Showing posts with label Pertandingan. Show all posts
Showing posts with label Pertandingan. Show all posts

Monday, October 26, 2015

Mereka anak-anak dan guru-guru yang hebat

Sekolah adik mengadakan karnival Ko-korikulum sekolah dan adik mengambil bahagian untuk pertandingan memasak. Adik bersama tiga lagi temannya mewakili Ko-ko Tunas Puteri.
Persiapan 1 - Apron putih, pinggan hidang (bungkus tuala oren), teko (bungkus tuala pink), cawan dan bekas sos pencecah (bungkus tisu), sudu, pisau semua ada di sini 
Persiapan 2 - Tepung, alas meja dan kuali

Persiapan 3 - Timun, tomato, ikan bilis sudah bertumbuk campur dengan bawang siap bergaram masuk dalam bekas, daun salad semua masuk dalam bekas siap-siap.  Timun juga sudah siap-siap aku potong. Pagi baru masukkan semua ini bersama dengan chopping-board dan tissu dapur. Bawa segulung terus:)

Persiapan 4 - Bunga orkid mama jadi mangsa. Orkid mama yang lain memang lama sudah merajuk.  Jenis ini saja yang selalu meriah. Ambil setangkai saja pun dan potong dua. 

Siap - Pagi Sabtu papa yang menghantar adik. Mama busy pula hari Sabtu itu ke pejabat. Meronta-ronta mahu juga melihat adik menjadi chef menggoreng jemput-jemput ikan bilis saja pun hahaha.... sayangnya bila mama tiba di sekolah jemput-jemput adik sudah masuk ke dalam bilik VIP tidak dapatlah mama mengambil gambarnya.
Menghias kek - Semua ini hasil tangan anak-anak yang terlibat. Kiri atas tempat ke2, Kanan atas tempat ke 3. Kiri bawah tempat ke 4 dan kanan bawah tempat ke 5.
Tempat pertama - Tunas Puteri mendapat tempat pertama dalam pertandingan menghias kek ini. Kawan adik ini memang punya ibu yang sentiasa mendapat tempahan kek sebab itu tidak mustahil ilmunya turun pada si anak.

Nasi goreng - Ini juga hasil dari masakan Tunas Puteri kawan adik. Tetapi tidak dapat masuk ke bilik VIP jadi dapatlah mama mengambil gambarnya. 
Hasil anak-anak juga  - Gubahan bunga Tunas Puteri kecundang 
Kenangan - Tahun ini tahun terakhir adik bersama mereka semua ini. Cikgu Khalijah dan Madam Sathiabama pembimbing ko-ko adik.
Kumpulan Tunas Puteri - Mereka bergambar bersama Guru Besar, guru-guru Tunas Puteri dan semua yang terlibat dalam karnival pada hari itu. Hebat-hebat belaka guru-guru dan anak-anak yang terlibat.
Karnival berakhir sebelum jam 1:00 tengahari. Sebenarnya ada banyak lagi pertandingan diadakan seperti pertandingan mencari arah, membina khemah dan jualan tetapi tidak semua dapat aku jejaki kerana keluar dari pejabat sudah jam 10:30 tiba di sekolah majlis sudah berjalan lama. Mereka bermula dari jam 8:00 pagi lagi.

~~ Pasti semuanya menjadi moment indah bila mereka semua dewasa kelak.~~

Monday, September 14, 2015

Kebolehan setiap anak tidak sama

Sinonim dengan entri pagi tadi. Memberi sedikit kesedaran kepada anak dan diri sendiri. Kemampuan kita sekadar berusaha tetapi kesudahannya adalah ketentuan Allah jua. Sabtu lepas adik bersama cikgunya ke majlis sambutan hari kemerdekaan Persatuan Pandu Puteri peringkat negeri Johor di Kluang. Adik memasuki pertandingan mewarna. Ketiga-tiga anak mama tidak ada satu pun mewarisi bakat papa. Papa belajar mechanical dan elektrikal haruslah kena pandai melukis. Semangat adik untuk masuk bertanding berkobar-kobar namun hasilnya sekadar membuahkan senyuman kami sekeluarga. Keputusan yang diperolehi tetap sama seperti dulu kakak-kakak adik juga. 

