Showing posts with label Ayam. Show all posts
Showing posts with label Ayam. Show all posts

Tuesday, December 27, 2016

Gagah pun akan disembelih jua

Bila banyak yang jantan masing-masing tunjuk gagah. 
Asyik bergaduh berebut betina tidak sudah.






~~  Cara terbaik kurangkan kuantiti, jadikan gulai untuk hidangan famili.~~


Friday, November 25, 2016

Tidak ada tuah pada angka

Entah mengapa malam itu sebelum melelapkan mata boleh pula bercerita tentang ayam. Biarpun kami tinggal di bandar tetapi jiwa kampung sangat kental dan kejap dalam diri. Dua-dua. Aku dan hubby sama. Mungkin sebab kami sama-sama dilahirkan di kampung. Bersekolah rendah di kampung. Susah-senang kehidupan zaman kanak-kanak juga di kampung.

Bermula mengambil anak-anak ayam di kampung aku sebab almarhum bapak waktu itu sakit itulah menjadi titik-tolak akhirnya rumah corner lot kami yang kosong tidak kami sewakan. Bahkan menjadi kebun dan tempat 'riadah' istimewa buat aku dan hubby berkebun. Ibu ayam yang pertama bertelur 13 biji tetapi hanya 11 yang menetas menjadi anak ayam. Membesar sehingga agak dua kepal saiz tangan, malangnya menjadi mangsa kucing. Mungkin disangka burung. Maka tinggallah 5 ekor. Tidak lama ada ibu ayam yang lain pula juga entah dimana dia bertelur dan mengeram tidak dapat di kesan. Hanya balik untuk makan. Tiba-tiba balik sudah mencicit-cicit bunyi anak ayam. Berapa jumlahnya? Juga 11 ekor! Mestilah hubby gelihati memandangkan setiap ayam dibela suka betul memberi hasil 11. Bimbang dia makan angin jauh-jauh terpaksalah kini dikurung.  Kini ada lagi ibu ayam yang juga menghasilkan 11 ekor anak. Ibu ayam ini merupakan ibu muda😀sebab baru pertama kali menghasilkan anak-anak yang comel. Sangat garang tidak boleh dijenguk. Hanya dengan tuan dia saja dia tidak marah. Itu pun sudah jelas mengeluarkan bunyi dia nampak sangat caring pada anak-anaknya.

Sayang - Ibu ayam ini pandai jaga anak tapi sudah tidak garang sangat berbanding ibu ayam yang di bawa gambar ini. Tapi anaknya sudah nakal sebab sudah besar sedikit. Susah hendak dapatkan mereka berkumpul sama untuk aku dapatkan 11 ekor semuanya dalam satu gambar.
Garang - Ibu muda ini garang. Marah bila aku mahu ambil gambar dia dan anak-anaknya. Jenuh menunggu mereka berkumpul kesemua 11 ekor anaknya tidak dapat. Sama macam di atas ada saja yang lari dari ibunya. Yang ini masih comel sangat. Bungalow dia hijau 😊
Makan sayur - Ayam-ayam hubby suka makan sayur. Sebab itu setiap pagi akan pergi ke pasar untuk dapatkan sayur dari orang pasar. FOC saja sebab dia sudah tahu hubby gunakan untuk bagi makan ayam. 
Sebenarnya hubby lahir pada bulan 11 (November). Itu yang kami kata agaknya hubby serasi dengan angka 11. Tapi jangan tidak tahu semua kenderaan kami tempah membawa pendaftaran nombor 982 bukan 11. Apa pun tidak ada tuah pada angka sebenarnya. Jika ada terjentik kepercayaan bimbang membawa khurafat. Na'uzubillah..

~~ "... sesiapa diantara kamu yang murtad dari agamanya lalu dia mati di dalam keadaan kafir, maka orang yang demikian rosak binasalah amal usahanya yang baik di dunia dan akhirat serta mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya untuk selama-lamanya." - (Al- Baqaroh:217).~~


Tuesday, March 29, 2016

Tidak ada beban batu digalas

Tujuan asal disebabkan rasa kasihan. Mahu membantu tetapi akibatnya menjadi tanggung-jawab untuk menjaganya. Ditempatkan di rumah sewa kami yang corner lot dan telah kosong buat masa ini bolehlah mereka berkejaran ke sana-sini. Ada bunyi anak kucing, tidak kurang bunyi anak ayam. Sebelum keluar rumah kini rutin hubby selain mencuci baju hingga menyidai ada lagi rutin tambahan buatnya. Memberi makan anak-anak kucing dan anak ayam yang sepuluh ekor. 

