Showing posts with label tidur. Show all posts
Showing posts with label tidur. Show all posts

Friday, August 8, 2014

Adik mahu makan ketupat lagi

Sebelum berpuasa Syawal masing-masing sudah sepakat berkata 'ok mulakan cepat habis pun cepat'. Kami bermula pada hari raya ke tiga. Namum apabila tiba hari pertama untuk memulakan berpuasa...

Mama: Adik bangun sahur sayang..

Adik: Hmm.... adik mengantuklah mama

Mama: Eh.. adik kata nak ikut sama berpuasa sunat

Adik: Ala.. tak jadilah mama adik nak makan ketupatlah esok.

Mama: Kalau nak bersahur ketupat sekarang pun boleh juga. Ada lagi..

Adik: Adik tak jadilah mama.
Sayang - Inilah orangnya yang semangat berpuasa sunat pudar hanya kerana ketupat bersama atok sayang.
Begitulah kalau nama pun anak-anak. Belum dapat menghayatinya, walau sehari sebelum itu tazkirah tentang fadhilat sunat puasa syawal diterangkan. Masa mendengar tazkirah bukan main semangat tetapi bila tiba masa untuk bersahur semuanya sudah lupa. Akhirnya dari hari pertama sehingga semua orang sudah berakhir puasa sunat sehari pun tidak lagi adik mampu lakukan. Insya-Allah sebelum syawal berakhir bila mama berpuasa Isnin/Khamis harap-harap terbuka hati adik untuk mencari dan mengejar ganjaran tersebut. Mama/papa tidak pernah memaksa hatta puasa di bulan ramadhan sekalipun. Apa yang pasti banyak penyakit berpunca dari apa yang kita makan dan masuk ke dalam perut. Manakala puasa adalah penawarnya. Jadi kepada anak-anak cubalah belajar sedikit-sedikit dari sekarang.

~~ Kalau melihat si kakak bila masuk sekolah menengah tahu sendiri untuk melakukannya kerana pasti sudah tahu fadhilat dan ganjaran yang boleh diperolehi. ~~


Friday, May 30, 2014

Jangan tidur selepas waktu Asar

Hari Sabtu minggu lepas....
Sebaik tersedar kelihatan sudah terang benderang. Keluar bilik kelihatan dua anak daraku masih terlena di depan televisyen. Sayu hati kerana anak-anak tidur tidak berselimut dan tilam. Menuju ke depan tolak sliding door. Cerah. Dalam hati berdetik "Masya-Allah satu rumah dah terlewat tak solat subuh". Bergegas melihat jam menunjukkan pukul 5:20. Mula membayangkan tanda hari kiamat tetapi aku belum bersolat begitu juga anak-anak. "Kenapa abang pergi surau tidak kejutkan kami". Itu yang terdetik dalam hati aku. Hairan sebab tidak pernah en hubby begini. Terus ke bilik air. Sebab sudah terlewat lupakan soal mandi dulu. Niat di hati mahu solat subuh dulu baru mandi.

Sebaik selesai berwudhuk, keluar bilik air baru sedar aku sebenarnya mamai. Mujur tersedar kalau tidak sah-sah aku solat subuh dan pergi kerja. Terlena sewaktu menonton cerita hindustan. Sehinggakan waktu petang aku sangkakan aku sudah terlewat subuh. Sedangkan en hubby sebenarnya pergi servis kereta. Anak-anak pula sebenarnya semua juga terlena sebab menonton tv. Mudahnya syaitan menggoda sehingga aku rasakan sudah terlalu lama aku terlena bagaikan tidur di waktu malam. Sewaktu menonton sementara menanti iklan aku pejamkan mata tetapi terus terlena sehingga azan Asar pun tidak aku dengar.
Malam - Tidur sekejap sebelum tiba giliran mengaji macam anakanda Aqil ini tidak mengapa. Letih seharian di sekolah malam pula kena mengaji. Bagi peluang dia tidur sekejap. Kasihan... Ini kalau mak/ayahnya tahu mesti kena marah.Tapi aku tidak sampai hati.

Sebenarnya tidur sedikit di waktu tengahari tidaklah mengapa. Baginda rasulullah sallallahu alaihi wasallam juga melakukannya kerana dikatakan bagi mengimbangi kekuatan tubuh badan kita setelah bertahajjud di malam hari. Tetapi bukan selepas waktu Asar. Menurut Ibnu Qayyim; "Tidur di siang hari sangatlah dikeji kerana ia akan mewarisi penyakit kebengkakan (muka sembab dan tidak berseri), malapetaka, merosakkan warna kulit, radang limpa, lemah urat saraf dan melemahkah syahwat. Sekeji-keji tidur adalah ketika matahari terbit dan lagi keji tidur selepas Asar."

Ada juga alim ulama' mengatakan; " Sesiapa yang tidur selepas Asar sehingga terganggu kewarasannya maka janganlah ia mencaci selain dari dirinya sendiri."

