Showing posts with label Kematian. Show all posts
Showing posts with label Kematian. Show all posts

Wednesday, March 1, 2017

Dua hari sebelum menginjak 63 tahun

Jika dia masih ada hari ini merupakan ulangtahun kelahirannya yang ke 63. Tetapi Allah telah memerintahkan Izraeil menjemputnya hari Isnin yang baru lalu sebelum hari ulangtahunnya. Sama seperti allahyarham abahnya juga dua hari sebelum usia menginjak 63 tahun dia dijemput ke alam barzakh.


Bermakna dua hari jugalah bersemadi sudah abang kesayangan hubby buat sementara waktu di alam barzakh menanti hari kebangkitan kelak. Semoga amal ibadahnya diterima Allah dan diampunkan segala dosanya. Khususon ila ruhilmarhum Haji Azraei Bin Hj Abas Al-fatihah.

~~ Kullunafsin zaa iqotulmauut. Sesungguhnya setiap yang hidup pasti akan merasai mati.~~

Wednesday, September 28, 2016

Bersama-sama kita mendoakannya

Sebak, sedih, sayu hati macam-macam terasa di hati kita umat Islam di Malaysia. Sungguh benarlah apa yang diriwayatkan, semakin akhir zaman semakin ramai para ulama' akan meninggalkan kita.


Whatsapp 1 - Dari group hal ehwal wanita masjid jamek tempat tinggal aku

Whatsapp sambungan - 2

Whatsapp sambungan - 3

~~ Mohon sama-sama mendoakan yang terbaik buat al-marhum ustaz Fadzli Al-Yamani yang amat aku sanjungi ini dipermudahkan semua urusannya hingga selesai urusannya bertemu Allah.~~


Tuesday, September 27, 2016

Airmata syahdu sebelum subuh

Bunyi dari telefon bimbit di hujung kepala mengejutkan tidurku. Jam sudah menghampiri pukul 5:00 pagi adalah waktu biasa mata aku sudah mula terbuka. Sekadar menanti bunyi mengejut saja tetapi apabila bunyi kali ini adalah kerana panggilan telefon, membuat aku cergas dan berdebar. Kedengaran di hujung talian adik aku meminta bantuan segera. Siapa sangka mak mertuanya yang sepatutnya pulang dari tanah suci tiba di Lapangan Terbang pada jam 10:10 pagi tetapi belum pun jam 5:00 pagi sudah membuat panggilan mengatakan dia sudah berada di airport. Cepat saja aku katakan "ok". Kak Meera anak adik yang duduk dengan aku adalah cucu kepada nenek itu. Segera aku kejutkannya. Minta Kak Reen temankan sebab waktu subuh pun belum masuk lagi. Pergilah mereka berdua menjemput nenek tersebut. Sementara itu aku sediakan apa yang sepatutnya di dapur.

Rumah aku dengan airport agak dekat. Keadaan jalan sangat lancar sebab waktu itu hanya beberapa motor yang ada di jalanan, mungkin untuk ke masjid atau surau. Tidak sampai setengah jam nenek itu tiba di rumah aku. Menangis teresak-esak buat aku tidak dapat menahan airmata ini untuk luruh sama. Aku peluk erat tubuhnya yang bergoncang dek esakannya. Aku pula dalam pada memujuk luluh juga hati seorang perempuan yang lama ketandusan kasih seorang ibu. Sama-sama menangis. Setelah agak reda baru aku tahu flight dipercepatkan. Apa yang buat aku terkilan mengapalah anak-cucu semua tidak ke website melihat tarikh dan masa terkini. Aku memujuk nenek itu yang anak-cucunya semua tidak sengaja. Aku juga memberitahu adik aku, ipar dan semua anak-cucunya meminta maaf kepada nenek mereka. Sementara menanti anak-cucunya tiba aku bagi dia sarapan. Selesai solat subuh minta dia berehat dan sambung tidur di bilik. On kipas sebab dia tidak tahan aircond. Sebaik dia tidur baru aku keluar untuk pergi kerja. Kak Meera cuti sebab tahu neneknya akan balik. Dialah yang dirumah menanti mak-ayahnya tiba.

Tidak terbayang kalau ada mak atau ayah yang terbuang. Sedangkan seorang mak yang penuh dengan kasih dan sayang bila terlewat begini sudah terkesan bagaikan tidak dihiarukan, apa lagi mereka yang terabai. Pengajaran dari kisah ini sebaiknya anak-cucu yang punya keluarga yang akan balik dari tanah suci rajin-rajinlah melihat website waktu dan tarikh ketibaan keluarga yang akan dijemput. 

Beg - Nasib baik nenek ini juga bijak kerana banyak barangannya yg dibeli sudah diposkan dulu. Balik hanya membawa beg ini saja. Itupun menurut adik aku ada satu bungkusan tersalah alamat ke rumah jiran. Tetapi jiran yang menerima tahu nama penerima dan yang menghantar dari Mekah itu nama nenek itu lalu setelah diterima dihantar ke rumah adik.
Jajan - Naluri seorang insan bernama nenek. Jauh di mana pun ingatan kepada anak-cucu tetap di hatinya. Ole-ole buat cucu-cucunya di Malaysia. Biskut pun dibelinya. Membuat kami sangat terharu.
Adalah terbaik untuk menunaikan ibadah haji ketika usia muda, punya kudrat yang baik dan sihat tubuh-badan. Pergi bersama mahram. Buat pendaftaran pada tarikh yang sama Insya-Allah dapat perginya juga pada musim yang sama. Aku mendaftar untuk pergi menunaikan haji lagi sebaik balik dari menunaikan haji pada awal Januari, 2009 tapi dijangkakan hanya boleh pergi lagi pada tahun 2024. Bayangkan waktu itu aku sudah pencen! Kepada yang belum mendaftar sebaiknya buat dari sekarang. Bukan semua bernasib baik, sekejap mendaftar terus dapat. Jika tidak tertahan rindu buatlah umrah dulu selagi giliran menunaikan haji belum tiba lagi. Sungguh sekali kita menjejakkan kaki di sana rasa rindu pasti ada.

