Showing posts with label Renungan. Show all posts
Showing posts with label Renungan. Show all posts

Friday, February 24, 2017

Hukuman di mata dunia


Jika di Teheran, Iran ada polis bahagian pencegahan kemungkaran. Difahamkan salah satu aktanya mengharamkan penjualan patung Barbie. Mereka mempunyai alasan mengapa ianya diharamkan. Bagi anak-anak di Malaysia Barbie merupakan salah satu patung permainan yang sangat menggembirakan. Bahkan ada yang mengumpul sehingga memenuhi ruang katil. Tidak ketinggalan ada anak-anak yang mandi, makan dan tidur pun berbual dengan barbienya. Anak aku sendiri membeli lampu tidur barbie pink untuk dipadankan dengan biliknya yang serba-serbinya pink.

Melihat di Acheh pula ada polis yang bertanggungjawab memantau hal-hal syariah Islam. Mereka juga diberikan kuasa untuk menangkap umat Islam yang melanggar hukum-hakam Islam. Contohnya andai didapati ada pasangan berkhalwat akan dihukum secara hudud. Wanita Islam dimestikan menutup aurat. Jika mahu berseluar panjang, pakaian mestilah labuh menutup hingga ke bawah punggung. Itu akta mereka biarpun masih ada yang melanggar susila ini. Tidak kuang sudah ada yang dihukum mengikut akta perundangan Islam tempat mereka.

Manakala di negara kita pula Jabatan Agama Islam berhak melakukan penangkapan tetapi tidak boleh bertindak sebaliknya pesalah akan dihantar ke balai polis untuk tindakan selanjutnya. Boleh membuat laporan tetapi tidak boleh bertindak. Boleh membuat aduan tetapi tidak boleh menangkap. Boleh menangkap tetapi tidak boleh menghukum. Boleh menghukum tapi bergantung pada kepetahan peguam. 

لَا يَغُرَّنَّكَ تَقَلُّبُ الَّذِينَ كَفَرُوا فِي الْبِلَادِ * مَتَاعٌ قَلِيلٌ ثُمَّ مَأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ ۚ وَبِئْسَ الْمِهَادُ
Janganlah sekali-kali kamu terperdaya oleh kebebasan orang-orang kafir bergerak di dalam negeri. Itu hanyalah kesenangan sementara, kemudian tempat tinggal mereka ialah Jahannam; dan itu adalah tempat yang seburuk-buruknya.” (Ali-Imran: 196-197).

~~ Begitulah di dunia mungkin kita boleh terlepas pandang namun yang nyata di akhirat kelak walau sebesar zarah segalanya akan ditimbang untuk diberi balasan atau ganjaran setimpal.~~

Tuesday, February 21, 2017

Berkejaran masa hingga kerugian

Hujung minggu yang agak bercelaru. Berkejaran melakukan setiap yang sudah terpahat di minda. Selesai satu agenda berkejar buat yang satu lagi. Bermula bangun pagi dengan menggoreng nasi sebagai hidangan sarapan pagi dan Hubby pula mencuci baju. Selesai itu mengambil bawang-bawang, ikan bilis dan cili untuk diolah sebagai kegunaan seminggu. Hubby pula berkejar melihat rumah yang belum siap untuk direnovation. Tuan rumah memberitahu sebelum hujung bulan perlu disiapkan semua kerana si anak sudah mahu berpindah rumah tersebut. 

Selesai yang satu berkejar pula ke hospital memenuhi temujanji untuk fisio jari aku yang tidak ada perubahan lagi.  Selesai fisio hantar Mak Zah pergi mengambil ubatnya. Kemudian terus berkejar ke Tabung Haji menguruskan pusaka allahyarham bapak. Selasai di sini memandu pula terus ke TM Point untuk upgrade wifi di rumah yang sudah semakin lembab taliannya. Seringkali bila surfing tiba-tiba hanging. Jalan terbaik ikut kata anak-anak upgrade sajalah. Berjam juga berada di TM Point. Mujur juga masuk waktu solat sekarang agak lewat. Makan tengahari itu kami di warung saja. 

Masak untuk makan malam badan sudah letih. Untuk defrost ikan yang beku di peti ais pun malas. Cepat saja tangan mencapai ikan di dalam tin 😀kerana inilah kerja paling cepat dan mudah. Makanlah ala kadar apa yang ada.
Hidangan 1 - Sardin letak cili dan bawang-bawang saja. Bukan sambal tumis pun. Sayur kailan juga tumis-tumis saja.

Hidangan 2 - Telur dadar letak bawang dan cili saja. Daging beryani seketul ini baki semalam punya hidangan tidak habis dipanaskan.
Betapa dunia akhir zaman ini  manusia termasuk aku sendiri ini sentiasa berkejar dengan masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh. Merenung dalam diri sendiri betapa aku berkejaran ke sana-sini semua kerana duniawi. Azan berkumandang masih duduk berurusan dengan TM Point. Selesai urusan sibuk mengisi perut hingga pembersihan rohani dikemudiankan. Hampir jam 2:45 petang baru mendirikan solat zuhor selepas makan. Lihatlah makan diutamakan. Allahuakbar!!

~~ Sering terjadinya insaf dalam diri setelah ianya berlaku baru tersedar.~~


Monday, February 20, 2017

Renungan dari falsafah orang Jawa

Sambil berzikir atau beselawat ketika masa terluang, cuba renungkan apa yang menjadi falsafah bangsa Jawa yang masih menjadi amalan hidup seharian. Kepada yang tidak faham bahasa Jawa boleh saja membaca yang sudah dialihbahasa dengan tulisan italic di bawahnya.

