Showing posts with label sejadah. Show all posts
Showing posts with label sejadah. Show all posts

Thursday, January 22, 2015

Tradisi makan di dalam talam/dulang

Boleh dikatakan sekurang-kurangnya dalam sebulan adalah tiga hingga empat kali aku berpeluang makan di dalam dulang ketika berada di masjid. Apabila ada jemaah yang mahu bersedekah sebelum majlis tazkirah, dapatlah kami menikmati hidangan berjemaah juga. Apa pun hidangan pasti terasa sedap belaka. Biasanya satu dulang/talam aku akan berkongsi makan bersama Mak Zah, Kak Meen dan adik. Jika anak-anak mahu makan bersama kawan mereka maka bertukarlah teman sedulang kami.

Sabtu lepas - Contohnya beginilah yang kami makan pada hari Sabtu yang lepas. Nasi putih, ayam goreng, daging beryani, pencuk nenas+timun+sengkuang dan sambal belacan.
Kebiasaan jika di tempat kami sini, dulang besar akan dialas dengan plastik dulu sebelum disendukkan nasi dan lauk-pauknya. Cara ini adalah bagi memudahkan kepada pihak noja masjid mengemas. Sebab itu kami galakkan jika tidak habis makan bungkus saja bawa balik bagi kucing makan. Oleh itu dulang tidaklah kotor ketika membersihkanya. 
Ukhuwah - Kami makan bersama-sama di beranda yang terletak di luar bilik solat wanita.
 
Kami minum juga menggunakan gelas polystyrene. Habis minum masukkan dalam plastik hitam yang disediakan di tepi meja dimana balang air disediakan. Biasa air yang disediakan dua jenis sejuk dan panas. Pilihlah mana satu yang digemari. Jika anak-anak biasanya air sejuk tapi orang dewasa lebih kepada air panas.  
Sejadah dan telekung - Bila tiba waktu menjamu selera kami tinggalkan saja di tempat solat begini sementara menikmati hidangan. Alhamdulillah sehingga kini belum ada masalah dan masing-masing sudah tahu untuk kembali mencari tempat asal.
Sebenarnya apa yang menambah selera makan berjemaah ialah kami makan bersama-sama. Berdoa bersama-sama. Tidak ada sembang kosong sebab selepas makan akan bersambung untuk solat Isyak. Selepas Isyak pula ada tazkirah. Habis tazkirah balik rumah.

~~ Petua bapak jika mahu hubungan kekeluargaan erat makanlah sekeluarga di dalam dulang seperti ini.~~

 

Tuesday, May 14, 2013

Berkereta comel sebelum bersanding

Hujung minggu menghadiri majlis bertandang anak kawan hubby. Aku pergi dengan adik saja sebab hubby sehari sebelum majlis, sebelah malam dan hari langsung sudah sibuk membantu sahabatnya itu. Membantu untuk menguruskan segala keperluan majlis mengalahkan majlis anak sendiri. Ini kali kedua dia menggunakan hubby untuk majlisnya. Sewaktu majlis pertama anak perempuannya dulu juga hubby yang dia minta tolong untuk membantu. 

Hijau - Cantik bila hijau dipadankan dengan warna putih (jangan dipolitikan pula ye). Berseri. Pengantin lelaki itulah anak kawan hubby.

Comel - Pengantin naik kereta ini. Adik kata dia boleh memandu sendiri kalau ada kereta kecil ini untuk ke sekolah. Hati aku pula terdetik kalau kereta ini dijaga rapi boleh jadi kereta antik suatu hari kelak.

Mama punya - Dapat goodie-bag yang di dalamnya ada sejadah comel, air mineral, mug dan bunga telur.

Adik punya - Adik dapat Air mineral, cawan comel, jajan dan bunga telur.

Koleksi - Banyak juga cawan comel yang sudah menghiasi rumah kami. Susun sehingga menutupi kaki pasu bunga. Hendak guna untuk minum comel benar. Simpanlah entah sampai bila.
~~ Adik boleh kata kalau bagi duit lagi baik. Kelakar juga kita menyumbang duit pada emak pengantin mana mungkin emak pengantin bagi duit semula pada tetamu. Tidak pernah dibuat orang.~~


Tuesday, May 29, 2012

Adik tolong papa

Mak Zah bercuti sejak hari Jumaat. Sabtu aku kerja setengah hari. Balik rumah depan porch penuh dengan sidaian bermacam-macam jenis. Sampai pintu pagar pun penuh habis diguna-pakai. Hodohnya rumah mama sayang ooii... "Papalah yang sidai sejadah tu bukan kami tau mama" . Itu kata adik. Baju-baju dua kakak yang baru balik asrama termasuk cadar, sarung bantal dan tuala lagi memenuhi ampai. Aku perintah semua susun semula ikut seperti selalu Mak Zah buat.

Kering -  Ini kakak-kakak tidak lipat. Tugasan diberikan kepada adik dengan papa. Ada dua sejadah panjang seperti ini yang telah siap dicuci papa. Satu set lagi warna hijau sudah siap berlipat.

Panjang - Sejadah ini  dicantum-jahit dari sebelas keping sejadah secara melintang. Cukup-cukup untuk lebar ruang surau taman perumahan kami. Sepah belakang itu sebab mama sedang sibuk menjahit baju.
Adik sana papa sini - Masa mencuci papa kata tidak boleh masuk mesin basuh kami sebab berat sangat. Tapi  bila sudah tos airnya boleh juga spinnya berpusing.

~~ Sana-sini jiran aku yang bukan Melayu membuat ubah-suai rumah. Anak-anak sesekali balik dapatlah hidangan suara sebentar ngenggg.... sebentar tok-tok-tok.... Tapi itulah kejiranan - mereka mahu membuat kerja pun meminta maaf kerana mengganggu. Kami sedia maklum dan faham. Dulu kita pun sama juga.~~