Showing posts with label Kreativiti. Show all posts
Showing posts with label Kreativiti. Show all posts

Monday, December 19, 2016

Adat dipelihara, agama dijunjung tinggi

Seminggu lepas kami meraikan majlis walimah anak buah kami aka sepupu anak-anak. Malam sebelum majlis akad nikah pada keesokan harinya kami bersama-sama menyediakan semua barang hantaran. Tidak ada satu pun yang kami tempah tetapi semuanya atas kreativiti mak-mak saudara dan sepupu yang ada. Jimat beribu sebab setelah bertanya kepada satu kedai setiap satu gubahan ada yang mencecah dua-tiga ratus. Oleh itu pakat-pakat baik kami buat sama-sama.

Daun pandan - Bagi menaikkan aroma pada setiap bekas hantaran kami buat kuntuman bunga dari daun pandan. Aroma original dari daun pandan dapat menaikkan seri meraikan mempelai.

Persiapan - Semua menghulur tangan masing-masing bagi menghasilkan gubahan yang sedap mata memandang. Sayangnya bila siap dan tersusun cantik, satu pun tidak ada di dalam handphone aku. Benar-benar lupa disebabkan sibuk ke sana-sini. Kena tunggu cameraman tempahan memberikan album. Kalau lihat dalam salah satu bakul ada bola mainan itu kerja budak belum 2 tahun. Sibuk juga 'membantu' berkali-kali mahu letakkan mainannya dalam bakul akhirnya kami biarkan saja bagi dia puas hati.

Khusyuk - Mak-mak dan anak-anak dara semua khusyuk membuat gubahan sehingga jam 12:00 malam. Sambil menggubah sambil menikmati hidangan beehoon goreng, mee goreng, soto dan kuih-muih.

Makan - Sebelum tetamu datang kami mak-mak dan anak-anak semua menikmati hidangan dahulu. Masak-masak dan waiter semua kami serahkan kepada pihak catering. Mudah, senang dan kami boleh bergaya sakan dengan tema baju hijau dan tudung kelabu.

Sepupu - Pengantin bersama sepupu yang kesemuanya anak dara yang mahu mendapat seri dari mempelai. Semuanya sepupu dari lima mama/mak/mummy. Tiga darinya anak aku.
~~ Selamat pengantin baru buat Siti Nabiha dan Mohd Shahir dari Mamazakie dan keluarga.~~

Thursday, September 22, 2016

Ekosistem ciptaan adik

Kerja sekolah adik untuk subjek geografi sewaktu cuti sekolah baru-baru ini. Papa membelikan segala keperluan adik seperti base-board, plasticine berwarna, kertas biru dan gam uhu. Memandangkan jika menggunakan plasticine sepenuhnya, board menjadi berat aku cadangkan adik menggunakan kapas sebagai bahan bagi menaikkan kedudukan tanah. Kapas ini sudah lama tersimpan sebagai pencuci luka dan sebagainya. 

