Showing posts with label sekolah. Show all posts
Showing posts with label sekolah. Show all posts

Monday, February 27, 2017

Makanan segera menjadi pilihan

Menjadi rutin setiap hari Sabtu itulah satu-satunya hari untuk bertemu anakanda di asrama. Semenjak berada di tingkatan dua inilah kali pertama kami pergi menjenguknya dua minggu sekali berbanding sejak dari tingkatan satu kami pergi setiap minggu. Semakin membesar semakin pandai berdikari. Apa lagi kini sudah dilantik menjadi Lembaga disiplin pelajar kenalah memikul sedikit tanggungjawab yang ditugaskan. Bukanlah berat mana contohnya minggu sebelum ini adik ditugaskan mengurus pendaftaran kemasukan pelajar tingkatan satu untuk tahun 2017.



Sudah beberapa kali bila kami datang, adik lebih suka keluar dari asrama berbanding memakan bekal yang mama bawa dan makan di asrama. Apa lagi ada kawan yang akan menumpang untuk bersama mencari barang keperluan. Kali ini kawan adik dari Melaka yang menumpang. Selesai makan tengahari masing-masing berbelanja membeli keperluan mereka. Biskut, air kotak, air mineral, kekacang dan toiletaries semua dibelanja. Selesai papa membayar semua jam sudah menginjak ke waktu asar. Sebelum balik ke asrama masing-masing mahu membeli KFC. Terperanjat aku rata-rata yang berada di dalam outlet KFC dan Marybrown adalah anak-anak dari tempat adik belajar. Bila di lihat sudah bagaikan pasukan bola sepak pasukan Selangor😀. Apa pun aku hanya membayar kepada anak yang menumpang kereta kami saja. 

~~ Makanan anak-anak asrama kini lebih lazat dan berkhasiat. Anak-anak semakin pandai. Silap sedikit dewan makan membuat menu pasti akan menjadi isu di mesyuarat perbadanan pelajar. Dahsyat! ~~



Friday, February 17, 2017

Keputusan SDKA vs UPKK

Petang semalam ketika sedang bersiap sedia untuk balik dari pejabat telefon berdering lagi mohon diangkat. Kedengaran di hujung talian suara adik. Keputusan SDKA (Sijil darjah khas agama negeri Johor) sudah keluar. Tetapi sebab adik berada nun di asrama dan hanya akan balik pada cuti semester bulan Mac kelak, pastilah dia mahu juga tahu keputusannya dulu. Waktu untuk sekolah agama tempat adik menduduki peperiksaan biasa berakhir pada jam 6:00 petang. Terus saja aku meminta bantuan hubby untuk ke sekolah mengambil keputusan peperiksaan adik.

Alhamdulillah adik mendapat pangkat satu, walaupun pembelajaran adik banyak tersekat sebab adik tidak dapat belajar penuh setiap sabtu. Ini kerana apabila balik JB sebulan sekali baru dapat ke kelas yang hanya diadakan pada setiap hari Sabtu. Oleh sebab itu walaupun aggregat adik berbelas kami tetap bersyukur. Al-Quran adik dapat 1. Lain-lain banyak 2 dan 3. Ada satu mata pelajaran adik iaitu Faraidh adik dapat 9. Kena ketawakan kakak😀


Selain membawa slip keputusan peperiksaan pihak sekolah juga menyampaikan surat jemputan untuk kami menghadirkan diri di hari konvokesyen yang akan dilangsungkan pada 22 Mac akan datang. Pembayaran dan keputusan kehadiran perlu diserahkan sebelum akhir bulan ini. Cantik perancangan sekolah adik sebab rata-rata yang mendapat keputusan seperti adik semuanya berada di sekolah berasrama penuh. Tiga kawan baik adik semuanya juga sama. Seorang di MRSM Pontian, seorang di Sek Tun Fatimah dan seorang lagi di Maahad Mersing.



Aku tahu adik lega sebab mendapat keputusan yang sama dengan dua kakak-kakaknya dulu. Tidaklah rasa rendah diri jika pencapaian tidak sama. UPKK pun adik dan kakak mendapat 8A. Semoga menjadi pemangkin semangat untuk adik terus gigih dalam pembelajarannya. Pihak sekolah adik sudah tentu lebih gembira lagi apabila diwartakan sebagai sekolah terbaik tahun ini untuk zon kawasan kami,


Sebenarnya bukan adik saja yang lega, Makan tenghari ini pun aku rasa berselera. Hari ini aku membawa bekal nasi ayam. Ambil gambar pagi tapi makan tengahari nanti.

~~ Anak gembira ibu-bapa dan guru-guru berlebih lagi gembiranya.~~

Tuesday, January 17, 2017

Makan di tepian pantai Mersing

Sekarang menjenguk adik dua minggu sekali sebab itu janji yang termetri sebelum sessi persekolahan 2017 bermula. Oleh itu sabtu lepas kami semua pergi bertemu adik selepas menghadirkan diri di majlis perkahwinan anak sepupu dan jiran sebelah taman. Pergi ke majlis sebelum tetamu lain hadir dan hidangan pun belum keluar. Tetapi kami memaklumkan kepada sepupu mengapa kami datang awal. Selepas berbual seketika kami pun bersalam dan terus bergerak untuk berjumpa adik. 

Selepas mendapat kebenaran warden asrama terus bawa adik keluar. Singgah di masjid untuk solat zuhor, kemudian bawa adik ke klinik. Ada banyak ruam di badannya. Dapat krim untuk disapu. Selepas itu barulah kami beredar mencari tempat makan. Minta bantuan wase untuk mencari lokasi dipertemukan dengan tempat berhampiran pantai. Cantik juga.

Sambal belacan - Lihat dalam set ada sambal belacan. Hanya hubby, mama dan Mak Zah saja yang makan ini. Anak-anak timun yang terkena sambal pun dia sudah tidak mahu.

Set - Nasi putih, siakap tiga rasa, tomyam campur, kailan ikan masin, telur dadar dan sotong goreng tepung.

