Sewaktu bapak sihat lagi beliau meletakkan nama aku dan Mak Zah sebagai penama/waris untuk wang simpanannya di Tabung Haji. Hubby juga merupakan satu-satunya anak (walaupun anak menantu) sebagai wakil untuk memasukkan duit setiap bulan yang diperolehi olehnya. Bila kami balik kampung kami tunjukkan jumlah yang sudah dimasukkan. Begitulah sehingga akhirnya dia sakit dan tidak lagi tinggal di rumah kami sebab aku dan hubby bekerja. Mak Zah tentu saja tidak kuat untuk menguruskan bapak sendirian. Jalan terbaik balik rumah kampung dengan Abah Din membantu. Sesekali datang ke rumah aku dan Mama Leha. Inilah rumah anak-anak yang ada di negeri Johor.
Apabila aku menjadi sebagai penama kepada wang simpanan allahyarham bapak sudah tentu ada sedikit kebimbangan terjadi dalam diri sendiri. Apa yang membimbangkan aku kerenah birokrasi yang minta itu-ini sehingga isu berpanjangan. Aku tahu kami adik-beradik tidak ada sekelumit rasa bimbang. Tetapi alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Pihak Tabung Haji pun memberikan kerjasama yang sangat baik.
Biarpun ada gelak-ketawa melalui whatsapp kerana gelihati melihat contoh tandatangan yang aku cuba meniru tandatangan adik-beradik yang jauh tapi ada airmata gugur juga buat kami semua. Sedih sebab bapak sudah tidak ada, tetapi masih ada imbuhan ditinggalkan buat kami semua. Kami tahu banyak duit itu juga duit dari kami semua. Tapi ada juga duit dari hasil kebunnya sebab biasa keperluan rumah bapak anak-anak yang membeli termasuk bil api-air. Sebab itulah duit simpanan bapak banyak berbanding kita yang bekerja.
Semoga apa yang kami adik-beradik perolehi ini menjadi jariah bapak. Akan kami gunakan ke jalan kebaikan dari sumber yang diperolehi. Sabtu minggu ini kami akan berkumpul di rumah Kak Long/Mummy Zai, jadi akan aku pulangkan semula semua buku simpanan yang ada di tangan aku kini.
~~ Khususon ila ruhi al-marhum Hj Purvit bin Hj Ikhsan. Wa-khususon ila ruhi al-marhumah Hjh Neema Bt Hj Latif Al-Fatihah.~~


















