Showing posts with label Motivation. Show all posts
Showing posts with label Motivation. Show all posts

Friday, April 1, 2016

Projek sunnah Mekaray Ventures

Rumahku kini sudah tidak ada pembantu. Jika hari sekolah dan hari bekerja kosonglah rumah di waktu siang. Sekiranya ada titipan yang memerlukan pengesahan atau tandatangan pasti pengakhirannya kami kena mengambilnya di pejabat penghantaran terdekat. Begitulah dengan penghantaran product Mekaray Ventures (MV) yang dihantar oleh teman blogger Zul Fattah buat diriku ini. 

Sorry - Sebenarnya 30-03-2016 lagi barang sudah tiba di rumah tetapi dikembalikan ke pejabat GDEX berhampiran sebab rumah kami kosong. Nasib baik pejabatnya dekat saja dengan rumah kami
Mekaray Ventures - Triple-M inilah yang dikirimkan buat diriku. Terima kasih Zul Fattah bagi peluang untuk kakak menikmatinya.
Tersusun - Cantik tersusun di dalam kotak. seenak rasa yang telah kami nikmati.
Sachet - Bancuhlah dengan air panas untuk menikmatinya. Malam tadi sudah aku bancuh satu sachet dan pagi ini juga satu sachet. Kesegaran terasa bukan saja enak di tekak tetapi juga selesa di badan.
Zul baru berkecimpung dengan MV tetapi sudah boleh menarik nafas lega. Kepada yang mahu turut jejak langkahnya boleh klik di sini dan silalah bertanya padanya. 
Pemilihan Zul untuk berkecimpung dalam bidang ini ternyata langkah yang tepat. Sebelum meninggalkan kerjaya yang digenggam beliau ada menyatakan samada langkah dibuat betul atau sebaliknya. Aku yang pada mulanya cuak tidak menyangka penghujungnya ada sinar indah telah diraih olehnya. Tahniah Zul! Dari kejauhan ini kakak mendoakan moga product/projek sunnah terbaik ini mempu memberi kebaikan umat sejagat umumnya dan memberi kejayaan buat Zul. Terima kasih sekali lagi dari kami sekeluarga.

~~ Buat teman-teman yang ingin mencuba sila hubungi Zul di sini. Atau email zulfattah91@gmail.com ~~


Friday, October 23, 2015

"Rancangan tergendala sebentar"

Hari ini 10 Muharram. Tarikh yang terlalu banyak tragedi dalam sejarah Islam. Sekadar sama-sama mengingat betapa hari ini kita sudah terlalu banyak nikmat yang Allah berikan. Tidak mahu membariskan rentetan yang banyak terjadi aku kisahkan hal dua hari lepas.

Rutin biasa selepas maghrib akan kedengaran satu persatu suara anak-anak memberi salam. Masing-masing sudah arif siapa yang masuk dulu dialah yang akan duduk bersila di hadapan mama ini. Mereka juga tahu sementara menunggu giliran mereka membaca dulu apa yang akan dibaca nanti. Sedang khusyuk mendengar salah seorang anak membaca tiba-tiba ada suara "terkencinglah mama." Kakak sepupunya sudah masam muka. Sebab ini bukan kali pertama terjadi. Kakak sepupunya pula anak perempuan baru berusia 9 tahun merupakan anak bongsu.  Kalau sebelum ini ada kakak lebih besar boleh membantu, kali ini sudah pasti dia tidak tahu. Terpaksa memanggil Kak Meen menguruskan bujang cilik baru berusia 4 tahun itu. Ambil gayong cuci kaki lap lepas itu masuk dalam bilik air mandikan. tersipu-sipu Kak Meen memandikan sebab biasa adik-beradik semuanya 'bunga' belaka, kali ini kena mandikan budak ada 'kuntum'. Alahai mahu mengharapkan siapa lagi. Mak Zah di bilik sebelah pun sedang khusyuk membaca Al-Quran juga.
Seluar/baju lama - Malam tadi datang mengaji dipulangkan baju ini walaupun aku sudah kata tak payah pulang boleh bagi adik pakai sebab dia ada adik perempuan yang kini berusia 2 tahun lebih.
 "Rancangan tergendala sebentar" Itu kata anak-anak. Senyum kami semua dibuat si Danish. Selesai memandikan Kak Meen serah pada mama. Semua kena keluar bilik sebab mama mahu pakaikan hero satu ini 'baju baru'. Bongkar kotak baju lama. Jumpa seluar panjang entah Kak Reen, Kak Meen atau adik punya. Tanpa berseluar dalam terus pakaikan seluar lama yang masih elok. Mana ada seluar dalam lelaki kecil di rumah kami. T-shirt adik tentulah ala-ala perempuan terpaksa disarungkan juga. Mujurlah dia masih kecil tidak malu lagi. Selepas dibedak dan disikat terus senyum. Tapi ada kawan-kawan yang melihat yang mahu ketawa aku jegilkan mata. Tidak berani mahu mengejek. Selesai kerja mama baru sambung 'rancangan yang tergendala'. Danish bercuti membaca Iqra'. Santai-santai bagai tidak ada apa yang berlaku. Boleh main-main lagi sedangkan Kak Meen masih dengan kerja mambersihkan kencing dia di lantai. Lihatlah itu dikatakan budak.

Lengan baju - Sudah aku kata baju anak aku semuanya anak dara. Mujur bujang cilik masih tidak malu lagi. Mana boleh pakai balik jubah yang sudah kena kencing. Terpaksalah memakai baju lama ini.
Sesekali tergendala tidak mengapa. Biar tergendala sekarang jangan tergendala kelak ketika meniti titian as-sirot. Lain kali dia tahu sebelum datang rumah mama dia akan buang air dulu. Itu janjinya. 

