Showing posts with label Balik kampung. Show all posts
Showing posts with label Balik kampung. Show all posts

Wednesday, February 22, 2017

Tiga adik dulu dan sekarang

Ketiga-tiganya sepupu sebab mama mereka adik beradik. Balik kampung terlihat gambar sewaktu masing-masing masih bersekolah rendah. Adik darjah/tahun 1 (kiri), Adam (tengah) darjah/tahun 2 dan Afiq (kanan) darjah/tahun 3. Waktu itu mereka dibawa ke zoo negara. Masa kecil selalulah mereka dibawa ke tempat begini. 


Gambar bawah diambil akhir tahun lepas ketika kami balik kampung dan ketiga-tiganya sudah remaja. Sepakat mengambil gambar semula dengan gaya yang agak sama.  Adik remaja perempuan malulah mahu kangkang macam masa belum baligh dulu😀. Gambar bawah adik iaitu anak aku (kiri) di tingkatan 1, Adam (tengah) di tingkatan 2 dan Afiq (kanan) di tingkatan 3. Kesemua mereka ini juga adalah adik dalam keluarga sebab semuanya anak bongsu.

~~ Sepuluh tahun akan datang harapan mama semua sudah memacu wawasan untuk kerjaya masing-masing.~~

Thursday, February 16, 2017

Pusaka yang akan kami jaga

Walaupun sudah tiada orang tua yang mahu diziarahi di kampung tetapi kami ada darah daging lain yang boleh dikunjungi. Kami juga ada rumah dan tanah kebun peninggalan almarhum bapak untuk sama-sama dipelihara dan dijenguk. Pemantauan sepenuhnya memanglah di bahu satu-satunya abang kami. Kasihan melihat abang yang juga sudah menginjak usia 60 kena selalu ke kebun. Walaupun kami tahu bukan dia yang mengusahakannya tetapi pemantuan 100% di atas bahunya.

Petai - Kebun kelapa sawit bapak memang banyak pokok petai. Pokok petai pula boleh dikatakan sentiasa berbuah. Namun sekarang agak musimnya lalu banyaklah hasil yang boleh dituai.
Cucu - Satu-satunya hero kepada anak buah aku yang tugasannya selalu ke luar negara. Daddynya anak abah Din. Jadi hero comel ini kira cucu kepada aku jugalah (cucu saudara sebab daddynya anak buah aku). Ikut ke kebun membelek pokok jagung. Agaknya baru dia tahu jagung yang dia makan beginilah pokoknya.
Empok - Lembut tanah kebun almarhum moyang itu yang dia buat tidak tahu duduk saja di atas tanah. Kami sengaja biarkan. Kalau mulanya rasa takut-takut, tetapi lama-lama dia seronok menikmati suasana kebun. Sesekali bagi kulit di panah sinaran panas mentari.
Berat - Uhhh! setiap kali atoknya menjatuhkan petai dari galah dia pun sibuk mahu mengutip. Sengaja longgok di depannya. Gembira bukan kepalang. Duduk di atas kulat rumput bagaikan carpet. Terduduk-duduk mahu mengangkat setangkai petai.
Kami sepakat adik-beradik akan terus bersama-sama menjaga tanah pusaka ini selagi ada kemampuan dan ada hayat. Biarlah jariah almarhum mak-bapak berpanjangan dinikmati anak-cucu-cicit, saudara-mara dan jiran-tetangganya. Kalau kami yang jadi ibu-bapa mereka ini sudah tidak ada terpulanglah apa mereka hendak buat sebab waktu itu kami sudah di alam barzakh.  Harta dunia pengakhirannya siapa pun tidak tahu.

~~ Semoga anak-cucu kami boleh sepakat seperti kami adik-beradik sekarang.~~


Monday, February 6, 2017

Pucuk ubi bergelombang

Sebut saja kampung, terbayang di ruang mata tumbuhan yang subur menghijau. Lebih mengujakan dedaunan hijau yang boleh dimasak atau dimakan sebagai sajian hidangan. Menjadi kebiasaan juga balik kampung dengan membawa hasil dedaunan tidak boleh dipisahkan. Kali ini paparan aku kepada pucuk ubi sayur. Bukan ubi biasa atau ubi pulut yang daun runcing. Kali ini pucuk ubi yang daunnya khas untuk sayuran. Bergelombang dan bundar disetiap hujungnya. Selain cantik untuk hiasan juga enak dijadikan hidangan. 