Empat ekor - Sudah semakin membesar dan makin manja dengan Kak Meen dan Kak Mira
Anak kucing ini hasil dari si ibu yang menumpang rumah kami. Anak ayam pula dek kerana rumah bapak sudah tidak ada sesiapa bimbang ayam kelaparan atau dimakan anjing lalu dibawa balik JB. Menjadi kerja pada hari Ahad lepas anak-anak ayam dengan ibunya boleh pula jalan-jalan makan angin di luar pagar bawah pokok mata kucing. Bingung aku dibuatnya sebab selain geli dengan kucing aku juga geli dengan anak ayam. Tengok bolehlah tapi untuk aku menangkap dengan tangan ini upah seribu pun aku tidak berani. Tangkap ibu ayam lagilah aku takut kena serang. Akibatnya bila aku halau-halau suruh masuk pagar "Syuhhh!! Syuhh!.. ibu ayam dengan tiga anaknya terjun ke dalam longkang. Apa lagi terus saja aku telefon hubby. Orang sedang di dalam meeting tetapi tetap boleh aku kata urgent!  Berpeluh-peluh aku dibuat oleh si anak-anak ayam tersebut. Mujur juga ada anak buah aku, Kak Mira yang duduk dengan kami, dialah yang menangkap anak-anak ayam tersebut dan masukkan ke dalam kotak sementara. Tiga ekor lagi di dalam longkang dengan si ibu kami biarkan. Nasib baik longkang jenis yang tidak ada air. Umpan dengan jagung tapi tidak jalan, mungkin sebab sudah kenyang.  Hampir 3 jam baru hubby kata "Biarkan saja tunggu abang balik".

Dalam sangkar - Sudah kena kurung sementara tuannya mencari rumah lebih besar. Ini rumah anak kucing sebenarnya. Comel lagi anak-anaknya.  Semua sekali ada 10 tapi dalam gambar ini kelihatan sebahagian saja sebab yang lain ada dibawah ketiak ibunya  (eh.. ayam ada ketiak ke? hihi....).
Hari Ahad yang sepatutnya aku dan Kak Mira (anak buah aku) berehat tapi sepagian kami diuji dengan anak-anak ayam tersebut. Balik dari kerja itulah hubby masukkan ke dalam rumah kucing untuk mengelakkan anak-anak ayam dari keluar berkeliaran. Entah bilalah akan dibawa balik semula ke kampung belum ada kelapangan. Tidak kisahlah bawa balik kampung Batu Pahat atau Pontian, janji hantar semuanya balik kampung. 

~~ Nama pun ayam kampung mestilah kampung juga yang sesuai buatnya. ~~


Friday, January 1, 2016

Lapar tapi kenyang

Keluar untuk membeli stationery keperluan sekolah tetapi lebihnya membeli yang lain. Hati tetap mahu memenuhi kehendaknya bila dikatakan "nanti adik duduk asrama entah bila dapat lagi keluar macam ini". Sayu hati bila itu yang dikatakan.

Mee kari - Adik dengan mee kari tidak boleh dipisahkan.

Bubur  coleslow - Ini pilihan Kak Meen

Mama punya - Apa pun ayam itu akhirnya bungkus bawa balik adik juga yang makan. 
Sebelum cuti sekolah terasa lamanya cuti sekolah. Namun pejam-celik-pejam-celik tahu-tahu tahun 2016 menjelang tiba. Belum puas mengulek adik sudah mahu duduk di asrama. Wahai hati mama kuatlah kau sebagaimana anakmu. Bila menghadapi saat-saat begini walau perut lapar tapi bila ada hidangan di depan mata terasa kenyanglah pula.