~~ Biarpun pelat dan susah pada awalnya tapi kini dia sudah mampu mengenal huruf dan makhrojal jauh lebih baik berbanding pada awalnya dulu. Sudah masuk Iqra' 3 pun. ~~


Thursday, October 8, 2015

Jangan simpan kisah semalam jika...

....kisah semalam adalah kisah pahit yang menyesak di dalam dada, 
lupakan saja supaya tidak stress. 
Ambil iktibar dan tanam di dalam hati tidak mahu ianya akan berulang lagi dalam hidup. 
Tidak perlu dikenang dan berdendam.
Buang dan lontar jauh-jauh semua yang hitam dan bernanah.
Buat kata putus - mahu mencari yang putih. 
Putih dan bersih ibarat gigi yang selalu digosok tanpa rasa jemu. 
Tekad juga mahu segala perkataan yang mahu diluah juga yang baik-baik. 
Urus perasaan semampu boleh dan pujuk untuk damaikan hati. 
Serahkan diri kepada Allah dan percaya jika baik yang kita mahu baiklah jadinya.
Yakin seyakin-yakinnya semua dari Allah. 
Buang semua tabung-tabung hasad-dengki, marah, geram, benci dan sebagainya. 
Ikat dan tekad segala rasa dan perasaan yang negetif dengan kasih sayang
 sentuhan. 
Tidak dapat sentuhan secara langsung kita buat dengan hati.  
Tanamkan tekad untuk sama-sama masuk ke dalam syurga.

Sekadar hiasan - Ros kampung di laman secoet kami yang merudum dek jerebu agaknya.

~~ Membina kekuatan diri dengan menyerahkan diri sepenuhnya kepadaNya.~~


Tuesday, August 11, 2015

Majlis dialog dan jamuan Hari Raya

Majlis dialog prestasi UPSR bersama ibu-bapa bersempena mengambil keputusan percubaan UPSR adik berlangsung Ahad lepas. Keputusan adik menurun kerana peperiksaan sebelum ini adik mendapat tempat pertama mengalahkan semua pelajar tahun 6 yang ada, tetapi kini jauh terus ke nombor lapan dan juga ke lapan seluruh tahun 6. Walaupun cikgu berkata pada aku jangan bimbang tetapi sebagai mama pastilah ada sedikit rasa cuak. Peperiksaan UPSR sudah paras hidung kerana akan berlangsung  7, 8, dan 9 September ini. Sudah terlalu dekat.



Tekun- Anak-anak lelaki tahun 6 yang duduk sebelah kiri kami. Di bahagian aku duduk semuanya murid perempuan.

Kerjasama - Selepas mengambil fail keputusan peperiksaan duduk semula ke dewan ini untuk acara seterusanya. Pihak sekolah mengadakan majlis jamuan Hari Raya.
Telefon bimbit adik - Sementara menanti semua sedia adik kena menghafal hafazan tiga suroh ('Ammayatasa alun, 'abasawatala dan  satu lagi lupa pulak aku) sebab 9, 10 dan 11 hb  (hari ini) adalah hari peperiksaan hafazan untuk peperiksaan SDEA (Sijil Darjah Enam Agama) Negeri Johor.

Senang - Budak sekarang mahu menghafal mudah sebab boleh ke hulu-hilir bawa handset. Alhamdulillah adik sudah hafal semuanya. Aku sendiri yang menjadi tukang semak sebenarnya pun tidak hafal.

Masa makan - Anak-anak dan ibu-bapa dijamu dengan hidangan enak. Nasi impit/lontong, lodeh, kuah kacang, rendang ayam dan kuih-muih  serta buah-buahan disediakan pihak sekolah. Ada caterer yang menghantar. 

Marhaban - Sebenarnya sebelum makan kami ada bermarhaban dipimpin oleh ustaz sekolah adik.
Moga tahun terakhir UPSR ini adik dan kawan-kawannya mampu meraih impian mereka dan tidak kurang harapan ibu-bapa dan para guru yang dedikasi. Sudah terlalu banyak usaha dan cara pihak sekolah lakukan semata-mata demi kejayaan anak-anak. Ibu-bapa dan anak-anak sendiri kena lebih prihatin demi kejayaan yang mahu diraih.

~~ Usaha sudah, doa kena panjat selalu sebelum berperang ke medan peperiksaan yang tinggal beberapa hari saja lagi.~~


Tuesday, April 28, 2015

Majlis motivasi dan diskusi

Pendaftaran dikatakan jam 9:00 pagi, tapi sebelum sampai waktunya sudah ramai ibu bapa yang memenuhi ruang kerusi yang disediakan. Aku datang sendirian sebab hubby ada majlis perpisahan staff. Kurang elok rasanya bila majlis yang sudah diatur, dia sendiri sebagai ketua tidak hadir. Oleh itu pergilah aku ke majlis Motivasi dan diskusi UPSR di sekolah adik sendiri.

Menghadiri majlis begini rasa aku sudah berkali-kali dari sekolah rendah sehinggalah ke sekolah menengah. Dari anak sulung sehingga kini tiba giliran adik pula. Isu yang dipaparkan tetap sama tetapi cara penyampaian penceramah yang diundang itulah yang perlu menarik tumpuan murid-murid termasuk juga kepada ibu-bapa yang baru pertama kali menghadiri. Apa pun bila duduk dalam majlis begini secara tidak langsung akan refresh kembali ingatan kita berkaitan tips untuk menghadapi anak-anak yang akan menduduki peperiksaan. 
Kasih & sayang - Anak-anak dikehendaki berjumpa penjaga dan tunjukkan kasih dan sayang sebagaimana dikehendaki oleh penceramah En. Salamian Surip. Waktu inilah kita akan lihat semua anak-anak berjurian airmata. Ibu-bapa tidak kurang juga bila sendunya sehingga yang kedengaran hanya esak-tangis anak-anak.

