Showing posts with label Keluarga. Show all posts
Showing posts with label Keluarga. Show all posts

Wednesday, March 1, 2017

Dua hari sebelum menginjak 63 tahun

Jika dia masih ada hari ini merupakan ulangtahun kelahirannya yang ke 63. Tetapi Allah telah memerintahkan Izraeil menjemputnya hari Isnin yang baru lalu sebelum hari ulangtahunnya. Sama seperti allahyarham abahnya juga dua hari sebelum usia menginjak 63 tahun dia dijemput ke alam barzakh.


Bermakna dua hari jugalah bersemadi sudah abang kesayangan hubby buat sementara waktu di alam barzakh menanti hari kebangkitan kelak. Semoga amal ibadahnya diterima Allah dan diampunkan segala dosanya. Khususon ila ruhilmarhum Haji Azraei Bin Hj Abas Al-fatihah.

~~ Kullunafsin zaa iqotulmauut. Sesungguhnya setiap yang hidup pasti akan merasai mati.~~

Thursday, February 23, 2017

Ada airmata dalam kelegaan kami

Sewaktu bapak sihat lagi beliau meletakkan nama aku dan Mak Zah sebagai penama/waris untuk wang simpanannya di Tabung Haji. Hubby juga merupakan satu-satunya anak (walaupun anak menantu) sebagai wakil untuk memasukkan duit setiap bulan yang diperolehi olehnya. Bila kami balik kampung kami tunjukkan jumlah yang sudah dimasukkan. Begitulah sehingga akhirnya dia sakit dan tidak lagi tinggal di rumah kami sebab aku dan hubby bekerja. Mak Zah tentu saja tidak kuat untuk menguruskan bapak sendirian. Jalan terbaik balik rumah kampung dengan Abah Din membantu. Sesekali datang ke rumah aku dan Mama Leha. Inilah rumah anak-anak yang ada di negeri Johor.

Apabila aku menjadi sebagai penama kepada wang simpanan allahyarham bapak sudah tentu ada sedikit kebimbangan terjadi dalam diri sendiri. Apa yang membimbangkan aku kerenah birokrasi yang minta itu-ini sehingga isu berpanjangan. Aku tahu kami adik-beradik tidak ada sekelumit rasa bimbang. Tetapi alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Pihak Tabung Haji pun memberikan kerjasama yang sangat baik. 

Buku simpanan - Lapan buku bermakna lapan adik-beradik kami. Aku sebagai penama menjadi penerima semua wang simpanan almarhum bapak. Pada 09-02-2017 aku mendapat panggilan dari pihak Tabung Haji memaklumkan semua simpanan bapak sudah dipindahkan ke dalam akaun aku. Hubby mengambil borang keluar 7 set untuk aku siap-sedia isi sebagai pengagihan kepada 7 siblings yang lain.
Tandatangan - Semua menghantar dengan whatsapp kepadaku sebagai contoh tandatangan. Aku latih jari aku membuat tandatangn di atas kertas A4 sebelum ditandatangan di atas borang. Susah jiddan! berkali-kali baru menjadi. Buat Abah Din dan Mak Zah mudah dia terus datang ke rumah aku.
Biarpun ada gelak-ketawa melalui whatsapp kerana gelihati melihat contoh tandatangan yang aku cuba meniru tandatangan adik-beradik yang jauh tapi ada airmata gugur juga buat kami semua. Sedih sebab bapak sudah tidak ada, tetapi masih ada imbuhan ditinggalkan buat kami semua. Kami tahu banyak duit itu juga duit dari kami semua. Tapi ada juga duit dari hasil kebunnya sebab biasa keperluan rumah bapak anak-anak yang membeli termasuk bil api-air. Sebab itulah duit simpanan bapak banyak berbanding kita yang bekerja.

Semoga apa yang kami adik-beradik perolehi ini menjadi jariah bapak. Akan kami gunakan ke jalan kebaikan dari sumber yang diperolehi. Sabtu minggu ini kami akan berkumpul di rumah Kak Long/Mummy Zai, jadi akan aku pulangkan semula semua buku simpanan yang ada di tangan aku kini.