Pucuk ubi - Inilah daun pucuk ubi yang aku maksudkan. Gambar ketiga di atas ini sudah aku ratakan bagi melihat bentuknya seperti daun ubi biasa tetapi jika dibiar daun ini bergelombang cantik.
Mask lemak - Tetapi cantik bagaimana pun apabila sudah direbus dan dimasak lemak tetap sama juga rasanya seperti pucuk ubi yang biasa. Hanya yang ini ada cepat lembut. Tidak perlu rebus lama-lama.
Padanan - Selain ikan goreng dan goreng ayam kampung. sambal udang juga menjadikan padanan secocok untuk masak lemak pucuk ubi.
Cekodok - Bila sambal masih berbaki, cekocok roti pun sedap cecah dengan sambal tumis udang. Hiris bawang, daun bawang dan daun saderi masukkan ke dalam telur yang sudah dikacau dgn sedikit garam. Gunting roti comel-comel. Gaul dan goreng. Siap! Inlah bekal anak-anak ke sekolah sewaktu mereke sekolah rendah dulu. masuk asrama semua tinggal kenangan.
Pucuk ubi ini juga boleh dijadikan kerabu/urap. Perencah biasa adalah ikan bilis goreng, cili padi, bawang-bawang, kelapa parut, garam dan sedikit gula. Setelah direbus pucik ubi, keringkan air, potong sedikit supaya tidak terlalu panjang dan gaulkan bersama semua rencah yang sudah ditumbuk/blended. Campurkan dengan sedikit taugeh dan gaul rata. Siap sedia boleh dihidangkan.

~~ Menikmati hidangan bersama keluarga sebenarnya yang membuat selera bertambah.~~

Friday, January 6, 2017

Nasi penyet, bakso dan cekodok

Biarpun sudah disenaraikan penduduk Malaysia di dalam rangking ke 10 tertinggi rakyatnya mengidap diabetes dan darah tinggi, tetap juga mahu mencari nasi. Nasi pilihan pula nasi penyet sebab hanya di sini yang ada nasi putih.  Di shopping mall yang kami singgah ini rata-rata menjual makanan segera yang waktu itu tidak pula membuka selera kami. Sebab itulah kami masuk di restoran nasi penyet ini.

Kak Reen - Iwak lele goreng. (iwak lele itu bermakna ikan keli).  Bukan di Bali saja disebut begitu, tetapi di Johor pun ada juga😁. Ini pilihan Kak Reen.

Mama punya - Pada menu dikatakan ayam kampung tetapi lidah aku tidak boleh ditipu jika ianya bukan ayam kampung. Sudah selalu menikmati ayam kampung sebab itu aku tahu apa yang dikatakan itu tidak betul. Apa yang dikatakan ayam kampung sebenarnya ayam pencen yang direbus kemudian digoreng. Aku kena tipu😥

Set - Inilah set hidangannya bersama nasi dan sup simple. Harga lupa pula sebab biasalah yang menjadi tukang bayar 'king' di rumah kami😀
Adik - Menjadi kegemaran adik hidangan yang berkuah. Bakso ini terlebih masin lalu tidaklah habis dimakan.

Cekodok - Biarpun tidak cantik tetapi sedap. Ada carrot dan ikan bilis. Cuma minyak yang menyerap boleh berganda kolestrol dibuatnya. Kena serapkan dengan tisu beberapa kali baru boleh suap ke mulut. Tapi sedap!
Apa yang kami makan ini sewaktu balik ke Batu Pahat baru-baru ini kerana meraikan majlis aqiqah anak buah en hubby yang mendapat baby baru. Memandangkan majlis dibuat waktu siang dan makanan semua ditempah catering jadi malam sebelum itu kami jalan-jalan cari makan di luar.

~~ Terus bersyukur kerana rezeki di tempat kita ada di sana-sini.~~


Wednesday, January 4, 2017

Jagung, pisang tanduk dan keladi

Apabila balik dari kampung bagaikan tidak sempurna jika bonet kereta tidak disumbat dengan hasil kampung. Tidak banyak sedikit pasti akan ada saja yang diangkut. Selain daun pucuk ubi, ulam tenggek burung, belimbing, nangka muda, umbut kelapa dan limau kasturi, gambar di bawah ini juga yang sempat ditangkap gambarnya untuk paparan mata.



