Walaupun sudah tiada orang tua yang mahu diziarahi di kampung tetapi kami ada darah daging lain yang boleh dikunjungi. Kami juga ada rumah dan tanah kebun peninggalan almarhum bapak untuk sama-sama dipelihara dan dijenguk. Pemantauan sepenuhnya memanglah di bahu satu-satunya abang kami. Kasihan melihat abang yang juga sudah menginjak usia 60 kena selalu ke kebun. Walaupun kami tahu bukan dia yang mengusahakannya tetapi pemantuan 100% di atas bahunya.
![]() |
| Petai - Kebun kelapa sawit bapak memang banyak pokok petai. Pokok petai pula boleh dikatakan sentiasa berbuah. Namun sekarang agak musimnya lalu banyaklah hasil yang boleh dituai. |
Kami sepakat adik-beradik akan terus bersama-sama menjaga tanah pusaka ini selagi ada kemampuan dan ada hayat. Biarlah jariah almarhum mak-bapak berpanjangan dinikmati anak-cucu-cicit, saudara-mara dan jiran-tetangganya. Kalau kami yang jadi ibu-bapa mereka ini sudah tidak ada terpulanglah apa mereka hendak buat sebab waktu itu kami sudah di alam barzakh. Harta dunia pengakhirannya siapa pun tidak tahu.
~~ Semoga anak-cucu kami boleh sepakat seperti kami adik-beradik sekarang.~~




















