~~ Setiap kali anak keluar untuk tinggal di asrama naluri aku dipagut rasa kelainan. Airmata mudah benar mahu luruh. ~~

Monday, November 3, 2014

Nasi Maqluba Ayam Irfa

* Cempedak menjadi nangka, sungguh tidak disangka, entri ini telah hilang seketika, kini aku olah kembali menjadi begini.* Andai ada yang telah membaca hilang sekerat jalan sungguh amat dikesali. Aku pun tidak tahu mengapa jadi begitu. Apa yang pasti olahan bahasanya telah berubah. Mohon maaf - Admin Titisan Nurani. *

Semalam hari Tasua' dan hari ini hari Assyura. Bersama kita berdoa moga Muharram ini dapat menambah kekentalan iman hati nurani kita. Dapat menghapus dosa tahun yang lalu dan tahun yang akan datang. Walau bagaimanapun sebagaimna siraman rohani, jasmani juga tidak boleh dilupakan. Aku memulakan memasak nasi yang diperolehi dari teman blogger Irfa. Membeli tiga resepi yang setiap satu aku beli 2 kotak.
Persediaan 1 -  Bahan mentah beras dan rempah maqluba dan rempah 3 sekawan diberikan sama. Semua langkah aku ikut sebagiman tertera di belakang kotak. Hanya minyak masak tidak dinyatakan lalu aku gunakan minyak yang aku ada. Stu sudu dari botol sebelah dan satu sudu botol lagi satu. Ayam aku pilih peha L saja mudah untuk memanggang. Bawang putih & bawan besar tidak perlulah ditunjuk di sini.
Persediaan 2 - Kesemua bahan mentah yang perlu digoreng melainkan tomato. 100% aku mengikut langkah yang disertakan kerana bimbang salah langkah lain pula jadinya.
Sedia untuk dimakan - Atas Kak Meen punya dan bawah adik punya.
Pelengkap hidangan - Sungguh dengan adanya dua ini menambah keenakan hidangan. Bukan kerana aku pandai memasak tetapi pencipta resepi dan langkah yang ditunjukkan itulah yang pandai.  Aku sekadar mengikut arahan saja.
Tradisi Johor - Oleh kerana secara kebetulan semalam merupakan hari ulangtahun hubby jadi aku juga ada menyediakan hidangan asam pedas dan sup ayam. Semalam juga kami semua tidak berpuasa. Tetapi  asam pedas dan sup ayam inilah yang kami sekeluarga makan untuk bersahur pagi tadi. Adik bertanya ayam panggang maqluba tapi sudah habis - kasihan. Lain kali mama masak lagi ye sayang - masih ada satu kotak lagi jangan bimbang.
Nasi Maqluma Ayam - Inilah set yang kami masak semalam. Buat kami berlima sangat berbaloi kerana boleh makan hingga dua kali. Hubby jua berkata sekiranya habis bolehlah membeli lagi.

Kepada sahabat-handai-rakan-taulan atau anak-adik yang ingin membeli atau mencuba silalah berkunjung ke blog Irfa atau blog businessnya di sini.

~~ Teringin menikmati hidangan tradisi negara lain amat mudah kini. Masukkan duit online, tidak lama barang pesanan sampai. Cepat, mudah dan sedap.~~

Thursday, September 13, 2012

Ayam kampung lagi cerdik dari ayam bandar

Cerita ayam lagi...

Ayam pun pandai menilai tujuan kita memberi makan kerana hendak ditangkap untuk disembelih atau sebaliknya. Ini ayam kampung bukan ayam ternak yang putih-putih gebus itu. Bagaikan ada perasaan ayam-ayam itu tidak mahu masuk ke dalam reban. Hari itu sewaktu hubby balik untuk membayar gaji pekerja bapak, konon hendaklah menangkap ayam kampung yang bapak bela dalam 2-3 ekor. Sebelum balik bapak telah ajar cara mudah untuk menangkapnya tetapi ayam-ayam semua bagaikan tahu yang memberi makan kali ini bukan tuannya. Jagung sudah ditabur di dalam reban tapi satu pun tidak ada yang hendak masuk. 

Menanti dari jam 10:00 pagi sehingga hampir waktu zuhor baru ada 3-4 ekor yang masuk reban dan itu pun bukan ayam sasaran. Ada yang masuk pagut sedikit lari keluar semula. Hubby mengintai dari celah pintu dapur. Sudah macam zoro main intai-intai dan sorok-sorok - gelihati. Dari 3-4 ekor pula hanya seekor yang layak disembelih. Dalam hati hubby masa itu dapat seekor pun jadilah. Apa lagi hubby masuk reban tersebut dan tutup pintu. Bergelumanglah hubby dengan ayam-ayam di dalam reban yang kecoh-sibuk-terbang sana-sini dan cuba mengelak dari ditangkap. Akhirnya dapatlah si jantan seekor. Selamat sudah jadi santapan kami sekeluarga.

 ~~ Ayam pun tahu siapa tuan dia. Kalau dengan bapak siap boleh makan di atas tapak tangan lagi.~~