~~Jadikan pengajaran walau tidurku tidak sengaja tetapi sebaiknya bila sudah menghampiri Asar jangan cuba berbaring sehingga boleh membuat mata terus telena.~~

Friday, January 31, 2014

Detik 12 malam

Tengah malam tadi. Sebaik jam menunjukkan tepat pukul 12 malam serentak itu juga sekitar rumah kami bagaikan berada di medan peperangan. Berdentam-dentum bunyi mercun dan bunga api bersahut-sahutan. Kami mengambil kesempatan merakam sedikit kemeriahan jiran meraikan perayaan mereka.

Tidur dan mimpi kami malam tadi diusik sedikit gangguan dek kemeriahan mereka. Pagi ini kami bertolak balik kampung. Esok anak buah hubby menikah.

~~ Bayangkan 1-2 jam membakar mercun tidak berhenti. Beribu-ribu duit melayang.~~


Saturday, January 25, 2014

Mengaji di musim sejuk

Senario cuaca sejuk kini melanda negara kita dan tidak kurang juga negara jiran. Namun buat aku yang tinggal di JB ini tidak merasa sangat akan perubahan tersebut. Apa lagi kalau yang bekerja di pejabat. Pergi kerja di dalam kereta pun sudah ada pendingin hawa, dalam pejabat pun ada juga. Tidak ketinggalan di rumah pun sama. Oleh itu kalau suhu mencecah 17 darjah celcius macam di Sabah agaknya baru boleh terasa dinginnya. 

Anak-anak yang mengaji mengatakan angin di luar sejuk seronok untuk bermain basikal. Itu kata mereka. Mungkin ada kebenarannya. Ketika menulis entri ini telefon bimbit aku menunjukkan suhu di JB kini adalah 21 darjah celcius. Bererti memanglah agak sejuk.

Terlena  - Ini bukan sebab cuaca di JB sejuk tapi sebab keletihan. Sementara menanti yang lain mengaji boleh dia (Mohd Aqil Ilham) terlena di atas katil. Siap berselimut lagi sebab aku mengajar di bilik memang ada air-cond itu yang buat tambah selesa buatnya tidur. Bila si adik mengejutkan baru berpisat-pisat untuk berwuduk semula. Kerenah anak-anak macam-macam.
Kesian melihat anak-anak yang mengaji bila hari bersekolah. Nampak letih. Sebab itu sebaiknya kalau mengaji di usia awal cepat khatam. Jadi bila ada kerja sekolah banyak bolehlah mengaji di rumah sendiri selepas solat maghrib sekejap. Walau biasa sudah dipesan bawa kerja sekolah buat di rumah mama Zakie sementara tiba giliran,  tetapi anak-anak belum matang mereka tidak mahu.
 
~~ Cuba bayangkan andai Allah turunkan salji di negara kita barang 3-4 hari apa akan jadi dengan tanaman, keadaan jalan, ayam-itik-lembu-kambing di ladang, anak-anak ke sekolah, immigresen/kastam, lapangan terbang dan banyak lagi. Mohon Allah berikan kita semua perlindungan. Amin.~~


 

Friday, November 8, 2013

Fardhu, Hajat, Tasbih, Tahajjud dan Dhuha

Apabila tiba musim peperiksaan biasanya seisi keluarga tidak dapat lari dari meminta-memohon lebih daripada Allah. Selain usaha yang menduduki peperiksaan sebagai manusia biasa, pengabdian diri kepada Yang Esa tidak dapat tidak pasti akan dilakukan lebih dari biasa. Tanpa segan-silu memohon terlalu banyak hingga hilang rasa malu padaNya. Tidak mengapa meminta-minta memohon kepadaNya kerana ini juga salah satu penyerahan diri menandakan keupayaan kita terbatas jika tanpa izin dariNya.

Beberapa petua mungkin boleh dijadikan panduan agar mudah bangun di tengah malam:-
1. Sebelum masuk tidur tanamkan niat mahu melakukan Solat Tahajjud.
2. Semampu yang boleh menjauhkan diri dari melakukan apa juga yang dilarang agama.
3. Bersederhana makan-minum sebelum tidur. Kekenyangan membuat tidur terlalu lena.
4. Membaca ayat-ayat Al-Quran moga dapat membantu dari gangguan syaitan

Baginda rasulullah bersabda, "Sesiapa yang hendak tidur dan berniat untuk bangun mengerjakan solat sunat Tahajjud, tetapi tidurnya terlajak hingga ke pagi, maka dicatat niatnya itu sebagai satu pahala. Manakala tidurnya pula dikira sebagai kurniaan Allah yang diberikan kepadanya." (Riwayat Al-Nasa'i dan Ibnu Majah r.a).