Namun disebalik semua yang diperolehi ini semua adalah atas usaha abang dan kakak yang menjaga dengan sabar. Mereka selalu kena bertarung dengan pemusnah yang tidak berakal dan ada juga yang berakal tetapi menggunakan akalnya dengan jalan singkat.

~~ Selain jagung, pisang campur dengan keladi, letak sagu biji pun sedap untuk dijadikan pengat.~~


Friday, December 30, 2016

Cuti di kampung yang indah - 4

Menguji sejauh mana anak-anak tahu tentang pokok.


Sewaktu membersihkan kawasan belakang rumah di kampung bersama-sama semua anak aku bertanya kepada adik pokok di atas itu. Mudah betul adik berkata "Kari! gemuk betul pokok kari Cik No kan mama". Aku ketawa lalu Kak Meen dan Kak Reen ikut ketawa sama. Mahu menguji si kakak pula aku bertanya kepadanya. "Pokok pucuk manis." Kata Kak Reen. Tambahlah buat mama ini ketawa besar. Tanya pula pada Kak Meen "Itu macam pokok yang sebelah bilik sana." Bila mama kata pokok belimbing semua gelak. Pokok belum besar itu alasan yang diberikan.

Walaupun selalu balik kampung dan memetik buahnya, tapi bila buah belum ada mereka tidak tahu lagi. Jelas anak-anak ku tidak seperti aku dulu yang lebih alert berkaitan tumbuh-tumbuhan yang ditanam oleh almarhum bapak atau almarhumah mak.

~~ "Rugi kalau ilmu yang sudah di depan mata pun masih tidak mahu ambil tahu." Itu kataku kepada anak-anak.~~

Cuti di kampung yang indah - 3

Bukan saja buah yang belum masak dirosakkan olehnya. Pokok durian belanda / sour-sop yang baru mengeluarkan bunga pun menjadi mangsa monyet-monyet yang berkeliaran. Buah yang masih muda digugurkan begitu saja. Bunganya pula di petik. Mahu bersanggul dengan bunga durian belanda agaknya si monyet betina itu😀.


Bunga - Biarpun bunga berwarna kuning tetapi buahnya berwarna hijau.

Kering - Mana yang dirosakkan pasti tidak menjadi buah. Biasanya kelopak bunga akan gugur dan bahagian tengah itu yang akhirnya akan menjadi buah. Sayangnya aku cuba membelek tidak ada satu pun yang boleh dipotretkan untuk dipaparkan di blog ini.
Muda - Lihatlah masih muda sangat dipetik dan dibaling ke bawah sebab masih belum cukup matang untuk dimakan. Kalau besar sedikit pun walau belum matang sekurang-kurangnya boleh juga digoreng macam buah sukun. Tetapi ini masih terlalu muda. 
Ada juga kami bercadang mahu melaporkan kepada pihak perhilitan tetapi rasanya jika mahu ditangkap semua monyet yang berkeliaran di kampung kami, dua bas pun tidak muat agaknya. Selagi kami masih boleh bersabar dan boleh berkongsi kami biarkan dulu. Kasihan juga sebab habitat mereka sudah diganggu-gugat dek pembangunan di hujung kampung.

~~ Monyet sudah tentu tidak ada akal, tetapi bagaimana pula dengan manusia yang berakal adakah mereka tidak takut dosa? ~~


Thursday, December 29, 2016

Cuti di kampung yang indah - 2

Sebut saja kampung terbayang di ruang mata kita suasana yang banyak pokok-pokok. Udara yang nyaman. Hijau di sana-sini. Tidak termasuk ternakan yang dibela. Begitulah juga kampung papa kepada anak-anak ku. Banyak pokok buah-buahan bermusim dan tidak bermusim ada ditanam. Tetapi memandangkan mak/abah sudah tiada lagi bila siang hari tiada siapa yang menjaga. Pokok berbuah dengan sendiri tanpa dibaja. Ada juga yang belum sempat di petik sudah hilang dari pokok. 

