekeluargalah kami singgah bersarapan di tempat biasa. Selesai semua masuk ke perut kereta terus membayangkan suasana kampung yang sudah dirindui. Tetapi sebaik saja masuk ke lebuhraya nasib kurang baik kereta tidak bergerak. Sesak yang melekat tidak boleh dielak. Mahu berundur masuk jalan persekutuan sudah tidak boleh sebab beberapa kereta juga sudah terjebak sama. Jenuhlah menanti giliran. Melihat mereka yang melalui lorong kecemasan mahu saja papa mengikut sama tetapi si isteri dan anak-anak mengingatkan kalaupun di dunia lepas tapi akhirat kita tidak tahu. Orang yang bersusun menanti giliran pasti tidak senang melihat bila berpusu kereta melalui lorong kecemasan. Biarlah akan tiba masa mereka pun akan sedar. Atau mungkin benar mereka ada kecemasan. Lihatlah saja.

Marak - Lebih kurang jam 10:00 pagi kereta kami masuk ke lebuhraya hampir jam 3:00 petang baru tiba di rumah sedangkan biasanya belum tengahari kami boleh tiba. Buka kunci sebab tidak ada siapa di rumah, masing-masing terus menuju ke bilik air. Selesai solat apa lagi sementara parut pun masih kenyang mama tidak perlu masak. Kami terus ke belakang rumah. Membakar apa yang patut.
Basah - Ada juga yang tidak mempan dengan api dek kerana masih lembab. Di Batu Pahat pun hujan turun selalu sama seperti di JB juga. Berkali-kali cuba juga untuk dibakar tapi sebahagian saja yang terbakar.

Bukan selalu kami mendapat peluang bermain dengan api begini. Apa lagi melihat longgokan daun-daun kering yang sudah dilonggokkan oleh abahDol aka bapa saudara anak-anak ku. Seronok apabila melihat api membakar habis setiap yang kami bakar. Anak-anak tidak kurang menjelajah kawasan belakang rumah peninggalah almarhum mak/abah mertua aku. Aroma kampung yang banyak pokok lain nikmatnya. Bermandi peluh kami anak-beranak tetapi sesekali ditiup angin terasa sangat nyaman.

Peninggalan - Masing-masing gelak besar apabila papa mengatakan ini dulu adalah jamban sewaktu papa masih bersekolah rendah lagi. Tempatnya adalah dalam 500 meter jarak daripada rumah. Itu yang membuat anak-anak ketawa sebab mereka membayangkan kalau mahu membuang waktu malam dan kalau sakit perut tidak tahan alangkah jauhnya mahu ke sini.
~~ Duduk di rumah sendiri teringat kampung, balik kampung pula rindu kepada mak-abah yang sudah pergi buat selama-lamanya. ~~


Wednesday, December 21, 2016

Merakam gelagat mereka

Pertemuan pertama. Tidak ada rasa malu-malu. Duduk sama-sama. Mula-mula tunjuk yang dia ada kipas tangan yang diperolehi dengan menyelongkar beg tangan Nekzakie. Semua yang dewasa menyangka baik sebab pandai berkongsi. Tapi lain pula jadinya.  Pangkat cucu kepada aku sebab ini anak kepada anak buah kami.

Tunjuk - Cantik kan kipas Nekzakie 

Berebut - "Eh... janganlah ambil saya tunjuk aje"

Lawan - "Tak boleh saya kata tak bolehlah!"

Marah - "Lain kali janganlah tunjuk saya kalau kedekut tak boleh kongsi"
Moment ini waktu malam ketika kami sedang sibuk menyediakan barang hantaran anak buah kami yang menikah hujung minggu tempohari. Kiri berusia 17 bulan, dan kanan berusia 14 bulan. Berbeza tiga bulan pun sudah nampak yang lebih sedikit usianya lebih kuat.

~~ Anak kecil jika dapat apa yang dikehendaki akan ketawa, tapi kalau tidak dapat menangis.~~


Thursday, December 15, 2016

Sesak di sana sini

Menuju destinasi makan angin bersama keluarga adalah suatu moment yang indah. Namun ada suatu yang kurang indah apabila sebaik tiba ke rumah. Memunggah semua barang dari kenderaan bersama-sama tetapi bila melihat pakaian kotor adalah suatu yang sangat kurang indah. Cara terbaik adalah esok paginya memunggah balik masuk ke dalam kereta dan bawa ke kedai dobi.