Ingin aku rangkum tips kasih sayang menjadi satu. Dua sifat ini sangat perlu untuk mendapatkan hasil dari apa yang di tanam pada anak-anak kita. Kasih-sayang dalam memberikan makanan, memberi tunjuk-ajar, menyediakan tempat belajar, menutur-kata nasihat dan sebagainya semua perlu diambil kira. Jika rezeki yang diperolehi dari hasil yang salah akibatnya anak yang tidak berdosa mendapat tempias belajar saja penat tetapi hasilnya mengecewakan. Begitu juga jika tempat belajarnya tidak selesa pasti membuat anak belajar kurang tumpuan. Memberi nasihat biarlah dengan penuh kasih dan syang tidak perlu meninggikan suara. Ini kerana ada ibu-bapa mahu si anak belajar tetapi ibu-bapanya pula menonton tanpa menghiraukan anak belajar. Marah anak bermain telefon bimbit tetapi dia sendiri khusyuk dengan facebook, tweeter, blog dan sebagainya. Semua ini perlu diambil kira. Menjaga pemakanan berzat dan baik seperti kismis, kurma, telur setengah masak bersama roti dan sebagainya tidak berguna andai ianya hasil syubhah yang akibatnya tidak barkah. 

Mendidik anak bukan setakat memberi makan dan pakai saja. Tapi keseluruhan kehidupan mereka masih memerlukan pemantauan kita dari celik mata sehingga mereka tidur lena. Selagi mereka belum pandai menilai erti kehidupan sebenar kitalah yang perlu membimbingnya selain bantuan guru-guru di sekolah.

~~ Anak kita akan menjadi apa yang kita bentuk sedari kecil.~~  


Monday, January 12, 2015

Etika dan kesesuaian masa memberi nasihat

Hati dan minda anak-anak masih terlalu banyak ruang kosong. Seandainya ibu-bapa tidak mengambil peluang mengisi ruang kosong tersebut dengan sebaik-baiknya usah kesal di kemudian hari. Carilah wadah yang terbaik agar tidak ada peluang untuk perkara yang tidak baik mengisi ruang yang ada. Ibarat mangkuk yang kosong kalau terbiar lama pasti tidak banyak sedikit habuk pasti akan melekat.

Ambil sedikit masa contohnya ketika di dalam kenderaan. Boleh saja menggunakan masa ini untuk berbincang. Uji pembacaan fatihahnya, doa qunutnya, doa iftitah atau tanya apa doa yang anak suka. Minta dibaca dan dengarlah dengan prihatin. Betulkan mana yang tidak betul. Jika ada kesilapan tegur dengan berhemah kerana kita pun tidak sempurna. Carilah doa-doa yang boleh menimbulkan minat anak seperti doa solat dhuha, doa zikir munajad sebab doa/zikir seperti ini boleh dialunkan berbentuk lagu. Bila dibuat bersama-sama ibu-bapa-kakak-abang-adik mesti akan menjadi suatu yang menyeronokkan.

Bersama papa - Anak-anak kami yang masih memerlukan perhatian kami
Begitu juga ketika makan. Kalau dapat makan sedulang lagi baik tetapi buat masa sekarang kalau hidangan berada di atas meja agak sukar untuk makan menggunakan dulang. Lainlah kalau makan di atas lantai. Namun masa ini juga masih boleh digunakan untuk menasihati anak-anak. Rasulullah pernah menasihati seorang kanak-kanak bernama Umar bin Abi Salamah. Ketika makan biasalah budak, tangan menggapai merata dulang. Lalu baginda menasihati dengan lemah lembut dengan memanggilnya dengan panggilan orang muda. Nasihat baginda mulakanlah makan dengan menyebut nama Allah. Ambil makanan yang terdekat dengan kita dahulu. Sejak itulah Umar dan yang lain-lain menjadikan nasihat rasulullah ini sebagai ikutan. Oleh itu  menasihati anak ketika makan haruslah berhemah kerana bimbang membantutkan selera makannya.

Etika memberi nasihat ini bukan saja terpakai untuk anak-anak bahkan juga kepada orang yang lebih dewasa. Kesesuaian tempat dan masa perlu ada. Contohnya ketika memberi nasihat orang yang sedang sakit. Janganlah kita menasihati "Baik engkau solat jangan tinggal, mana tahu entah esok-lusa Izrael menjemput macam mana?" Ini nasihat yang tidak berperasaan. Cuba ubah "Kita manusia mana ada yang sempurna, tapi kalau boleh biarlah dari hari kehari kita menjadi semakin lebih baik. Tidaklah menyesal di kemudian hari. Dunia ini pun sementara saja. Hari ini engkau di uji entah esok lusa aku pula". Sedaplah sikit si pesakit itu mendengarnya.

Walau apa pun banyak cara dan masa boleh digunakan seperti waktu sebelum tidur, selepas solat, sewaktu masak bersama-sama (jika anak-anak perempuanlah), melipat kain-baju, belai-membelai seperti bersikat rambut dan sebagainya. Gunakan masa terbaik untuk menjadi penasihat terbaik buat anak-anak dan keluarga kita. Aku pun mahu terus belajar dan belajar kerana anak-anak itu amanah yang perlu kita didik dan asuh. Andai ada tergelincir anak-anak itu sebenarnya mungkin adalah salah dan silap kita.