~~ Khususon ila ruhi al-marhum Hj Purvit bin Hj Ikhsan. Wa-khususon ila ruhi al-marhumah Hjh Neema Bt Hj Latif Al-Fatihah.~~




Wednesday, February 22, 2017

Tiga adik dulu dan sekarang

Ketiga-tiganya sepupu sebab mama mereka adik beradik. Balik kampung terlihat gambar sewaktu masing-masing masih bersekolah rendah. Adik darjah/tahun 1 (kiri), Adam (tengah) darjah/tahun 2 dan Afiq (kanan) darjah/tahun 3. Waktu itu mereka dibawa ke zoo negara. Masa kecil selalulah mereka dibawa ke tempat begini. 


Gambar bawah diambil akhir tahun lepas ketika kami balik kampung dan ketiga-tiganya sudah remaja. Sepakat mengambil gambar semula dengan gaya yang agak sama.  Adik remaja perempuan malulah mahu kangkang macam masa belum baligh dulu😀. Gambar bawah adik iaitu anak aku (kiri) di tingkatan 1, Adam (tengah) di tingkatan 2 dan Afiq (kanan) di tingkatan 3. Kesemua mereka ini juga adalah adik dalam keluarga sebab semuanya anak bongsu.

~~ Sepuluh tahun akan datang harapan mama semua sudah memacu wawasan untuk kerjaya masing-masing.~~

Monday, February 20, 2017

Renungan dari falsafah orang Jawa

Sambil berzikir atau beselawat ketika masa terluang, cuba renungkan apa yang menjadi falsafah bangsa Jawa yang masih menjadi amalan hidup seharian. Kepada yang tidak faham bahasa Jawa boleh saja membaca yang sudah dialihbahasa dengan tulisan italic di bawahnya.

1. wong nrimo uripe dowo
    orang bersyukur hidupnya panjang

2. wong sabar, rejekine jembar
    orang sabar rezekinya luas

3. wong ngalah uripe barokah
    orang yang merendah diri hidupnya berkat

4. wong jujur uripe makmur
    orang jujur hidupnya makmur

5. wong suloyo uripe soro
    orang malas hidupnya sengsara

6. wong sombong amale kabong
    orang sombong amalnya hangus

7. wong ngersulo gelis tuwo
    orang yg suka berkeloh-kesah cepat tua

8. wong telaten bakal panen
    orang rajin akan berhasil/berjaya

9. seng wis lungo lalekno
    yang sudah pergi lupakan

10. seng hurong teko enteno
      yang belum datang tunggulah

11. seng wis ono syukurono
      yang sudah ada syukurilah

Mendapat titipan ini melalui whatsapp group keluarga kami.

~~ Sekadar renungan saja.~~


Tuesday, February 7, 2017

Semuanya bagaikan terabai sudah

Berada di rumah kakak aku yang anak-anak panggil Mama Leha sangat mendamaikan. Dari ruang memasuki pintu pagar sehingga berada di halamannya pasti mata menjadi segar-bugar. Deretan pokok bunga puding beraneka warna daunnya, gantungan bunga orkid yang pelbagai dan di bahagian tepi rumah yang banyak hasil sayuran segar siapa pun pasti akan leka. Hanya kini kelihatan sudah ada rumput-rumput mencuri ruang dek kerana tuan empunya tidak mempunyai banyak masa untuk mengulek kesemuanya.