~~ Luruh airmata pagi ini mendengar berita di radio IKIM yang ustaz Fadzli Al-Yamani meninggal dunia di Guangzhou tengah malam tadi. Perginya ke sana untuk berdakwah akan dikebumikan di sana juga. Aku pasti akan merindui tazkirahnya yang sering berkumandang setiap pagi Khamis dalam rancangan Tahsinul-ibadah. Al-fatihah.~~


Tuesday, August 23, 2016

Akhirnya dia pergi jua - 2

Dua hari sebelum dijemput ke alam barzakh bapak di bawa ke rumah kakak ku yang anak-anak panggil Mama Leha. Sebelum ini juga selain rumah aku, rumah Mama Leha merupakan tempat yang bapak agak selesa sebab sudah berpuluh tahun Mama Leha tidak bekerja sejak business MLM dia menjadi tumpuan utama. Mak Zah dan Abah Din biasanya akan mengikut saja di mana bapak berada di situlah dia akan berada.

Pagi 16-08-2016 bapak masih seperti biasa sehinggalah hampir menjelang asar. Sebelum solat asar itulah Mama Leha dan Mak Zah tersedar yang bapak terkencing dan ada sedikit najis. Maka bapak dibawa ke bilik air dan dimandikan seperti biasa sebab ini tidak pernah terjadi. Sewaktu memandikan bapak Mama Leha sedar lubang najis bapak sudah agak besar oleh itu selepas dibersihkan bapak dipakaikan pampers yang sebelum ini tidak pernah lagi pun sebab bapak masih boleh memanggil bila mana dia mahu membuang air. Selepas solat asar ketika berbaring itulah bapak bercakap dengan jelas dia dahaga. Mak Zah memberi air minum dan ada sedikit kelegaan sebab biasa bapak bila minum agak susah mahu menelan tetapi waktu itu bagaikan mudah untuk bapak menelannya. 

Tetapi kelegaan yang disangkakan adalah petanda Izrael sudah sedia akur perintah Allah. Bapak pula memang selalu beristighfar dan menyebut Allah-Allah-Allah oleh itu pada kami anak-anak langsung tidak terfikir yang bapak sebenarnya sudah nazak. Sakratulmaut sudah hampir menjemputnya. Bila melihat bapak agak sesak bernafas barulah Mak Zah terus bisik pada bapak untuk istighfar, syahadah dan menyebut Allah. Awalnya masih jelas didengar telinga tetapi akhirnya hanya kelihatan lidah bapak yang bergerak sehingga akhirnya bapak sudah tidak bernafas lagi. 

Memandangkan waktu itu sudah hampir benar dengan waktu solat maghrib terpaksalah membuat urusan report ke Balai Polis dan pengesahan doktor selepas maghrib. Kemudian barulah jenazah dibawa pulang ke Pontian. Kami bersyukur juga bapak pergi pada hari orang bekerja/sekolah jadi jalan sangat lengang dan mudah walaupun jauh. Traffic light juga sepanjang beratus-ratus kilometer semuanya bagaikan hormat ada van jenazah lalu kerana dari berpuluh-puluh ditemui hanya satu saja ditemukan lampu merah. Satu yang sangat-sangat membantu dipercepatkan perjalanan. Tidak sampai tengahmalam jenazah bapak sudah tiba di rumah kampung kami.

Beruntungnya bapak punya ramai anak, menantu dan cucu. Semua boleh mengambil urusan terbaik. Memandangkan rumah bapak kosong aku merupakan anak terdekat (JB) balik dulu sebaik mendapat berita. Abah Din mengurus van jenazah. Abang ipar mengurus report ke balai dan hospital untuk mendapat pengesahan doktor. Papa pula berurusan dengan asrama MRSM adik untuk menjemputnya dengan Kak Reen memandangkan sudah malam. Aku, Kak Meen dan Kak Meera balik dulu mengemas rumah bapak apa yang patut. Tiba rumah semua lampu-lampu aku on. Bagaikan Hari Raya terang-benderang. Sambil mengemas sambil membaca yasiin sebab kami hafal. Sofa-sofa semua kami usung masuk ruang rumah tengah dan dapur. Aku sediakan sekali tilam saiz kecil dan alaskan dengan kain ihram bapak. Bantal juga aku sarungkan dengan warna putih. Semua ruang rumah kami bersihkan. Apabila semua adik-beradik-anak-cucu-cicit berkumpul itulah kami sepakat agihkan setiap seorang membaca satu/dua juzuk Al-Quran seorang untuk disedekahkan pahalanya buat bapak. Khususan untuk bapak/atok kami selepas selesai kami semua bertahlil anak-beranak. Syukur sebelum menjelang subuh 30 juzuk selesai kami hadiahkan buat bapak/atok kami di selang-selikan dengan bacaan Yasiin. Moga Allah terima amalan kami khas buat bapak.

Selepas subuh satu-persatu keluarga kami sepupu-saudara-mara-rakan-taulan-sahabat-handai-jiran-tetangga datang berziarah. Sebaik mereka mengambil alih membaca ayat-ayat suci barulah kami pergi mandi (kerana kami tidak tidur pada malam itu) dan bersedia menanti untuk jenazah bapak dimandikan. Alhamdulillah jenazah bapak siap disemadikan lebih kurang jam 10:30 pagi pada 17-08-2016.

Sesungguhnya kami redha walau airmata tetap luruh tapi sebelum ini kami sudah puas mengalirkan airmata setiap kali melihat bapak bersolat, mandi, berzikir, makan-minum, bergerak ke sana-sini dengan bantuan kami. Setiap kali melihat kami solat berjemaah dia tidak mampu mengikut sebab solatnya memerlukan bantuan kami mengampu belakang juga moment yang sangat menyayat hati. Solat berbaring bapak tidak selesa walau hakikatnya dibolehlah dalam rukhsah solat. 

Malam - Selepas tahlil bila semua tetamu semua sudah balik barulah anak-cucu-sepupu-sepapat yang lelaki makan di ruang tamu.
Ahad - Hampir menjelang maghrib tiba di rumah sendiri baru aku teringat untuk membelek telefon. Beribu whatsapps, berbelas emails dan 2 messages tidak aku lihat. Mohon kemaafan kepada sahabat-handai-saudara-mara semua termasuk teman blogger yang tidak sempat aku singgahi sehingga kini.

