Sebaik melangkahkan kaki ke tahun tiga baik di sekolah kebangsaan mahupun sekolah agama, adik sudah dilantik menjadi pengawas sekolah tidak seperti kakak-kakak yang dua orang dilantik ketika berada di tahun empat. Pada aku berkemungkinan tempias dari publisiti kakak-kakak. Tidak ada keistimewaan lain yang aku boleh nampak. Tetapi hari pertama adik ke sekolah agama tahun ini, ada satu kejutan. Guru besar dan guru pengawas bertukar guru baru. Hari pertama adik sudah berpakaian pengawas tetapi apabila tiba pemberian borang perlantikan pengawas untuk tahun 2015 adik tidak tercalon. Bermakna tahun ini terlucutlah jawatan adik sebagai pengawas. Mama-papa yang akur malam itu pergilah membeli baju kurung putih, tudung putih (sebab sudah suntuk tidak sempat jahit sendiri) dan kasut putih walaupun uniform pengawas adik sudah siap tiga helai semuanya (ini semua aku jahit sendiri). Siapa sangka sebab tidak pernah terjadi pada anak-anak lain.
Petang hari pertama balik sekolah itu aku lihat kemurungan adik jelas terpancar. Melihat airmata adik yang luruh buat aku sebak. Mulalah adik mencari dimana keburukan dia sehingga dia tidak tercalon. Tahun lepas Guru Besar lama bagaikan memberi mandat mahu dia menjadi penolong ketua seperti kakaknya dulu tetapi lain pula jadinya. Alasan aku sebab semua ustazah yang terlibat ustazah baru mereka pasti ada caranya sendiri untuk memilih murid yang berkriteria bagaimana. Kenalah akur. "Mungkin Allah nak adik concentrate dengan UPSR adik, jadi kenalah terima. Mesti ada hikmahnya yang kita tak tahu." Itu nasihat aku dan papanya. Dalam sendu sambil menyembabkan muka dipangkuanku dia berkata "Adik tak pernah dapat nombor bawah 2. Adik selalu jadi imam. Adik wakil sekolah baca berzanji. Adik wakil sekolah musabaqah Quran. Adik malu dengan kawan-kawan adik yang lain." Wah! sungguh aku tidak sangka dia boleh mengungkit itu semua. Habis! pening Rokib dan Atid berbincang mahu ditolak atau tidak pahala budak kecil ini.
 |
| Sijil - Ini keputusan UPKK adik tahun lepas. Selalu tewas satu nombor dengan rakan rapatnya tetapi bila peperiksaan besar begini sebab tidak menggunakan nombor mereka sama-sama mendapat keputusan yang sama. Biasa adik mendapat tempat ke dua dan rakan karibnya tempat pertama. |
Tetapi petang hari kedua bersekolah balik adik dengan senyum lebar. "Adik dah dapat surat pelantikan balik mama." Aduhai! baju putih, tudung putih dan kasut putih baru sehari dipakai tiba-tiba ini pula jadinya. Bila diceritakan tahulah kami kisah sebenar. Pihak sekolah mahu mengurangkan jumlah pengawas dan secara tidak langsung ustazah yang bertanggungjawab menggugurkan banyak nama termasuklah nama adik. Tetapi apabila ramai ustaz-ustazah lain tiba-tiba terlihat adik berbaju putih pada hari itu mereka memanggil adik lalu adik dilantik semula. Papa berkata "Sikit benar ujian buat adik dah menangis. Ingat tu dik, kalau Allah nak tarik apa pun bila-bila masa aje boleh. Adik kena sujud syukur." Adik akur.
Melihat scenario adik, dapat aku bayangkan mereka yang tewas dalam pertandingan merebut sesuatu jawatan. Adik sekadar anak mentah yang lebih banyak dilingkungi alam sekolah pun sudah rasa kecewa apalagi orang dewasa. Mungkin sebab itulah ada yang kita lihat hanya kerana mengejar pangkat dan darjat ada yang sanggup berbunuh.
"Maha berkat Allah yang jika Ia kehendaki tentulah Ia
akan mengadakan untukmu (di dunia ini) sesuatu yang lebih baik, dari apa
yang mereka katakan itu, iaitu syurga-syurga yang mengalir di bawahnya
beberapa sungai, serta mengadakan untukmu istana-istana yang tersergam
indah".- (Al-Furqaan:10)
~~ Besar mana pun jawatan disandang ia akan ditinggal juga akhirnya.~~