~~ Buat anak-anak pula ingatlah. Tidak kiralah samada berhijab atau tidak, perbuatan berpeluk/bercium dengan yang bukan mahram itu tetap haram di sisi Islam. Samada sengaja mahupun sekadar lakonan. ~~




Friday, October 31, 2014

PTS Publication terus menjadi sahabat adik

Dalam setahun sekurang-kurangnya adik akan mendapat dua kali hadiah dari pihak penerbitan PTS Publication. Satu darinya biasanya apabila tiba hujung tahun hadiah seperti kalendar dan diari akan dikirimkan. Tidak rugi adik menjadi sahabat PTS Publication. Awal minggu ini adik mendapat hadiah buku cerita kanak-kanak.

Surat Kiriman - Mendapat hadiah buku dari PTS Publication. Ini adalah hasil dari setiap satu buku dibeli keluaran PTS ada satu setem yang terletak di hujung penunjuk buku tersebut. Apabila sudah berjumlah 10 setem, kirimkan ke penerbit dan tidak lama kemudian akan ada hadiah diberikan.
Kenali 10 Haiwan daripada Al-Quran & Hadis - Buku yang baru diperolehi tetapi belum dibenarkan untuk membacanya kerana minggu ini minggu peperiksaan sekolah kebangsaan buat adik. Minggu hadapan pula minggu bersedia peperiksaan sekolah agama.
Comel - Selain berupa ilmiah buku ini juga menarik minat anak-anak untuk membacanya. Gambar-gambar binatang yang dipaparkan semuanya comel-comel belaka. Pemilihan warna yang terang juga sangat menarik.
Belajar bahasa - Lubang bahasa Melayu, Hole bahasa Inggeris, Hufrotun Bahasa Arab, Lam-wau = lu, Ba-nga = Bang (lubang - tulis jawi). Bagus untuk anak 6-8 tahun. Tapi adik janji buku cerita dia tidak kisah. Mama pun kongsi membaca juga sebenarnya hihi... (adik membaca buku mengulangkaji mama curi-curi membaca dulu buku ini).
Belajar - Selain boleh belajar bahasa Inggeris, boleh juga belajar bahasa Arab. Lagi yang baik kepada yang belum pandai mengeja jawi pun boleh belajar dari buku ini. Tetapi biasanya anak-anak di negeri Johor ini masuk Tadika sudah belajar mengeja dan menulis jawi. Jadi 6-7 tahun biasanya sudah boleh menguasai membaca and menulis jawi.
~~ Buku dan ilmu tidak boleh dipisahkan. Ilmu dan manusia juga kena sentiasa beriringan. Hanya jumlah yang digarap dan diperolehi dari buku yang dibaca pada setiap manusia tidak sama.~~ 


Wednesday, September 17, 2014

Tayar untuk kereta dan roda kehidupan kita

Lama - Alat digunakan untuk mengeluarkan tayar lama kelihatan mudah. Dalam kehidupan pun sama juga andai 'perkakas/alat' yang lengkap sudah sedia mudahlah untuk pergi meninggalkan dunia yg sementara ini
Baru - Tukar tayar baru moga mudah diperjalanan yang dituju. Kehidupan manusia juga sama andai bekalan lengkap sentiasa dalam apa juga 'perjalanan' tidak kira di dunia dan di 'sana' insya-Allah mudah jadinya.
Ilmu - Bukan mudah menimba ilmu andai tidak ada kecekalan dan kemahuan. Skill pula bukan boleh diperolehi dalam sehari-dua. Begitulah  juga dalam kehidupan di dunia ini,  'menimba ilmu' tidak ada garis penamatnya
Teknologi - Balancing agar tayar dipasang di kereta berjalan lurus. Kehidupan manusia juga sama kenalah di seimbangkan antara dunia dan akhirat, mencari jalan yang 'lurus' agar sentiasa di dalam kerehaanNya.
~~ Bekerjalah seolah-olah untuk hidup selamanya dan beramallah seolah-olah akan mati pada hari esoknya.~~

 

Friday, March 7, 2014

Bolehkah mewarisi kekayaan, keimanan dan kepandaian?

Beruntung mereka yang dilahirkan dari keluarga jutawan. Lahir berbumbungkan kemewahan. Belantaikan keindahan. Tidur pun mungkin  berbantalkan lambakan wang. Hingga mimpi pun agaknya segala yang mewah-mewah belaka. Tidak perlu belajar tinggi-tinggi pun tidak mengapa kerana keluarganya sudah membuat simpanan kewangan atau harta berjuta-juta. Sekadar tahu mengurus sedikit itu-ini dengan bantuan pekerja yang ramai semuanya jadi mudah. Duit dalam bank, hartanah berekar-ekar, bangunan pencakar langit semua sudah ada dalam genggaman. Sampai mati pun tidak habis untuk diguna-pakai.

Namun tidak sama andai seseorang itu dilahirkan sebagai anak seorang alim ulama' atau bijak pandai. Biar tinggi manapun ilmu ibu-bapa belum tentu anak yang dilahirkan akan menjadi ulama' atau ahli bijak pandai juga. Tidak ada satu pun ilmu yang boleh diperolehi melalui keturunan atau diwariskan. Biar bertimbun mana kitab dan buku-buku yang ibu-bapa mereka ada andai tidak digunakan ianya tidak boleh di copy & paste masuk ke dalam otak secara semulajadi. Ilmu samada boleh setanding atau mungkin lebih dan kurang tidak boleh diukur dari keturunan. Sebab itu ada anak bijak-pandai agama yang menjadi samseng (kasihan pada mak-ayahnya). Tidak kurang anak seorang petani yang berjaya menjadi doktor, engineer, architect, peguam dan sebagainya.