WhatsApp - Sebelum dihantar hasilnya, sempat juga ditangkap gambar dan WA buat tatapan mama-papa dan kakak-kakak. Papa dengan mama kenalah respon untuk bagi semangat. Tapi lihatlah adik sendiri membalas WA papa dengan ikon muka senyum malu sebab dia tahu pencabarnya bukan calang-calang calon. 
Balik - Pihak PPD ada menyediakan bas pergi dan balik. Mereka termasuk guru semua berkumpul di PPD dan menaiki bas yang sama. Mama-papa jemput adik di PPD sini saja. 

Sijil - Inilah yang adik dapat. Apa yang adik mahukan sijil ini peringkat negeri Johor itu yang  mahu merebut peluang.  
Dari dulu semua anak-anak mama tidak ada yang berbakat dalam hal lukis-melukis dan yang pasti bagaikan mengikut jejak mama mereka ini. Walaupun dari kecil masing-masing bukan main minat untuk melukis dan mewarna tetapi hasilnya semua sudah maklum tidak setanding dengan anak-anak yang seusia mereka. Sekadar memenuhi ruang masa dan bermain pensel warna bolehlah.

~~ Kagum melihat anak yang semulajadi boleh berimaginasi dengan pensil warna.~~


Monday, October 20, 2014

Da'i pencetus ummah pendakwah pelapis

Lontaran suara peserta-peserta yang bertanding setiap malam Jumaat dalam rancangan Da'i dari awal tidak pernah kami sekeluarga tertinggal untuk mengikutinya. Selain ianya sangat ilmiah tetapi turut berbangga kerana semakin ramai remaja hari ini yang punya ilmu dunia dan akhirat yang tinggi. Program telah pun berakhir pada Jumaat lepas. Tiga peserta Da'i bertanding pada malam tersebut ialah Da'i Farhan, Izzhar dan Ammar.

Ternyata program terakhir telah menobatkan Da'i Farhan sebagai juara. Lontaran suaranya yang lembut dan susunan kata-katanya tersusun indah menusuk hati setiap penonton. Menjawab soalan sessi pertama berkaitan dengan isu pemakaian hijab dan perasaan memandang remeh mereka yang belum berhijab sangat bertepatan pada masa kini. Perkataan hidayah Allah yang digunakan olehnya sangat bertepatan. Bukan mudah mendapat hidayah tetapi setiap kita kena berusaha ke arah tersebut. Sungguh benar bagai dikatakan bahawa kita kena berusaha untuk mendapatkan hidayahNya. 
Juara - Sebaik tabir dibelakangnya dilabuhkan Da'i Farhan pantas memeluk ibunya yang memegang piala kemenangan dgn juraian airmata. Siapa pun yang melihat adegan itu pasti turut mengalirkan airmata. Ustazah Asni dan Ustas Haryanto pun aku lihat turut mengalirkan airmata. Sebak dan gembira semuanya bercampur-baur.
Sessi kedua pula menjawab lima soalan yang agak mudah bagi yang menduduki kelas agama kerana anak-anak aku pun boleh menjawabnya. Tetapi sessi ketiga ketika memberikan tazkirah sekali lagi membuat kami sekeluarga terpempan kerana masing-masing berhujah mengikut soalan yang diberikan amat menarik sekali. Hanya Da'i Ammar mungkin agak tersilap apabila menjawab soalan berkaitan rasuah diambil demi untuk keluarga yang daif itu sangatlah mendukacitakan. Sehingga Ustaz Haryanto turut mengulas bahawa kalau itu bukan hak kita walau sedikit pun diambil ianya tetap haram. Oleh itu rasuah biarpun sedikit ianya tetap haram.

Malam itu aku tidur dengan rasa sebak tetapi puas yang masih bersisa walau sebenarnya apa yang aku tonton itu tidak ada kena-mengena dengan diriku ini. Melihat suasana penuh airmata seorang anak yang berjaya dalam pelukan si ibu membuat airmataku mengalir deras. Kenyataan terakhir Da'i Farhan bersama kita renungkan:-


"Zaman rasulullah dulu mahu berdakwah atau memberi tazkirah terlalu banyak dugaan dan ujian sehingga kepala baginda berdarah dibaling batu. Tetapi sekarang bertazkirah dan berdakwah mendapat imbuhan duit." Da'i Farhan. Benar apa yang dikatakan beliau.