Bolehlah - Telur dadar dan sotong goreng tepung

Lagi - Kailan ikan masin dan telur dadar

Siakap - Pilihan anak-anak masak tiga rasa. OK juga dan ini salah satu dish yang licin kami makan.
Selepas makan mencari keperluan adik. Belikan air mineral, susu, net cuci baju, ubat tambahan bimbang kalau demam/batuk dan lain-lain. Membantu juga kawan adik mengambilkan duit di ATM sebab tanpa ibu-bapa mereka tidak boleh keluar. Menumpang ibu-bapa orang lain juga tidak dibenarkan. Kasihan pada mereka itu lalu aku berikan anak-anak itu jajan. Dari rumah juga aku sudah rebus jagung yang Mak Zah bawa dari kampung. Puas mereka makan jagung😀. Sesekali makan sedap tapi adik dan kakak-kakaknya sudah puas. Kami menghantar adik balik ke asrama selepas asar. Naikkan semua keperluan adik, salam-peluk-cium-doa kami pun bertolak balik JB.

Bertahun lagi aku kena berulang-alik menziarahi adik selagi mampu. Hujung bulan ini mungkin papa akan menjemputnya dan balik untuk cuti Tahun Baru Cina dan balik sana semula ke sana kenalah mama yang menghantarnya sebab Isnin 30 Januari papa bekerja dan mama masih bercuti.

~~ Rutin selagi ada anak belum habis bersekolah beginilah.~~

Monday, January 2, 2017

Menyelak tirai tahun 2017

Tahun 2016 sudah melabuhkan tirainya. Kelangsungan hidup perlu diteruskan juga untuk meniti 2017 yang sudah masuk hari kedua hari ini. Semalam kami sekeluarga membelah kesunyian pagi di atas jalanraya membawa dua misi. Sebelum menghantar adik untuk sessi pendafatan 2017 kami singgah dahulu ke rumah Mama Leha kerana menghantar kerusi roda almarhum bapak yang adik gunakan dulu untuk digunakan pula anak buah kami Muhamad Haikal. Sudah dua cucu almarhum bapak menafaatkan kerusi roda tersebut. 

Sungguh terlalu banyak ujian pahit-getir yang keluarga kami lalui sepanjang 2016 dan sehingga di awal tahun ini sisa-sisa itu masih ada terasanya. Bermula dengan kami adik-adik beradik kehilangan bapak kesayangan buat selama-lamanya sehinggalah satu-satu ujian diberikan buat keluarga kami. Namun kami masih berterima kasih kepada Allah kerana masih diberi kekuatan untuk terus menghadapi semuanya.


Adik - Sedang membuat penyemakan diatas semua pembayaran yang telah kami bank-in lebih awal. Hanya menyerahkan slip bank dan membuat penyemakan saja.
Ada satu adegan yang menyentuh naluri aku dan hubby ketika sessi ini. Sebelum tiba giliran adik ada seorang anak lelaki yang mahu membuat pembayaran secara tunai. Setelah dikira wang dibawa kurang RM50/-. Mungkin si bapa salah kira. Meminta dari ibunya yang duduk selang beberapa kerusi dari kami tidak ada response, lalu anak itu datang kepada ibunya. Kelihatan mereka berbual. Dari jauh aku dapat merasakan yang wang RM50/- itu tidak ada ditangan ibunya. Aku dan hubby serba-salah. Aku sudah buka zip handbag mahu saja menghulur RM50/- tetapi tiba-tiba lelaki disebelah aku berkata " Tak apalah puan, sebab pihak MRSM membenarkan kita membayar secara ansuran." Aku tidak mahulah beria-ia memberi sebab banyak mata memandang bimbang pula boleh mengaibkan dia, lalu aku biarkan mereka berlalu pergi.

~~ Buka mata hati kita. Betapa dalam pada anak-anak kita meriah meraikan tahun baru dengan segala keperluan dengan yang baru, masih ada anak yang tidak mampu menikmati semua itu.~~


Thursday, November 24, 2016

Rasa bersalah seorang sahabat

Hari ini adalah hari akhir persekolahan bagi anak-anak di negeri Johor. Hari ini juga peperiksaan akhir untuk subject sejarah dan mathematics. Adik sudah beransur ceria walaupun masih bersolat duduk dan mandi berdiri tegak (susah mahu menggosok badan). Berjalan pun masih tidak stabil/betul. Tetapi semangat adik untuk sama-sama menduduki peperiksaan akhir semester masih kuat sama seperti rakan-rakannya juga. Motivasi dari guru-guru dan rakan-rakan adik tidak kurang membantu sedikit sebanyak kekuatan mental adik. 

Namun dalam keadaan begitu tidak kurang usik-mengusik rakan-rakan sebaya. Anak lelaki yang tertimpa adik tempohari sebenarnya amat merasa bersalah walaupun dia juga tidak kurang diberikan kaunseling kerana merasa amat bersalah dibimbangi menjejaskan emosinya. Usikan rakan-rakan mengatakan jika terjadi sesuatu kepada si rakan perempuan mereka (adik) dia kena bertanggung-jawab membuat hati seorang anak lelaki baru berusia 13 tahun amat kesal. Sehingga ada yang berkata kalau adik cacat dia kena kahwin dengan adik. Manalah mama dan papa tidak tergelak. Semua ini aku dapat tahu dari guru hal ehwal pelajar (HEP). Menurut HEP juga ketika adik diusung masuk ambulan anak itu menggigil ketakutan apa lagi disoal-siasat. Tetapi pihak maktab mempunyai cara terbaik menangani emosi pelajar mereka memandangkan peperiksaan akan dijalankan tinggal bersisa beberapa hari saja lagi waktu itu.

Sebagai ibu-bapa apabila sesuatu kejadian terjadi walaupun ia menjejaskan anak kita usahlah cepat melatah. Biarpun kalau mengikut nasihat doktor laporan polis boleh dibuat tetapi memandangkan kejadian terjadi tidak disengajakan aku tidak sampai hati melakukannya. Sementelahan pula apabila aku mendapat tahu daripada adik bahawa budak lelaki itu bukan bukan nakal. Begitu juga bila aku bertanyakan kepada rakan-rakan adik yang lain. Kekesalan di hatinya dapat aku rasakan. Inilah dikatakan takdir.
Sekadar hiasan - Telur pindang amat sinonim di negeri Johor. Kepada yang tidak pernah merasa mungkin akan mengatakan ianya telur basi. Tetapi ada pelanggan (tempat kerja) aku seorang mat salleh yang pertama kali makan sudah jatuh hati. Kalau kita makan sebiji dia boleh makan hingga 2 biji. Aroma perencah itu yang membuatkannya bertukar warna dan rasa.
~~ Bumi mana tidak ditimpa hujan, manusia mana tidak melakukan kesilapan apa lagi jika yang terjadi tidak disengajakan.~~





Tuesday, November 22, 2016

Selagi masih bernafas dan nadi berdenyut - 2

Sambungan dari entri di bawah...