~~ Peluang memperbanyakkan solat selain solat fardhu bila kita mahu meminta sesuatu yang diluar dari kemampuan kita adalah seperti solat Hajat, Tasbih, Tahajjud dan Dhuha.~~

Saturday, January 12, 2013

Usik-mengusik nakal

Setiap malam bila tiba waktu untuk masuk tidur adik akan berjumpa mama dan papa. Hulur tangan untuk bersalam, cium pipi dan kemudian mulalah menadah ubun-ubun kepala. Mama macam biasalah sambil peluk akan membaca suroh Al-Insyiroh. Sebaik mama habis baca akan hembus ke ubun-ubun adik. Cuba bayangkan kalau kita tiup kepala dia tetapi dia membalas dengan meniup leher kita. Bila mama geli sukalah dia. Sama-sama ketawa boleh hilangkan rasa mengantuk. Nakal, kerana adik sebenarnya sangat sensetif kalau kita mahu sentuh leher dia.  Itu yang dia suka buat begitu dekat mama. Kalau dengan papa lagilah dia berjaga-jaga takut terkena misai dan janggut lagilah dia geli
Anak-anak mama - Cuti yang baru lalu ketiga-tiga ada. Bila sekolah kini adik bertemankan atok untuk bermain.
Gambar Raya yang lepas - Macam inilah bila dia peluk papa

Dengan mama - Selepas salam begini kemudian sayang-sayang dan tadah kepala untuk kita baca Al-Insyiroh dan tiup ubun-ubunnya. Ada kala dia juga turut membaca dan hembus di leher kita. Nakal...

~~ Tinggal seorang puteri di rumah kalau tidak ada gurauan begini tambahlah sunyi.~~


Monday, October 3, 2011

Tidur Mati

Pada malam akhir aidilfitri 1432H - lebihkurang 10:30 malam.

Semua sudah keletihan. Rengsa badan dengan bau peluh yang menyesakkan hidung membuat rasa mahu segera masuk ke bilik air. Adik pula mengatakan 'bladder' sudah tepu minta untuk di buang segala isi penangan 10 buah rumah asyik makan dan minum. Sebaik pintu pagar dibuka adik meluru dulu. Tolak grill pintu untuk masuk tidak boleh kerana pintu slidingnya terkunci. Tanya Mak Zah tidak membawa kunci. Aku pula kalau setakat berkunjung keliling rumah memang tidak membawa segalanya. Semua juga tidak membawa telefon bimbit. Ketuk-ketuk pintu berkali-kali aku rasa jiran-jiran yang mendengarnya. Terjerit-jerit ditengah malam buta memanggil Yasmien tiada tanda dia mendengar. Adik sudah tidak tahan. Aku suruh adik mencangkung dan buang saja di tepi longkang pokok bunga, guna air paip siram bunga.


Lama di luar aku tiada pilihan lain lalu tebalkan muka meminjam telefon jiran sebelah untuk menelefon hubby yang mengikuti seminar dua hari di KL. Suruh hubby telefon rumah kejutkan Yasmien. Aku, Mak Zah dan adik belum bersolat Isya' lagi kerana marhaban bermula selepas solat maghrib. Tumpang bersolat di rumah jiran aku (warga Indonesia - tapi kami mesra sebab yang lain jiran kami majoriti bukan Islam). Bagaikan putus asa bila deringan telefon berkali-kali dapat kami dengar dari porch tapi tidak berangkat. Aku susun strategik mahu menjadikan sofa yang koyak (telah aku jahit) untuk adik tidur di situ - alas dengan selendang yang aku pakai. Tikar yang digunakan untuk marhaban aku bentang semula untuk dijadikan tempat aku tidur dengan Mak Zah. Jiran aku sudah sedia mengusung bantal buat aku tidur.


Sambil membebel sebaik melabuhkan kepala ke bantal baru pintu terbuka. Muka aku waktu itu benar-benar geram ketat. Sudah dipesan kami tidak membawa kunci boleh dia menjawab dia tertidur. Penat kerana waktu siang di sekolah ada perlawanan futsal. Masya-Allah.... geramnya Allah saja yang tahu. Kalau pun hendak berbaring, kenapalah tidak baring saja di hall depan tv sebagaimana selalu. Ini tidak, boleh dia tidur dalam bilik siap berkunci dan on aircond memang bertujuan untuk terus tidur. Hubby kata mujur dia tidur dalam bilik Mak Zahnya. Semua nombor telefon yang ada dalam rumah itu hubby panggil, akhirnya setelah berkali-kali panggilan dibuat telefon dia sendiri yang dia dengar kerana duduk di bawah bantal - biasalah dia suka mendengar lagu Korea di telefon bimbitnya. Kalau dia tidur di bilik belakang yang tiada telefon langsung sampai ke pagilah kami tidur di porch.



~~ Gara-gara Yasmien tidur mati, malam itu aku tidur hampir jam 2:00 pagi kerana mengemas tikar, susun balik kerusi-meja dan parkingkan kereta-kereta sendirian sebab hubby outstation. Iktibarnya kalau keluar rumah dan yang ada di rumah hanya anak kita baiklah bawa kunci. ~~