1. wong nrimo uripe dowo
    orang bersyukur hidupnya panjang

2. wong sabar, rejekine jembar
    orang sabar rezekinya luas

3. wong ngalah uripe barokah
    orang yang merendah diri hidupnya berkat

4. wong jujur uripe makmur
    orang jujur hidupnya makmur

5. wong suloyo uripe soro
    orang malas hidupnya sengsara

6. wong sombong amale kabong
    orang sombong amalnya hangus

7. wong ngersulo gelis tuwo
    orang yg suka berkeloh-kesah cepat tua

8. wong telaten bakal panen
    orang rajin akan berhasil/berjaya

9. seng wis lungo lalekno
    yang sudah pergi lupakan

10. seng hurong teko enteno
      yang belum datang tunggulah

11. seng wis ono syukurono
      yang sudah ada syukurilah

Mendapat titipan ini melalui whatsapp group keluarga kami.

~~ Sekadar renungan saja.~~


Tuesday, February 14, 2017

Melihat yang di depan mata

Bukan lapar sangat tetapi apabila keluar hanya berdua, lalu kami sengaja mencari tempat persinggahan untuk mengisi perut sambil bersantai. Suami tanya isteri, isteri tanya suami jawapan diberi "mana-mana bolehlah". Akhirnya singgah di sini. Sambil menanti pesanan melihat anak-anak remaja yang bekerja di outlet tersebut. Sementara menunggu keputusan SPM memang baiklah mereka berusaha mencari rezeki. Nilai RM dari sehari ke sehari kian merudum. Duduk bersebelahan dengan negara yang nilai matawangnya besar sangat terkesan. Melihat anak bukan bangsa aku yang bekerja di seberang tambak mendapat pendapatan sama tetapi dengan SGD lalu apabila convert ke RM nilainya sudah lebih tiga kali ganda. Anak bangsaku bekerja di bandar sendiri pendapatan sekadar mencukupi untuk membeli apa yang diingini bolehlah. Lebih dari itu tidak berupaya berbanding mereka yang memperolehi gaji dengan nilai SGD.


Setiap seorang memesan dua air. Coklat panas dan lemon madu si isteri punya. Manakala si suami seperti biasalah kopi dan lemon sejuk. Pesan juga spring-roll satu set. 

~~ Sebaiknya kepada yang mampu membeli aset terutama rumah belilah lagi dan lagi dari sekarang kerana kita tidak tahu akan datang mampukah kita membelinya?~~


Monday, February 13, 2017

Perjalanan yang masih panjang

Cuti tiga hari saja buat adik sudah kena balik bersekolah semula.

Malam - Biasalah bila anak-anak semua ada di depan mata ada saja agenda masing-masing. Ke Plaza Angsana untuk membeli buku dan stationery. Mereka berposing, mama pula 'curi' gelagat mereka.

Perjalanan - Biasalah bila balik ke asrama ada membawa bekal. Tetapi kali ini boleh adik kata sudah lapar. Lalu bekal dimakan di dalam kereta. Kalau mama tahu akan di makan di dalam kereta acar yang mama buat boleh dibawa. Bimbang basi itu yang bekal sebiji timun. Tengoklah adik makan timun dengan menggigit saja😀 Mama masak nasi tomato. ayam masak merah dan acar. Tetapi yang bekal adik ini mama tumiskan sayur kobis.

Durian - Singgah di bandar sebelum ke asrama adik. Rasa yang pahit-manis dengan isi yang tebal sangat puas.
Tidak habis - Membelinya dua biji tapi separuh lagi tidak termampu dihabiskan oleh kami bertiga. Bungkus plastik tebal-tebal masuk dalam kereta bawa balik JB.

Jiwa muda - Sepanjang perjalanan kami banyak mengulas isu ini disebabkan ketika dalam perjalanan kami ditemukan dengan gelagat dua anak remaja begini. Semoga mereka cepat sedar akan kesilapan ini  kerana cara ini bukan saja membahayakan diri mereka tetapi juga pengguna jalanraya yang lain.
Perjalanan sebagai anak remaja masih panjang lagi itu yang selalu kami mama/papa berpesan kepada anak-anak. Pasti ibu-bapa remaja itu pun tidak mahu anak mereka berbuat begitu. Bukan mudah mahu memantau anak-anak yang berada diluar. Pendidikan sudah diberi bukan saja di rumah bahkan guru-guru setiap hari mendidik tapi masih ada juga anasir begini terjadi. Sebenarnya sudah tiba masanya kita kena 'jaga tepi kain orang' tetapi siapa yang berani dan mampu? Silap bersuara boleh naik-turun mahkamah.