Pemanduan yang agak laju membuatkan sebaik azan isyak berkumandang kami sudah hampir untuk memasuki pintu pagar MRSM adik belajar. Terus menuju ke sick-bay dan menelefon guru hal-ehwal pelajar yang menghubungi aku petang tadi. Sebentar saja menanti guru itu pun tiba menemui kami dan dibawa bertemu dengan adik. Melihat aku datang apa lagi airmata adik terus sajalah mengalir laju. Aku peluk dan gosok perlahan kepala dan belakang adik. Ada dua orang teman adik, guru home-room dan warden bersama adik ketika itu. 

Apa yang terjadi pada adik adalah satu kemalangan tidak sengaja. Waktu itu adalah pembelajaran seni dan merupakan masa terakhir sebelum balik. Memandangkan minggu depannya (sekarang) adalah minggu peperiksaan, oleh itu masing-masing tekun membuat ulangkaji. Sistem pembelajaran adik adalah sistem floating class. Apabila sudah hampir balik, bermain adalah perkara biasa buat anak lelaki. Mereka bukan nakal tetapi lumrah sebagai anak remaja. Seorang balik duster (pemadam papan) dan seorang sambut. Anak perempuan pula lumrahnya selagi belum selesai berbincang tidak berganjak termasuklah adik. Ketika mahu menyambut duster itulah seorang anak lelaki tergelincir lalu terlanggar rak-rak yang menempatkan hasil seni yang kedudukannya di belakang adik lalu menimpa belakang adik dengan anak lelaki itu sekali tertiarap di atas rak tersebut. Bermakna bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga. Selain ditimpa rak tersebut juga tertimpa dek kawan kelasnya yang tertiarap di atas rak itu.

Akibat dari kejadian itu masing-masing tergamam dan sekuat tenaga ramai-ramai membangunkan semula rak tersebut. Tetapi malangnya sebaik rak diangkat adik tidak mampu bangun. Dua kali cuba bangun tetap terduduk kembali. Kecohlah satu maktab. Panggilan ambulan dibuat, malangnya pihak hospital kehabisan ambulan. Lalu pihak maktab menelefon JPAM untuk menghantar adik ke hospital. Prosedure JPAM sudah pasti amat membantu adik yang dibaringkan dengan papan sekeping, diikat bagaikan tidak boleh bernafas (kata adik) dan diusung dengan stretcher masuk ke dalam ambulan JPAM dan terus ke bilik x-ray hospital. Alhamdulillah kata pihak hospital tidak ada yang patah tetapi otot adik tercedera. Namun dek kerana wad hospital penuh adik dibawa balik ke maktab untuk didudukkan di sick-bay. Mana mungkin aku sanggup mendengarnya. Sebaik mendengar berita itu terus saja sebagai mama dan papa pasti kalau boleh terbang mahu saja aku terbang membawa adik balik. Apa lagi kerana kemalangan itu pihak maktab membeli satu wheel-chair khas buat adik.

Malam itu juga kami membawa adik balik. Wheel-chair yang pihak maktab beli tidak kami bawa walaupun pihak maktab mahu kami bawa untuk kegunaan adik. Kami menolak dengan baik dengan alasan sebab di rumah ada wheel-chair almarhum bapak. Sabtu dan Ahad KPJ tidak ada klinik (lalu bertahan menggunakan ubat bekalan hospital) tetapi pada hari Isnin papa membawalah adik ke KPJ. Berjumpa lagi dengan doktor yang sama sewaktu adik terkoyak tisu di Hari Sukan Malaysia tempohari. Sekali lagi x-ray barulah kami berpuas hati.  Untuk insiden kali ini adik diuji agak berat. Menguap pun sakit, menelan makanan pun sakit, semua sebelah kiri adik mendapat tempias sakitnya. Tambah buat mama dan papa kecut bila membuang air pun berdarah. Setelah diagnosed segala kecederaan yang adik alami, doktor memberikan adik cuti sakit sehingga 24-11-2016. Mana mungkin adik mahu kerana peperiksaan akhir tahun baru akan bermula minggu akhir sekolah (semalam). Terpaksa akur sebelum peperiksaan bermula aku hantar adik pulang ke asramanya. 

Pihak maktab memberikan adik kelonggaran untuk tidak ke prep dan surau yang memerlukan adik turun-naik tangga. Bilik adik yang asal di tingkat 4, kini adik ditempatkan di block terdekat. Duduknya di tingkat bawah sekali berhampiran bilik air dan dewan makan. Untuk duduk di sick-bay adik takut sebab biliknya luas dan duduk bersendirian. Kini adik belajar malam di bilik/dorm dengan berteman seorang kawan/kakak senior. Semoga adik mampu menggalas semua ini dengan kuat dan sabar. Mujur tinggal minggu ini saja.

Terima kasih kepada anakanda Yani (kawan adik), Kak Sarah (senior form 5) yang membantu menemankan adik di dorm. Membantu memasangkan ubat patch di belakang adik setiap pagi dan petang. Terima kasih juga buat anak-anak yang membantu mamacik menurunkan semua barang-barang adik dari tingkat 4 ke bilik bawah sekarang. Tidak ketinggalan Pengetua Maktab, guru hal-ehwal pelajar, guru hal-ehwal akademik, guru home-room, warden dan semua kawan-kawan adik.

Buat anakanda yang tidak sengaja terjatuh mamacik dan keluarga tahu anak tidak sengaja dan semoga jadi pengajaran buat semua. Jangan rasa bersalah kerana semua ini sudah tertulis di loh mahfuz Allah. Waktu belajar yang Allah beri peluang gunakan sebaik-baiknya.