Mahkota dewa - Buahnya terlalu banyak tetapi bila tuan empunya pokok sibuk semua terbuang begitu saja. Kepada sesiapa yg datang mahu mengambil dipersilakan dengan senang hati tanpa sebarang bayaran. Kalau dulu buah yang masak dipetik, dihiris, dijemur sehingga kering. Bila hendak guna masukkan tiga-empat hiris di dalam air mendidih. Bila suam boleh diminum Sebagai supplement mencegah  penyakit darah tinggi katanya. Tetapi kini sudah tidak terbuat lagi.
Dellisya - Anak dara kecik inilah yang suka bermain. But makin baling-baling.Tapi walaupun buahnya cantik merah berkilat dia tahu tidak boleh dimakan. "Buah ubat kata atok". Pandai anak dara ini. Sudah berusia 4 tahun. Buah yg. bertaburan dibiar begitu saja.
Pokok bunga - Kalau dulu dihantar ke pasar peladang tetapi kini mereka yang berkehendak akan datang sendiri mengambilnya. Mama Leha sudah 'patah kaki' kerana menguruskan anak bujang yang terlantar tidak boleh ditinggalkan. Pokok-pokok ini baru dipindahkan ke dalam pasu dari polyethylene bag. 
Sama - Pokok-pokok kektus yang sudah ditumbuhi rumput. Namun masih ada juga yang datang mahu membeli. 
Sedia dijual - Resort dan hotel juga tidak kurang berminat dengan nursery Mama Leha ini. Namun ada juga yang miliknya sendiri sejenis pokok palm yang mahu dibeli tetapi tidak dijual sebab untuk keindahan rumah sendiri.
Pucuk Manis - Lihatlah betapa banyaknya pokok yang terabai. Sayur pucuk manis ini sehingga berbuah besar masih tidak di cantas atau dituai. Aku ambil gambar ini kerana cucunda Dell yang sibuk mahu melihat serangga yang melekat di buah pucuk manis ini.

Nenas - Kalau tidak kerana kami datang mungkin dia pun tidak sedar nenas yang di atas itu sudah terlentok mohon dipetik. Nenas yang bawah belum lagi matang. Tunggu masa lagi. 
Abang Haikal - Beginilah keadaan anak buah aku sekarang. Boss dia masih mengharap dia akan kembali bekerja dan selalu datang menziarahinya. Bergantung sepenuh pergerakannya dengan bantuan mama dan keluarga.
Begitulah apabila sedikit ujian Allah berikan terlalu banyak menagih kesabaran dan kekuatan mental yang tinggi. Calang-calang orang boleh menangis selalu. Tetapi aku tahu kakak aku yang ini kuat. Kalau dulu dia gigih dengan Amway. Shaklee dan nursery kini Allah beri dia untuk berehat. Tetapi bersyukurnya walaupun duduk di rumah, dengan adanya media alam maya tidak memutuskan untuknya terus berniaga seperti dulu. Masing-masing datang terus ke rumah. Stok keperluan juga akan dihantar terus ke rumahnya. Itulah hikmah di sebalik ujian yang Allah berikan padanya.

~~ Mencari keindahan di sebalik ujian yang melanda.~~


Monday, February 6, 2017

Pucuk ubi bergelombang

Sebut saja kampung, terbayang di ruang mata tumbuhan yang subur menghijau. Lebih mengujakan dedaunan hijau yang boleh dimasak atau dimakan sebagai sajian hidangan. Menjadi kebiasaan juga balik kampung dengan membawa hasil dedaunan tidak boleh dipisahkan. Kali ini paparan aku kepada pucuk ubi sayur. Bukan ubi biasa atau ubi pulut yang daun runcing. Kali ini pucuk ubi yang daunnya khas untuk sayuran. Bergelombang dan bundar disetiap hujungnya. Selain cantik untuk hiasan juga enak dijadikan hidangan. 