~~ Mendidik dan menasihati anak tidak boleh ada istilah putus asa.~~


Friday, February 10, 2017

Naluri anak perempuan vs naluri ibubapa

Biar besar mana pun anak naluri seorang ibu-bapa tetap merasa anak masih perlu pemantauan. Begitulah selagi nadi masih berdenyut dan ada nafas tetap merasa anak-anak perlu dinasihat. Aku teringat almarhum bapak walaupun sudah terlantar dan abang aku (abah Din) sudah tua pun sebab sudah pencen tetapi bila masa bapak hendak bersolat mesti bertanya " Wes solat?" bermaksud "Sudah bersolat?". Hakikatnya bapak waktu itu sudah kurang peka dengan waktu sebab itu belum masuk waktu pun sudah bertanya. Dia tidak sedar sebenarnya kita yang sering mengingatkan dia ketika mahu mendirikan solat sebab dia sudah tidak dapat membezakan antara waktu zuhor dengan asar, maghrib dengan isyak. Sering kita yang mengingatkannya."Sekarang bapak solat zuhor ye." Itulah contohnya. Tetapi itulah dikatakan sebagai ibu-bapa dalam keadaan uzur masih ingat lagi mahu mengambil tahu hal anak.

Tempohari apabila anak dara aku menghulurkan duit setelah mendapat gaji aku terkedu. Aku berkata "Tak payahlah mama lebih dari cukup". Tapi dikatakan dia sudah niat apabila sudah mendapat gaji dia pun mahu menjadi seperti mama/papanya juga yang memberi sedikit imbuhan buat atok dan neneknya dulu. Aku sedih sebenarnya sebab mahu dibandingkan apa yang dia dapat berbanding dengan aku jauh panggang dari api. Tetapi sebagai memenuhi kehendaknya aku ambil juga walau tanpa diketahui ada sendu di hatiku ini. 

Mungkin naluri anak perempuan begitu sebab aku juga anak perempuan dan aku dapat merasakan anak aku punya rasa seperti apa yang aku rasa dulu. Apa yang membezakan aku dilahirkan dengan serba kekurangan. Anak sekarang celik mata semua serba ada. Hanya kasih dan sayang itu tetap sama. Keinginan mahu memberi kepada ibu-bapa tetap ada. Naluri anak yang sudah matang itulah yang sama. Namun sebagai ibu-bapa rasa tanggungjawab ke atas anak-anak tetap ada selagi nadi berdenyut dan belum dijemput izraeil sebagaimana almarhumah mak dan almarhum bapak dulu.

Anak perempuan - Kesemua anak-anak kami aka cucu perempuan bapak yang masih dibawah tanggungan mummy/mak/mama masing-masing. Moment ketika meraikan salah seorang sepupu perempuan yg sudah dimiliki seorang Adam baru-baru ini


وَاعْلَمُوا أَنَّمَا أَمْوَالُكُمْ وَأَوْلَادُكُمْ فِتْنَةٌ وَأَنَّ اللَّهَ عِنْدَهُ أَجْرٌ عَظِيمٌ
  

Dan ketahuilah bahawa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai cubaan dan sesungguhnya disisi Allahlah pahala yang besar.” (Al-Anfal ayat 28).

~~ Sekadar renungan bersama.~~


Friday, January 20, 2017

Di mana nilai kemanusiaan itu?

Biarpun sama-sama binatang tetapi berlainan habitat dan kebolehan. Oleh sebab itulah ada yang menjadi mangsa kerana ada yang kuat berlagak menunjuk kebolehan. Akibatnya yang lemah terkulai tanpa bantuan dan pembelaan. Itulah kucing dan merpati di belakang rumah kami. Melihat kucing jantan yang garang membaham merpati yang sedang leka menikmati taburan sisa nasi yang kami tabur membuat Kak Meen marah. Sayangnya merpati sudah berada di mulut kucing lalu akibatnya merpati terkulai kesakitan.

Begitulah juga dengan manusia di bumi Allah ini. Ada manusia yang gagah tetapi rasa belas ihsan hilang dari dalam diri sehingga dengan rakusnya menghenyak golongan yang lemah tanpa sedikit pun diberi ruang. Siapa yang mampu membela seandainya yang mahu membantu juga sudah kelelahan dek bantuan tidak menembusi misi sebenar. Bantuan diberi disekat sewenang-wenangnya. Lebih sadis bila sesama saudara bercakaran. Hancur lumat nilai kemanusiaan sejagat.

Jinak - Benar jinak-jinak merpati senang di dekat ditangkap lari. Tapi kini dengan rela hati terpaksa menyerah diri mohon bantuan hubby.

Sakit - Kini merpati pasrah kerana tidak mampu terbang bila sayapnya terkulai dan kaki tidak mampu berdiri seperti biasa.

Mengharap - Penuh mengharap mampu terbang lagi. Dua hari juga menanggung derita.
Ramai sebenarnya saudara kita kini berada di dalam kelompok golongan yang tertindas bagai merpati di atas dan kawan-kawannya. Sering diburu kucing liar yang berkeliaran. Tetapi sekurang-kurangnya merpati ini masih ada yang menghulur bantuan tanpa sekatan sebab yang membantunya lebih berkuasa. Tidak seperti saudara kita terus tertindas kerana mereka yang mahu memberi bantuan tidak punya kuasa besar. Berada dalam zon selesa/aman kita sekarang ini, masih mampu melompat menari-nari tanpa sedar ramai saudara kita yang kini sudah tidak lena tidur, makan tidak terurus, pendidikan terabai; bahkan untuk beramal juga tidak tenteram. Harta-benda musnah tanpa jejak. Andai kita terus berkhayal dengan mimpi indah-indah dan bercakaran, tidak mustahil satu hari akan terjadi, kelompok kita yang dikatakan dalam 'zon aman' ini akan menjadi kelompok minoriti yang kocar-kacir dan akhirnya dihalau keluar dari zon aman ini. Na'uzubillah...