~~ Mengharap lebih ramai remaja yang terlibat dalam program seperti ini baik di luar mahupun di dalam rancangan televisyen.~~

Thursday, May 8, 2014

Fantastic F1 live with adik

Pada pertengahan tahun 90an permainan kereta control sangat terkenal bukan saja di negara kita bahkan di negara-negara barat. Rata-rata setiap rumah membeli kereta mainan ini, sehingga ada organisasi yang menganjurkan pertandingan walau sekadar kereta mainan. Lumayan juga hadiah yang ditawarkan kerana ada yang mencecah sehingga lima angka. Walaupun kami tidak mempunyai anak lelaki tetapi hubby tidak kurang terjebak sama dalam permainan ini pada waktu itu. Mendapat anak sulung perempuan juga tidak menjadi halangan membeli kereta control ini dengan alasan tidak mahu anak bermain kereta milik orang lain.

Adik &papa - Khusyuk melihat peserta yang bertanding kereta bagaikan di stadium FI. Puas mama dan Mak Zah mencari mana pergi mereka berdua rupanya di sini mereka berada.
Hampir 18 tahun sudah - Inilah kereta control yang hubby beli dulu, masih elok lagi sebab anak dara yang bermain. Masih aku ingat lagi hubby adik-beradik boleh berlawan kereta-kereta begini di halaman rumah sewaktu Hari Raya. Nurienne (anak sulung kami) pula waktu itu baru belajar berjalan, setiap kali kereta bergerak dia akan kejar.  Bila ada peluang kereta berada dekat, dia akan duduk di atasnya. Kuat kereta ini.
Adik punya - Sudah seminggu lebih membelinya. Dua minggu lepas sewaktu keluar dengan Kakak Meen, papa terberjanji akan membeli minggu berikutnya. Apa lagi Sabtu itu, bila keluar pula dengan Kakak Reen dia pun menagih. Siap berkata "Kalau papa tak cukup duit, keluarkanlah duit rakaman adik mengaji". Punyalah dia berkehendak.
FI adik - Riuh mengalahkan ada anak lelaki bila tiba-tiba ada anak bermain kereta di dalam rumah. Geleng kepala jugalah aku dibuat anak dara bermain kereta remote. Anak-anak yang mengaji menambah keriuhan mereka.
~~Hubby selalu berkata biarlah adik bermain selagi dia masih kanak-kanak, bila sudah remaja tidak ada keinginan untuk bermain ini semua.~~

Thursday, April 18, 2013

Cuba lagi tahun depan adik..

Musim musabaqah dan majlis ihtifal di mana-mana sekolah di negeri Johor.
Adik - Sebelum pergi pertandingan pagi itu bersemangat sungguh. Baju ini pun uztazah adik yang jahitkan sebab seminggu sebelum cuti sekolah kami sudah bertolak ke tanah suci. Balik-balik sudah kena bertanding.
Hadiahnya - Setakat ini kemampuan adik

Redhalah - Patut pun hari itu langsung dia tidak telefon mama di tempat kerja. Balik kerja mama lihat di atas meja adik kecundang. Setakat dapat saguhati. Kesihan pihak sekolah yang menaruh harapan. Adik kesuntukan masa berlatih ditambah batuk dan serak lagi.

Kakak punya - Kakak batuk juga tapi nasib masih menyebelahi kakak. Nampaknya masih mengekalkan kedudukan tahun lepas. Anugerah Allah jangan dilupa. Sampai detik dan ketika kena berhenti bertanding tapi kena mendidiklah kepada yang memerlukan.

Kakak punya juga - Jadilah mendapat tempat kedua. Tahun lepas juara tetapi  tahun ini kecundang untuk mengekalkan kedudukan.  Kena redha.

Kuning dan putih - Milik kakak yang buat adik lebih bersemangat untuk jadi seperti ini.

~~ Buat anak-anak mama, apa pun kejayaan kita tanpa izin Allah semuanya tidak akan dapat diperolehi. Kita sekadar berusaha dan berdoa. Usah takbur dan riak. Semua ini tidak kekal lama dan tidak akan kemana pun sebab mama telah laluinya sebelum ini.~~

Tuesday, July 17, 2012

Majlis Ihtifal adik

Sabtu lepas hari yang agak sibuk. Seharusnya aku bekerja setengah hari tapi tidak dapat dielakkan bila adik mahu papa dan mama turut ke Sekolah Kebangsaan Indahpura 2 di mana dia ada turutserta dalam tilawah Al-Quran di majlis ihtifal anjuran J-Qaf seluruh sekolah-sekolah kebangsaan daerah Kulaijaya. Adik dan Firdaus menjadi wakil sekolah mereka. Firdaus ini juga mengaji dengan aku. Baru berusia tujuh tahun dan comel saja suaranya

Ustazah adik - Comel masih anak dara lagi. Adik pun manja bukan main dengan ustazah dia.