~~ Harta boleh diwarisi namun kepandaian, iman dan taqwa kenalah diri sendiri mencari dan menggali.~~

Monday, November 11, 2013

Seharian adik mencari cinta

Sana-sini di sekolah sekarang mempunyai kegiatan masing-masing sementara mahu menghabiskan sisa-sisa sekolah yang tinggal seminggu ini. Kem keusahawanan, sukaneka, majlis makan-makan di kelas dan tidak kurang juga kem motivasi. Sabtu lepas adik dengan rakan-rakan dan guru sekolah agama ke kem motivasi di Hotel Le Grandeur.

Riadah dan sukaneka - Swimming pool dan padang tempat permainan di waktu pagi sebelum memulakan motivasi. Petang itu baru kami pergi menjemput adik. Sementara itu kami meninjau kawasan. Hubby pernah bertugas di sini dulu tapi nama hotel tersebut waktu itu masih lagi Sofitel Hotel. Sekarang telah dijenamakan baru menjadi Hotel La Grandeur.
Jam 5:30 petang - Balik dengan muka selamba melihat papa-mama sudah menanti di luar dewan. Keletihan seharian mendengar motivasi tentang 'mencari cinta'.
Posing - Bersama kakak-kakak tahun 6 yang akan berpisah tahun depan. Moga kakak-kakak mendapat keputusan UPSR yang terbaik (dijangkakan keluar pada hari Khamis ini)
Pada hari itu adik dihidangkan dengan motivasi mencari cinta. Menurut adik cinta kepada Allah dan rasulNya kenalah melakukan apa yang disuruh dan hindar segala laranganNya. Cinta pada mama/papa jangan sesekali melakukan perbuatan yang tidak disukai. Cinta pada guru/ustaz/ustazah mestilah belajar bersungguh-sungguh. Cinta pada keluarga, kawan, jiran, pemimpin dan negara semuanya ada diberikan. Suka juga mama-papa mendengar apa yang adik khabarkan kepada kami ketika seharian berada di La Grandeur. Apa yang penting dia mendapat maksud dari kem tersebut.
Lasagna - Singgah di Secret Receipe Airport Senai (berdekatan dengan La Grandeur) menikmati makan. Adik memang tidak lapar tetapi mama dengan papa yang berhajat untuk mengisi perut yang lapar. Kami tidak makan tenghari bila tinggal berdua. Mak Zah balik kampung.
Popia - Mama bila masuk SR tidak pernah lupa membeli ini sebagai hidangan.
Mi Kari - Tidak terhabis adik makan sebab sudah puas makan dengan makanan yang lazat dan sedap di hotel.
~~ Sesungguhnya rasa cinta itu adalah anugerah Allah kepada kita hambaNya yang sangat bernilai. Menikmati dan memberikan rasa cinta adalah hak kita yang perlu dibaja dan dijaga. ~~


Saturday, October 19, 2013

Seketika merenung anggota kita

Rata-rata kita mempunyai bunyi batuk, menangis, ketawa, bersin, sendawa, bahkan buang angin yang lebih kurang sama. Apa yang membezakan mungkin dari segi kekuatan bunyi dan memek muka masing-masing. Begitu juga dengan pergerakan tangan dan kaki bila kita berjalan. Bagaimana Allah seimbangkan kaki dan tangan tidak berlaga. Bila kaki kanan bergerak ke depan, kaki kiri bersedia untuk menapak di belakang. Manakala bila kaki kanan ke belakang tangan kanan pula diberi peluang untuk ke hadapan. Tidak ada perebutan masing-masing mahu ke depan atau kebelakang secara serentak. Tolak ansur ini Allah telah didik dalam diri kita sedari mula lagi. Bila bayi mula merangkak pun dia telah tahu untuk menyeimbangkan pergerakan.

Begitu juga walau telinga kita satu di kanan dan kiri tidak pernah bertemu tapi keduanya diperlukan untuk mendapatkan pendengaran yang baik, jika satu tidak berfungsi pasti kepala pun boleh jadi teleng semata-mata untuk mencari arah tumpuan. Lubang hidung yang duduk sebelah-menyebelah pun sama. Susahnya bila tersumbat walau sebelah. Keduanya diperlukan untuk mendapat keselesaan.

Oleh itu sekiranya dalam pergaulan tidak perlulah bertegang masing-masing tidak mahu beralah. Tidak rugi sedikit beralah demi untuk mencari keindahan dan keamanan. Mengalah bukan untuk diinjak-injak tapi untuk mencari keindahan dan ketenangan. Alangkah indahnya dunia ini andai semua manusia boleh bertoleransi seperti anggota kita.

~~ Setiap yang Allah jadikan pasti ada hikmah yang tersembunyi. ~~


Tuesday, June 25, 2013

Tidak semestinya yang baik itu baik dan yang tidak baik itu tak baik

Mari kita rehatkan minda seketika membawa cerita rekaan semata-mata...

Kehidupan pakcik itu sebagai keluarga miskin hanya mempunyai seorang anak lelaki. Harta yang ada hanya seekor kuda. Kuda pula kerana kelaparan entah bagaimana boleh mencari makanan hingga ke dalam hutan dan akibatnya tidak bertemu jalan keluar untuk pulang.

