Showing posts with label lupa. Show all posts
Showing posts with label lupa. Show all posts

Thursday, July 2, 2015

Ralat - Hendak cepat berhari Raya

Ralat. Itu yang mahu aku katakan. Post semalam jika dilihat aku sangkakan hari ini 16 ramadhan tetapi esok sebenarnya baru 16 ramadhan. Semalam petang ketika di dapur dengan Mak Zah bila aku katakan "malam ni nak qunut kan" . Terus Mak Zah katakan yang puasa baru hendak masuk 15 hari. Alahai hendak cepat beraya sangat makcik ini. Mohon ampun dan maaf atas kesilapan yang tidak aku sedari.

Lihat - Pada malam yang ke 16 ramadhan hingga akhir ramadhan ......
Doa Qunut - Malam ini baru betul ia akan mula di baca sewaktu witir.  Ampun dan maaf kepada semua.
Panduan - Lihat betapa lama setiap tahun buku ini akan menemani aku setiap malam.  Sewaktu buku ini dicetak Datuk Hj. Noh Gadut baru timbalan mufti negeri Johor.
Kulit luar - Inilah bukunya. Sudah pudar.
Hari ini baru 15 Ramadhan bukan 16 sekali lagi aku mengingatkan diri sendiri. Lihatlah bila diri dipanjat usia hal begini pun boleh terlepas pandang. Dua-tiga kali aku membelek kalendar untuk membuat kepastian. Bila ABC awal-awal bulan memang hal begini boleh terjadi. Orang lain sudah banyak hari berpuasa dan ada yang sudah khatam membaca Al-Quran kita tidak lagi itulah jadinya.

~~ Manusia dan lupa tidak dapat dipisahkan. Maaf sekali lagi dari diri ini.~~


Friday, May 29, 2015

Bila ibu-mama-emak-umi-mummy teruja

Lupa diri. Malu untuk ke hadapan semua di tolak tepi demi kerana anak. Tanpa rasa segan-silu lorong pemisah antara kerusi hadirian kaum wanita dan lelaki diredah cepat dan serta-merta sesak. Masing-masing teruja mahu melihat anak-anak membuat persembahan. Kalau setakat mengambil gambar tidak ada masalah sebab klik sekali sudah habis. Tetapi apabila terujanya masing-masing mahu merakam video persembahan dari mula anak menaiki pentas sehingga persembahan berakhir beginilah jadinya. Bahagian hadapan pentas dipenuhi oleh wanita yang sedia dengan gadjet untuk merakam. Penonton di belakang melihat bahagian belakang mereka.

Menutup pandangan - Teruja merakam persembahan lupa di belakang mereka ada ramai penonton melihat bahagian belakang masing-masing yang size kebanyakkannya jika duduk di kerusi penuh satu kerusi. (Waktu ini adalah persembahan anak-anak TAJ - Tadika Agama Johor membuat persembahan nasyid). 
Begitulah bila sudah teruja lupa kanan-kiri-depan-belakang. Lihatlah anak-anak betapa seorang wanita yang kamu panggil mak-ibu-mama-mummy-umi ini mampu berbuat apa saja demi anak yang dikasihi. Lupa seketika yang dibelakang mereka ramai insan bergelar ayah/papa/daddy/abuya/abi melihat belakang mereka. Kami terperanjat kerana tiba-tiba ramai wanita berduyun ke hadapan pentas. Sungguh waktu itu kami langsung tidak dapat melihat persembahan anak-anak mereka dari mula sehingga akhir persembahan hanya kerana masing-masing mahu merakam video. Mungkin tidak puas merakam dari tempat duduk. Aku saja mengambil gambar adik mengambil hadiah dari tempat duduk yang aku zoom tapi memang kurang jelas.

~~ Rasululllah SAW bersabda yang bermaksud:  Malu sentiasa seiring dengan iman, bila salah satunya tercabut hilanglah yang lainnya. (Riwayat al-Hakim). ~~




Thursday, September 11, 2014

Bila lupa singgah dalam diri

Sebaik anak-anak yang mengaji balik kami segera bersiap untuk keluar makan malam di luar. Anak dara sudah aku beritahu awal-awal sebelum mama selesai mengajar mengaji, pastikan semua sudah sedia.  Biasa sangat kena menunggu anak dara membetulkan tudung yang berpusing-pusing. Risau aku dibuatnya. Tetapi malam itu apabila semua sudah selesai, hairan aku melihat hubby masih keluar-masuk bilik. Biasa kami sedang bersiap, enjin kereta sudah dihidupkan. Sebaik aku keluar bilik baru aku tahu hubby dan Mak Zah sibuk mencari kunci kereta. 

Malam itu terpaksa menggunakan kunci pendua yang remotenya sudah tidak berfungsi. Betul-betul hubby lupa dan kami tidak jumpa kunci tersebut. Hendak bawa kereta kerja biasalah kereta hubby macam-macam khazanah, anak-anak kurang suka. Kereta aku pula biasalah mandinya sebulan sekali (tapi dalam kereta aku bersih/wangi tau hihi...). Akhirnya keluar dan singgah di kedai membuat kunci kereta. 

