Forum bersempena bulan rabiul-awwal malam Ahad yang lalu menjentik banyak hati-hati kami sebagai jemaah malam itu. Kupasan yang dibawa oleh ustaz-ustaz jemputan kami bukan saja membuka kedua mata kami bahkan juga mata hati kami dengan seluas-luasnya.
Isu fahaman mazhab yang berbeza sehingga mampu memporak-perandakan silaturrahim sesama umat Muhammad kian menjadi-jadi. Pertelagahan bukan saja dikalangan rakan-taulan, keluarga, di dalam rumah ibadah bahkan menular sehingga ke media alam maya. Contohnya masalah letak tangan selepas takbiratul-ihram. Ada yang mengatakan terbaik letak di atas dada. Ada juga kata letak di atas pusat. Ada juga yang kata tidak perlu letak tangan di atas. Semua ini kalau kita perhatikan boleh dilihat ketika kita berada di masjidil-haram atau masjidin-nabawi. Mengapa isu remeh ini yang disibukkan. Letak tangan mana pun tidak menjadi masalah. Tapi yang menjadi masalah sebenarnya kaki. Tahu mengapa dikatakan kaki yang jadi masalah. Sebab sebaiknya bawalah kaki itu bersolat di masjid bukan di rumah (bukan bermakna solat di rumah tidak boleh tetapi ganjaran solat di masjid 27 kali ganda). Letak tangan selepas takbir itu tidak menjadi masalah. Sebaik ustaz berkata demikian sudah pasti ramai jemaah yang tergelak dan menggangguk setuju akan kebenarannya.
Umat Islam hari ini kian tercabar dan dicabar keimanannya. Mereka yang dikatakan ilmuan tapi ada kalanya bila godaan syaitan tidak dapat ditangkis dengan hal yang sedikit mampu menjerumus ke lembah hina. Seorang agamawan yang telus pun boleh dipersendakan hanya dengan hujung jari sehingga akhirnya kerjaya disandang terjejas. Contohnya seorang ustaz yang gigih berdakwah memberi contoh cara bersyukur kerana dikurniakan rezeki dengan mencium buah epal. Tetapi bila keluar gambar di alam maya gambar ustaz mencium gambar wanita. Semua ini tidak mustahil di era zaman ini apa pun boleh dilakukan janji mendapat kepuasan. Dosa pahala semua tidak menjadi soal.
Jika mahu dikupas isu umat Muhammad di akhir zaman terlalu banyak hingga ada kalanya bagai menggugat keimanan yang terlalu nipis. Berlai-lari ke sana-sini saban hari sambil dalam hati berfikir akan bertaubat tahun hadapan. Tahun hadapannya begitu juga azam dibuat. Akhirnya azam dari usia belasan tahun berpanjangan sehingga usia pencen. Bila pencen dengan kudrat sudah tidak segagah dulu mahu membuat ibadah berlebihan sudah tidak mampu. Akhirnya ketika izraeil datang menjemput roh menjerit mohon dikembalikan kerana terasa bekalan belum mencukupi. Allahurobbi!!
~~ Ilmu, musyawwarah dan taqwa tiga yang perlu ada dalam diri kita semua sebagai umat Muhammad di akhir zaman. Moga kita menjadi umat yang mendapat syafaatnya. Allahumma solli 'alasayyidina Muhammad.~~






