25 kg - Menggunakan dua mesin 25kg ini untuk mencuci semua pakaian kami.  Nasib baik aku merupakan pelanggan pertama. Dalam beberapa minit selepas aku dan adik siap memasukkan pakaian ke dalam mesin satu-satu pelanggan lain tiba. Sungguh luarbiasa tidak sampai satu jam semakin ramai yang datang sehingga semua mesin penuh digunakan dan ada yang terpaksa menanti giliran. Untung betul empunya dobi apabila musim hujan dan cuti sekolah. Musim orang makan angin.
Penuh - Siap mendobi balik tuang semua di atas katil penuh satu katil. Semua kena kerah sama-sama melipat pula. Tidak boleh bertangguh sebab aku letakkan semuanya di atas katil. Tapi bila tiga orang melipat dan susun masuk almari tidak sampai satu jam sudah selesai. Lega.
Sesak lagi - Sementara semua anak ada dan mama cuti bawalah ke bank untuk tukar kad debit masing-masing.  Masya-Allah ramainya umat manusia. Siapa sangka. Bau aroma peluh dan perfume berasak di dalam aircond. Tempat duduk sudah tidak ada lagi. Lihatlah Kak Meen dan adik sudah tidak tahan. Kak Reen maintain lagi. Dari jam 9:30 pagi sehingga jam 2:00 petang baru selesai. Adik punya tidak lepas sebab masih atas nama papa. Kena pergi dengan papa Jumaat ini. 
Biarpun nilai matawang RM sudah susut jauh berbanding SGD tapi aku dapat perhatikan masih terlalu ramai pekerja warga asing di tempat kita. Aku rasa sewaktu melangkahkan kaki masuk ke dalam bank 3/4 yang mahu berurusan adalah warga asing. Namun semua tidak mampu dibendung lagi. Anak-anak merungut juga sebab kami belum solat zuhor lagi. Bila balik rumah (rumah kami dekat saja dengan bank - tidak sampai 5 minit) tapi selepas solat kaki masing-masing sudah letih lalu tangguhlah niat mahu ke JPO.

~~ Nilai tukaran RM dengan SGD jika mengikut borang Kastam yang aku declare semalam 3.0970. Terasa kecilnya nilai duit kita.~~



Wednesday, November 9, 2016

Lampu tidur baru




~~ Dari kecil sehingga sudah remaja tetap Hello Kitty juga yang disukai Kak Meen.~~

Wednesday, November 2, 2016

Banyaknya kepala bertudung

Masuk ke satu pasaranya ini pasti kita akan melihat banyak kepala. Bukan saja kepala manusia bergerak yang sibuk memilih tetapi juga kepala tanpa badan yang tidak bergerak. Semuanya bertudung belaka. Ada yang memakai tudung mahal, ada yang sederhana dan ada juga yang murah.





Aku dengan Mak Zah sampai terkekek-kekek gelihati melihat ada kepala patung yang sudah tertutup muka dengan tudung yang senget. Adik siap membetulkannya lagi. "Kesian patung ni" itu katanya.

~~ Agak-agak kalau bergelap dengan kepala patung banyak begitu tidak seramkah yang bekerja di situ.~~


Monday, October 31, 2016

Mama sudah tua

Hari: Sabtu 29-10-2016
Waktu: Malam selepas anak-anak selesai mengaji

Sudah menjadi perkara biasa apabila mereka tahu esoknya cuti sekolah selepas selesai mengaji mereka akan terus bermain, makan-makan kudapan yang ada sehingga puas. Apa lagi jika adik bercuti  menonton VCD menjadi kesukaan anak-anak. Kepada yang tidak minat menonton itulah keluar masuk bilik aku.