~~ Bersemadilah bapak sementara di sana kerana kami semua juga pasti akan menyusul dan semoga kita disatukan semula olehNya di syurgaNya kelak. Ameen.~~


Monday, August 22, 2016

Akhirnya dia pergi jua - 1

Kullunafsin zaa iqotul maut. Sungguh benar ayat Allah ini. Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati. Benarlah mati itu benar. Alam kubur itu benar. Syurga dan neraka Allah itu benar.

Innalillahi wainna ilaihi rojiuun. Dari Dia kita datang kepadaNya juga kita kembali. Akhirnya kami anak-cucu-cicit Haji Purvit semua redha Allah perintahkan Izrael untuk mencabut usianya dan meletakkan beliau tinggal di alam barzakh sementara menanti hari perhitungan tiba. Telah ditinggal semua pangkat sebagai bapak, atok, imam, haji dan sebagainya. 
Sijil kematian - Bapak meninggal di Kota Tinggi sebelum menjelang maghrib 16-08-2016 di rumah kakak ku dan dibawa balik ke Pontian  selepas maghrib untuk disemadikan pada pagi 17-08-2016.

~~Semoga Allah meletakkan bapak kami bersama para syuhada'. Ameen.~~

Friday, June 10, 2016

Kematian di bulan ramadhan

Ketika masing-masing sedang menikmati juadah berbuka puasa telinga masing-masing sudah mendengar rengekan sayu dari Setokin. Kak Meen dan adik memberi nama pada anak kucing itu Setokin sebab seluruh badannya hitam tetapi kakinya berwarna putih bagaikan memakai setokin. Sudah beberapa bulan ia tinggal bersama kami sejak dilahirkan. Lebih memudahkan ke empat-empat anak-anak kucing ini pandai membuang air di tandas. Dia akan buang betul-betul di floor-trap tandas. Jadi bila dia keluar dari tandas tahulah apa yang perlu kita buat (biasa yang buat Kak Meen & papa).

Sebelum itu seekor sudah lama menghilang tanpa dapat dikesan. Kemudian sehari kami balik dari Terengganu baru-baru ini, si Gebu yang kena sakit seperti itu dan akhirnya mati dengan ditangisi anak-anak dara mama. Kini giliran Setokin pula. Cara kematiannya sama. Kami mengesyaki anak-anak kucing ini di racun atau dia termakan racun bila melihat cara matinya menurut hubby keluar darah dan buih dari mulutnya. Mendengar Kak Meen menangis bagaikan anak kecil hati aku meruntun sama. Kak Mira (anak buah aku), Kak Reen dan adik juga aku lihat terhenti dari menyuap makanan ke mulut masing-masing sebaik mendengar Kak Meen menangis. Nikmat berbuka puasa benar-benar menjadi hambar. Kak Meen mengadap Setokin menghembuskan nafas terakhir sebab dia sedang ABC (Allah bagi cuti) oleh itu dialah yang konon mahu memberi ubat (papa belikan di pharmacy) kepada Setokin menggunakan syringe. Tetapi Allah sudah mahu mengakhiri kasihnya dengan kami setakat itu. Kullunafsin-zaa-iqotul-maut (setiap yang bernyawa pasti akan menemui mati). Dari empat ekor yang disayangi anak-anakku kini hanya seekor saja yang tinggal.

Tinggal kenangan - Dari empat yang di atas sekarang tinggal Jojo saja (belang putih-hitam). Kasihan sehari-dua ini main sendirian. Si Gebu yang mati dulu yang sebelah kanan atas. Tengah itulah Setokin dan atas kiri sudah lama menghilang atau mungkin juga mati ada angkara lain tidak kami ketahui. Puas Kak Meen mencari hingga ke longkang-longkang tidak ditemui.
Aku tidak suka kucing tetapi tidak pernah terlintas untuk membunuh apalagi bertindak dengan cara kejam. Aku juga geli dengan kucing tapi aku masih mampu memberi mereka makan walau sambil memberi makan penyapu ada di sebelah tangan sebab bimbang dia datang sebelum aku pergi menjauhkan diri.

~~ Kucing mati tidak ada dakwa-dakwi tapi andai betullah kucing yang anak-anak aku sayangi itu mati dibunuh pasti ia akan menjadi saksi di padang mahsyar kelak.~~


Friday, February 19, 2016

Sesal kemudian tidak berguna

Pasangan yang brutal. Ganas. Garang.  Bila semua itu ada di dalam diri masing-masing, penyesalan pasti menjadi berganda-ganda apabila salah satunya pergi meninggalkannya untuk selama-lamanya. Setiap kali terjadi pertelingkahan bukan saja jiran turut takut sehingga menutup pintu, tetapi polis pun sudah letih mahu melayannya. Siapa menduga apabila tiba-tiba Allah perintahkah Izrael mencabut nyawa salah satunya. Innalillah. Kami jiran-jiran semua terpempan. Masih terlalu muda bagi pasangan ini yang mempunyai seorang anak lelaki berusia 2 tahun dan pagi itu sah anak tersebut menjadi yatim. Isteri terkedu. Hilang semua brutal, ganas dan garang yang selama ini bersarang. Airmata yang luruh membuat kami jiran-jiran turut sama bersedih. 

Kunfayakun Allah tidak siapa mampu membendung. Bayangkan baru beberapa jam bertelingkah hingga cebisan-cebisan tilam yang dicincang masih belum berkemas salah satunya sudah pergi buat selama-lamanya. Tidak perlu lagi lari meninggalkan rumah seperti selalu dengan berkaki ayam tanda protes dari apa yang terjadi. Kini ternyata Allah mahu melihat betapa tidak berkuasanya kita sebagai hamba. Mati tidak perlu dibunuh atau diterajang. Mati itu milik Allah. Sihat-segar-bugar kalau Izrael sudah mendapat perintah maka tercabutlah nyawa.