Hijau - Fancy pula bila dah tua-tua pegang kunci warna hijau begini. Warna hitam dan kelabu sudah kehabisan stok. Ambil sajalah. Adik suka warna ini sweet katanya:) Tukang repair itu setting balik chip dalam remote rosak menggunakan komputernya dan dimasukkan ke dalam casing baru ini.
Kilat - Kalau mama yang pegang masih ok lagi tapi kalau papa terasa janggal pula. Kalau tidak kerana hilang kunci asal sampai bila-bila kunci kedua tidak dibetulkan. Elok jugalah sekarang dua-dua sudah berfungsi.
Balik dari makan malam kami ligat mencari lagi kunci asal. "Baik solat minta petunjuk" itu jalan terakhir. Sambil itu masih kebingungan. Kawan-kawan mahu tahu dimana hubby sumbat kunci itu? Mujur aku boleh terfikir "Cuba abang tengok kocek seluar abang solat asar petang tadi". Betul! kunci itu di dalam kocek seluar yang sudah di dalam mesin basuh. Nasib baik Mak Zah belum mencuci lagi. Kalau esok paginya pasti sudah bergumpal di dalam mesin. Sebenarnya petang itu balik dari solat Asar hubby ada memanaskan enjin kereta itu yang agaknya selepas itu lupa untuk sangkut di tempat kunci tapi masuk di dalam poket seluar.

~~ Bila usia bertambah sifat lupa tidak mudah lari dari diri.~~

Thursday, June 19, 2014

Pagi semalam yang memalukan

Pagi semalam. Kereta sudah berada di plaza toll. Sebaik menghulur tunai RM2.10/- dikatakan tidak ada lagi sistem tunai. Semua bayaran kena menggunakan Touch & Go atau Smart-Tag. Belum pun sampai dua-tiga minit kereta aku tidak bergerak, kenderaan di belakang aku sudah banyak berderet panjang. Bunyi hon sudah bergilir-gilir. Aduhai apalah tidak kenanya dengan makcik di depan? Mungkin itu yang terfikir di kepala masing-masing. Aku jadi tidak tentu arah. Akibat bertukar kereta aku terlupa mengeluarkan kad Touch & Go dari kereta tersebut. Anak dara sulung mahu menggunakan kereta aku untuk ke sekolah lamanya sehari lebih awal bagi menduduki peperiksaan MUET hari ini (doakan moga dipermudahkan). Bawa MPV dia tidak berani. Aku mengalah lalu pergi kerja semalam dengan kereta yang selalu digunakan untuk kegunaan keluarga makan angin, tanpa sedar tidak ada kad Touch & Go mahupun Smart-Tag.

Kad pengenalan - Mujur baru membuat kad pengenalan. Hulur note 50 ringgit katakan mahu masukkan dlm kad pengenalan. Mungkin kalut adik itu hanya masukkan 10 ringgit. Rasanya ada 2-3 minit juga masa diambil. Sebaik bunyi 'tet' bila kad pengenalan di sentuhkan - palang ternganga. Berdesup aku memandu. Malu yang amat sangat!

Luput 2024 - Hee.... kalau ikut tahun itu aku pencen hahaha... masa ini sudah tidak perlu guna agaknya. Tapi kad pengenalan kalau Allah panjangkan umur masihlah diperlukan.
Gara-gara terlupa Touch & Go inilah akibatnya. Tambah malang di Toll Kempas ini tidak boleh menggunakan tunai lagi. Semua kena T&G dan Smart-Tag. Kepada teman-teman yang menggunakan highway ini kenalah beringat jangan jadi seperti yang terjadi pada diriku semalam. 

~~ Akibat kecuaian aku ramai yang menanggung akibatnya. Biarpun sekadar 2-3 minit tetapi sudah mengganggu ramai orang. Maafkan aku kepada mereka yang terganggu semalam.~~


Monday, January 20, 2014

Sabtu tanpa plastik

Tiga hari bercuti terasa seronok walaupun agak penat. Anak-anak juga bercuti sama. Peluang digunakan untuk membeli barang keperluan rumah dan juga barang keperluan anak-anak untuk dibawa balik ke sekolah. Sebaik masuk ke puast membeli-belah baru tersedar tidak membawa beg barang, sedangkan hari itu adalah hari Sabtu. Mencari langkah tidak mahu membayar seperti biasa lalu kami menggunakan plastik sampah yang kami beli sebagai plastik bakul sampah untuk kegunaan rumah.

Empat plastik - Lihatlah bagaikan sampah berlonggok di dapur kami.
Isi - sebahagian yang belum di kemas oleh Mak Zah. Mengagih mana barang kegunaan rumah dan mana kegunaan anak untuk dibawa balik
Yasmien punya - Kakak Nurienne punya sudah siap masuk ke plastik dan simpan di dalam bilik. Yasmien punya masih berlonggok menanti untuk dikemaskan.
Selalu sudah beringat bila berbelanja di hari Sabtu jangan lupa membawa plastik tetapi sebab Jumaat sudah bercuti terasa hari Sabtu itu bagaikan hari Ahad. Itu yang lupa walau sebenarnya beg ada di dalam kereta. Tetapi memandangkan kaki masing-masing malas menapak turun ke bawah menuju tempat parkir, guna sahajalah plastik sampah yang dibeli.

~~ Bila diri kian di mamah usia, hari yang dilalui juga ada kalanya terlupa hari apa.~~