Dewan perempuan - Aku menemani adik di dewan perempuan dan papa di dewan lelaki.  Keseluruhan ada 30 buah sekolah kebangsaan.

Adik dan Firdaus - Ummi dan abah Firdaus tidak dapat datang. Dia ikutlah mama Zakie ini. Tapi semuanya tidak mahu naik kereta mama. Memilih kereta ustazah mereka. Selesai membaca di Sek Keb Indahpura 2 ini kami ke TJ Mart kerana acara lain berlangsung di sana pula. Tetapi aku pujuk adik tidak boleh tunggu hingga selesai kerana Kak Yasmien  tidak sihat. Titipkan Firdaus pada ustazah.

Selesai - Belum dapat keputusan lagi aku sudah tahu dua anak didik aku ini pasti tidak boleh meraih terbaik sebab tarranum dibawa rekaan sendiri. Masa di rumah/sekolah boleh ikut nada yang diajar tetapi naik pentas lain alunannya. Tajwid keduanya boleh membanggakan aku. Ustazah kata masih boleh diasuh lagi.

Sampai di TJ Mart - Alunan dikir barat dengan bahasa Arab. Sungguh mengkagumkan. Aku pun terpegun dengan kebolehan anak-anak yang masih terlalu muda. Gigih betul-cikgu-cikgu sekarang. Masa zaman aku dulu tidak ada dikir barat bahasa Arab.

Choral speaking - Juga dengan bahasa Arab. Murid tahun 5 kesemuanya sebab cikgu tidak mahu mengganggu murid tahun enam yang akan menduduki UPSR. Boleh aku kata pada adik "Teacher Sathiabama yang mengajar ke dik? Sebab biasa kalau peresembahan Bahasa Inggeris cikgu berbangsa Hindu  itulah yang mengajar. Apa jawapan adik "Mama ini bahasa Arablah mestilah ustazah adik yang ajar." Oh... boleh aku tidak terfikir majlis ini anjuran J-Qaf.

Sebelum majlis selesai aku mohon pada ustazah untuk berundur diri kerana mahu ziarah Yasmien di asrama. Sudah dua hari demam katanya. Hati mama mana boleh tenang bila dapat tahu anak tidak sihat. Kalau tidak kerana adik ada majlis pagi itu aku sudah terus ke sana.


~~ Melihat kebolehan anak-anak sekarang dapat aku lihat betapa cikgu-cikgu sekarang amatlah gigih mendidik anak-anak murid. Beruntunglah menjadi guru kerana saham akhirat berpanjangan kerana ilmunya dipergunakan.~~


Friday, April 6, 2012

Kehampaan

Petang Rabu itu juga adik sudah menelefon aku di pejabat. Suara kehampaan jelas kedengaran di hujung talian. Aku sebenarnya sudah menjangka dengan cara alunan tarannum yang adik buat tidak mungkin adik boleh meraih kemenangan. Suara pun tidak mencabar langsung. Aku tahu ustazahnya mesti hampa kerana menaruh harapan tinggi. Tidak semestinya kalau kakak-kakaknya boleh adik pun boleh. Harap tahun depan adik boleh mencuba dengan lebih baik lagi. Tilawah pada Rabu lepas adik sekadar mendapat saguhati saja.

Tempat pensil - Ini juga diberikan sebagai cenderahati
Piala - Hadiah saguhati saja yang diperolehi.

~~ Inilah pendedahan pertama kali adik di majlis tilawah. Kalau pertandingan bercerita dan tarian adik sudah biasa. Di sekolah kebangsaan kini sedang gigih satu kelas untuk latihan inang  buat persembahan Hari Guru bulan depan.~~


Tuesday, April 3, 2012

Perujian musabaqah kali pertama

Sewaktu mengajar kakak-kakak dulu mudah mengikut rentak. Adik mudah mengalah. Kena ulang dua-tiga kali sudah kata dia tidak boleh. Latihan di rumah kedengaran bolehlah juga tetapi bila tiba di sekolah dia membaca ikut tarannum rekaanya sendiri. Suara pun takut-takut hendak dikeluarkan. Itu kata Mak Zah yang mendengar bila ustazah buat latihan menggunakan mikrofon di sekolah Jumaat lepas. Aku bukanlah ajar tarannum ras yang perlu nada tinggi, tapi sekadar bayati dan sedikit sikah tapi adik bagaikan susah tangkap.