~~ Berpeganglah pada tali Allah dan ikat ukhuwah seerat yang termampu sesama ummah untuk terus bersatu.~~


Friday, December 16, 2016

Sebuah perjalanan pulang ke rumah

Musim cuti semakin ramai yang menjadikannya sebagai peluang untuk menikmati sebuah perjalanan untuk tujuan makan angin. Tidak kira makan angin di dalam mahupun di luar negeri/negara. Berbagai ragam kerenah manusia juga dapat kita lihat. Kita melihat mereka, mereka pula melihat kita. Adakah perjalanan itu mendapat kebaikan atau sebaliknya kita sendiri kena merenung dalam diri kita. Jika perjalanan yang berakhir dengan kemungkaran sebaiknya jauhilah tetapi andai kebaikan yang diperolehi bersyukur kepadaNya.

Gelap - Gelap. cerah, hujan dan panas semua adalah kehendakNya jua. Biarpun belum jam 4:00 petang tetapi dek kerana limpahan hujan yang lebat kelihatan bagaikan sudah menjelang senja. 
Reda & lega - Tiba di sini hujan kian reda dan kesesakan berkurangan. Lega terasa sehingga mampu untuk mengambil gambar signboard. Kami tidak singgah di sini sebab tidak dalam senarai destinasi. Sekadar menjadi laluan saja.


Sesak - Lihatlah laluan menghala ke utara (sebelah kanan) sesak dan padat. Sepanjang pemanduan yang mengambil jarak berpuluh-puluh km kesesakan ini menjadi pandangan mata kami sekeluarga. Alhamdulillah jalan menghala ke selatan amat selesa. Hanya dipertemukan dengan beberapa kemalangan dan mengakibatkan sedikit jem.
Tunnel/terowong - Melalui sini juga agak lengang. Memudahkan pemanduan. Terfikir dibenak kalaulah laluan di titian sirat ketika di padang mahsyar kelak tiada halangan alangkan indahnya. Merenung juga di dalam diri sendiri sejauh mana bekalan mampu dibawa terasa kecut dan alangkah takutnya. Ya Allah... aku tahu aku tidak layak ke syurgaMu tapi aku juga tidak sanggup menerima seksa api nerakaMu. 

Keluar - Cuaca kembali cerah sehinggalan tiba di JB. Dari jam 4:00 petang di Kedah kami tiba di di rumah jam 12:30 malam. Ada juga kami singgah untuk makan dan solat
Toll - Masuk dari Bandar Baharu Kedah sehingga ke Skudai Toll jumlah bayaran adalah 82.90. Lucunya tanpa disedari kad Touch & Go tinggal 67.97/- Bakinya papa bayar dengan cash. Kalau dari Butterworth tidak tahu berapa tollnya sebab di sana kami tidak lalu highway.
Sebuah perjalanan di dunia ada kalanya tersekat dan hanya mampu tiba di destinasi setelah melalui beberapa ujian dan ditempuh dengan kesabaran. Membeli dan meredah laluan banyak menggunakan duit hanyalah sebagai perantaraan. Adakah kita semua juga sudah bersedia untuk melalui perjalanan di dunia yang fana tanpa menempuh halangan? Semampu boleh kita pasti mahu perjalanan kita di sana dipermudahkan dan menemuiNya dengan hati senang. Bersama kita taati setiap yang diperintahkan dan tinggalkan segala kemungkaran.


~~ Salam Jumaat dan selamat berhujung minggu.~~

Friday, December 2, 2016

Kena ada sensitiviti pada orang lain

Mendengar petikan apa yang dikatakan oleh ustaz di radio IKIM menjentik naluri diri. Sungguh benar apa yang diperkatakan olehnya. Pemain bola sepak terkemuka pun ketika bermain di padang tidak mahu diganggu dengan apa-apa panggilan telefon kerana mahu khyusuk dan tumpuan penuh diberikan ketika di atas padang. Mengapa tidak kita yang mahu ke masjid, tinggalkanlah seketika telefon bimbit kerana kita mahu berbicara dengan Allah - bersolat.

Tidak salah untuk kita membawanya sebab bimbang ada keperluan yang tidak disangka-sangka. Tetapi apalah salahnya sebaik masuk dan melangkahkan kaki ke dalam masjid tutuplah telefon bimbit itu untuk seketika. Berikan tumpuan sepenuhnya untuk beribadah kerana niat asal kita ke masjid adalah untuk beribadah. Jangan hanya kerana deringan telefon bimbit kita mengganggu jemaah lain.

Aeon Kulaijaya - Berderet menanti giliran untuk ke tandas. Menghairankan banyak yang berkunci. Pengguna kena beratur menunggu giliran menanti beberapa pintu saja yang berfungsi, sehingga ada anak kecil (dlm 8-9 tahun aku rasa) yang hampir menangis tidak ada siapa yang peduli untuk memberi laluan padanya dahulu.  

~~ Bila tidak ada rasa peduli pada orang lain beginilah akibatnya. Seperti juga jika deringan telefon kita yang boleh mengganggu jemaah lain ketika solat berjemaah.~~



Friday, November 11, 2016

Penyakit duniawi

Semoga kita dijauhkan dari penyakit dunia yang serba mencabar kini. Kebingungan yang tidak ada putusnya. Kesibukan yang tidak ada penghujungnya. Keperluan yang sentiasa dirasakan tidak cukup. Akhir sekali angan-angan yang tidak ada kesudahan walaupun seringkali dikatakan berangan tidak perlu dibayar tetapi sesungguhnya ia sudah menjadi salah satu penyakit dunia.