Bergayutan - Pokok nangka ini sudah banyak memberikan hasilnya kepada keluarga kami.
Kongsi - Tetapi belum pun masak sudah ada yang cuba menikmatinya. 
Togel - Lebih sadis semua sarung pun dia pandai koyak dan tanggalkan.
Monyet-monyet semua sebenarnya tidak boleh disalahkan sebab habitat dia sudah banyak yang musnah dek pembangunan di kawasan berhampiran pantai hujung kampung ini. Akibatnya banyak yang berlegar-legar mencari makanan di kampung berdekatan. Bukan saja rumah kami yang menjadi mangsa tetapi rata-rata jiran-jiran kami semua mengalami masalah yang sama. Sebab itu walaupun ayam kampung terpaksa di kurung bila tuannya pergi bekerja. Telur ayam tidak boleh leka pasti habis diratah mereka anak-beranak.

~~ Allah berikan rezeki untuk dikongsi tetapi ada kalanya buat kita hampa bila apa yang kita nantikan berakhir dengan kosong.~~

Wednesday, December 28, 2016

Cuti di kampung yang indah - 1

Keluar rumah tanpa bersarapan. Oleh itu sekeluargalah kami singgah bersarapan di tempat biasa. Selesai semua masuk ke perut kereta terus membayangkan suasana kampung yang sudah dirindui. Tetapi sebaik saja masuk ke lebuhraya nasib kurang baik kereta tidak bergerak. Sesak yang melekat tidak boleh dielak. Mahu berundur masuk jalan persekutuan sudah tidak boleh sebab beberapa kereta juga sudah terjebak sama. Jenuhlah menanti giliran. Melihat mereka yang melalui lorong kecemasan mahu saja papa mengikut sama tetapi si isteri dan anak-anak mengingatkan kalaupun di dunia lepas tapi akhirat kita tidak tahu. Orang yang bersusun menanti giliran pasti tidak senang melihat bila berpusu kereta melalui lorong kecemasan. Biarlah akan tiba masa mereka pun akan sedar. Atau mungkin benar mereka ada kecemasan. Lihatlah saja.

Marak - Lebih kurang jam 10:00 pagi kereta kami masuk ke lebuhraya hampir jam 3:00 petang baru tiba di rumah sedangkan biasanya belum tengahari kami boleh tiba. Buka kunci sebab tidak ada siapa di rumah, masing-masing terus menuju ke bilik air. Selesai solat apa lagi sementara parut pun masih kenyang mama tidak perlu masak. Kami terus ke belakang rumah. Membakar apa yang patut.
Basah - Ada juga yang tidak mempan dengan api dek kerana masih lembab. Di Batu Pahat pun hujan turun selalu sama seperti di JB juga. Berkali-kali cuba juga untuk dibakar tapi sebahagian saja yang terbakar.

Bukan selalu kami mendapat peluang bermain dengan api begini. Apa lagi melihat longgokan daun-daun kering yang sudah dilonggokkan oleh abahDol aka bapa saudara anak-anak ku. Seronok apabila melihat api membakar habis setiap yang kami bakar. Anak-anak tidak kurang menjelajah kawasan belakang rumah peninggalah almarhum mak/abah mertua aku. Aroma kampung yang banyak pokok lain nikmatnya. Bermandi peluh kami anak-beranak tetapi sesekali ditiup angin terasa sangat nyaman.

Peninggalan - Masing-masing gelak besar apabila papa mengatakan ini dulu adalah jamban sewaktu papa masih bersekolah rendah lagi. Tempatnya adalah dalam 500 meter jarak daripada rumah. Itu yang membuat anak-anak ketawa sebab mereka membayangkan kalau mahu membuang waktu malam dan kalau sakit perut tidak tahan alangkah jauhnya mahu ke sini.
~~ Duduk di rumah sendiri teringat kampung, balik kampung pula rindu kepada mak-abah yang sudah pergi buat selama-lamanya. ~~


Thursday, December 1, 2016

Benih yang baik..