Hari Jumaat lepas diberikan kain oleh pihak sekolah untuk dijahit. Bila dapat kain ini adik minta aku memberitahu pada ustazahnya yang dia tidak mahu memasuki perujian musabaqah tersebut. Aku pujuk tidak mengapa kalau adik tidak berjaya. Musabaqahnya akan berlangsung esok 4hb April. Tahun depan kalau tidak mahu kenalah beritahu awal bukan bila sudah tinggal 3-4 hari baru adik kata adik takut. Aku pun tidak mengharap dia meraih johan tapi sekadar memberi pendedahan saja.
Baru siap - Baju ini bukan aku yang jahit. Terpaksa hantar kedai sebab sudah suntuk tidak sempat aku mahu menjahit sendiri.


Tudung - Aku jahit untuk dipakai dengan baju polkadotnya tapi sesuai juga untuk baju yang cikgu beri. Kalau tidak pun pakai saja tudung lain yang ada di dalam almari.


~~ Aku pun tidak menyangka adik yang selalu bukan main cergas di atas pentas sekolah bila dijadikan wakil sekolah lain pula jadinya. Berkali-kali dia kata dia takut. Jiwanya tidak besar kata bapak.~~

Thursday, February 16, 2012

Musim Mulidur-Rasul di sekolah-sekolah

Setiap tahun sudah menjadi kebiasaan apabila tiba bulan Rabi'ul-awwal sambutan maulidur-rasul pasti akan di sambut dikebanyakan sekolah. Sekolah Nurienne tidak ketinggalan bahkan ada menganjurkan pertandingan nasyid, marhaban, berzanji, musabaqah dan sebagainya. Tahun ini seperti biasa diadakan majlis Ihtifal Ilmiah di sekolahnya. Nurienne gagal dalam pertandingan berzanji. Apa yang membuat aku gelihati pada hari pertandingan itulah dia membuat panggilan telefon bertanyakan nada ke empat untuk taranum ras. Pada waktu itu clients ada di depan mata. Mana mungkin aku mahu mengalunkannya. Bila aku kata panggil semula selepas 15 minit, masa untuk dia membaca sudah berlalu. Dapat panggilan semula katanya dia hentam membaca seperti nada kedua cuma dia panjangkan sedikit alunannya. Itulah dia kecundang. Tambahan pula kalau al-quran memang dibaca setiap hari, tetapi berzanji dibaca sesekali saja.

Bahas Bahasa Melayu - Bahas bahasa Arab dan bahasa Inggeris gagal, Melayu mendapat Johan.

Tilawah - Alhamdulillah setiap tahun masih kekal lagi sebagai Johan.

Choral speaking - Tahun ini gagal mempertahankan diri. Sekadar dapat tempat ke tiga.

Johan nasyid - Kemenangan ini sebenarnya diraih pada tahun lepas, tetapi hadiah baru diberikan tahun ini kerana ianya dikendalikan ke peringkat sekolah-sekolah Menengah Agama Negeri Johor.


~~ Sebenarnya anak aku lebih suka hadiah berupa buku dari piala seperti ini. Buku boleh disimpan di asrama tapi kalau ini kena bawa balik sebab locker disediakan di asrama tidak mencukupi. Semakin sesak almari rumah dengan hadiah piala anak-anak. Sekadar hiasan semata-mata dan jadi tatapan mata.~~


Wednesday, July 20, 2011

Apa beza cucur dengan jemput-jemput?

Mesti suatu yang mengujakan bila anak dara yang tidak pernah memasak tiba-tiba dipilih oleh cikgu dia menjadi wakil sekolah untuk pertandingan memasak. Malam sebelum pergi ikan bilis tumbuk, bawang tumbuk, hiasan cili dan timun, daun pisang untuk alas pinggan, alas meja, bunga hiasan, mudah kata segala peralatan untuk set minum petang selengkapnya aku dan Mak Zah dia sediakan. Tidak ada rehearsel di rumah.

Pagi itu dengan penuh debaran sebelum melangkah keluar rumah siap memohon doa penuh restu mama-papa. Dia pergi bersama cikgunya ke Sekolah Kebangsaan Seri Pulai. Sempena Karnival Unit beruniform Pandu Puteri, diadakan pertandingan memasak jemput-jemput semua warga sekolah yang terlibat. Kedengarannya mudah tetapi memandangkan ia melibatkan 18 buah sekolah mestilah debaran ada bersarang di hati.