Bunga raya di halaman rumahku - Sekadar untuk tatapan mata

~~ ... sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan sementara dan sesungguhnya akhirat itulah negeri yang kekal" (Al-Mukmin:39) ~~



Thursday, October 20, 2016

Sesak padat menagih kesabaran

Semalam sejak azan subuh lagi hujan lebat sudah menyimbah bumi JB. Tetapi tidak sampai jam 6:30 pagi hujan sudah mulai reda. Namun sebaik keluar menuju ke tempat kerja titisan hujan kembali lebat. Merenung meter minyak kereta sudah ada tanda tidak boleh bertahan hingga balik. Singgah jugalah ke stesen minyak sebelum kehabisan. Siapa sangka pada hari Rabu dengan keadaan hujan lebat ramai pula yang mahu mengisi tangki minyak seperti juga aku. Biasanya keadaan begini terjadi pada hari Isnin. Mahu tidak mahu sudah menyusur masuk ikutlah beratur sama.

Sebaik tet mengunci kereta menapak menuju ke kaunter membayar. Tunggu punya tunggu sebaik tiba giliran tangan pun menghulur bonus kad dan duit. "Pam 6, lima-puluh ye." Apa jawapan yang keluar dari wanita itu. "Oh.. pam 6 rosak ya. Ambil dululah duit ni." Subhanallah. Pagi-pagi Allah sudah menguji kesabaran aku. Tetapi ada satu uncle berbangsa Cina berkata. "Tadi saya sudah kena kenapa tak mahu letak itu kon? Letaklah bagi orang susah pagi-pagi." Aku senyum kerana dia sudah terkena dulu sebelum aku tanpa aku ketahui. Perempuan itu diam tidak menjawab sebaliknya dengan muka masam cuba swap bonus kad seoarng lelaki yang beratur di belakang aku berkali-kali tidak menjadi. Datang satu remaja perempuan membantu. Sekali swap saja lepas. Giliran aku jadi terkebelakang. Hujan di luar makin mencurah. Terasa tempiasnya hingga ke kawasan kami beratur.

Dari kejauhan tempat pam mengisi minyak ada jeritan lelaki mahu mengisi tangki motor. "Hoi! duit dah ambil minyak tak keluar ni!". Ada juga yang membunyikan hon kereta kerana masalah yang sama. Sebaik lepas membayar ke pam minyak tetapi minyaknya tidak keluar. Datang semula ke tempat kami beratur. Sungguh semalam adalah detik yang membuat mood pagi aku diganggu. Mahu terus pergi juga tidak boleh sebab kereta di depan sudah bersusun menanti giliran untuk keluar. Hampir pukul 7:00 pagi itu baru aku meninggalkan perkarangan stesen minyak tersebut dengan rasa jengkel. Tetapi sedikit dilegakan dengan doa pagi dari radio IKIM fm. Bismikallahumma nada'u... hingga innataqwallah hinurun wathorikullil falah.. Ikut juga membacanya. 

Alhamdulillah - Dalam pada hati jengkel sarapan pagi semalam aku membeli mee goreng ibu yang anaknya mengaji dengan aku.  Dia baru memulakan business dua-tiga hari. Sedap hingga menjilat jari. Aku whatsapp gambar ini padanya menandakan masakan dia sedap.

~~ Sesekali ditagih dengan kesabaran pasti adalah silap diri aku ini. Usah mencari silap orang kerana mungkin silap seseorang adalah ujian Allah untuk menguji diriku sebenarnya. ~~




Friday, October 7, 2016

Wangi segar akhirnya membusuk-reput

Sesekali membawa mata dan mata hati merenung diri sendiri. Membelek baju dipakai. Itu pun setelah berkali-kali berfikir, membelek dan akhirnya dicapai satu sebagai memenuhi kepuasan hati. Ada manik tidak suka, walau ada kalanya yang bermanik itulah yang menjadi pilihan. Blouse merah ditolak lalu diambil yang biru, sedangkan yang merah itulah yang baru dibeli bulan lepas. Hati terus dibolak-balikkan tanpa sedar. Menuju ke cermin, pantas saja sikat rambut dicapai tangan untuk menyisir rambut yang ada. Jauh di dalam hati berdetik juga yang satu hari rambut hitam ini pasti akan memutih andai DIA masih memberi peluang untuk meminjamkan nyawa. 

Arca wajah di cermin terus dipandang. Senyum. Melihat mata, hidung, pipi dan seluruh wajah bibir masih terus tersenyum. Pantas saja disapu wajah yang ada dengan toner, diikuti dengan moisturizer dan sun-block. Masih tidak puas disapu pula dengan compact-powder. Mulus tiada cacat cela. Segala yang mencacatkan wajah hilang serta-merta. Mata yang sudah sedia cantik dicalit lagi, lagi dan lagi. Setelah puas mengambil pula pelembap bibir dan kemudian dioles lagi dengan lipstick bagi memerahkannya. Ambil pula lotion tangan. Sapu rata seluruh tangan dan kaki. Siap! Pusing-pusing-pusing. Masih tidak puas diambil perfume lalu di spary satu, dua dan tiga. Lengkap. 