Pucuk ubi - Inilah daun pucuk ubi yang aku maksudkan. Gambar ketiga di atas ini sudah aku ratakan bagi melihat bentuknya seperti daun ubi biasa tetapi jika dibiar daun ini bergelombang cantik.
Mask lemak - Tetapi cantik bagaimana pun apabila sudah direbus dan dimasak lemak tetap sama juga rasanya seperti pucuk ubi yang biasa. Hanya yang ini ada cepat lembut. Tidak perlu rebus lama-lama.
Padanan - Selain ikan goreng dan goreng ayam kampung. sambal udang juga menjadikan padanan secocok untuk masak lemak pucuk ubi.
Cekodok - Bila sambal masih berbaki, cekocok roti pun sedap cecah dengan sambal tumis udang. Hiris bawang, daun bawang dan daun saderi masukkan ke dalam telur yang sudah dikacau dgn sedikit garam. Gunting roti comel-comel. Gaul dan goreng. Siap! Inlah bekal anak-anak ke sekolah sewaktu mereke sekolah rendah dulu. masuk asrama semua tinggal kenangan.
Pucuk ubi ini juga boleh dijadikan kerabu/urap. Perencah biasa adalah ikan bilis goreng, cili padi, bawang-bawang, kelapa parut, garam dan sedikit gula. Setelah direbus pucik ubi, keringkan air, potong sedikit supaya tidak terlalu panjang dan gaulkan bersama semua rencah yang sudah ditumbuk/blended. Campurkan dengan sedikit taugeh dan gaul rata. Siap sedia boleh dihidangkan.

~~ Menikmati hidangan bersama keluarga sebenarnya yang membuat selera bertambah.~~

Friday, February 3, 2017

Sanah Helwah Mak Zah

Pada hari Sabtu dimana kaum Cina meraikan Tahun Baru Cina mereka, kami pula meraikan hari ulangtahun Mak Zah. Anak-anak aku biasalah sebab sedari mereka lahir Mak Zah merupakan satu-satunya mak saudara yang sentiasa bersama kami, oleh itu kasih mereka kepada Mak Zah sudah seperti mama mereka juga. Tepat jam 12 tengah malam  sebaik keliling rumah kami berdentam-dentum dengan bunyi mercun, anak-anak mengejut Mak Zah yang sudah lena semata-mata untuk mengucapkan "Sanah Helwah Mak". Terpisat-pisat mata Mak Zah melayan kerenah anak-anak buahnya. "Hadiahnya esok ye mak". Aku hanya tahu kisah mereka pada keesokan pagi bila Mak Zah memberitahu aku apa yang anak-anak buat kepadanya tengahmalam itu.

Doa - Papa tolong baca doa kami semua menadah tangan amin. Penuh pengharapan kami semua berdoa semoga usia yang Allah bagi pinjam ini dapat dipergunakan dengan sebaik-baiknya. 
Hidangan - Kami tahu Mama Leha sibuk jadi kami membawa apa yang patut. Mama Zakie paling senang beli kek Indulgence secret receipe dan KFC. Ada juga buat puding roti. Pulut kuning ini Mama Leha yang masak.
Dellisya - Cucu kami yang paling kecil pada hari tersebut. Dell suap mohon semoga usia nenek terus diberkati hingga ke jannah. Cucu saudara kami (cucu mama Leha)
Sebenarnya kami meraikan ulangtahun Mak Zah di rumah Mama Leha. Oleh itu dapatlah semua berkumpul di satu tempat sambil berziarah abang Haikal sepupu kepada anak-anak kami yang terlantar. Jika di rumah kami sudah pasti Mama Leha tidak dapat menghadirkan diri. Oleh sebab itulah kami adik-beradik sepakat untuk meraikannya di rumah Mama Leha.

~~ Bila berkumpul adik-beradik ingatan kepada almarhum bapak dan almarhumah emak kian terasa. Buat mak dan bapak Al-fatihah... ~~




Thursday, January 26, 2017

Warna merah di sana-sini

Jika di negara saudara kita merah kerana darah berhamburan kerana perjuangan yang tiada kesudahan. Tetapi di negara kita ini lain pula merahnya. Masuklah di mana-mana mall atau shopping complex kini warna merah di sana-sini. Bukan saja pakaian yang dijual berwarna merah, bahkan banner, karpet, ruang legar masuk, perhiasan di lobby semuanya merah belaka. Ketika menemankan anak dara aku membeli barang pencuci muka kami bertembung dengan persediaan kumpulan yang mahu membuat persembahan Lion-dance. Bergema seluruh bangunan dengan muzik rancak mereka. Dulu masa usia muda aku tidak kisah tetapi bila sudah berusia kini entahlah mengapa boleh rasa bingit dan pening pula.

