Apa yang aku catat adalah melalui pemerhatian aku sendiri. Jika mengikut pendapat bapak rumah yang sentiasa dikunjungi tetamu tanda murah rezeki. Apa lagi jika dikunjungi anak-anak yang belum baligh. Nostalgia zaman aku kanak-kanak dulu jika berhari raya kami sepakat ramai-ramai beraya keliling kampung. Dulu untuk mendapatkan duit raya bukan macam anak-anak zaman sekarang. Kalau dapat dari rumah mereka yang bergelar cikgu adalah 20-50 sen seorang. Itu sudah dikira amat besar nilainya buat anak seperti aku ini yang lahir dari keluarga miskin. Rumah orang-orang biasa kami dijamu dengan air dan biskut saja.
Dunia era globalisasi kini untuk melihat anak-anak berjalan berkumpulan beraya dari satu rumah ke satu rumah aku perhati kian kurang. Untuk tahun ini bertambah suram. Tiga-empat tahun lepas masih lagi meriah sedikit, tahun lepas juga masih dikira sederhana bila melihat jumlah ringgit yang kami agih pada anak-anak yang bertamu. Tetapi tahun ini terasa sunyi benar untuk melihat kemeriahan tersebut. Duit raya yang kami sediakan bagaikan tidak susut-susut.
 |
| Nasi goreng tomyam - Kalau disediakan begini pun di rumah mereka ada dan satu yang tidak menghairankan buat mereka |
Betapa anak-anak semakin tidak ghairah untuk beraya. Untuk mendapat duit mudah dapat dari ibu-bapa masing-masing. Kuih-muih dan makanan juga, apa saja mahu mudah diperolehi dari rumah sendiri. Anak-anak lebih erat berkawan melalui gadjet berbanding dengan kawan secara live. Ibu-bapa pula sentiasa dalam kebimbangan bila anak-anak berada diluar, terlalu banyak isu anak kena culik. Kerja sekolah pula sentiasa menanti anak-anak walau cuti untuk beraya. Semua ini menjadi penyumbang ukhuwah anak-anak kian longgar hatta di bulan syawal yang mulia ini.
 |
| Domino pizza - Ini pun sering dapat itu yang tidak menggugat anak-anak untuk rajin beraya. |
Oleh sebab itulah juga sewaktu aku menjaga hubby di hospital setiap kali aku bertemu anak-anak tidak kiralah bangsa apa pun aku hulur duit raya. Nasiblah ada yang sampul RM2/- saja pun. Ada yang RM5/-. Sebab aku dapat merasakan semakin kurang anak-anak yang mahu beraya tahun ini.
~~ Samada kita mahu atau tidak tetapi itulah realitinya hari ini.~~