Wahai diri! Akan tiba masanya bila diri terbujur kaku, sehinggakan mandi, memakai baju dan semuanya dilakukan oleh orang lain. Akan tiba masanya baju bermanik, blouse biru, sikat, segala peralatan solek tidak mampu memberi kecantikan diri. Kulit gebu yang sering dilotion tidak mampu menahan dari tidak mereput. Pasrah melihat hari demi hari diri dihimpit tanah. Perfume jenama apa pun tidak mampu menghalang bau busuk dan ulat-ulat memamah-nikmat sekujur tubuh yang membusuk. Kemana diri mahu mengadu?



Anak soleh yang mendoakan, jariah yang berpanjangan ketika ada hayat dan ilmu yang pernah ditinggalkan dan masih diamalkan itulah harapan, harapan dan harapan yang dipohon. Merayu, merintih mahu kembali sudah tiada siapa mampu memberi. Sedarlah wahai diriku. Di mana kau berada kini?

كُلُّ نَفْسٍ ذَآئِقَةُ ٱلْمَوْتِ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ فَمَن زُحْزِحَ عَنِ ٱلنَّارِ وَأُدْخِلَ ٱلْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ وَمَا ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَآ إِلَّا مَتَٰعُ ٱلْغُرُورِ

~~ Tiap-tiap yang berjiwa/hidup pasti akan merasai mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan. (Ali-Imran  - 185)~~


Friday, September 30, 2016

Sifat Qana'ah, tasamuh dan haibah

Sejauh mana kita mampu mendidik hati dan peribadi diri kita dengan sifat qana'ah dan tasamuh ini tidak ada seorang pun yang mampu mengukurnya. Hatta diri kita sendiri pun tidak tahu sejauh mana ia duduk di dalam diri kita walaupun sifat ini sedikit sebanyak menjadi kayu pengukur keimanan diri. Bukan satu hal yang mudah bagi insan biasa seperti kita ini bersikap redha dan merasa cukup di atas hasil yang kita usahakan. Sentiasa berusaha mendidik diri menjauhkan dari rasa tidak puas hati dan bertoleransi dengan insan-insan sekeliling agar qana'ah ini seiring dengan sifat tasamuh dalam diri.

Tasamuh ini mendidik diri kita bertoleransi dengan mereka yang di sekeliling kita. Bersama-sama mencari redha Allah. Tidak perlu menguasai keseluruhan yang kita mampu kerana sebahagian yang kita perolehi dan lakukan mungkin adalah milik insan lain. Toleransi di sini mestilah yang tidak melibatkan hal-hal dan hukum-hakam agama dan syariat. Seperti qana'ah bukan mudah untuk kita tanamkan tasamuh ini andai sifat qana'ah jauh dari diri. Merasa cukup dalam apa juga yang Allah berikan bukanlah bermakna duduk diam tanpa berusaha tetapi bersyukur atas apa hasil yang setimpal dari apa yang telah diusahakan.

Sebagai insan kerdil benarlah kita tidak boleh lari dari rasa haibah atau takut ibadah atau jariah tidak diterima. Selalulah amalkan suroh Muawwizat atau biasa orang kita sebut tiga Qul. Ada diriwayatkan dari Aisyah radiyallahu'anha "Baginda rasulullah sallallahu alaihi wasallam pada setiap malam apabila hendak tidur akan membaca surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Naas. Ditiup kepada dua-dua tapak tangan kemudian disapukan ke seluruah tubuh dan kepala baginda." Amalan mudah yang boleh kita selalu amalkan. Semoga dengan amalan ini boleh menghindarkan rasa haibah dalam diri kita.
Gambar 1 - Mereka yang kurang berkemampuan menikmati ini biasa-biasa saja tetapi kepada yg sesekeli bertemu ini nikmatnya tidak terkata apa lagi..... (lihat gambar ke dua)

Gambar 2 - Kerabu/urap yang sering menjadi gandingan untuk yang di atas. Walau sekadar pucuk ubi dan taugeh tetapi apabila direncahkan dengan kelapa yang disangan dengan ikan bilis, cekur, cili dan bawang (tumbuk semuanya), mahu nikmatnya tidak terkata.
Cukup bersyukur dengan ini kerana sama-sama dapat dinikmati ramai. Merenung ke dalam diri kerana ada saudara-saudara kita yang langsung tidak dapat menikmati apa yang kita ada.

~~ Sekadar renungan bersama. ~~


Wednesday, September 28, 2016

Bersama-sama kita mendoakannya

Sebak, sedih, sayu hati macam-macam terasa di hati kita umat Islam di Malaysia. Sungguh benarlah apa yang diriwayatkan, semakin akhir zaman semakin ramai para ulama' akan meninggalkan kita.


Whatsapp 1 - Dari group hal ehwal wanita masjid jamek tempat tinggal aku

Whatsapp sambungan - 2

Whatsapp sambungan - 3

~~ Mohon sama-sama mendoakan yang terbaik buat al-marhum ustaz Fadzli Al-Yamani yang amat aku sanjungi ini dipermudahkan semua urusannya hingga selesai urusannya bertemu Allah.~~


Tuesday, September 20, 2016

Sebuah perjalanan

Hari: Ahad 18-09-2016 (petang selepas solat zuhor)
Misi : Perjalanan menghantar adik balik ke sekolahnya

Berhenti - Biasalah bila ada VVIP atau VIP di atas jalanraya, kita yang kerdil begini kenalah ke tepi. Sebagaimana kita ikut dan taat perintah Allah, dgn orang kehormat kita kenalah hormati juga. Walau mahu cepat bagaimana pun kena ikut peraturan. lainlah kelak di Padang Mahsyar mahu meniti titian As-sirot tidak ada pengkhususan VVIP, VIP mahupun darjat.