Bersedia - Mereka sedang membuat persiapan. Ini di kawasan lobby mall. Niat mahu makan di tingkat ini aku batalkan. Anak dara aku pun tahu mama dia sudah tidak tahan.
Wrap - Naik ke atas sedikit lega bolehlah menikmati makan. Niat asal mahu makan nasi terpaksa dibatalkan dek bunyi bingit tidak tertahan
Kak Reen punya - Setelah didigit inilah wrap pilihan anak dara mama
Kenyang - Mama makan ini. Lengkap juga sebab  ada semua keperluan samalah dengan nasi dan lauk-pauk.
Kami sekeluarga tidak ada cadangan untuk makan angin. Tapi tetap ceria menghirup udara pinjaman Allah buat kita. Mengharap baik-baiklah semuanya. Sementara dapat berkumpul bersama seisi keluarga syukuri nikmat yang diberikan. Buat anak-anak di Johor hari ini merupakan hari akhir persekolahan sebelum bercuti sempena Tahun Baru Cina. Selamat bercuti buat semua.

~~ Bersusun kotak oren di pejabatku sekarang. Aromanya berlawanan dengan air-freshner yang sedia ada.~~

Wednesday, January 25, 2017

Warna-warni hidangan

Somtam
Spaghetti aglio olio
Pizza
Acar buah
Cekodok ikan bilis+carrot+taugeh

~~ Dua bawah saja yang homemade.~~

Friday, January 6, 2017

Nasi penyet, bakso dan cekodok

Biarpun sudah disenaraikan penduduk Malaysia di dalam rangking ke 10 tertinggi rakyatnya mengidap diabetes dan darah tinggi, tetap juga mahu mencari nasi. Nasi pilihan pula nasi penyet sebab hanya di sini yang ada nasi putih.  Di shopping mall yang kami singgah ini rata-rata menjual makanan segera yang waktu itu tidak pula membuka selera kami. Sebab itulah kami masuk di restoran nasi penyet ini.

Kak Reen - Iwak lele goreng. (iwak lele itu bermakna ikan keli).  Bukan di Bali saja disebut begitu, tetapi di Johor pun ada juga😁. Ini pilihan Kak Reen.

Mama punya - Pada menu dikatakan ayam kampung tetapi lidah aku tidak boleh ditipu jika ianya bukan ayam kampung. Sudah selalu menikmati ayam kampung sebab itu aku tahu apa yang dikatakan itu tidak betul. Apa yang dikatakan ayam kampung sebenarnya ayam pencen yang direbus kemudian digoreng. Aku kena tipu😥

Set - Inilah set hidangannya bersama nasi dan sup simple. Harga lupa pula sebab biasalah yang menjadi tukang bayar 'king' di rumah kami😀
Adik - Menjadi kegemaran adik hidangan yang berkuah. Bakso ini terlebih masin lalu tidaklah habis dimakan.

Cekodok - Biarpun tidak cantik tetapi sedap. Ada carrot dan ikan bilis. Cuma minyak yang menyerap boleh berganda kolestrol dibuatnya. Kena serapkan dengan tisu beberapa kali baru boleh suap ke mulut. Tapi sedap!
Apa yang kami makan ini sewaktu balik ke Batu Pahat baru-baru ini kerana meraikan majlis aqiqah anak buah en hubby yang mendapat baby baru. Memandangkan majlis dibuat waktu siang dan makanan semua ditempah catering jadi malam sebelum itu kami jalan-jalan cari makan di luar.