Terapi  mata - Penat membaca entri di atas - maaf.  Sewaktu menghantar adik balik kami singgah di tapak projek hubby di Kluang.  Memandangkan sudah tengahari terus singgah di satu restoran ini. Milik anak muda yang menjual nasi beryani. Mak Zah makan beryani ayam. Kami yg lain semua memilih beryani kambing. Sedap.

~~ Selamat menghadapi peperiksaan dengan sedikit dugaan Allah. Semoga adik mampu memberikan yang terbaik sebagaimana Pengetua katakan pasti adik boleh seiring dengan semangat yang adik ada.~~

Monday, November 21, 2016

Selagi masih bernafas dan nadi berdenyut - 1

Dari mana harus aku mulakan?

Lihatlah entri yang pernah aku catat minggu lepas di sini. Itulah hakikatnya yang terjadi pada diri aku sehingga akhirnya aku menghilang buat seketika atas sebab-sebab yang aku perkatakan dalam entri tersebut. Penyakit dunia yang membuat aku bagaikan terkapai lesu. Sungguh terlalu lemahnya iman yang bertakhta dalam diriku sehingga terkejar-kejar dek masa di dunia hingga kebingungan dan bagaikan mahu terkulai aku dibuatnya.

Pagi hari ketika menerima khabar berita anak-buah aku kemalangan sudah cukup membuat hati aku bagai direnggut pilu. Petang ketika kaki baru keluar kereta untuk menjenguk anak-buah yang sedang koma telefon bimbitku berbunyi mohon dijawab. Tertera nombor telefon MRSM adik sudah cukup membuat jantung aku berdegup kencang. Berita yang disampaikan walau semampu boleh pihak maktab cuba menyampaikan dengan cara paling lembut dan berhemah tetap membuat hatiku bagai dicincang-lumat. Longlai kaki ini melangkah ke lift hospital Sultan Ismail untuk menjenguk anak buah yang sedang koma, Airmata aku mengalir untuk siapa pun tidak dapat aku pastikan sama ada kerana anak buah yang sedang koma atau kerana berita tentang anak sendiri.

Kekuatan tenaga tua ini masih digagahkan dengan sedikit kekuatan yang DIA berikan lalu bertemu jugalah aku dengan kakak dan abang ipar serta beberapa sanak-saudara yang sedang berkumpul. Hati tidak keruan tapi langsung tidak aku khabarkan kepada semua yang berada di situ pada waktu itu, sebab semua sedang bersedih dan kalut. Airmata yang mengalir dari ke dua-dua mata aku mungkin terbahagi dua kerana melihat anak buah dan satu lagi kerana berita kurang baik tentang anak sendiri. Ziarah dan sembang tidak lama aku mohon izin untuk balik dengan alasan aku belum solat Asar. Salam-salam aku beredar laju walau hakikatnya langkah kaki tua ini sudah longlai. Terus saja aku menghubungi hubby. Sepakat terus hubby patah balik tidak jadi ke HSI untuk melihat anak buah aku sebaliknya terus balik rumah.

Walau ketika itu sudah hampir mahgrib kami tidak menanti lagi. Terus niatkan di dalam hati yang kami akan jamak takhir maghrib dan Isyak. Masa setengah jam menanti waktu maghrib bagaikan lama. Sekurang-kurangnya setengah jam awal akan lebih cepat untuk kami tiba di MRSM adik. Memilih kenderaan apa yang terbaik buat adik selesa juga sudah mengambil masa. Akhirnya sepakat menggunakan MPV supaya adik boleh berbaring selesa. Siap kami bawa beberapa biji bantal dan selimut. Pemanduan hubby agak laju dan kami tidak banyak bersuara melainkan berzikir sepanjang perjalanan tersebut.

Sudah agak panjang entri ini kita sambung esok....
Rehat seketika - Alihkan pandangan ke bunga balung ayam di laman comel rumah ku untuk seketika. Pokok yang amat susah untuk mati. Ibunya sudah dibuang tetapi berpuluh anak akan tiba-tiba tumbuh di setiap pasu yang berdekatan.

~~ Pastinya ujian yang Allah berikan adalah ke atas dosa-dosa yang kami lakukan tanpa disedari. Baru dijentik sedikit seolah-olah aku sudah tidak mampu.~~


Monday, October 17, 2016

Seketika ujian melanda

Hari Sukan Negara minggu lepas disambut meriah di sana-sini. Bukan saja di padang-padang awam bahkan di semua sekolah tidak ketinggalan menyahut seruan baik tersebut, termasuklah maktab adik dan seterusnya adik pun terlibat sama. Sayangnya dalam kegembiraan itu tercatat memori duka buat adik. Ketika bermain bola jaring larian adik terhenti kerana perlanggaran dengan pihak lawan. Bukan musuh apa pun, tetapi lawan sewaktu permainan tersebut. Ketika adik terjatuh seorang lagi pelajar pula terlanggar dan menghempap kaki adik. Langsung terus terjelepuk hingga berdukunglah ke van maktab hingga dibawa terus oleh pihak maktab ke hospital.

Petang itu baru mama dan papa mendapat berita kurang enak. Adik di dudukkan di Sick Bay Maktab. Setelah di x-ray doktor memberitahu tisu pelipat kaki adik koyak. Ketika melawat adik kelihatan kaki adik agak bengkak, mengeras dan panas. Sewaktu ziarah adik kaki tidak berbalut langsung. Mama-papa yang tidak arif menyangkakan tidaklah serious. Lalu setelah pujuk-pujuk adik kami tinggalkan seperti biasa. Tetapi memandangkan pelajar tingkatan satu di asrama duduknya di tingkat 4 sudah pasti suatu yang amat menyulitkan buat adik untuk ke dewan makan, ke surau, ke dewan prep dan ke sekolah. Bila adik menelefon mengatakan tidak tahan sehingga tidak turun makan mama sudah tidak sedap hati. Mendapat nasihat dari jiran sebelah yang bertugas di KPJ pula mengatakan tisu koyak memang tidak boleh di balut tetapi kena berehat lebih kerana jika terus bergerak tisu koyak ada risiko lebih buruk.
Bekal - Memandangkan sudah tahu adik tidak selesa berjalan lalu mama bawalah bekal dari rumah untuk dimakan bersama-sama. Mama siap bawa bekal kicap dalam botol sebab ada asam pedas siakap kesukaan adik.
Nasihat dari jiran itulah lalu semalam akhirnya aku akur meredah pagi selepas subuh ke Maktab adik. Membawa surat permohonan untuk membawa adik balik ke JB untuk kami membuat tindakan susulan ke KPJ, satu-satunya hospital pilihan keluarga kami. Pagi ini adik akan pergi dengan papanya ke sana. Semoga ada alternatif segera yang boleh membuat adik cepat sembuh.