Lebih sadis apabila berlaku perebutan jenazah pula. Biar sewaktu hidup sering bertelingkah tetapi apabila pasangan sudah terbujur kaku tetap mahu pasangan dikebumikan di tempat berhampiran dengan rumahnya. Namun keluarga si mati berkeras mahu membawanya pulang ke tanah tumpah darahnya memandangkan si isteri juga bukan warga Malaysia. Aku sebagai jiran sebaik mendapat berita kematian terus tutup komputer balik untuk tujuan ziarah. Namun sebaik tiba di rumahnya, kosong tidak ada satu pun manusia. Setelah diberitahu salah satu kakak jiran tahulah jenazah terus dibawa ke lapanganterbang dan dibawa balik ke tanah tumpah darahnya atas arahan keluarga. Si isteri yang tidak mampu apa-apa akur turut terbang ke sana.

Pengajaran sebagai pasangan suami-isteri, bertolak-ansurlah dalam apa pun juga hal. Tidak ada gunanya penyesalan bila begini jadinya. Sebagai manusia biasa tidak dapat lari dari tergigit lidah tetapi ingatlah besar mana pun silap cuba cari kelebihan yang ada bukan mencari kekurangan. Kullunafsin zaa iqotulmaut. Setiap yang hidup pasti merasai mati. Jadi jangan beranggapan kita dan pasangan kita yang sihat ini pasti akan hidup lama. Mati tidak semestinya dek kerana tua atau sakit.

~~ Hidup di dunia ini sementara saja. ~~



Monday, December 7, 2015

Suka duka dalam kehidupan

Penghargaan dari pemberian yang tidak diduga tetapi indahnya panjang terasa. Mendapat daripada seorang teman blogger yang katanya sering belajar mencari erti kesabaran. Titipan comel penuh pengertian diberikan kepadaku. Kalimah tertera sudah cukup untuk mengingatkan diri supaya sentiasa mengingatkan diri kepada sang pencipta dan pesuruhNya.

Allah & Muhammad - Frame comel pemberian dari teman bloggar Yan
Titipan coretan -  Menerimanya semalam. Ada eloknya bila posmen bekerja pada hari Ahad, kiriman terus ke tangan sendiri. Terima kasih Yan.

Pagi ini pula boss senyum-senyum memberi satu beg kertas sebaik masuk. Seminggu makan angin keluar negara. Sekarang beliau sudah maklum apa yang boleh dibelikan buat aku sebagai ole-ole apabila balik dari luar negara. Terima saja sebagai menghargai dari pemberian yang dibelikan. 

Cute - Anak dara di rumah yang suka benda macam ini.

Kacang tanah hitam. Kalau tidak selalu mesti coklat-coklat-coklat. Sekarang sudah tahu ada setengah coklat yang tidak halal. 
Dalam senyum tetap ada sedikit rasa sendu buat kami warga Johor apabila semalam sudah bersemadinya Almarhum Tunku Abdul Jalil anakanda baginda Sultan kami ke rahmatullah. Rata-rata warga Johor menitiskan airmata dengan pemergian baginda. Seorang putera yang sangat humble dan berjiwa rakyat biasa. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh baginda. 

Posing depan cermin di pejabat - Hari ini aku juga berkabung di atas kemangkatan Tunku Laksmana Johor Tunku Abd. Jalil ke rahmatullah. Tudung putih aku lama tidak dipakai entah kemana malam tadi mencari tidak berjumpa. Guna serban hubby. Janji putih.
Al-fatihah - Khususon ila ruhi Almarhum Tunku Abdul Jalil ibni sultan Ibrahim Al-fatihah..
~~ Lumrah kehidupan pasti ada suka dan duka. ~~


Monday, August 3, 2015

Duka di Aidilfitri - 2

Innalillahi Wainnailaihi rojiuun. Kullunafsinzaa Iqotulmaut. Begitulah sebagai manusia kerdil kita kena akur ketentuan yang telah tertulis sedari loh-mahfuz lagi. Dari Dia kita datang kepadaNya juga kita akan kembali. Setiap yang bernyawa pasti akan menemui mati. Dua hari balik dari kampung ke rumahku syurgaku whatsapp group kami digemparkan dengan pemergian teman setaman. Menggigil aku menerima berita itu walau mulut tidak putus beristighfar. Sejak ramadhan lagi aku tidak bersua muka mahupun berwhatsapp sebab masing-masing dengan rutin ramadhan. Namun tetiba belum sempat berjabat tangan di Syawal yang mulia ini (sebab masing-masing balik kampung) dia telah dijemput izrael untuk bertemu rabul-jalil. Hubungan aku dengannya sangat baik apa lagi kedudukan rumah kami berhampiran.
 
Melihat 5 anak yang ditinggal menambah deras airmata mengalir. Tapi sungguh aku kagum dengan suami dan anak-anak lelaki beliau yang semuanya tidak pun mengalirkan airmata. Kuat betul iman mereka. Hanya yang bongsu kelihatan teresak-esak dalam pelukan si ayah dan merupakan satu-satunya anak perempuan dari 5 adik-beradik.
 
Melihat jenazah yang bagaikan tersenyum biarpun hati kami pilu tapi kami dapat rasakan Allahyarhamah NurAisyah Bt. Hassan teman kami itu tenang di sana. Meninggalkan kesemua anak-anak yang hafiz dan hafazah Al-Quran sedikit sebanyak membuat sejuk hati kami sahabat yang ditinggalkan. Siapa sangka dia yang menghidap diabetic tetapi meninggalnya kerana darah tinggi yang menyerang tiba-tiba. Saluran darah sudah pecah di dalam otak. Perginya terlalu cepat. Hampir jam 9:00 malam masuk hospital belum pun jam 11:00 malam dia sudah dijemput Izrael. Suami pula bagaikan digamit rasa mahu pulang walaupun beliau sebenarnya ada urusan tabligh/penyampai dakwah yang sepatutnya tiga hari tetapi boleh baru sehari sudah balik ke rumah. Allah bagi peluang untuk mereka bermesra sebelum pergi untuk selama-lamanya. Hikmah Allah juga mahu dia pulang untuk melihat isterinya pergi di hadapan mata sendiri.
 