Orang kampung: Kesian kami melihat tuan hamba satu-satunya kuda yang ada pun sudah hilang entah ke mana.
Pakcik: Tak semestinya yang tak baik itu tak baik dan yang baik itu baik

Maha pengasih Allah kuda pakcik itu mendapat pertolongan kuda-kuda hutan untuk kembali kepangkuan tuannya. Bererti baliknya kuda tersebut bersama membawa segerombolan kuda. Maka bertambahlah jumlah kuda pakcik tersebut. Rezeki!!

Orang kampung: Beruntunglah tuan hamba kini kuda telah bertambah banyak. Murah rezeki.
Pakcik: Tak semestinya yang baik itu baik dan yang tak baik itu tak baik.

Oleh kerana kuda-kuda hutan banyak maka tugas untuk menjinakkan kuda diberikan kepada satu-satunya anak yang dia ada. Kerja menjinakkan kuda bukanlah satu tugasan yang mudah hinggalah satu hari anak lelakinya telah diterajang kuda liar tersebut. Akibatnya anak itu menjadi OKU.

Orang kampung: Kesian anak lelaki tuan hamba kini cacat disebabkan kuda tersebut.
Pakcik: Tak semestinya yang tak baik itu tak baik dan yang baik itu baik.

Suatu hari kampung jiran sebelah akan diserang. Ketua kampung meminta semua pemuda kampung membantu kampung jiran tersebut untuk turut serta ke medan perang. Oleh kerana anak pakcik tersebut OKU maka hanya dialah satu-satunya pemuda yang tidak perlu pergi ke medan perang.

Orang kampung: Untung juga jadi pemuda OKU tidak perlu pergi ke medan perang
Pakcik: Tak semestinya yang baik itu baik dan yang tak baik itu tak baik.

Kesan dari peperangan tersebut mereka kalah. Kesemua pemuda yang pergi ke medan peperangan telah terkorban. Akibatnya tidak ada pemuda lagi selain anak pakcik yang OKU tersebut. Ramai anak-anak gadis kampung berebut-rebut untuk menjadi isteri kepada pemuda OKU sebab bimbang menjadi andartu (ini cerita dongeng ye..)  sebab sudah tidak ada pemuda lagi di kampung jiran dan kampung tersebut.

Orang kampung: Bahagialah walau dia OKU tetapi mempunyai ramai isteri yang cantik-cantik belaka
Pakcik: Tak semestinya yang baik itu baik dan yang tak baik itu tak baik.

Aku hentikan di sini untuk memberi peluang kawan-kawan senyum seketika. Boleh sambung sendiri selepas mempunyai isteri ramai dan kuda pula banyak. Kisah tak semestinya yang baik itu baik dan yang tak baik itu tak baik boleh direka kita sendiri. Sambunglah kalau suka.

~~ Ironinya kenalah sentiasa bersyukur atas segala kurniaan Allah dan redha atas apa juga ujian yang diberikan olehNya kerana hikmah disebalik kejadian tidak kita ketahui.~~



Saturday, January 26, 2013

Penjara diri

Empat perkara yang sering memenjarakan peribadi diri untuk berjaya:-

Penjara kebencian - buang sifat benci kerana tidak semua yang kita lakukan juga disukai orang lain. Benci untuk perkara yang buruk tidak termasuk dalam isu ini.

Penjara ketamakkan - hapuskan ia dari bersarang dalam diri kerana terlalu banyak sudah nikmat yang Allah berikan tanpa rasa syukur. Kalau boleh berkongsi agar boleh dimanafaatkan.

Penjara kedengkian - kenalah buang jauh-jauh perasaan buruk ini bersawang terus. Apa yang didengkikan sebenarnya akan menjeruk perasaan sendiri.

Penjara kebodohan - sentiasa berusaha untuk menjadi lebih baik. Menjadi bodoh bukan bererti akan mendapat simpati tetapi ada kala membuat diri kita tidak disukai.


~~ Sungguhlah..... Berkata tidak semudah melaksanakan, menulis tidak semudah untuk mengaplikasikan~~



Thursday, August 2, 2012

Terasa malu bila merenung kata-kata Mutannabi

 Memetik dari kata-kata Mutannabi:-

Orang yang gagal setelah berusaha
lebih baik daripada mereka
yang tidak pernah mahu berusaha untuk mencuba

sebab itulah

Orang yang tidak pernah mencuba
sebenarnya telah mati berkali-kali
berbanding mereka yang berani mencuba
kalau gagal pun hanya sekali


~~Malu pula bila aku terasa masuk dalam kategori yang telah mati berkali-kali kerana selalu takut untuk mencuba.~~








Monday, February 13, 2012

Adik menghadiri kem

Menangis aku dalam bilik dulu kerana bapak tidak punya duit untuk aku turut serta dengan teman-teman lain pergi ke rombongan lawatan. Tetapi kami adik-beradik sudah lali dengan kesusahan itu. Zaman aku sekolah rendah dulu tidak pernah pun terdengar apa benda itu kem motivasi. Masuk sekolah menengah baru aku mengenali perkataan motivasi. Anak-anak sekarang dari tadika lagi sudah kenal apa itu motivasi. Kalau boleh aku tidak mahu anak-anak merasa susah seperti aku dulu. Namun bukanlah bererti memberi apa jua kehendak mereka tanpa timbang-tara.

Tiga hari - Kem anjuran seperti ini mestilah aku tidak keberatan untuk memberi kebenaran buat adik menghadirinya. Tambahan pula pengawas, pengawas perpustakaan, ketua/penolong kelas dan AJK kelab Ansar diwajibkan untuk pergi. Murid biasa yang berada di darjah 5 dan 6 juga dialu-alukan untuk turut-serta.