Solat - Kami bersolat di surau adik. Ada kerusi sudah bersedia untuk dijadikan tempat adik duduk.

Rukhsah solat duduk - Beginilah adik bersolat. Dia tidak sedar sewaktu gambar ini dirakam dari belakang oleh Kak Reen.

Berdoa - Semua gambar Kak Reen yang ambil sebagai kenangan. Bagaimana adik mulakan bersolat dengan berdiri. Sebaik rukuk dan hingga akhir adik akan duduk di kerusi begini. Rukhsah solat duduk bagi yang boleh berjalan adik ada belajar hanya belum pernah dilakukan. Inilah masanya digunakan apa yang telah dipelajari. Kini kaki adik sebelah kanan tegak saja. 

~~ Melihat almarhum atoknya solat duduk tidak lama tempohari kini adik merasa bagaimana tidak selesanya bersolat dengan duduk.~~


Thursday, September 22, 2016

Ekosistem ciptaan adik

Kerja sekolah adik untuk subjek geografi sewaktu cuti sekolah baru-baru ini. Papa membelikan segala keperluan adik seperti base-board, plasticine berwarna, kertas biru dan gam uhu. Memandangkan jika menggunakan plasticine sepenuhnya, board menjadi berat aku cadangkan adik menggunakan kapas sebagai bahan bagi menaikkan kedudukan tanah. Kapas ini sudah lama tersimpan sebagai pencuci luka dan sebagainya. 

Basic - Setelah siap semua bentuk kelihatan kosong lalu minta papa belikan ikan kecil dan pokok kecil yang biasa ada dijual di kedai-kedai akuarium. Tetapi papa terbeli pokok yang agak besar. Kerana tidak mahu membazir lekatkanlah juga. Ikan kecil palsu tidak ada di kedai ikan. Ikan hidup adalah. Tetapi kerana kura-kura itu agak besar adik tidak lekatkan lagi.
Kura-kura - Semua ketawa terbahak-bahak apabila melihat kura-kura yang papa bawa balik. Punyalah besar. Propotion tidak seimbang dengan kedudukan rekabentuk yang dihasilkan.  Bila cuba diletakkan di depan gua ianya memenuhi ruang gua ciptaan. Tidak boleh jadi.
Beli lagi - Memandangkan pokok agak besar papa pergi lagi ke kedai membeli yang lebih kecil tetapi sayangnya apa yang papa beli sebelum itu sudah melekat tidak boleh ditanggalkan. Jika ditanggalkan kena buat lagi plasticine yang sudah di lekatkan di atas kapas. Lihatlah pokok-pokok kecil baru yang papa beli nampak lebih sesuai.
Kesudahan - Memandangkan rasa sayang pada pokok kecil yang baru papa belikan maka diselitkanlah juga beberapa pokok sehingga akhirnya adik gelihati sendiri dan berkata "Mama tengoklah dah macam Hutan Bandar". Kalau di JB sini sebut Hutan Bandar memang banyak pokok sebagai pelindung ketika beriadah seperti jogging dan sebagainya. Kura-kura juga hanya seekor dilekatkan dan diletakkan jauh kedudukan dari gua supaya tidak nampak ketidakseimbangan saiznya. Ketawa bila melihat kura-kura itu.
Siap - Inilah kesudahan kerja yang adik bawa balik ke sekolahnya pada hari Ahad. Mengharap adik boleh dapat band-6 untuk kerja tangan geografi ini.
Kalau kerjatangan yang sekadar 2-dimensi lebih mudah berbanding 3-dimensi begini. Apa lagi kena duduk di dalam kereta dengan perjalanan yang jauh. Nasib baik gam papa belikan memang kukuh. Alhamdulillah tiba di asrama semuanya masih kekal seperti asal. 

~~ Kerja sekolah dari satu anak ke satu anak aku dapat merasakan ianya semakin mencabar.~~


Wednesday, September 21, 2016

Adik dengan F1 dia

Pada 17-09-2016 yang lepas adik ada menduduki peperiksaan ujian hafazan untuk Peperiksaan Sekolah Darjah Khas Agama, Negeri Johor. Adik belajar di sekolah dia di sana tetapi semua peperiksaan dijalankan di JB, sekolah yang dekat dengan rumah kami (sengaja membuat pendaftaran peperiksaan di JB sebab peperiksaan besarnya akan dijalankan sewaktu cuti sekolah akhir tahun). Jabatan Agama Johor memberikan kelonggaran ini. Biasalah bila anak duduk dewan peperiksaan mama dia duduk depan sejadah. Selesai aku membaca Yaasiin beralih untuk berzikir. Sambil berzikir mengemas barang adik sebab Ahadnya dia akan balik. Tiba-tiba mata melilau terpandang fail yang satu. Boleh senyum tanda tidak khusyuk.



Kalau adik boleh racing F1 kagum besar mama/papa dibuatnya. Lupa pula hendak bertanya adik apa maksud F1 di fail ini. Aku rasa mungkin abbreviation untuk File nombor satu atau Form One bukan Formula One. Sebab adik salah seorang yang dilantik dari lima pelajar sebagai perwakilan pelajar tingkatan satu. Ini salah satu tanggungjawab yang dia kena buat mungkin.

~~ Kalaulah anak aku boleh berlegar di litar perlumbaan F1 apa agaknya aku rasa. Sudahlah perempuan! Kelakar dan suatu yang mustahil.~~


Monday, June 13, 2016

Berjauhan dengan keluarga lagi

Rutin kembali semula ke sekolah adalah saat berpisah lagi untuk sementara dengan anak. Demi kelangsungan kehidupan kena lalui juga. Memandangkan perjalanan dilalui tidak ada highway kenalah kami hantar adik balik sebelum pukul 12:00 tengahari. Singgah sebentar di masjid untuk solat zuhor dan membelikan adik kurma terus masuk asrama. Ke dua-dua kakak membantu mengemaskan katil dan almari adik. Pasangkan cadar, sarung bantal, susun semua makanan dan pakaian adik. Siap semua turun bawah, bersalam-salaman, peluk, cium sayang dan baca doa terus tinggalkan adik dlam lebih kurang jam 3:15 petang itu untuk sementara waktu. Ada masa kami akan datang menjenguk lagi. 