~~ Khususon ila ruhi almarhumah NurAisyah Binti Hassan, Al-fatihah.~~
 
 

Thursday, September 4, 2014

Saudara sesusuan bapak

Apabila disebut ibu susuan pasti minda kita akan teringat nama Halimatussa'diah ibu susuan baginda rasulullah sallallahu alaihi wasallam.  Begitu juga zaman dahulu menurut bapak ramai ibu-ibu yang membantu teman mereka untuk menyusukan bayi-bayi kepada ibu yang bermasalah. Atas sebab itulah bapak ada ibu susuan. Masalah bapak bukanlah kerana embah (panggilan bahasa keluarga kami untuk nenek atau datuk) ada masalah kesihatan tetapi masalah rumahtangga. Bila bapak bercerita dulu kami semua gelak besar sebab orang dulu pun cemburu juga. Embah lelaki (datuk kami) mempunyai dua isteri. Isteri pertama (embah-1) tidak mempunyai zuriat. Menikah dengan isteri kedua (embah-2) barulah dapat tiga anak. Tetapi embah-2 aku ini cemburu orangnya berbanding embah-1 yang lembut dan penyayang. Kami juga dulu lebih sayang embah-1 berbanding embah-2 yang merupakan ibu bapak. 

Oleh kerena cemburu itulah sewaktu bapak masih bayi, embah-2 ini selalu lari meninggalkan embah lelaki dengan bapak aku sekali ditinggalkannya - merajuk cemburulah agaknya. Dulu manalah ada telefon. Oleh kerana tidak tahu ke mana mahu dicari bapak telah dititipkan oleh embah-1 kepada wanita lain yang ketika itu juga mempunyai bayi. Bila hilang merajuk bapak menyusu dengan ibunya tapi bila dia merajuk bapak ditinggalkan dibawah penjagaan embah-1. Menurut cerita bapak selalu juga bapak menyusu dengan wanita itu. Bahkan kalau ibunya merajuk embah-1 akan dukung bapak untuk menyusu di rumah wanita itu. Jadilah bapak anak susuan wanita tersebut. Boleh dikatakan kerap bapak kena tinggal ibunya. Sebab itulah bapak memanggil embah-1 'emak' sedangkan ibunya sendiri dipanggil 'bibik'.

Tiga hari lepas saudara sesusuan bapak meninggal dunia. Kami sedih kerana kami sudah menganggap beliau seperti bapa saudara kami. Moga rohnya dicucuri rahmat. Kami tahu bapak bersedih dengan pemergian adik susuannya itu.
Menuju untuk dikebumikan - Apabila Izrael datang memanggil akan ditinggal semua yang ada di dunia. Hanya tiga saja yang akan membantu. Ilmu yg ditinggalkan dan dijadikan amalan, doa anak solleh/solehah dan amal jariah semasa hidup.

~~Khususon ila ruhi al-marhum Tauhid binti Minah Al-fatihah...~~


Friday, August 22, 2014

MH17 - Berkabung atau al-hadaad

Kebanyakan kita berkabung atas rasa sedih disebabkan kematian. Menurut Islam berkabung atau al-hadaad yang dibenarkan disebabkan kematian suami atau isteri. Buat isteri sebaik-baiknya adalah 4 bulan 10 hari. Sabda baginda "Tidak halal bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhirat untuk berkabung atas kematian melebihi tiga hari kecuali kerana kematian suaminya iaitu 4 bulan 10 hari." (Hadith riwayat Bukhari & Muslim). Selain dari suami dibolehkan tidak melebihi tiga hari. Inilah yang dikatakan al-hadaad dalam Islam. Walau bagaimanapun berkabung yang banyak diamalkan di negara kita tidaklah menjadi masalah rasanya selagi ianya tidak menjurus kepada melanggar etika beribadah. Tambahan pula tidak ada fatwa ulama' negara kita yang membantahnya. Sekadar bersama merasa sedih dan simpati atas apa yang terjadi.

Hari ini kerajaan memohon semua rakyat untuk berkabung di atas kepulangan mangsa pesawat MH17. Betapa sedih dan remuk hati keluarga namun ketentuan Allah tidak siapa mampu menidakkannya. Kullunafsin zaa iqotulmaut - sesungguhnya setiap yang hidup pasti akan merasai mati. Ketentuan Allah begitu cara mereka pergi menemui Allah, buat kita tidak tahu lagi. Bersyukur juga akhirnya jenazah dapat dibawa pulang hari ini. Berbanding nasib mereka di MH370 sehingga kini bagai di angin lalu. Kita yang tidak terlibat sekadar mendengar dan melihat melalui media pun meruntun sayu apatah lagi mereka yang terlibat secara langsung.

Bersama kita sedekahkan Al-fatehah dan suroh Al-Ikhlas buat mereka yang terkorban sebagai umat Islam dan kepada yang bukan Islam kita titip simpati yang tinggi. Mungkin ini lebih baik. Allah maha mengetahui akan apa yang tidak kita ketahui.

~~ Wamakaru wamakarallah, Wallahu khairulmakirin. Manusia merancang, Allah juga merancang tapi sesungguhlah Allah adalah sebaik-baik perancang.~~

*al-hadaad - lebih menjurus kepada wanita supaya tidak berhias cantik-cantik dan bergembira / bersuka-ria

Saturday, July 5, 2014

Nilai toll di dunia dan akhirat

Buat teman-teman yang mungkin musykil berkaitan toll di tempat aku. Sebenarnya sudah agak lama pihak PLUS melaksanakan pembayaran toll tidak lagi dengan sistem tunai di sini. Apa yang aku pasti dua tempat terhampir dengan tempat tinggal  kami ialah di toll Perling untuk ke Gelang Patah menghala ke Tuas. Manakala satu lagi adalah toll Kempas yang menghala ke Pasir Gudang dan boleh juga menghala ke JB untuk terus ke Woodland.