~~ Terus bersyukur kerana rezeki di tempat kita ada di sana-sini.~~


Wednesday, December 28, 2016

Cuti di kampung yang indah - 1

Keluar rumah tanpa bersarapan. Oleh itu sekeluargalah kami singgah bersarapan di tempat biasa. Selesai semua masuk ke perut kereta terus membayangkan suasana kampung yang sudah dirindui. Tetapi sebaik saja masuk ke lebuhraya nasib kurang baik kereta tidak bergerak. Sesak yang melekat tidak boleh dielak. Mahu berundur masuk jalan persekutuan sudah tidak boleh sebab beberapa kereta juga sudah terjebak sama. Jenuhlah menanti giliran. Melihat mereka yang melalui lorong kecemasan mahu saja papa mengikut sama tetapi si isteri dan anak-anak mengingatkan kalaupun di dunia lepas tapi akhirat kita tidak tahu. Orang yang bersusun menanti giliran pasti tidak senang melihat bila berpusu kereta melalui lorong kecemasan. Biarlah akan tiba masa mereka pun akan sedar. Atau mungkin benar mereka ada kecemasan. Lihatlah saja.

Marak - Lebih kurang jam 10:00 pagi kereta kami masuk ke lebuhraya hampir jam 3:00 petang baru tiba di rumah sedangkan biasanya belum tengahari kami boleh tiba. Buka kunci sebab tidak ada siapa di rumah, masing-masing terus menuju ke bilik air. Selesai solat apa lagi sementara parut pun masih kenyang mama tidak perlu masak. Kami terus ke belakang rumah. Membakar apa yang patut.
Basah - Ada juga yang tidak mempan dengan api dek kerana masih lembab. Di Batu Pahat pun hujan turun selalu sama seperti di JB juga. Berkali-kali cuba juga untuk dibakar tapi sebahagian saja yang terbakar.

Bukan selalu kami mendapat peluang bermain dengan api begini. Apa lagi melihat longgokan daun-daun kering yang sudah dilonggokkan oleh abahDol aka bapa saudara anak-anak ku. Seronok apabila melihat api membakar habis setiap yang kami bakar. Anak-anak tidak kurang menjelajah kawasan belakang rumah peninggalah almarhum mak/abah mertua aku. Aroma kampung yang banyak pokok lain nikmatnya. Bermandi peluh kami anak-beranak tetapi sesekali ditiup angin terasa sangat nyaman.

Peninggalan - Masing-masing gelak besar apabila papa mengatakan ini dulu adalah jamban sewaktu papa masih bersekolah rendah lagi. Tempatnya adalah dalam 500 meter jarak daripada rumah. Itu yang membuat anak-anak ketawa sebab mereka membayangkan kalau mahu membuang waktu malam dan kalau sakit perut tidak tahan alangkah jauhnya mahu ke sini.
~~ Duduk di rumah sendiri teringat kampung, balik kampung pula rindu kepada mak-abah yang sudah pergi buat selama-lamanya. ~~


Friday, December 23, 2016

Tempuh segala ujian dengan tabah

Empat tahun lepas tiga orang anak bersekolah. Semua pakaian sekolah aku jahit sendiri dengan tabah. Cuba bayangkan jika seorang anak tiga pasang baju, ada tiga anak mestilah kena sembilan pasang. Untuk sekolah agama juga tiga pasang bermakna tahun sebelum ini berbelas pasang baju sekolah aku kena jahit. Belum termasuk tudung yang selalunya setiap seorang juga tiga helai. Sekolah kebangsaan dan pagi pula tidak sama warna. Pengawas sekolah pagi warna biru muda tapi pengawas sekolah agama warna pink. Masuk tahun 2014 tinggal Kak Meen dan adik saja. Ada yang aku jahit dan ada yang aku beli siap. Malangnya baju beli siap biasanya jahitan tidak kukuh/mudah tetas.

Tetapi untuk tahun ini hanya adik seorang, aku sudah jadi malaslah pula. Kalau dulu tabah menjahit sebab mahu berjimat. Tapi bila tinggal adik seorang mulalah terdetik beli saja baju yang sudah siap lebih senang. Untuk tudung sajalah aku jahit😃. Dari dulu jika tudung anak-anak lebih suka mama jahit sendiri. Kenalah mama bertabah sebab tudung beli biasanya bahagian hujung depan akan terjongkit tidak sama jika jahit sendiri nampak terletak elok.

