Lama sudah adik merengek mahu ke sekolah dengan menaiki basikal. Walaupun dekat tetapi laluan kenderaan yang banyak membuat aku dan papanya tidak pernah memberikan kebenaran. Alasan kami berikan sebab basikal adik tidak ada bakul dan beg sekolah pula berkilo-kilo beratnya. Tidak boleh diberikan alasan banyak kenderaan kerana padanya dia boleh berhati-hati. Lama menyepi sehingga pada hari Sabtu lepas apabila pihak sekolah mengadakan acara merentas desa kami benarkan adik ke sekolah menaiki basikal sebab tidak membawa beg berat dan kenderaan pun kurang bila hari cuti. Beg sandang kecil sekadar diisi dengan botol air. Pergilah adik dengan sahabat baiknya Mohd. Hafiz. Telefon bimbit juga aku bekalkan untuk mudah berhubung - tidak ada kelas boleh. Itu pun sewaktu pergi papanya mengekor dengan motorsikal di belakang. Balik mereka berdua selamat, kami pun lega.
![]() |
| Basikal adik - Menunggang basikal inilah adik ke sekolah semalam. |
Semalam sebab hari Rabu adalah hari ko-korikulum merengek lagi mahu berbasikal. Alasan juga diberi hari Rabu jadual buku tidak berat. Kami benarkan lagi. Tengahari balik sekolah sudah menelefon aku di pejabat. Bila telefon bimbit berdering waktu tengahari aku pasti mesti salah seorang anak yang memanggil. Solat Zuhor aku tidak khusyuk. Selesai solat aku telefon balik. Adik mengadu "Sesak nafaslah adik balik tadi mama. Sudahlah panas ada kebakaran lagi dekat sebelah jambatan tadi. Banyak asap sampai adik tak nampak jalan. Nasib baik ada polis jaga. Adik dengan Hafiz dah tak nak naik basikal lagilah." Alhamdulillah lega aku sebab tidak perlu memaksa lagi. Hati aku sebenarnya tidak senang anak berbasikal tanpa pengawasan. Sedangkan bermain di kawasan rumah pun bimbang apalagi bila ke sekolah.
![]() |
| Topi keselamatan - Rasanya adalah sekali-dua saja topi ini dipakai sewaktu mula membeli basikal. Selepas itu tersadai tidak digunakan lagi. Dulu RM50/- tidak tahu sekarang. |
~~ Aku mahu anak pandai berbasikal sebab tidak mahu seperti aku, tetapi jika ke sekolah walau dekat hati aku tidak tenang.~~