... kalau dicampak di mana pun hasilnya baik juga.
Tua - Punyalah tidak ada masa Mak Zah sehingga ulam raja ini rancak berbunga tidak dicantas. Sudah sama tinggi dengan pokok bunga kantan dan lengkuas.
Benih - Biarkan yang satu ini menjadi tua tapi bila ditabur di atas tanah akan meriah jadinya.
Satu lagi - Ini pun di simpan untuk dijadikan benih.
Menjalar - Pokok labu air ini walaupun sekadar bergayut/menumpang pokok mangga dia masih mampu memberikan tuannya hasil. Sewaktu kecil kelihatan bagaikan buah mangga sebab duduknya di atas pokok mangga tetapi bila sudah sebesar buah kelapa lihatlah di bawah.
Harapan - Sengaja ditinggalkan sebiji ini tidak dipetik kerana mahu dijadikan benih juga. Semua sudah menempah mahu benihnya. 
Tuai- Yang muda ini sudah menjadi hidangan.  Sebiji kalau dimasak tidak boleh masak semua. Sebahagian  di masak lemak, sebahagian pula masak tumis air pun sedap juga. Boleh diagih ke jiran juga.
Segugus - Ikut kata adik segugus ini jangan dipetik tunggu sehingga dia balik. Bersyukur jugalah sebab ia tidak menjadi perhatian anak-anak yang selalu ada dan burung yang selalu hinggap.  Memang rezeki adik yang ini terlindung di sebalik daun. Dapatlah adik merasa sebaik balik bercuti sekarang.

~~ Seperti juga kita manusia untuk mendapat anak yang baik kita sendiri sebagai ibu-bapa juga kena jadi baik dahulu. ~~




Thursday, November 10, 2016

Meredah legasi almarhum bapak

Meniti hari-hari berlalu tanpa bapak membuat hubungan kami adik-beradik bertambah erat. Apa lagi abang kami satu-satunya anak lelaki yang kini semakin bijak mengorak langkah sebagai pengganti bapak di kebun-kebun yang ditinggalkan kian serasi berada di kampung. Kulit Abah Din (panggilan anak-anak) juga kini semakin gelap kerana panahan panas mentari. Namun semua itu membuat Abah Din semakin kental memandangkan dengan berkebun kini banyak peluh mengalir keluar. Tidak perlu berjoging lagi seperti dulu-dulu lagi.

Packing - Bersama pekerja sudah berguni yang dituai. Sebenarnya ini yang second-grade. Sebab petikan yang pertama sudah terlebih dulu diekspot. Selepas tuaian yang pertama putik jagung selanjutnya akan dibiar lagi dan dituai menjadi 2nd grade inilah. Sudah ada yang menempah untuk dipasarkan di pasar malam. Mana yang besar akan tetap dibawa masuk ke Singapore.

Lihat di belakang - Masih ada lagi yang belum dituai. Menanti masa. Pergi kebun pun masih terselit pen di poket baju. Sudah terbiasa sewaktu di pejabatlah agaknya. Kami ketawa.

Sesak - Sumbat selagi ada ruang. Tempat beku saja di isi dengan sedikit udang dan sotong.
Lihatlah salah satu peti-ais yang kecil di rumah kampung kami penuh dimasukkan seguni jagung menanti adik-adik-anak-buah pulang ke kampung. Betul-betul mengikut jejak almarhum bapak. Bila menuai hasil mesti ingat kepada anak-cucunya. Kini giliran Abah Din pula. Siap bergambar dan dimasukkan ke dalam group whatsapp keluarga. Siapa cepat dia dapat! Itu yang diwhatsappkan kepada kami semua.

~~ Semoga Abah Din terus cekal meneruskan legasi almarhum bapak.~~


Thursday, October 6, 2016

Banyaknya buah-buahan di Malaysia

Dulu sewaktu alamarhumah mak mertua hidup lagi,  monyet tidaklah semeriah sekarang. Bila mak sudah dijemput Izrael, musim buah tidak terkawal lagi. Setiap pagi kelihatan di bawah pokok rambutan penuh dengan kulit rambutan bagaikan karpet merah/kuning. Buah mata kucing langsung tidak dapat merasa. Beruntung lagi kami yang tinggal di JB ini buah mata kucing masih meriah lagi sebab yang memetik tidak akan mengambil mana yang muda. Sebaliknya jika monyet yang makan  habis semuanya dipukul rata, bersih menjadi habuan dia bersama anak-cucu-cicit.

Cempedak - Sebiji ini mampu menghasilkan semangkuk besar cempedak goreng. Nasib baik ramai anak-anak mengaji yang tolong makan. Kalau kami makan sendiri sudah pasti tidak habis. Siap potong dulu bimbang sampai rumah isinya tidak banyak sebab sebelum ini Kak Reen bawa balik dua biji isinya sedikit dan kurang manis.
Merah - Makan suka tapi yang membuat malas semut punyalah banyak mengharung. Kena tuang di dalam sink dan siram dengan air banyak-banyak baru selesa mahu makan
Manggis - Agak kurang sekarang berbanding ketika almarhumah mak mertua ada. Berkongsi dengan tupai dan monyet yang tidak terkawal terutama di siang hari tidak ada sesiapa di rumah.
Keladi - Ini membeli di Air Hitam