Buluh kuning - Menarik buluh galah ini. Kuning emas dijadikan tempat berteduh seorang pakcik berjualan hasil buah-buahannya. Tetapi berat pula mulut ini mahu meminta ranting halus. Niat di hati mahu di gunakan untuk jadi penunjuk/tuding ketika mengajar anak-anak mengaji. Bila berat mulut akhirnya tidak dapatlah.
Rezeki - Lihatlah buah-buahan pakcik itu. Pernahkah kawan-kawan membeli bukan kerana mahu makan tetapi hanya kerana ada satu perasaan lain. Itulah juga yang terjadi pada kami. Berhentikan kereta membeli buah pulasan tiga kilo di sini.
Dukong - Membeli ini ketika singgah menumpang solat maghrib di Masjid Kota Tinggi. Sementara menanti hidangan yang dipesan papa membeli ini. Sedap tapi yang leceh ada getah melekat di tangan.
Sewaktu keluar dari perkarangan masjid itulah tiba-tiba kereta kami ditahan sebuah MPV Pajero. Dia menghulurkan dua plastik nenas yang setiap satu ada tiga biji di dalamnya. Rezeki Allah kami terima dengan senang hati. Terima kasih kepada yang memberi. Dia mengagihkan nenas yang tidak dijual kepada semua jemaah yang mahu keluar dari masjid. Cepat saja Allah memberi balasan. Aku berkata kepada anak "Tadi papa bagi laluan kepada enam kereta untuk melintas, cepat aje Allah balas dengan memberi enam biji nenas. Bagaikan satu kereta lepas ganjarannya sebiji nenas." Semua ketawa tapi kadang memang hal begini di luar kemampuan kotak minda kita. Balasan Allah tidak semestinya di akhirat saja. Walaupun niat di hati sekadar tidak mahu melihat jem sebelah kanan kian panjang disebabkan dia tidak dapat melintas ke sebelah kiri. Apa salahnya kita yang memandu di sebelah kiri memberi laluan untuk mereka. Masing-masing senang hati. Tidak sampai pun 5 minit.

~~ Musim buah memang sedap tapi batuk itulah yang tidak selesa.~~

Friday, September 2, 2016

Berkongsilah selagi mampu

Pagi hari cuti kemerdekaan tidak kemana-mana pun aku. Selepas membelek bunga yang kian merudum bersiap-siap untuk keluar membeli keperluan rumah dengan en hubby saja sebab anak-anak balik kampung. Sekarang mudah buat mereka bergerak sejak anak buah aku, Kak Meera tinggal bersama kemana pergi dengan kereta comelnya Axia. Boleh dikatakan setiap hujung minggu kalau Mak Zah tinggal sendirian aku minta mereka balik kampung jenguk dan temankan Mak Zah.
Pink - Sebenarnya banyak pokok bunga aku yang berkongsi pasu. Seperti juga kita tidak salah berkongsi negara yang dicintai ini. Tetapi jangan sesekali cuba membuat onar. Kerana akibatnya semua akan rugi.
Kuning - Walau mempunyai warna yang berbeza tapi ia tetap species bunga raya juga. Seperti juga kita biar warna kulit tidak sama kita sama-sama lahir di negara bertuah ini,  janganlah buat onar demi keamanan yang ada. Kita pupuk dan jaga kehormonian bersama. 
Bunga ros - Lihatlah daunnya daun bunga raya tapi keluarnya bunga ros. Jangan terkejut sebab ini jelas akibat berkongsi pasu. Bunga rayanya tidak kelihatan sebab tinggi di atas, yang di bawah celahnya keluar menjulur bunga ros. Boleh berkongsi dengan aman. Mata memandang pun tenang terasa.
Anggerik putih - Begitu juga walau putih wangi tetap tunduk bersatu dengan orkid jengking lain tapi tidak berbunga cuma duduknya bersebelahan. Aku sangkutkan bunga ini di atas pokok bunga puding. Menumpang tetapi mampu memberi jasa.
Orkid - Begitu juga dengan orkid ini. Aku lekatkan pada batang pokok betik yang kian dimamah usia. Bila-bila masa saja akan mati memandangkan daun-daun kian kuning dan luruh. Sudah berbelas tahun pokok betik ini memberikan hasil. Tetapi tua-tua pokok betik ini masih mampu memberi sokongan kepada orkid aku untuk terus berbakti menghasilkan bunga buat tuannya. Hargai jasanya selama berbakti memberi tumpangan untuk orkid hidup megah. Pergi yang tua memberi jasa bukan perginya dengan sia-sia.
Usah dipertikaikan kemampuan orang lain di atas jasanya kepada negara. Kita nilai sejauh mana kemampuan diri kita membuat jasa. Selebihnya kita berdoa kepada Allah semoga keamanan negara kita terus tidak diganggu-gugat. Buat yang rakus meratah hak orang lain, kita serahkan kepada Allah kerana janji Allah itu benar. Berbuat salah pasti ada balasannya. Tidak di dunia yang pasti akhirat Allah itu ada. Syurga dan neraka Allah itu benar.