Siap gosok - Semua uniform dan pakaian adik yang sudah siap digosok dari rumah. Masuk kereta semuanya digantung di kanan dan kiri pintu belakang. Kami hantar adik dengan MPV sebab ada dua kakak ikut sama.
Jojo - Sibuk mahu ikut sama ketika semua penghuni sibuk mengemas dia pun mencari peluang keluar rumah menjelajah melihat pokok bunga mama. Bermain sendirian sebab sudah tidak ada kawan.
Telefon / MP3 - Biasa adik bawa ini tetapi kali ini adik hanya membawa telefon saja. Bukan mudah mahu mencari telefon yang tanpa kamera seperti ini. Dua minggu selepas adik tinggal di asrama waktu itu baru papa berjumpa. Itu pun selepas menempah dengan kedai telefon. Sekolah adik membenarkan membawa telefon bimbit yang tidak berkamera. Setiap hujung minggu akan diserahkan kepada murid dan sebelum hari Ahad kembalikan semula kepada warden. 
Pengalaman pertama buat adik berpuasa berjauhan dengan keluarga. Mama berbuka puasa dan bersahur pun masih teringatkan adik. Terkenang tahun lepas walaupun sudah berumur 12 tahun ada masa bila adik kata tidak mahu bersahur mama masih suap lagi di bilik. Tahun ini nampaknya adik benar-benar kena berdikari. Hati seorang mama biasalah mudah benar tersentuh. Makin papa pujuk makin luruh airmata mama ketika mahu berbaring selepas bersahur sementara menanti waktu subuh. Mahu membaca Quran pun bagaikan tidak ada semangat.

~~ Hari ini membaca isu berkaitan harga yang ada 99 sen. Mengapa masih ada sedangkan duit satu sen sudah tidak bernilai dipasaran. ~~


Tuesday, May 24, 2016

Sekadar menjadi wakil

Pada hari Sabtu lepas aku dengan hubby sengaja melewat-lewatkan untuk hadir ke majlis anugerah cemerlang di Sekolah Agama adik. Sekadar menjadi wakil memandangkan pada hari khamis ini sudah hari akhir persekolahan di Johor jadi tidaklah perlu mengambil adik balik untuk majlis ini. Kali ini adik mendapat anugerah cemerlang untuk keputusan peperiksaan akhir tahun 2015 di kelas dan SDEA (Sijil Darjah Enam Agama - di bawah Kementerian Pendidikan Agama Johor) tahun 2015.

Hadirin - Rata-rata ibu-bapa yang hadir adalah untuk sama-sama merakam detik indah anak-anak mengambil hadiah masing-masing. Apa yang menakjubkan ramai kalangan mereka yang cemerlang lahir dari ibu-bapa bukan warga Malaysia. Nasib baik adik tidak tewas dengan mereka semua.
Papa - Mahu tak mahu kena juga papa naik pentas menjadi wakil adik untuk kali pertama. Pemberi hadiah wakil kepada ADUN kawasan.  Aku guna kamera telefon zoom dari tempat duduk. Malu.
Kawan - Lagi lucu untuk kedua kali naik pentas yg memberi hadiah adalah kawan sendiri yang merupakan pengerusi badan kebajikan sekolah agama adik. Sebenarnya sebelum ini sudah cuba meminta kebenaran pihak sekolah untuk mengambil saja di belakang pentas tanpa di umumkan tapi cikgu mohon kerjasama kami untuk naik ke pentas juga.
Hadiah adik - Inilah hadiah terakhir adik untuk pembelajaran tahun 2015. Satu untuk hadiah keputusan dalam kelas dan satu lagi SDEA (Sijil Darjah Enam Agama). Sjilnya ada di dalam kereta hubby lagi lupa mahu keluarkan. 
Tahun ini adik akan menduduki peperiksaan SDKA (Sijil Darjah Khas Agama) pula. Sambung belajar untuk sekolah agamanya di MRSM belajar sekarang. Jabatan Pendidikan Agama Johor memberi kebenaran dan kelonggaran dalam hal ini - belajar di tempat terdekat dengan sekolah kebangsaan tetapi peperiksaan di ambil di tempat terdekat dengan rumah sebab peperiksaan dijalankan ketika cuti sekolah hujung tahun. Tetapi untuk peperiksaan hafazan dan bertulis tetap di JB di sekolah yang sama di sini. Hafazan tahun ini suroh Yasin dan Suroh Ar-Rohman; senang sedikit. Itu yang memudahkan untuk semua murid-murid termasuklah adik. 

~~ Jangan sesekali menganak-tirikan pembelajaraan sekolah agama anak-anak. Dunia dinikmati akhirat dijunjung tinggi.~~ 



Tuesday, May 10, 2016

Kasut canvas vs kasut kulit/pvc

Menjelang persekolahan tahun 2016.

Saban hari kerja adik membelek email untuk melihat jawapan penempatan sekolah tidak ada jawapan lalu akhirnya kena akur mendaftar dan membeli peralatan di sekolah terdekat dengan rumah. Adik kelihatan hampa namun itulah hakikatnya walau sudah berkali-kali kawan-kawannya juga menghadapi benda yang sama. Setelah empat tahun memakai kasut hitam ke sekolah (sejak tahun 3 hingga tahun 6)  adik menjangkakan pada tahun 2016 dia akan mula memakai kasut putih seperti sewaktu bersekolah di tahun 1 dan 2.

