Showing posts with label jamu. Show all posts
Showing posts with label jamu. Show all posts

Tuesday, December 16, 2014

Nursery Herba Pak Ali

Sekali datang dan tahu khasiatnya pasti kita akan teruja untuk datang kembali ke sini. Lokasi yang terasa ala-ala berada di kampung menambah rasa seronok untuk membawa kaki terus melangkah dari satu kawasan ke satu kawasan yang ada berbagai jenis tumbuhan ciptaan Allah. Apa lagi apabila diterangkan kegunaan disebalik pokok tersebut membuat kami tambah teruja. Namun keluasan tanah yang ada di rumah membantutkan niat mahu menanamnya.

Menarik - Tempat pembakaran daun-daun yang berguguran. Nun di sudut satu lagi kami lihat ada tasik. Cantik sekali. Pokok mahkota dewa yang masih kecil itu pun sudah mampu menghasilkan buah (lihat gambar ke dua sudut kanan).
Pokok mangga - Pokok ini aku rasa sudah berpuluh tahun jika melihat dari pohonnya yang nun tinggi dengan akar-akar yang timbul sudah sebesar peha kita. Di bawah pokok inilah pondok didirikan buat Pak Ali berurusan.
Herba - Inilah sebahagian deretan herba yang ada di pondok tersebut.
Ilmu baru - Kalau aku baru tahu gambar di atas adalah pokok telinga kera anak dara aku pula baru tahu pokok di bawah ini adalah pokok jambu bol yang mereka makan bila balik kampung. Telinga kera dikatakan boleh dijadikan herba sebagai mencuci buah pinggang. Ambil 7 helai daunnya, cuci,  blend dan minum. Itu yang dikatakan makcik (isteri Pak Ali). Sebelum ini aku sangkakan ini adalah pokok bunga. Anak dara aku pula boleh kata daun pokok jambu bol itu pokok daun jerawat. Mengekek-ngekek gelihati mereka dua beradik.
Anak mama - Sebenarnya kami singgah di nursery ini selepas balik dari butik CalaQisya membeli apa yang dihajatkan oleh kakak Reen yang kini nun tinggal di Terengganu.
 
Sementara cuti sekolah ini ambil peluang untuk memperkenalkan anak-anak dengan pelbagai jenis pokok herba. Kelak tidaklah ianya menjadi seperti mama dan papa mereka banyak tidak tahu tentang pokok-pokok herba yang kebanyakannya sangat bermanfaat. 

~~ Manusia dan tumbuhan perlu beriringan. Itulah perlunya menjaga kebersihan alam demi kepentingan bersama.~~




Friday, March 8, 2013

Phaleria Macrocarpa (Scheff) Boerl aka Mahkota Dewa

Mahkota Dewa salah satu tanaman herba yang ada di rumah Mama Leha. Nama saintifiknya yang aku dapat dari menggoogle ialah Phaleria Macrocarpa (Scheff) Boerl, susahnya hendak pronounce. Sewaktu berkunjung majlis walimatul-urus puteri ke duanya minggu lepas aku lihat pokok Mahkota Dewa ini telah berbuah dan ada yang telah masak. 

Buah yang ada - Sewaktu aku datang dulu baru berbunga. Datang lagi telah menjadi buahnya.

Masak - Dikatakan cara menggunakan buah ini adalah dengan memetik dan simpan sehari-dua. Kemudian hiris tipis seperti asam keping dan jemur sehingga kering. Setelah kering baru boleh digunakan sebagai ubat. Rendam sekeping/dua kedalam gelas dengan air panas. Minum ketika suam-suam kuku. Boleh menyembuhkan kencing manis dan darah tinggi katanya. Namun semua juga atas izin Allah jua.

Pokok Mahkota Dewa - Inilah pokoknya. Di rumah Mama Leha ini terdapat 5 pokok. Aku teringin mengambil benih yang telah dia semai di dalam beg plastik hitam, tetapi hubby kata kalau besar ke mana mahu dialih. Kalau boleh hidup atas bumbung rumah boleh juga ditanam. Keluasan tanah rumah aku sangat-sangat terhad.

Sudah kering - Inilah gambaran yang telah kering, tetapi gambar ini aku ambil dari google sebab buah yang aku ambil belum kering lagi.

~~ Kalau tidak dikhabarkan kegunaannya aku juga tidak tahu yang ini merupakan pokok herba. Pada aku ianya bagaikan pokok hiasan kerana buahnya yang merah dan cantik dipandang mata.~~


Thursday, November 22, 2012

Mengkudu

Pokok mengkudu yang sentiasa berbuah tanpa henti ini berada di belakang rumah peninggalan mertua aku. Buahnya jarang digunakan tapi pucuknya kami makan jadikan ulam.

Aku panggil buah ini buang mengkudu. Daun mudanya kami buat ulam. Buahnya yang masak boleh dibuat jus tetapi kenalah campur dengan lemon atau epal. Kalau tidak keluarga aku belum mampu meminumnya tanpa perisa lain. Tetapi melalui kajian saintifik buah ini mempunyai konsentrasi yang tinggi dan ia didapati mengandungi sebatian catechin yang tinggi serta dapat merencatkan proses pengoksidanan dalam badan. Lambatlah sedikit untuk kelihatan tua.

Walaupun buah mengkudu sudah menjadi makanan kesihatan sejak bertahun-tahun tetapi jarang kelihatan dibuat kajian saintifik. Jadi kenalah minum secara blender dengan buah-buahan yang ada perisa dan bau yang enak seperti lemon, strawberri dan epal hijau (epal manis tidak mampu menghilangkan bau maung mengkudu). Kini banyak syarikat pengeluar produk kesihatan yang menjadikan mengkudu sebagai salah satu produk mereka.