~~ Kemerdekaan yang dikatakan bebas biarlah bebas dari kekeliruan, kejahilan dan kemurkaanNya. Kita merdekakan hati kita yang kecil ini dari dijajah syaitan.~~


Thursday, August 11, 2016

Hidup sentiasa mengejar dan dikejar masa

Baru dalam 15 minit perjalanan was-was dalam mindaku diterjah. " Tadi mama dah tutup ke belum api dapur?" Itu yang aku tanya pada anak-anak sebaik dalam perjalanan mahu menghantar adik balik ke asrama Sabtu lepas. Papa mahu kepastian sambil memandu perlahan kerana sudah hampir simpang JPO. Tidak mahu menanggung risiko papa buat pusingan U berpatah balik. Masuk rumah terus ke dapur nyata api sudah dipadamkan pun. Membazir masa. Teringat suroh An-Nas - syaitan selalu menggoda anak-anak Adam untuk selalu ada rasa was-was. Kerana cuaca mendung kenalah tolak ampaian baju ke dalam sedikit baru bertolak semula. Memandangkan jam sudah 3:00 petang hajat untuk singgah di Aeon tidaklah jadi. Teruskan saja perjalanan untuk menghantar adik sebab kena sampai sebelum jam 6:00 petang.

Tiba di sana sudah agak lambat. Selepas membantu adik membawa semua barang-barang keperluan ke atas, kami menumpang solat asar di surau sekolah. Jam sudah hampir 6:00 petang baru kami bertolak balik. Sebaik tiba di bandar Kota Tinggi azan maghrib sudah berkumandang. Singgah solat di masjid Kota Tinggi. Keluar masjid terlihat banyak warung dengan aroma menggoda selera. Walaupun di rumah masih ada baki nasi tomato tetapi aroma menggoda membuat kami menjamu makan di situ.

Air minum - Bermacam-macam bentuk gelas dan mug yang digunakan. Air masak, air cikong, asam boi limau dan teh-o limau.
Kupang - Lama sungguh kami tidak makan kupang. Tapi tetap tidak terhabis sebab agak banyak portion yang diberikan.
Sup tulang - Pekat-likat tetapi kurang menepati selera kami sekeluarga
Kailan ikan masin - Bolehlah juga sebab kami makan tanpa sayur ibarat tidur tanpa bantal. Daripada tidak ada sayur lebih baik ada baru selera kami terbuka.
Telur dadar - Kalau mama punya lagi sedap hihi... Tetapi tetap licin kami makan
Sup cendawan - Dalam kata kurang sedap habis juga mama dgn Kak Mira habiskan mangkuk ini. Rezeki dari Allah kena nikmati dengan kesyukuran.
Siakap 3 rasa - Licin kami makan tinggal tulang sebelum membayar
Apa yang nampak membanggakan di tempat aku singgah makan itu semuanya orang bangsaku. Cuma yang sedihnya ada kalangan yang terus dilalaikan dengan masa dek kerana pelanggan yang tidak putus walhal masjid hanya di seberang jalan saja. Fikir-fikirkanlah...

~~ Dunia dikejar akhirat usah dilupa.~~


Monday, July 18, 2016

Nikmati keamanan dengan kesyukuran

Melihat paparan media berkaitan cubaan rampasan kuasa kerajaan Turki benar-benar membuat mata dan minda kita semua terbuka luas. Agenda penggulingan yang berjaya digagalkan kerajaan mereka menggegar dunia seketika. Hari ini dunia barat sudah tidak dapat menidakkan dan pasti mengakui kehebatan kerajaan Turki. Tidak kurang paparan sempena dua tahun MH17 ditembak jatuh yang sehingga kini tiada jawapan. Usaha JIT (Joint Investigation Team) bagaikan tiada jawapan jitu untuk melegakan keluarga mangsa yang terlibat.

Dua scenario ini saja sudah pastinya membuat diri kita bersyukur kerana dalam pergolakan dunia hari ini kita masih mampu tidur lena, keluar pergi kerja dengan aman damai, anak-anak masih boleh berada di bangku sekolah, berada di shopping mall memilih/membelek idaman hati, menikmati hidangan sehingga tidak kurang yang tidak terhabis hidangan lalu dilontar begitu saja. 

Mengharap apa pun juga paparan mampu membuka mata dan minda kita seluas-luasnya sejauh mana kita kena bersyukur. Lihatlah saudara kita di Syria dan Palestine yang tidak lena tidur, sentiasa dalam kelaparan dan kesakitan yang entah bila akan berakhir. Selagi masih ada penghormatan kepada golongan ulama' kita masih bersyukur, tetapi andai ulama' dan agama dipinggirkan tidak mustahil suatu yang tanpa diduga akan berlaku kepada kita. 

Menumpang - Cendawan liar ini tumbuh di pasu tempat aku menanam pokok bidara. Tentunya cendawan ini bersyukur dapat hidup dengan aman tanpa gangguan

Besar - Biarpun menumpang tetapi tidak ada ganggunan. Membayangkan tumbuhan di Syria semuanya musnah. Sehingga dipaparkan kepada kita bagaimana mereka mencari rumput yang bersisa untuk dijadikan sup dan dimakan sebagai hidangan bersama. 

Pokok bidara - Di bawah pokok inilah cendawan itu tumbuh. Menumpang tanpa mengganggu tidak perlu dijadikan isu sehingga boleh mencetuskan huru-hara. 
~~ Buka dua mata dan mata hati untuk menilai sejauh mana kita bersyukur di atas segala nikmat yang ada kini.~~