Baru sehari membeli kasut putih esoknya dapat pula surat tawaran ke sekolah kluster siap dengan senarai barangan keperluan termasuk kasut sekolah berwarna hitam. Malam itu kami keluar semula ke kedai kasut yang sama di Plaza Angsana menukar kepada kasut hitam. Namun sayangnya buku-buku yang kosnya lebih-kurang RM200/- terpaksa habis begitu saja. Mujur juga sewaktu membeli baju sukan ada sebahagian keperluan belum ada lagi. Bersekolah di sini membeli lagi keperluan seperti yang disenaraikan tapi juga hanya bertahan dua bulan baru tawaran ke sekolah idaman adik kini perolehi. Mujur buku sekloah kluster boleh digunakan di sekolah yang baru ini. Hanya syarat diberikan untuk kasut hitam kulit atau pvc. Jenis canvas yang baru dibeli dan dipakai tidak sampai dua bulan tidak menepati syarat. 
Jenis canvas - Kasut ini tidak dibenarkan untuk sekolah adik sekarang

Pengajaran buat anak-anak tahun 6 yang menduduki UPSR tahun ini sebaiknya untuk masuk tingkatan satu tahun depan pakailah dulu kasut lama atau jika membeli yang baru belilah yang harga murah bawah RM50/- saja. Sebab panggilan untuk ke sekolah berasrama hanya di buat pada pertengahan bulan Februari. Membazir jika kasut yang kita beli tidak boleh digunakan. Anak makcik bernasib baik sebab adik ada kakak yang merupakan pengawas sekolah memakai kasut canvas juga berwarna hitam. Anak-anak makcik mempunyai saiz kaki yang sama. Jadi kasut hitam canvas adik boleh dipakai oleh Kak Meen. Kesemua sahabat baik adik yang sama-sama di sekolah kluster juga sejak bulan Februari satu pun tidak ada di situ lagi. Masing-masing sudah terpisah sekolah.

Jumaat lepas ke sekolah adik kerana adik tidak sihat dengan suara sekali hilang. Kalau musabaqah mesti kecundang! Kasihan juga. Mama datang tanpa sebarang air sejuk. Bimbang bertambah teruk dengan demamnya lagi. Ke klinik mengambil ubat dapat cuti dua hari tetapi biasalah tetap ke sekolah juga sebab ubat sudah ada. Sabtu pula sedang mama berehat sambil melipat baju terdengar tangisan di hujung talian telefon. "Kasut sekolah adik terkopak. Macamana ni mama?". Terus saja mama dan papa bertolak lagi ke sekolah adik selepas berhenti sekejap di shopping mall membeli sepasang kasut dan sedikit makanan buatnya. Dua hari berturut-turut mama-papa 'mengukur jalan' dari JB ke sekolah adik. Memang letih.
Tapak - Habis terkopak tapaknya. Lihatlah bunga bawah kasut pun masih elok lagi tetapi sudah terkopak. Mungkin sebab rak kasut di corridor adik mendapat pancaran matahari panas lama-lama terkopak.

Kasut adik - Inilah kasutnya. Sudah papa bawa jumpa cobbler tampal dan kelihatan elok balik. Mungkin hujung minggu ini bolehlah berikan semula pada adik untuk dijadikan spare. Bila ada dua pasang mudahlah sikit.

~~Selagi adik masih belum betul-betul pandai berdikari mama/papa sentiasa mendekatkan diri dengan telefon bimbang ada panggilan darinya.~~




Tuesday, April 26, 2016

Selera rasa dari dapur mama

Hari Jumaat adalah hari cuti hujung minggu buat kerajaan Johor tetapi tidak buat aku yang bekerja swasta ini. Oleh itu selalu juga aku terpaksa mengambil cuti pada hari Jumaat kerana papa pada anak-anak ku juga cuti hujung minggunya setiap Jumaat dan Sabtu. Mengambil peluang menjenguk adik pada Jumaat lepas, kerana pada hari Sabtu ada kegiatan di sekolah Kak Meen pula. Memandangkan Jumaat bukan hari outing jadi mama masaklah apa yang adik pesankan.

Ikan toman ikan gelama
masak gulai makan di beranda 
walau biasa saja air tangan mama 
tetap nikmat buat anakanda

Pilihan -  Beralaskan kain batik saja. Selesai saja mengaminkan doa dari papa mulalah dari satu suapan ke satu suapan masuk ke mulut. Nikmat makan sambil di puput bayu.

Selera - Masakan mama biasa-biasa saja tapi itulah dikatakan anak tetap rindu masakan dari dapur mamanya.

Bekal - Nasi putih, sambal sotong/udang, ayam goreng, paprik ayam, sup sayur, ketam (papa tolong pepahkan untuk adik). Air cikong aku siapkan malam sebelum pergi. Rebus dried longan, masukkan dried sweet melon, red date, buah kabung dan laici. Gunakan gula batu. Tetapi ada juga bawa air masak dan belikan  adik air di Starbuck favouritenya.
Panjang umur, dimurahkan rezeki mungkin lima tahun akan berterusan beginilah perjalanan hidup keluarga kami. Dari satu anak ke satu anak kami laluinya bagini. Biasa untuk tingkatan satu/dua saja mama/papa agak kerap pergi berkunjung. Masuk tingkatan tiga dan seterusnya sudah agak mudah. Apa lagi apabila sudah di universiti pergi-balik pun sudah pandai uruskan sendiri. Hanya doa dan telefon sebagai penghubung kami.

~~ Selagi Allah pinjamkan nyawa tanggungjawab kenalah tunaikan.~~

Tuesday, April 12, 2016

Sekali melangkah usah berundur

Masa: Pagi Sabtu lepas
Tempat: Sekolah kebangsaan adik 

Lebih kurang jam 10:00 pagi dengan bertemankan mama/papa, adik sudah berada di dewan terbuka sekolah kebangsaannya yang lepas. Bertambah ceria bertemu dengan semua teman-teman sewaktu sama-sama belajar untuk peperiksaan UPSR yang mereka duduki pada tahun 2015. Pertemuan pagi itu sebagai memenuhi jemputan pihak sekolah untuk mengambil hadiah. Pada kami pula sebagai ibubapa kami mahu menghargai setiap titik peluh para kakitangan sekolah yang telah memberi kejayaan kepada anak-anak kami semua.