Sebelum tahun ini mungkin pekerja penerima toll boleh meraih banyak keuntungan kerana adanya duit dollar Singapore (SGD) kerana ramai pengguna di sini juga kalangan dari rakyat Singapura. Oleh sebab itu ada kalanya pembayaran dibuat menggunakan duit SGD. Pekerja yang menerima SGD berpeluang untuk meraih keuntungan berganda sebenarnya. Sebelum balik bekerja boleh saja ditukarkan duit SGD dengan duit ringgit Malaysia (RM). Cuba teman-teman bayangkan seandainya dalam sehari terdapat 300 pembayar toll dari rakyat Singapore? Nilai tukaran matawang lebih dua kali ganda. Hari ini saja ex-change rate mencecah 2.5523. Bayangkan kalau seorang membayar SGD 2.10/- x 300 (pengguna) = SGD630/-.  Nilai SGD630.00 x 2.5523 (ex-change rate) = RM1607.95. Kira sajalah bakinya.

Pada pendapat aku mungkin kerana inilah pihak pentadbiran mengambil langkah semua sistem tidak menggunakan lagi sistem tunai bila mendapati duit SGD semakin berkurangan. Selain itu berkemungkinan juga bagi mengelakkan rompakan yang pernah terjadi sebelum ini. Perompak pun tahu dua toll ini punya banyak duit SGD. Bukan saja untuk keselamatan pihak PLUS, tetapi juga keselamatan pekerja yang menerima tunai yang boleh menghadapi risiko tinggi.

Innalillahi wainna ilaihi rojiuun - Kullunafsin za iqotulmaut (sesungguhnya setiap yang hidup pasti akan menemui mati). Perginya beliau (Datuk Sharifah Aini binti Syed Jaafar) ke sisi Allah dengan tenang di bulan yang mulia. Sayu rasa hati.
~~ Mahu perjalanan lancar kena membayar toll. Di akhirat kelak bagaimana perjalanan kita andai tiada persediaan bagi mengelak 'toll' kenalah kita bersedia selagi Izrael belum datang menjemput. Khususon ila ruhi Al-marhumah Sharifah Aini binti Sharifah Noor - Al-fatihah.....~~



Thursday, May 29, 2014

Pilihlah sayang mana satu pilihan hati

Persediaan biasa buat anak-anak yang bertandang ke rumah saban hari. Kasihan bila letih mulut membaca tidak ada apa sekurang-kurangnya dengan air ini pun jadilah. Balang biskut dan kekacang sudah biasa ada terletak di atas meja dan tahu itu semua untuk mereka makan bersama-sama.

Sejuk - Empat warna empat citarasa. Ada sarsi, air sejuk biasa, sirap ros dan oren. Oren dan sarsi bancuh dari kordial tapi sirap biasa aku buat sendiri, apa lagi pandan pun banyak. Masak gula dengan perisa ros dan pandan, letak warna merah - jadi sirap ros. Bila hendak buat bancuh saja.
Tidak sejuk - Semuanya air masak. Siapa yang batuk atau selsema biasa tidak dibenarkan untuk minum air di dalam peti ais. Tetapi sebenarnya kalau mereka curi-curi aku pun tidak tahu sebab mereka ke dapur mengambil sendiri.
Walau banyak disediakan kalau nama anak-anak tetap riuh di dapur bila masing-masing mahu mengambil botol yang sama. Kalaulah mereka semua itu anak aku memang meriah:)

~~ Sembah takzim atas kemangkatan almarhum Sultan Azlan Shah, moga roh baginda dicucuri rahmat Allah. Al-fatihah.~~


Tuesday, March 25, 2014

Starhill Golf & Country Club

Mengisi ruang masa yang ada dengan anak-anak pada hari Ahad. Aku tidak perlu mengambil cuti tetapi en hubby terpaksalah mengambil cuti demi meluangkan masa dan memenuhi kehendak anak-anak. Kami menuju ke tempat yang tidak sampai setengah jam pun boleh tiba dari rumah kami. Kakak-kakak sebenarnya melayan kehendak si adik. Aku dan en hubby duduk menanti di cafe sambil membaca buku. Aku melayan buku Ahamd Ammar remaja yang berjaya membuka minda banyak umat Islam. Moga rohnya dicucuri rahmat Allah.

Starhill Golf & Country Club - Inilah loksinya. Pintu masuk sudah ada papan tanda ini.
Sudah tiba - Menapak ke hadapan akan ditunjukkan arah di mana tempat yang dikehendaki
Buah hati kami - Kakak-kakak kenalah melayan adik untuk menikmati mandi di sini.
Adik - Ini adalah kolam khas untuk kanak-kanak. Puas adik menjelajah. Slide sana-sini semuanya dicuba. Kakak-kakak sekadar berendam di dalam air kolam yang lebih luas dan agak dalam. Slide pun lebih tinggi dan mencabar.
Gelang - Seperti di mana-mana taman tema samalah juga di sini. Biru untuk bawah usia 12 tahun. Ini adik punya.
Merah - Untuk usia 12 tahun ke atas. Harga tiket lupa pula tapi yang pasti tidak semahal di Legoland. Namun buat mama dan papa yang tidak mandi kena juga membayar walau kami tidak mandi pun. Sama di mana-mana taman tema air pun begitu juga.
Balik - Bila handset menunjukkan azan zuhor berkumandang aku arahkan anak-anak bersiap untuk balik. Selasai mandi kami pulang. Lihatlah masing-masing menjinjing baju basah.
Walaupun tempat ini berdekatan dengan tempat tinggal kami tetapi aku dan en hubby tidak pernah masuk ke dalam. Sekadar melihat dari tepi jalan saja. Biasa anak-anak pergi dengan cikgu-cikgu mereka untuk kem motivasi. Kawasan tidaklah terlalu besar tetapi jika untuk melepaskan keinginan mandi-manda dan berenang bolehlah juga. Mengasah skill berenang agar tidak hilang. 

~~ Seandainya benar dikatakan PM kita yang MH370 begitu kesudahannya, bersama kita sedekahkan al-fatihah buat semua roh umat Islam yang terkorban. Takziah buat yang bukan Islam. Sedih.~~

Tuesday, March 4, 2014

Sesungguhnya ajal dan maut ketentuan Allah

"Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sudah sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh." - (Surah An-Nisa' : 78)

Hari Khamis minggu lepas penduduk sekitar taman perumahan kami kecoh. Bayi tiga bulan yang baru diasuh di rumah penjagaan kanak-kanak telah meninggal kerana tersedak susu. Itu berita yang diberitahu. Belum pernah terjadi di tempat kami sebelum ini membuat ramai yang terpempan. Apa lagi rumah asuhan itu ujud sudah puluhan tahun dan seingat aku sejak aku belum berumahtangga lagi. Kami semua juga tahu yang pengasuh di situ semuanya baik-baik dan sangat bertanggung-jawab. Ramai ibu-bapa yang bekerja yang tidak menghantar anak ke rumah jiran/penjaga akan menghantar anak mereka ke sini.