Ukur - Mudah saja jahit tudung. Selepas di segtigakan kain bertindan, gunting keliling dan pin paras mana untuk ruang muka. Macam kita buat telekung solat. Ini lagi mudah sebab kecil dan tidak perlu kekek di dagu dan pelapik atas kepala.

4 helai - Siap sudah bergunting dan berjahit untuk ruang muka tinggal jahit tepi keliling saja. Aku letih sebab baru balik dari menjenguk anak buah yang masih koma. Tetapi memandangkan sudah tidak ada masa aku gigih luangkan sejam juga buat ini. Hujung minggu ini kena balik Batu Pahat pula sebab ada kenduri aqiqah.
Mama Leha - Tabah dan cekal kakak aku seorang ini. Ujian terlalu besar buat orang yang baik sepertinya. Business Amway/shaklee/Avon/ serbanika/benih pokok bunga dan sayur semuanya terpaksa ditanggalkan untuk sementara. Mujur juga orang bawahannya cergas dan mampu menggalas. Duduk di hospital pun masih mendapat panggilan pelanggan yang mahukan produknya.  Untuk nursery pokok bunga pula jiran sebelah pun pandai tolong jual bila ada pelanggan datang. Abang ipar pula sentiasa ulang-alik ke HSI saban hari.
Sudah sebulan dan seminggu kini anak buah aku terlantar. Majlis pengantin anak buah pada minggu lepas Mama Leha sekeluarga saja yang tidak ada. Sewaktu di meja hidangan kami semua sama-sama teringat sehingga masing-masing mengalirkan airmata. Doa kami semua titipkan setiap waktu buat anakanda Muhamad Haikal ini. Anak yang baik, besar pula ujiannya. Walaupun Mama Leha punya kewangan yang kukuh tapi setiap bulan sebaik mendapat gaji tidak kurang RM700/- dia beri pada mamanya ini. Selepas solat maghrib setiap hari tidak lepas dengan Al-Quran, tetapi itulah apabila Allah mahu menguji siapa pun tidak mampu menepisnya. 

~~ Semoga keluarga kami mampu dan redha atas ujian ini semua.~~


Thursday, December 22, 2016

Pilih, makan, bayar dan balik

Bila anak-anak semua ada di rumah semakin kerap pula aku 'memasak' di restoran. Pilih sajalah hendak makan apa dan restoran mana, biasa papa ikut saja. Bukan selalu dapat peluang yang semua anak ada bersama-sama kalau bukan waktu cuti sekolah. 

Tomyam - Papa dan adik memilih beehoon tomyam, Kak Reen kwee-teow tomyam dan Kak Meen mee tomyam. 

Sama - Semuanya makan tomyam belaka. Air pun sama air tembikai. Mama saja yang memesan air limau.

Side order - Ada juga memesan satey dan somtam. Biasalah kami penggemar somtam. Cuma kali ini agak terlebih pedasnya. Jadi adik tidaklah kami benarkan makan jika pedasnya berlebihan bimbang lain jadinya.

Mama punya - Mama anak orang kampung jati mestilah mahukan nasi. Apa lagi nasi goreng kampung. Sedap pula bila papa tolong padankan dengan kailan dan ulam kobis dan kacang panjang mentah. Sedap!
Ada kalanya masa rehat itu lebih diutamakan untuk seisi rumah. Keluar makan di restoran yang berdekatan dengan tempat tinggal rasa berbaloi juga bila dikira dengan kudrat yang memerlukan rehat lebih. Balik kerja sudah tidak perlu menjengah dapur.  Anak-anak pula yang baru sesekali memasak di dapur pun bingung mahu masak apa. Mereka tidak tahu mama mereka ini yang sudah berpuluh tahun masak buat mereka lagilah buntu.

~~ Makan sajalah di luar. Pesan, makan, bayar - siap boleh balik rumah. ~~