Hadirin - Pada hari tersebut juga berlangsungnya mesyuarat PIBG sekolah
Adik - Alhamdulillah penghargaan pihak sekolah diberikan tetapi buat kami sesungguhnya kami lebih-lebih lagi berterima kasih kepada seluruh warga pendidik di atas segala keringat tercurah buat adik.
Bertemu - Tidak disangka dipertemukan aku dengan anak-anak ini. TIba-tiba saja datang mengambil tangan aku untuk bersalam. Terkejut aku bila melihatnya. Mereka masih lagi ingat pada mama Zakie mereka ini. Anak-anak ini dulu menyewa tinggal bersebelahan rumahku. Selalu keluar masuk rumah kami bermain sehari suntuk selagi bundanya tidak datang memanggil memang tidak baliklah. Manja lagi dengan aku. 
Penghargaan - Inilah yang diberikan oleh pihak PIBG buat adik dan teman-temannya.
Sebelum majlis berakhir dengan cabutan nombor bertuah, kami sudah terpaksa meninggalkan dewan. Adik perlu bersiap untuk pulang ke asrama. Selepas solat zuhor saja kami bertolak. Singgah sebentar di shopping kompleks membelikan adik air mineral kerana di asrama dispenser air selalu kehabisan air. Tiba di sana singgah makan untuk mengisi perut. Lebih kurang jam 5:45 petang mama/papa tinggalkan adik dengan rasa sayu. Kalau papa pun selepas mencium dipeluknya adik lama-lama apalah lagi aku sebagai mamanya ini. Rasa sayang mahu melepaskan ciuman dan pelukan buat adik. Namun demi kehendak adik selepas peluk-cium dan bacaan Al-Insyirah di ubun-ubunnya kami berpisah sementara. Minggu depan mama/papa akan ke sana lagi.

~~ Sungguh masalah air benar-benar menguji penghuni asrama sekolah adik buat masa ini. ~~


Friday, April 8, 2016

Mencari timbangan yang seiring

Lumrah sebagai ibu-bapa rasa kerinduan itu ada bila berjauhan dengan anak-anak. Samada lokasi di luar negara atau sekadar bersempadan daerah rasa rindu yang membeku mampu mengalirkan airmata. Bukanlah dekat bermakna bila-bila masa boleh pergi bertandang. Disiplin dan undang-undang yang dikenakan kenalah kita akur sama. Sebab itulah aku tidak hairan mengapa ada anak-anak yang tidak tertanggung menahan rindu sehingga sanggup berpindah semula ke sekolah yang berdekatan dengan rumah sendiri hanya kerana mahu sentiasa melihat ibu-bapa ada di depan mata.

Mempunyai tiga anak tidak semuanya sama. Adik walaupun anak bongsu mempunyai jiwa yang kental. Biarpun mengalir airmata sewaktu hari pertama dihantar untuk berjauhan tetapi masih mampu tersenyum. Apabila ditanya mahu balik sekolah saja di sekolah berhampiran tetap tidak mahu. Adik ada misi dan cita-cita yang mahu dikejar. Apa pun aku bersyukur kerana adik masih boleh bersekolah agama di sana walaupun peperiksaan besarnya akan dijalankan di JB sini. Itu kebaikan sekolah agama di negeri Johor, tanah tumpahnya darahku. Dulu Kak Reen dan Kak Meen juga sama. Setiap Sabtu akan bersekolah agama di panggil Darjah Khas di Pontian tetapi peperiksaan Sijil Darjah Khas Agama (SDKA) di ambil di JB, di sekolah berhampiran dengan rumah.

Sijil sekolah agama selain UPKK sewaktu membuat permohonan UPU dulu, Kak Reen juga menggunakan sijil SDEA (Sijil Darjah Enam Agama) dan SDKA (Sijil Darjah Khas Agama) untuk mengambil aliran undang-undang di tempat pengajiannya kini. Oleh itu selain keputusan SPM yang diperolehi  sijil-sijil aliran agama juga membantu banyak bidang pengajian yang mahu dipilih. Apa pun yang pasti seiringkan dunia dan akhirat. 

~~ Takut bila di 'sana' kelak bila ditanya banyak tanggungjawab yang tidak dilaksanakan. Zapp! 'rotan' malaikat Allah mampukan kita menahannya. Masya-Allah takutnya..~~

Tuesday, April 5, 2016

Panas, air dan keluhan

Sabtu, Ahad dan Isnin melayan adik. Ujian seketika yang kami pasti akan ada keindahan dihujungnya. Teruskan berdoa dan tawakkal kerana kita tidak ada kemampuan tanpa izin dan kasih-sayangNya. Cuaca di Mersing agak panas berbanding JB. Asrama manalah ada pendingin hawa. Sabar dan redhalah demi mahu meraih kejayaan di masa depan. Adik kira beuntung duduk di asrama penempatan satu bilik hanya empat pelajar berbanding kakak-kakak dulu satu bilik berkongsi 10 sahabat. Ingatan Allah berikan buat kita seluruh hambaNya kerana semakin ramai yang lalai.

Cari air-cond - Pagi lagi kami bawa adik makan di Chicken Rice Shop cari yang ada pendingin hawa. Bagi keselesaan. Malamnya kami tidur di hotel berkekatan untuk bagi sejuk juga.  Makan di tepi pantai Mersing - sejuk udara pantai malam. Siang tengahari makan di KFC bagi suasana sejuk juga sebelum balik asrama semula.
Chicken roast - Makan nasi ayam dengan chicken roast ini.
Pie tie - Tidak pernah tinggal untuk membeli set ini setiap kali masuk
Panas - Betullah kalau di JB Mimik pun tidak tahan panas mencari sink untuk merehatkan diri apa lagi adik di Mersing suhunya agak lebih panas.
Ceria - Ini yang mama mahu.  
Adik boleh -  Kalau kawan-kawan boleh mengapa tidak adik.

Redha - Catuan air kenalah dihadapi dengan rasa rendah diri.
Peace - Itu lebih baik dari mengeluh. 
Khamis ini papa akan jemput adik balik kerana pada hari Sabtu ini ada anugerah cemerlang untuk murid UPSR 2015 di sekolah rendah adik yang lama. Balik rumah bolehlah menikmati suasana sejuk seketika sebelum kena balik semula pada petangnya. Begitulah selagi masih bergelar seorang pelajar. Ingat pesanan allahyarhamah nenek "Bila panas jangan mengeluh banyakkan istighfar." 

~~ Setiap apa juga ujian yang Allah berikan pasti ada hikmahnya. Catuan air satu yang sangat sinonim bila musim panas.~~