Durian - Monyet tidak mengganggu tetapi tupai berjoget lambak dengan durian ini. 
~~ Musim buah juga buat ramai anak-anak mengaji yang batuk dan demam.~~


Monday, August 15, 2016

Kampung vs bandar

Membeli telur kampung di pasaraya brand Nutriplus kelihatan putih mulus. Kepada yang telah menjejakkan kaki ke Mekah/Madinah pasti ingat yang rata-rata telur di sana berwarna putih tidak seperti telur di tempat kita yang agak coklat sedikit cengkerangnya. Melihat putih itulah aku  terpikat untuk membeli. Tercatat pula diluar kotak "telur kampung omega". Tiba di rumah jelas telur kampung omega ini jauh lebih besar dengan telur ayam kampung yang aku bawa dari rumah bapak.
Telur kampung - Putih itu telur kampung omega yang aku beli. Dua lagi telur kampung origin dari kampung ku nan damai:)
Mencuba - Hari minggu sendirian aku mencuba untuk makan telur setengah masak.
Berbeza - Duduk di dalam alat stim dengan masa yang sama. Putih telurnya mempunyai kekentalan yang sama tetapi kuning telur ayam kampung ku nan damai sudah bulat dan isi di dalam cair. Nikmat lemak. Omega di pasaraya bagaikan telur biasa yang aku buat kek.
Bersatu - Apa pun dua-dua aku telan sebaik curah sedikit kicap tanpa pepper pun boleh saja. Saja-saja mahu membuat perbandingan rasa dan saiz antara keduanya.
Besar dan kecil tidak menjadi soal tapi nikmat dan kelazatan tetap berbeza. Untuk aku yang berasal anak kampung pasti dapat merasa perbezaan antara telur kampung dan bukan. Begitu juga ayam kampung dan ayam bandar buat kami lidah anak kampung dapat merasa perbezaannya.

~~ Kampung atau bandar tetap ada kelebihannya. Hanya yang terbaik jika dapat menikmatinya tanpa kos itulah lebih indah terasa. ~~



Monday, August 1, 2016

Indah dan nikmatnya balik kampung

Sungguh banyak keistimewaannya bila balik kampung. Lihatlah apa yang kami perolehi untuk minggu ini. Minggu lepas punya hasil pun tidak habis lagi. Minggu lepas aku membawa balik terung putih, kacang panjang, cili dan telur ayam kampung. Minggu ini dapur kami ada hasil ini dari kampung.

Hasil 1 - Pucuk manis 
Dua bekas - Siap disiang untuk disimpan di dalam peti-ais. Satu bekas sudah menjadi hidangan makan malam tadi

Hasil 2 - Limau kasturi yang semakin banyak yang rosak di pokok tidak tahu mengapa. 

Hasil 3 - Tidak sempat membesar sudah menjadi mangsa kena petik. Tiap minggu di tuai mana sempat membesar.

Hasil 4 - Pucuk ubi siap sudah disiang masukkan ke dalam bekas. Tunggu masa saja menjadi hidangan di atas meja bila-bila masa.

Hasil 5 - Ayam kampung yang sudah siap dibersihkah. Jenuh membersihkan bulu-bulunya. Apa lagi jenis yang umbi bulunya tertanam di bawah kulit. Dua jam mengulek 3 ekor ayam ini.
Sepiring - Sedia untuk digulai sebagai makan malam kami
Siap! - Selain tumis pucuk manis, gulai kari ini juga menjadi hidangan makan malam kami malam tadi. 
Lempeng - Buat juga lempeng gulung untuk dicecah makan dengan gulai kari di atas.
Selain dapat menggembirakan orang tua yang kita kunjungi. Atau mengeratkan ukhuwah yang sedia ada, balik kampung juga menjimatkan barang dapur kita. Tidak perlu ke pasar untuk dua-tiga hari. Apa lagi sejak ramadhan lepas kami ada sedikit cuak untuk membeli ayam dipasar apabila ada isu berkaitan virus yang menyerang ayam. Lebih selamat makan ayam yang kita bela sendiri.

~~ Ekonomi negara dikatakan semakin baik tetapi buat aku rakyat marhaen terasa kos semakin naik dan terus naik. ~~