Anak: Mama dah tua kenapa masih mengaji juga?
Mama: Sebab dah tualah kena baca banyak-banyak.
Anak: Mama belum khatam lagi ke?
Mama: Sudahlah. Kalau tidak macam mana nak ajar adik.
Anak: Habis kenapa mama baca tiap-tiap hari?
Mama: Sebab mama dah tualah sayang, tak lama lagi mama mati.
Anak: Alaaa.... mama janganlah mati. Nanti siapa nak ajar adik

Anak-anak - Mereka menggayakan tudung baru ole-ole mama balik dari Terengganu. Sehelai RM15/- saja tapi nampak comel pula apabila mereka menggayakannya. Conversation di atas lahir dari anak yang tepi kiri sekali (4 tahun - kini sudah membaca Iqra' 3)
Sebenarnya aku terharu apabila dengan nada sedih anak itu merayu mohon aku jangan mati dulu. Sungguh walaupun dia bukan anak kita jauh di sudut hati aku mengaminkan doa anak ini semoga diterima Allah. Aku pun sebenarnya mohon biarlah aku dipanjangkan usia dapat melihat semua mereka mengamalkan apa yang telah aku curahkan selama ini.

~~ Tidak ada siapa yang mampu menahan seandainya Izraeil sudah datang menjemput.~~


Friday, September 30, 2016

Sifat Qana'ah, tasamuh dan haibah

Sejauh mana kita mampu mendidik hati dan peribadi diri kita dengan sifat qana'ah dan tasamuh ini tidak ada seorang pun yang mampu mengukurnya. Hatta diri kita sendiri pun tidak tahu sejauh mana ia duduk di dalam diri kita walaupun sifat ini sedikit sebanyak menjadi kayu pengukur keimanan diri. Bukan satu hal yang mudah bagi insan biasa seperti kita ini bersikap redha dan merasa cukup di atas hasil yang kita usahakan. Sentiasa berusaha mendidik diri menjauhkan dari rasa tidak puas hati dan bertoleransi dengan insan-insan sekeliling agar qana'ah ini seiring dengan sifat tasamuh dalam diri.

Tasamuh ini mendidik diri kita bertoleransi dengan mereka yang di sekeliling kita. Bersama-sama mencari redha Allah. Tidak perlu menguasai keseluruhan yang kita mampu kerana sebahagian yang kita perolehi dan lakukan mungkin adalah milik insan lain. Toleransi di sini mestilah yang tidak melibatkan hal-hal dan hukum-hakam agama dan syariat. Seperti qana'ah bukan mudah untuk kita tanamkan tasamuh ini andai sifat qana'ah jauh dari diri. Merasa cukup dalam apa juga yang Allah berikan bukanlah bermakna duduk diam tanpa berusaha tetapi bersyukur atas apa hasil yang setimpal dari apa yang telah diusahakan.

Sebagai insan kerdil benarlah kita tidak boleh lari dari rasa haibah atau takut ibadah atau jariah tidak diterima. Selalulah amalkan suroh Muawwizat atau biasa orang kita sebut tiga Qul. Ada diriwayatkan dari Aisyah radiyallahu'anha "Baginda rasulullah sallallahu alaihi wasallam pada setiap malam apabila hendak tidur akan membaca surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Naas. Ditiup kepada dua-dua tapak tangan kemudian disapukan ke seluruah tubuh dan kepala baginda." Amalan mudah yang boleh kita selalu amalkan. Semoga dengan amalan ini boleh menghindarkan rasa haibah dalam diri kita.
Gambar 1 - Mereka yang kurang berkemampuan menikmati ini biasa-biasa saja tetapi kepada yg sesekeli bertemu ini nikmatnya tidak terkata apa lagi..... (lihat gambar ke dua)

Gambar 2 - Kerabu/urap yang sering menjadi gandingan untuk yang di atas. Walau sekadar pucuk ubi dan taugeh tetapi apabila direncahkan dengan kelapa yang disangan dengan ikan bilis, cekur, cili dan bawang (tumbuk semuanya), mahu nikmatnya tidak terkata.
Cukup bersyukur dengan ini kerana sama-sama dapat dinikmati ramai. Merenung ke dalam diri kerana ada saudara-saudara kita yang langsung tidak dapat menikmati apa yang kita ada.