Menurut anak-anak yang sudah besar dan boleh disoal-siasat, penjaga di sana memang menjaga dan memberi susu secara betul tetapi tiba-tiba baby tersedak dan tercungap-cungap. Keadaan kelam-kabut itulah dibawa ke klinik berhampiran namun menurut doktor baby sudah meninggal dunia. Sedih bukan. Ketentuan Allah siapa yang mampu menidakkan. Bukan tidak dijaga bahkan semua anak-anak yang tinggal di situ juga tahu auntie/kakak yang menjaga mereka semua adalah baik-baik belaka. Pakaian anak-anak untuk ke sekolah agama pun mereka tolong perlengkapkan. Mahu menaiki van untuk kesekolah pun siap di perhati satu-satu baru boleh berlepas. Makan-pakai mereka terjaga rapi. Siap membantu membuat kerja sekolah sementara menunggu ibu-bapa masing-masing datang mengambil.

Apa pun nenek dan datuk kepada bayi tersebut tidak berpuas hati lalu menfailkan untuk dibawa ke mahkamah. Apa yang sedih ramai penduduk bermasalah bila pusat asuhan perlu ditutup walau untuk sementara. Pusat asuhan ini juga transit untuk anak-anak balik dari sekolah kebangsaan untuk ke sekolah agama. Juga menjadi transit anak-anak balik sekolah sebelum ibu-bapa mengambil mereka pulang.

~~ Kami mendoakan semoga kemelut berlangsung dengan baik. Allah maha mengetahui apa juga yang terjadi. Doakan yang baik-baik buat semua.~~

Wednesday, December 12, 2012

Akhirnya dia pergi juga

Cerita disebalik aku mendiamkan diri buat seketika. Aku masih bercuti lagi. Datang ke pejabat sebentar kerana Isnin lepas aku tinggalkan urusan pejabat aku dengan keadaan paling tidak terurus. Malam tadi seusai majlis yaasin dan tahlil di kampung aku balik ke sini. Sebentar lagi aku akan bertolak semula balik lagi ke kampung.

Tergendalanya aku yang sepatutnya menghantar motor bapak pada Sabtu lepas kerana bapak terpaksa berada ke rumah aku lantaran bibik dimasukkan ke dalam wad hospital. Sabtu bibik masih boleh berbual, senyum dan ceria lagi dengan kami anak-anaknya. Hari Ahad kami masih berpeluang lagi menjaganya. Namun pada hari Isnin10-12-2012 , jam 11:50 pagi bapak sekali lagi kehilangan isteri tercinta. Manakala kami adik-beradik  pula kehilangan ibu saudara merangkap ibu tiri kesayangan kami yang kami panggil bibik. Sepupu kami kehilangan ibu mereka. Sedih menyelubungi kami sanak-saudara. Bibik kembali ke rahmatullah pada usia 77 tahun. Kami sedang berkabung. Doakan moga bibik ditempatkan bersama kalangan golongan mereka yang beriman.

~~ Khususon ila ruhi al-marhumah Hajjah Musri'ah binti Hj. Latif  al-fatihah.~~



Monday, November 5, 2012

Sejenak aku berada di Arab

Boleh dikatakan kebanyakan kaum lelaki yang hadir memakai baju putih menakala perempuan pula memakai baju hitam. Aku pula tidak terfikir yang aku kunjungi adalah majlis keluarga pak-mak Arab. Melihat hubby mencapai baju light purple aku pun turut ikut sama. Pak-Mak Arab yang kami jumpa semuanya boleh berbahasa Melayu. Menghadiri majlis Istighosah  ini semalam aku rasakan bagai berada di Arab seketika.

Istighosah Kubro - Berada di majlis sempena memperingati pemergian allahyarham atok dan ayahanda Sharifah Nadzarah (SN) yang diadakan di perkarangan rumah beliau dan rumah bondanya - kedudukan rumah bersebelahan tembok saja amat memudahkan.

Masakan arab - Inilah dia hidangan yang dijamu keapda para jemaah yang hadir. Aku beruntung kerana dapat berada di dapur bersama SN dapatlah membantu mengangkat hidangan.

Makan dalam dulang - Berdulang-dulang dihantar keluar. Kuih-muih adalah ikhsan pemberian orang ramai itu kata SN

Bagaikan kenduri kahwin sebab ramai yang datang. Banyak kereta Pak-Mak arab yang rata-rata berkereta mewah telah tiba dahulu. Selesai majlis aku tidak boleh berlengah terus bersalam-salam juga mohon beredar. Tetapi balik aku bukan dengan tangan kosong kerana apa yang ada dalam gambar di atas semuanya dapat aku bawa balik sama sebagai berkat. Selain itu diberikan kepada semua yang hadir penanda buku/al-quran yang lengkap dengan Asma'ul -Husna. Banyak SN berikan pada aku. Terima kasih SN.

~~ Cuti sekolah belum tiba tapi semakin banyak kad jemputan telah diterima sebagai tanda setiap hujung minggu pasti ada tempat untuk dikunjungi. Apa yang pasti kosongkan perut sebelum keluar rumah.~~

Wednesday, September 5, 2012

Syawal 1433H diraikan

Sekali lagi aku mula bekerja penuh setelah sekian lama bercuti sejak Hari Raya Aidilfitri yang lalu. Baru sehari bekerja telah sambung untuk bercuti lagi akibat perkara yang tidak diduga. Syukur aku masih boleh menjalani rutin baru yang sedikit berubah sejak seminggu ini. Bagaimanapun N3 tertunda lama ingin dipaparkan juga.

