Hari: Semalam
Ketika anak pertama yang mengaji duduk di hadapan aku, si comel itu sudah keluar bilik. Aku menjangkakan dia mahu ke bilik sebelah.Tidak seperti biasa dia akan cuba membelek dulu Iqra' dia sementara menanti gilirannya. Aku pula yang sudah tua ini tidak menduga ada sesuatu yang mahu dibuat olehnya tapi tidak kesampaian. Masuk anak kedua mengaji dia masih juga tidak masuk. Tidak lama dia masuk bilik dan mendapatkan kakak sepupunya yang sudah selesai membaca. Ada satu bau sudah dapat ditangkap ke hidung.
"Siapa kentut? kena ambil wuduk balik." Boleh itu yang mama Zakie mereka ini bercakap dan sambung lagi menghadap anak yang duduk di depan untuk membaca. Tapi tiba-tiba Kak Meen masuk bilik "Mama, Icha terberak." Masya-Allah kenapa pula dengan si comel satu ini. Terpaksalah berhenti seketika. Kalau dulu si abangnya pernah terkencing ini si adiknya pula lagi dahsyat. Tapi anak kecil siapalah boleh menduga. Terpaksalah Kak Reen jadi tukang mandikan sementara Kak Meen mengambil tuala manakala aku selongkar kotak baju-baju kecil yang sudah lama tersimpan. Hujung tahun ini umur Icha akan masuk 4 tahun tapi mungkin sudah tidak tertahan terlepas juga. Cuma bernasib baik dia terbuang di depan toilet tidak di dalam bilik seperti abangnya dulu.
Anak belum baligh menduga kesabaran mereka yang baligh inilah salah satunya. Kena ejek pun tidak berkesan dihatinya. Senyum saja siap boleh bertanya lagi bila aku sarungkan baju. "Baju siapa ni mama?" Tidak malu pun dia berbogel di depan mama Zakie dia ini. Boleh lagi berkata sabun mandi mama wangi. Alahai anak...
~~ Ragam anak tidak membawa apa-apa dosa tapi ragam orang dewasa boleh mengundang dosa.~~


