~~ Sekadar renungan bersama. ~~


Wednesday, September 28, 2016

Jojo tidak intinjak





~~ Istimewanya binatang tidak perlu istinjak tapi tidak berbau.~~


Thursday, September 22, 2016

Ekosistem ciptaan adik

Kerja sekolah adik untuk subjek geografi sewaktu cuti sekolah baru-baru ini. Papa membelikan segala keperluan adik seperti base-board, plasticine berwarna, kertas biru dan gam uhu. Memandangkan jika menggunakan plasticine sepenuhnya, board menjadi berat aku cadangkan adik menggunakan kapas sebagai bahan bagi menaikkan kedudukan tanah. Kapas ini sudah lama tersimpan sebagai pencuci luka dan sebagainya. 

Basic - Setelah siap semua bentuk kelihatan kosong lalu minta papa belikan ikan kecil dan pokok kecil yang biasa ada dijual di kedai-kedai akuarium. Tetapi papa terbeli pokok yang agak besar. Kerana tidak mahu membazir lekatkanlah juga. Ikan kecil palsu tidak ada di kedai ikan. Ikan hidup adalah. Tetapi kerana kura-kura itu agak besar adik tidak lekatkan lagi.
Kura-kura - Semua ketawa terbahak-bahak apabila melihat kura-kura yang papa bawa balik. Punyalah besar. Propotion tidak seimbang dengan kedudukan rekabentuk yang dihasilkan.  Bila cuba diletakkan di depan gua ianya memenuhi ruang gua ciptaan. Tidak boleh jadi.
Beli lagi - Memandangkan pokok agak besar papa pergi lagi ke kedai membeli yang lebih kecil tetapi sayangnya apa yang papa beli sebelum itu sudah melekat tidak boleh ditanggalkan. Jika ditanggalkan kena buat lagi plasticine yang sudah di lekatkan di atas kapas. Lihatlah pokok-pokok kecil baru yang papa beli nampak lebih sesuai.
Kesudahan - Memandangkan rasa sayang pada pokok kecil yang baru papa belikan maka diselitkanlah juga beberapa pokok sehingga akhirnya adik gelihati sendiri dan berkata "Mama tengoklah dah macam Hutan Bandar". Kalau di JB sini sebut Hutan Bandar memang banyak pokok sebagai pelindung ketika beriadah seperti jogging dan sebagainya. Kura-kura juga hanya seekor dilekatkan dan diletakkan jauh kedudukan dari gua supaya tidak nampak ketidakseimbangan saiznya. Ketawa bila melihat kura-kura itu.
Siap - Inilah kesudahan kerja yang adik bawa balik ke sekolahnya pada hari Ahad. Mengharap adik boleh dapat band-6 untuk kerja tangan geografi ini.
Kalau kerjatangan yang sekadar 2-dimensi lebih mudah berbanding 3-dimensi begini. Apa lagi kena duduk di dalam kereta dengan perjalanan yang jauh. Nasib baik gam papa belikan memang kukuh. Alhamdulillah tiba di asrama semuanya masih kekal seperti asal. 

~~ Kerja sekolah dari satu anak ke satu anak aku dapat merasakan ianya semakin mencabar.~~


Monday, September 19, 2016

Mencari jalan keluar

Cuti satu perkataan yang amat dinantikan buat aku. Tetapi sayangnya bila bercuti saja blog pun bercutilah sama. Apa yang kurang menarik bila lama tidak dijenguk banyak titisan yang terperangkap di dalam draft tidak tersiar. Memandangkan kerja agak banyak aku titipkan di sini bagaimana makhluk Allah yang comel ini melasak di rumah aku.

Jojo - Buah hati anak-anak aku seekor ini. Tapi selalu membuat aku terjerit-jerit. Lihatlah gelagatnya bila mendengar ada kucing bergaduh di luar rumah dia yang sibuk mahu keluar.

Carca-marba - Habis langsir rumah di jadilah jambatan untuk dia naik ke atas. Boleh pula anak dara aku ambil gambar ini. Manalah mama tidak bising. Langsir sudah tidak ada rupa langsir, senget-benget jadinya. Habis tidak tentu arah.  Bila tidak pandai turun mulalah menjerit mita tolong.