Lengkap - Semuanya ada dalam dua beg ini. Baju kurung 3 helai, pakaian sukan 3 helai, telekung, tuala, suroh Yaasin, buku nota dengan peralatan menulis, kasut sukan, selipar, berus dan ubat gigi, sabun mandi, bedak, sikat, lampu picit, tikar, sedikit jajan (biskut) dan garam (semua dikehendaki membawa garam kasar) .

Ceria bersama teman - Pengawas berbaju seperti ini. Pengawas perpustakaan berwarna ungu, kelab Ansar berwarna oren dan ketua/penolong kelas berwarna hijau. Adik dan Mohd. Wahyu yang termuda diantara mereka.

Sebelum naik bas - Gambar-gambar diambil oleh Mak Zah kerana hari Jumaat aku bekerja. Mak Zah yang menghantar adik ke sekolah.

Balik kem - Oleh kerana mama/papa pergi menghantar Kak Nurienne balik asrama, adik balik semalam diambil oleh Mak Zah. Tiba di pintu pagar rumah sudah kelihatan begitu letih.

Fail - Inilah fail yang memuatkan pelbagai khazanah adik. Lunyai sebab disumbat dalam beg sandang yang sedia penuh dengan pelbagai barangan.

Letih - Sudah tidak mampu hendak angkat muka. Buka baju, selepas mandi masih sempat lagi dia jadual buku untuk hari ini. Kemudian aku suap dia makan sambil dia membuat sedikit kerja mathematic. Selepas itu terus bum... tidur. Bersolat pun aku rasa dia sudah tidak khusyuk.


~~Mendedahkan anak untuk lebih berdikari pada zaman sekarang tidak seperti zaman aku dahulu yang lebih kuat mental dan fizikalnya.~~

Tuesday, October 11, 2011

Kaktus, Ulat, Bunga dan Rama-rama

Sedikit ulasan yang dapat aku timba dari apa yang diceritakan oleh motivator yang aku hadiri malam Sabtu lepas. Ada seorang hamba Allah sering berdoa agar dapat menikmati keindahan bunga dan rama-rama di halaman rumahnya. Namun doanya sekian lama tidak terkabul bila ia hanya mampu menikmati pokok kaktus yang berduri disamping ulat yang sering ada di pokok tersebut. Setelah agak lama dia melupakan hajat tersebut suatu pagi pohon kaktus yang dikatakan tidak cantik itu telah menghasilkan bunga-bunga yang berwarna-warni. Bahkan ulat-ulat yang selalu merayap di pokok kaktus itu telah berubah menjadi rama-rama yang amat cantik memenuhi ruang halamannya.

Mengambil iktibar dari cerita itu kotak minda aku pantas teringat ketika aku anak-anak yang dilahirkan dalam suasana keluarga miskin. Untuk mendapatkan buku rujukan sendiri jauh sekali. Lantaran itu rujukan 100% bergantung pada buku teks dan buku di perpustakaan. Kelas tambahan tidak pernah ada dalam kotak fikiran keluarga kami - nyata diluar kemampuan keluarga. Duit yang ada hanya digunakan sepenuhnya untuk makan, minum dan belajar kami adik-beradik. Aku teringat dulu bapak usai solat doanya terlalu panjang agaknya mohon diberi sedikit nafas dalam membesarkan anak-anak. Doa bapak hanya terkabul agaknya bila kami semua habis belajar. Bayangkan betapa lamanya keluarga kami mahu keluar dari kepompong kemiskinan.

Ironinya:-

Pagi tadi jam 10:40 berakhir sudah anak sulung aku menduduki peperiksaan PMR. Matapelajaran yang terakhir iaitu Bahasa Arab. Tinggal tawakkal dan redha apa sahaja keputusannya. Oleh kerana anak aku belajar aliran Agama maka banyaklah jumlah matapelajaran yang kena dia hadapi. Kalau sekolah aliran SBP (Sekolah berasrama penuh biasa) semalam adalah hari terakhir tapi tidak bagi anak aku ini. November ini dia akan menduduki sekali lagi peperiksaan. Matapelajaran terlibat termasuklah Balaghoh, Sarof, Nahu, Sirah, Tahfiz, Tauhid, Mantiq, Tafsir dan Hadith. Hati aku masih tidak tenang selagi semuanya belum berakhir. Sebagai ibu-bapa apa kemampuan kita selain berdoa dan memberi apa yang termampu. Namun kejap dalam kotak minda aku juga andai ianya tidak kecapaian, mungkin juga Allah mahu aku menjadi seperti insan yang dikiaskan oleh motivator dalam cerita malam Sabtu lepas.


~~ Sekiranya anak kita tidak cemerlang, namun kita masih boleh tersenyum andai kelak detik kita tiada lagi di dunia ini masih ada insan yang sudi membasahkan anggota dengan wudhu' demi mendoakan ketenangan kita di sana. Alangkah sedih dan ruginya andai kecemerlangan anak tidak dapat membahagiakan ibu-bapanya.~~

Monday, September 12, 2011

Menjelang UPSR 2011

Menjelang UPSR 2011, kami ibu-bapa bersama dengan para guru sekolah menjalankan ikhtiar terakhir yang termampu dilakukan. Malam Jumaat itu kami bersama-sama menjalankan solat hajat dengan diimamkan oleh Ustaz Tramizi yang juga merupakan guru agama sekolah tersebut.

Para Ibu - Selepas solat maghrib kami bersama-sama membaca Yaasiin dan tahlil



Para bapa - Duduk di bahagian hadapan para bapa dan anak-anak lelaki.