Pagi Syawal seperti biasa selepas solat Aidil-fitri bersalam-salaman walau jauh di sudut hati tidak pernah menaruh rasa dendam terhadap semua ahli keluarga. Rasa kasih dan sedia memaafkan sudah sentiasa terbuka di sudut hati apa lagi sebagai ibu-bapa.

Kak Nurienne- Entah apa yang diucapkan pada papa.
Kak Yasmien - Sama juga mula-mula senyum tapi lama-lama lain jadinya.
Adik - Kalau boleh satu badan papa mahu dipeluknya.
Sekeluarga - Sedondon tapi papa belum tukar baju lagi sebab baru balik dari masjid.
Perjalanan pertama - Kami berkonvoi 4 buah kereta ke Melaka untuk menziarahi Mak saudara hubby yang baru kehilangan anak bujangnya kerana kemalangan jalanraya.

Lancar - Perjalanan dari Batu Pahat hingga ke Taman Pulau Gadong Jaya di Melaka tidak sampai 3 jam.
Sebenarnya keluarga hubby agak bersedih sebelum Syawal menjelang lagi kerana kematian sepupu bujangnya yang berusia 28 tahun akibat kemalangan jalanraya. Kejadian berlaku seminggu sebelum syawal tiba. Takdir ajalnya terjadi di persimpangan lampu isyarat berhampiran rumah bila dua pelajar tingkatan enam melanggar motornya dari belakang ketika mahu pergi bertugas di Majlis Bandaraya Melaka.

~~Ujian dan dugaan Allah tidak dapat kita duga bila dan bagaimana caranya.~~


Thursday, February 23, 2012

20 tahun yang lalu....

Petang 24 Februari 1992 kejap di ingatan kami. Waktu itulah Izrael yang tidak pernah gagal menunaikan perintah Allah menjemput emak pulang ke alam barzakh. Emak pergi dengan tenang tanpa lama berbaring di pembaringan. Perginya dia di saat kami adik-beradik semuanya sedang berkumpul kerana waktu itu adalah perayaan Tahun Baru Cina. Tidak seorang pun anak emak yang tiada waktu itu. Maha cantik peraturan Allah.

Aku masih ingat lagi. Tengahari itu kakak ipar dan kakak-kakak aku di dapur. Aku, adik dan emak di ruang tamu menikmati kerepek pisang di dalam tin milo. Sebaik makanan terhidang didapur kakak memberitahu untuk kami makan bersama. Oleh kerana mahu ke dapur mak sambil bangun mahu menutup tin milo yang berisi kerepek pisang tetapi terduduk semula di sofa. Kemudian emak bagai tidak bermaya. Kami ramai-ramai memapah emak ke atas tilam bujang yang kami bawa keluar dari bilik. Kami panggil doktor datang ke rumah. Macam-macam wayar dan alat sambungan pernafasan di buat pada emak.

Bapak masa itu pergi jemputan kahwin di kampung sebelah. Bagai tahu dia akan pergi hari itu bapak pergi jemputan kahwin tanpa ditemani emak sebagimana selalu. Alasan emak sebab semua anak-anak di rumah dia tidak mahu ikut. Mak masih boleh bergurau lagi dengan bapak ketika dia menyikatkan rambut dan memakaikan bapak dengan minyak wangi sebelum bapak pergi ke majlis perkahwinan hari itu. Untuk pengetahuan semua arwah mak selalu sikatkan rambut bapak dan anak-anak. Kami adik-beradik waktu itu gelak sebab bapak mulanya tidak mahu dipakaikan minyak wangi kerana katanya pergi sekejap dan mak tidak ikut. Rupanya itulah gurauan terakhir emak dengan suaminya sebelum dia pergi untuk selama-lamanya.

Mak menghembuskan nafas terakhir di pangkuan bapak pada petang 24 Februari 1992 sambil dikelilingi lapan anak-anak yang semunya tidak uzur (boleh membaca al-quran dan yaasin) walaupun anak emak 7 darinya adalah perempuan - maha pengasih Allah. Hari ini genap sudah 20 tahun emak pergi meninggalkan kami. Doa kami tidak pernah putus selepas solat, moga emak ditempatkan di kalangan mereka yang beriman. Khususan ila ruhi almarhumah Hjh. Neema Bt. Hj. Latif al-fatihah....

Surah alfatihah - sumber dari google

~~Hargai ibu-bapa selagi hayat mereka ada. Sedih bila semalam bapak menelefon yang dia membeli sayur dan ikan tercicir di jalan tidak sedar sehingga tiba rumah. Hubby ambil cuti emergency untuk balik membelanjakan apa yang patut buat bapak hari ini. Aku dan anak akan menyusul pula esok.~~



Thursday, February 16, 2012

DJ Razak Radio IKIM meninggal dunia

Pagi tadi sebaik DJ radio IKIM, Cik Siti dan En Supian menamatkan tugasan pagi hati aku disentap rasa sayu. Berita disampaikan DJ Razak Arbain telah kembali ke rahmatullah. Aku sebenarnya pendengar tegar radio IKIM. Samada di rumah, di kereta bahkan di pejabat pun sentiasa berkumandang dengan siaran radio IKIM. Oleh itu aku memang amat mengenali DJ Razak Arbain yang juga di kenali sebagai Ustaz Razak. Mendengar suaranya yang lembut dan sabar melayan kerenah pendengar dengan nasihat dan contoh teladan diberi kini tinggal nostalgia. Airmata luruh tidak semena-mena dan rasa sebak memenuhi ruang hati. Entah mengapa amat terasa sekali walau sebenarnya Allahyarham tidak pun mengenali aku. Allahyarham terlibat dalam kemalangan motosikal pagi tadi kerana rutin dia menghantar anak ke sekolah setiap pagi.

Salam takziah buat keluarga Allahyarham dan seluruh warga kerja IKIM. Moga allahyarham tenang di pusara dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Khususan ila ruhi almarhum Ustaz Razak bin Arbain, Al-fatihah....

“Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan menemui ajal. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai ujian/dugaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu akan dikembalikan.” (Al-Anbiya’ :35)~~


* Kali pertama aku membuat dua N3 dalam sehari. Hati aku benar-benar sayu....