Lepas mandi - Jojo sangat manja dengan anak-anak mama. Dengan budak-budak mengaji di rumah pun sama. Siap dipakaikan tudung kepala pun dia akur untuk dipotretkan. "Jojo kucing solehah" itu kata mereka. Aku memang malas melayan ini semua.
Biarpun sekadar binatang tetapi apabila sudah disayangi dia pun tahu. Jojo tahu aku takut padanya dan dia faham tidak akan ganggu. Bila tidak ada sesiapa di rumah, akulah juga yang memberinya makan dan dia pun tahu akan tunggu aku siap-siap dalam mangkuk baru dia makan. Tidak seperti papa atau anak-anak yang bagi makan dia akan meleset-lesetkan badannya pada kaki. Aku geli sebenarnya. Sudah cuba beberapa kali aku cuba menyentuh waktu dia tidur tapi  akan ada rasa geli terus meremang rasa satu badan.

~~ Maaf andai blog anda belum sempat dijejaki.~~


Tuesday, August 30, 2016

Bingung kerana segumpal duit

Cepat saja kaki melangkah keluar sebaik hubby parking kereta. Tiba-tiba mata tua ini boleh pula terus ternampak dengan jelas segumpal wang kertas di kakilima mall yang mahu kami singgahi. Entah mengapa cepat saja tangan mengutipnya tetapi selepas itu menjadi bingung. Kepada siapa mahu dipulangkan. Tunggulah seketika mana tahu ada yang empunya datang berpatah balik, tiada pula yang menyusur patah balik mencari. "Kenapa mama ambil tadi?" itu yang adik tanyakan. "Entahlah dik." Aku jadi tidak tahu. Buka pintu kereta balik masukkan dalam kereta duit itu kerana tidak mahu bercampur dengan duit milik sendiri. Teruskan juga misi berbelanja barang keperluan adik.

Duit itu terus berada di dalam kereta ketika kami balik JB. Kesal. Tetapi sudah ada di tangan. Bincang-bincang dengan keluarga sendiri lalu keputusan di ambil masukkan sajalah ke dalam tabung masjid dengan diniatkan sedekah dan pahalanya moga diberikan kepada mereka yang tercicir seandainya ia milik umat Islam. Jika ia milik asal bukan Islam semoga menjadi kebaikan buatnya sebagai charity. Tahu tindakan ini tidak wajar tetapi aku sudah tidak tahu mahu buat bagaimana. Mana mungkin mahu diiklankan di akhbar walaupun mungkin itu yang sepatutnya. Jumlahnya pun tidaklah banyak sangat sekadar RM17/- saja.

Teringat kisah dulu sewaktu aku di tingkatan enam balik dari sekolah. Aku mengutip duit yang terbang dari kocek seorang penunggang motorsikal yang belakang motornya ada bakul durian. Jumlah yang aku kutip sehingga lebih seratus ringgit. Tetapi naifnya aku waktu itu tanpa rasa bersalah terus mengutip apa lagi orang itu tidak sedar atau berpatah balik meminta (aku berjalan sambil menunggu juga mana tahu apek itu sedar) tetapi bila orang itu terus pergi berlalu, aku gunakan duit itu untuk membeli buku rujukan. Keluarga aku miskin apa lagi peluang digunakan bagai durian runtuh. Bila terkenang kembali sedih dan kesal pula. Kalau terjadi pada anak-anak aku rasanya tidak bertindak seperti aku dulu. Moga Allah terima taubat aku.

~~ Harap janganlah dipertemukan lagi hal-hal begini. ~~

Tuesday, August 9, 2016

KWSP - Simpanan Syariah

Aku baru balik dari pejabat KWSP. Boleh tahan ramai yang mahu mendaftar sebagai penabung mengikut prinsip syariah yang baru dilancarkan pendaftarannya semalam. Aku pergi dengan hubby hari ini memandangkan hari ini Singapore cuti sempena national-day negara mereka. Pejabat aku bekerja berkait-rapat dengan Singapore. Bila mereka bercuti pejabat aku pun agak sunyi. Telefon pun jarang berdering.

Brochure - Ini yang diberikan sebaik kami suami-isteri tiba di tingkat 17 Bangunan KWSP JB pagi tadi. 
Isi kandungan - Boleh perhatikan dan baca sebahagian penerangan di sini
Pencarum - Kami tiba jam 7:30 pagi sudah ada yang menanti. Tapi kira bernasib baik kerana jam 8:10 pagi semua staff sudah sedia dengan komputer masing-masing. 