Sebatian antioksida yang dikenal pasti itu dikatakan dapat mengurangkan risiko penyakit kronik seperti kanser, penyakit berkaitan jantung, diabetes dan penuaan. Justeru pengambilan antioksida dalam diet dapat mengurangkan risiko berkenaan. Walaupun mempunyai kandungan sebatian yang baik dan mempunyai pokok yang lebat buahnya kami tetap tidak mampu minum selalu kerana kelazatan dan nikmatnya belum pandai kami nikmati lagi. Mudah kata tidak sedap. Tetapi daunnya selalu menjadi mangsa keluarga kami untuk dijadikan sebagai ulam makan atau kerabu.


~~ Hari ini negeri Johor bercuti sempena hari keputeraaan Sultan. Blog aku pun turut bercuti sama.~~


Thursday, January 27, 2011

Air Jus Lempoyang

Bahan ekstrak halia hutan atau lempoyang boleh digunakan sebagai penawar kanser pangkal rahim iaitu penyakit kedua paling ditakuti wanita selepas barah payu dara. Penemuan itu adalah hasil penyelidikan selama 10 tahun Makmal Penyelidikan Kanser Makna, Institut Biosains, Universiti Putra Malaysia (UPM) yang mendapati tumbuhan herba liar tersebut terbukti mampu melawan sel kanser pangkal rahim pada peringkat awal. Penyelidiknya, Dr. Ahmad Bustamam Abdul berkata, kajian makmal menunjukkan penggunaan spesies halia itu dalam dos yang betul boleh menyembuhkan penyakit dalam tempoh tidak sampai 72 jam. Katanya, kajian praklinikal membuktikan sebatian semula jadi herba tempatan itu mampu menghalang perkembangan kanser sehingga fasa tiga.
-------------------------------------------------------------
Aku terjumpa artikel ini dari akhbar kosmo 20-11-2011.
--------------------------------------------------------------

Membaca kenyataan itu sebenarnya membawa ingatan aku kepada zaman akau masih anak-anak. Dulu kami adik-beradik paling kurang sebulan sekali mesti diperintah untuk meminum air jus lempoyang. Lempoyang akan diparut, dicampur dangan sedikit air dan kemudian ditapis. Sebelum minum akan dicampur dengan seketul garam jantan (garam kasar disebut garam jantan, mungkin garam betina garam yang halus. He...he....he.....). Menurut emak supaya tidak ada cacing dalam perut. Hidup dalam kekangan kewangan yang amat sempit membuat kami tidak mampu membeli ubat cacing.

Kalau di sekolah pula bila ada pihak kementerian kesihatan datang dengan ambulan dan murid-murid beratur akan disuap sesudu ubat cacing. Aku lebih suka minum ubat cacing ini sebab rasanya manis. Jadi bulan tersebut selamat tidak perlu minum air jus lempoyang. Ada satu kenangan disebalik minum ubat cacing yang tidak dapat aku lupakan. Ada seorang rakan sekelas aku punyalah takut dengan jururawat hingga terkencing dalam seluar. Itu bukan lagi kes bila beratur untuk suntikan. Tangisan mesti akan kedengaran.

Anak sekarang, lahir saja segalanya telah terhidang. Suntikan, ubat-ubatan mudah untuk mendapatkannya. Walau bagaimanpun betapa anak-anak dahulu begitu kuat antobodinya berbanding anak-anak sekarang. Dulu aku walau bermain air hujan tidak pun demam. Siap boleh main kejar-kejar lagi. Anak sekarang baru kena gerimis demamnya memanjang. Tidak dapat aku bayangkan kalaulah ibu-bapa aku yang mempunyai lapan orang anak silih berganti sakit-demam bagaimana agaknya. Kalau disuruh minum air jus lempoyang banyak alasan diberi. Rasanya bukanlah pahit sangat. Ianya adalah rasa payau dan sedikit pahit.
Keluarga aku memang masih mempraktikan minum air jus lempoyang. Pokok itu juga masih aku tanam dan selalu juga mereka yang dalam pantang selepas bersalin akan minta untuk dijadikan jamu. Buat aku sebulan sekali selepas ABC (Allah beri cuti) air jus lempoyang menjadi satu kemestian. Segelas saja sudah cukup untuak membuat badan kembali segar. Hendak melihat cara menyediakannya sila lihat paparan gambar di bawah ini.

Membiak - Pokok lempoyang ini membiak tanpa penjagaan. Hubby tanam di luar pagar sewaktu mula membeli rumah yang kini kami sewakan kepada orang lain untuk memdudukinya.

Lempoyang - Inilah hasil yang telah dicabut. Penuh diselaputi tanah.

Akar - Lempoyang muda terikut sama. Aku tidak menggunakan yang muda.

Letup-letup - Tanda pokok lempoyang tidak berjaga. Pokok menjalar ini menumpang hingga boleh menghasilkan banyak buah.

Kekuasaan Allah - Cantik pulak kelihatan pokok letup-letup ini. Maha kaya Allah menjadikan berbagai-bagai jenis tumbuhan yang tidak terjangkau di akal fikiran kita.

Bersih - Lempoyang yang telah dibuang akar dan kulit akan kelihatan seperti halia.

Parut - Setelah dibersihkan lempoyang diparut. Aku masih mengekalkan tradisi keluarga menggunakan parut bukan blender.

Campuran - Setelah diparut tuangkan dengan sedikit air dan kacau-kacau.

Saring - Setelah dicampur dengan sedikit air bolehlah disaring atau tapis.

Siap - Segelas air jus lempoyang untuk diminum. Sebelum minum ambil seketul garam jantan (garam kasar), kacau (kerana jus akan mendak) barulah boleh minum.