Balik petang itu kelihatannya muka berseri-seri. Tidak kurang juga guru mereka yang senyum-simpul ketika berjabat tangan dengan aku. Sambil menjinjing peralatan yang pagi tadi dibawa terus masuk ke dalam perut kereta.

Yasmien: Mama rasa Yasmien dapat nombor berapa?

Mama: Dapat jadi jemput-jemput pun mama dah bersyukur Mien...

Yasmien: Mama tahu tak Mien pun tak sangka Sekolah kita dapat Johan tau.

Sebagai mama aku memang tidak menduga langsung kerana ketika di rumah kalau sekadar membantu membancuh adalah tetapi menggoreng belum pernah lagi. Pertandingan hari itu semunya dikehendaki membuat jemput-jemput/cucur. Yasmien dan temannya Sofea membuat jemput-jemput ikan bilis dihidang bersama dengan air teh lemon, tempat kedua sekolah jenis kebangsaan Cina membuat jemput-jemput nangka dan tempat ketiga membuat jemput-jemput pisang.

Label - Kertas ini digantungkan pada meja sewaktu pertandingan


Hadiah - Selain sijil piala ini juga diberikan kepada mereka berdua


Semasa dalam kereta juga Yasmein ada bercerita. Soalan yang diberikan oleh ketua panel juri pada Yasmien sewaktu merasa apa yang dimasaknya, "Apa beza antara cucur dengan jemput-jemput?" Jawapan yang diberikan oleh Yasmein, " Ejaan dia yang berbeza". Aku sekadar senyum.




Saturday, March 5, 2011

'Contest Resepi Pilihan' Sinar Raudah

Merenung gambar di atas sejenak
Sinar Raudah mencabar kewanitaan kita
walaupun rasa belum tentu enak
resepi diberi sebagai suka-suka
Mahu tahu apakah syaratnya
larikan jejari di http://www.sinarraudah.blogspot.com/ segera
tempoh diberi seminggu cuma
lambat sedikit tidak diterima


SIAKAP STIM ASAM PEDAS
Bahan-bahan mesti disediakan
kalau tidak macamana jadinya
lihatlah gambar di dalam pinggan
kira dan perhatikan apa bahan-bahannya


1 ekor ikan siakap (sederhana saja saiznya)
11 tangkai cili kering (buang biji, gunting dan kisar)
5 ulas bawang merah (kisar)
5 ulas bawang putih (kisar - sedikit diguna untuk dilumur pada ikan)
1/2 labu bawang besar (mayang)
1 cm halia (kisar - sedikit dilumur pada ikan)
1/2 cawan air asam jawa (pekat sikit sebab ikan stim mengeluarkan air)
1 keping asam gelugor
1 kuntum bunga kantan (belah dua)
1 biji tomato (potong empat)
sedikit daun kesom
5 biji kacang bendi
garam dan perasa (kepada yang suka menggunakannya)
sedikit minyak untuk menumis


Langkah kedua kena lihat juga
mana yang perlu dikisar kisarlah
mana yang tidak perlu kena cuci saja
aku tidak tanggung kalau tersalah

Lumurkan ikan dengan halia dan bawang putih kisar. Masukkan ikan ke dalam stimmer lebih kurang 10 minit. Sementara ikan dalam stimmer tuang minyak dalam kuali. Tumis cili, bawang merah, bawang putih dan halia yang telah dikisar. Biarkan tumisan nampak betul-betul masak baru masukkan bunga kantan, daun kesom, asam gelugor dan air asam jawa. Bila mendidih masukkan kacang bendi dan tomato. Masukkan garam dan perasa (jika suka). Renihkan sebentar jangan sampai kacang bendi dan tomato terlalu masak. Kemudian tuanglah ke atas ikan dalam stimmer. Stimmer set masa seminit-dua lagi. Bila stimmer sudah berbunyi "tingggg" masaklah sudah dan sedia untuk dimakan. Hidangan ini untuk aku berdua dengan hubby saja. Anak aku lebih suka stim halia tanpa cili. Tidak boleh tunjuk di sini kerana ia melanggar syarat Sinar Raudah.


Nampak seekor ikan siakap
10 minit berada dalam stimmer
bila ikan lembut tumisan pun siap
tuang bahan tumisan biar mesra rasanya
Siapa hendak bertandang ke Johor
aku masak buat resepi ini
walaupun anda tidak kecur
resepi dipapar gara-gara si Amy