Beratur - Mereka yang datang ketika kerusi sudah penuh beratur menanti giliran masing-masing. Belum pun pukul 8:30 rasa aku sudah beratus yang menanti.

Kaunter - Hubby sedang berurusan. Sungguh aku puji kakitangan KWSP dari dulu hingga kini setiap kali aku berurusan amat jelas budi-pekertinya yang berhemah dan cekap dan cepat. Tidak sampai 5 minit setiap seorang siap semua urusan. Walaupun kaunter ada 9 tetapi dalam masa 5 minit rasa aku boleh berurusan lebih kurang 18 orang.  Syabas buat mereka!
Patuh Syariah - Kepada yang masih belum lagi jangan tunggu lama-lama.
Biarpun ada suara-suara sumbang melalui whatsapp berkaitan simpanan syariah ini tetapi kami tetap menukar sistem simpanan kami secara patuh syariah ini. Sekurang-kurangnya kami sudah mencari jalan penyucian yang sepatutnya dilakukan ke atas simpanan tersebut. "Tabung" aku ini menunggu umur 55 tahun bolehlah dikeluarkan dengan hati yang lega.

~~ Sebagai pemimpin ada tanggungjawab perlu dilaksanakan kerana rakyat tidak ada kemampuan untuk merubah sistem/corak yang lebih Islamik.~~

Tuesday, July 19, 2016

Tidak sesuai ke seberang tambak

Setiap hari bertan-tan makanan laut dan sayuran dideclare untuk masuk ke Singapore. Jika mahu ekspot hidup kenalah ianya masih hidup ketika membuat declaration di kastam. Udang dan ikan yang sudah mati pun tidak boleh di ekspot bila borang yang dideclare udang dan ikan hidup. Siapa yang untung bila penjual memberikan sebahagian udang dan ikan yang sudah hampir mati. Kami di tambak sinilah yang beruntung diberinya percuma saja. Kalau kita ke pasar pun biasa udang yang kita beli memang sudah mati, ini masih boleh bergerak tetapi sudah tidak sihat tetap tidak boleh masuk ke sana.
Melingkar - Dua ekor lobster ini memenuhi kuali besar rumah kami
Siap! - Buka penutup dan hidang ketika masih panas baru dapat menikmati keenakkannya.
Penjual lebih rela memberikan percuma kepada kita daripada kena saman pihak kastam kerana melanggar syarat yang dikenakan. Biasa kalau makan di Senibong atau Singgah Selalu dua ekor begini tidak kurang dari RM1xx. Sedangkan waktu itu ada beberapa ekor yang sudah diagihkan kepada kami tanpa mengenakan sebarang bayaran. 

~~ Rezeki orang menerima habuan di dunia. Rezeki yang memberi habuannya di akhirat.~~


Wednesday, June 15, 2016

Bila hati, mata dan lidah tidak selaras

Pada mulanya aku sangkakan ianya adalah bahagian hujung asparagus sebaik Kak Meen bertanya apa yang ada di pinggannya. Sebaik dimakan dia berkerut dan menunjukkan ada rasa tidak sedap berada di dalam mulutnya. Pijar, panas dan pedas itu yang dirasakan. Mama ambillah sebiji untuk merasa. Subhanallah! betul apa yang Kak Meen katakan. Lada hitamlah sayang! Kesian Kak Meen nak ketawakan pun tidak sampai hati.

Lada hitam muda - Inilah dia yang dimakan Kak Meen. 

Black Canyon Coffee - Sewaktu makan di sinilah Kak Meen terkena. 
Biar pedas yang dirasakan kerana tergigit lada hitam atau cili. daripada pedas yang diperolehi dek mendengar kata-kata yang menerobosi corong telinga. Oleh itu sebelum orang lain rasa kepedasan kata-kita kata, sebaiknya berhati-hati dalam menggerakkan lidah apatah lagi dibulan ramadhan yang penuh barokah ini.

~~ Hati, mata, telinga dan lidah adalah deria yang paling susah untuk dikawal.~~