Suapan kasih - Esoknya diadakan majlis bersarapan yang melibatkan semua pelajar yang akan menduduki UPSR bersama-sama ibu-bapa dan para guru. Aku tidak dapat hadir kerana Sabtu aku bekerja setengah hari. Papa saja yang pergi.


Yasmien - "Cuba papa rasa Mien pula suap untuk papa. Sedapkan....." Lihatkan gelagat mereka berdua ini.



Cikgu Fuziah - Suapan kasih seorang guru dan merupakan guru kelas Monitor, kelas Yasmien yang amat dikasihi. Nama guru ini selalu meniti di bibir kalangan muridnya menunjukkan betapa gigihnya dia mendidik anak-anak murid bagaikan anak sendiri. Bukan saja dikasihi anak aku bahkan oleh rata-rata anak muridnya dan kami ibu-bapa anak-anak sekolah ini.

Nurul Izzah - Teman Yasmein disuap oleh ayahnya Ustaz Kamarudin, Pengetua Maahad dan rakan kami duduk satu taman. Ibu Izzah juga tidak dapat hadir kerana ada kelas.


Muhd. Fikri - Teman sekelas juga di suap oleh ibunya Ustazah Hidayah yang juga teman aku sambil ayahnya imam taman surau perumahan kami, duduk di sebelahnya.



Cikgu Halijah - Guru comel ini juga amat dikasihi Yasmien. Boleh berkongsi makan dengan anak murid. Jangan dingka guru comel ini masih solo, sebab dia telah dipunyai dan mempunyai seorang puteri. Saiz badan sama dengan Yasmien.




~~~ Terasa rugi kerana aku tidak dapat bersama-sama menyaksikan majlis bersarapan pagi pada Sabtu itu kerana kekangan kerja. Namun aku sudah berjanji sepanjang 3 hari UPSR itu aku akan turut bersama-sama Yasmien berada di sekolah untuk melakukan apa yang boleh aku bantu. Hari ini di pejabat aku cuba membereskan apa yang perlu dulu. Semoga perjuangan esok berjalan lancar hendaknya.~~~





Friday, July 29, 2011

Bijak Sifir

Banner di atas diletakkan betul-betul di pintu masuk dewan. Kalau dulu sewaktu aku masih anak-anak, pembelajaran sifir menggunakan sistem hafalan. Siap boleh berlagu-lagu lagi. Menurut En. Muhamad Tajudin bin Mustafa atau lebih dikenali Sifutaj, yang mengendalikan Bengkel Bijak Sifir tempohari dia pernah didenda berlari keliling padang sambil menghafal sifir ketika usianya 9 tahun. Setelah hafal baru dibenarkan masuk kelas. Kalau kejadian itu berlaku masa kini boleh masuk akhbar sensasi dan kena turun-naik mahkamah guru tersebut kerana dianggap mendera.

UTM - Bengkel dikendalikan di UTM, Skudai dengan pembayaran yang amat murah iaitu RM 90/- untuk pakej tiga orang. Yasmien pergi bersama teman sekelasnya Nurul Izzah dan Najwa.


Dewan Sultan Iskandar - Di dalam dewan inilah bengkel itu dikendalikan. Siapa yang pernah konvo di dewan ini mesti terbayang-bayang environment di sekelilingnya.

Tiga Sekawan - Baru sampai dan melabuhkan punggung menanti waktu untuk bengkel bermula


Sessi pembelajaran - Selasai anak-anak belajar tiba pada sessi parenting pula. Kami juga diajar menggunakan sistem yang ternyata amat praktikal dan mudah untuk difahami. Kelakarnya aku turut tersenarai sebagai peserta ibu-bapa terpantas menyelesaikan soalan yang diberi.


Gembira - Selesai pembelajaran yang nyata amat berguna dan boleh dipraktikkan dalam menyelesaikan masalah mathematik mereka.


Contoh untuk sifir 11.
23 x 11 = __, __, __, Sediakan tiga ruang kosong.
a. Ruang pertama masukkan nombor 2 dan ruang akhir masukkan 3
b. Ruang tengah itu campurkan 2+3 = 5
c. Bererti jawapannya 253
d. Cubalah gunakan nombor-nombor lain...

Contoh untuk sifir 3 pula.
4 x 3 = ___
a. Tukarkan tiga kepada 2 (alasannya sebab kalau sifir 2 majoriti mesti tahu)
b. 4 x 2 = 8
c. Kemudian 8 + 4 (4 ini angka yang hendak didarabkan tadi) = 12
d. Cubalah pada angka-angka lain tetap betul jawapannya.

Pada bengkel tersebut, kami diajar menggunakan sifir 2 hingga 12 yang ternyata amat mudah buat anak-anak kita memahaminya. Setiap satu sifir ada caranya tersendiri yang mudah diikuti. Buktinya bila aku berikan beberapa soalan pada adik dia boleh menjawab dengan pantas dan tersenyum bila jawapan diberi betul belaka. Malam itu aku berdiri di hadapan wahiteboard menjadi guru seketika mengajar adik apa yang aku pelajari.

Pada 2hb Oktober 2011 akan diadakan lagi bengkel seperti ini di Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru. Bengkel ini akan diwar-warkan oleh Qulhaq Consultation melalui radio IKIM pada 3hb Ogos, jam 6:15 petang.







~~ Mohon pengertian selepas ini susulan N3 akan berada ditahap paling lambat. Titisan Nurani mangambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhaan Al-Mubaraq kepada semua Muslimin-Muslimat - mohon ampun dan maaf. Selamat Berpuasa~~~