Basic - Setelah siap semua bentuk kelihatan kosong lalu minta papa belikan ikan kecil dan pokok kecil yang biasa ada dijual di kedai-kedai akuarium. Tetapi papa terbeli pokok yang agak besar. Kerana tidak mahu membazir lekatkanlah juga. Ikan kecil palsu tidak ada di kedai ikan. Ikan hidup adalah. Tetapi kerana kura-kura itu agak besar adik tidak lekatkan lagi.
Kura-kura - Semua ketawa terbahak-bahak apabila melihat kura-kura yang papa bawa balik. Punyalah besar. Propotion tidak seimbang dengan kedudukan rekabentuk yang dihasilkan.  Bila cuba diletakkan di depan gua ianya memenuhi ruang gua ciptaan. Tidak boleh jadi.
Beli lagi - Memandangkan pokok agak besar papa pergi lagi ke kedai membeli yang lebih kecil tetapi sayangnya apa yang papa beli sebelum itu sudah melekat tidak boleh ditanggalkan. Jika ditanggalkan kena buat lagi plasticine yang sudah di lekatkan di atas kapas. Lihatlah pokok-pokok kecil baru yang papa beli nampak lebih sesuai.
Kesudahan - Memandangkan rasa sayang pada pokok kecil yang baru papa belikan maka diselitkanlah juga beberapa pokok sehingga akhirnya adik gelihati sendiri dan berkata "Mama tengoklah dah macam Hutan Bandar". Kalau di JB sini sebut Hutan Bandar memang banyak pokok sebagai pelindung ketika beriadah seperti jogging dan sebagainya. Kura-kura juga hanya seekor dilekatkan dan diletakkan jauh kedudukan dari gua supaya tidak nampak ketidakseimbangan saiznya. Ketawa bila melihat kura-kura itu.
Siap - Inilah kesudahan kerja yang adik bawa balik ke sekolahnya pada hari Ahad. Mengharap adik boleh dapat band-6 untuk kerja tangan geografi ini.
Kalau kerjatangan yang sekadar 2-dimensi lebih mudah berbanding 3-dimensi begini. Apa lagi kena duduk di dalam kereta dengan perjalanan yang jauh. Nasib baik gam papa belikan memang kukuh. Alhamdulillah tiba di asrama semuanya masih kekal seperti asal. 

~~ Kerja sekolah dari satu anak ke satu anak aku dapat merasakan ianya semakin mencabar.~~


Tuesday, December 8, 2015

Dalam hidup perlu ada kreativiti

Sejak cuti sekolah boleh dikatakan setiap minggu kami akan menjadi pembeli di pasar malam yang berdekatan rumah kami. Berjalan mencuci mata sambil tidak ketinggalan bila balik masing-masing pasti akan ada yang dibeli bagi memenuhi kehendak selera masing-masing. Buat aku selain makanan yang dibeli sayur-sayuran pasti menjadi agenda utama sebab di sini sayuran lebih murah dan segar.

1 - Bermacam-macam ada dijual di pasar malam ini
 Apa yang pasti masing-masing punya kreativiti sendiri apa yang menjadi tarikan pengunjung. Salah satu yang menarik mata aku ada tiga pemuda cina yang dalam usia belasan tahun menjual aiskirm. Cuti sekolah digunakan sepenuhnya untuk mencari duit. Pandai.

2. Kak Meen dan adik sudah ada yang diperolehi tetapi masih lagi menghayun langkah untuk mencari lagi

3. Dahulu ayam golek di panggang di atas dapur yang menggunakan arang. Sekarang dengan kuasa elektrik penjual lebih rehat.

4. Mereka ini mempunyai ibu-bapa yang bijak. Sambil dia berniaga kek bermacam jenis kek, anak-anak bermain masak-masak di dalam van. Pandai ibu-bapa mereka. Mata aku, Kak Meen dan adik pasti mudah saja tertancap ke arah ini. Mereka comel-comel belaka. Saban hari melihat ibu mereka membaking kek, melihat kek sedap-sedap sudah tidak kisah lagi.
Demi memenuhi tuntutan kehidupan yang kian rigid, setiap kita yang ada tanggungjawab kenalah lebih kreatif. Apalagi jika bekerja sebagai pekarja tidak sama kepada yang mempunyai business sendiri. Menjual apa  saja di pasar malam pada aku salah satu langkah menjana pendapatan. Citarasa manusia tidak sama sebab itu apa pun yang dijual di pasar malam aku perhatikan pasti ada pembelinya. Tidak boleh dinafikan bahawa 9/10 rezeki adalah dari berniaga.

~~ Biar payah dan tertekan bagaimana pun kehidupan kena diteruskan. Usaha kena ada demi kebahagiaan insan-insan yang kita sayangi.~~


Wednesday, October 28, 2015

Fossil - idaman, keinginan dan kemampuan

Bingung untuk memberi hadiah orang tersayang? Seringkali inilah yang berlegar di minda kita. Membeli hadiah ulangtahun perkahwinan, hari lahir, kejayaan anak-anak dan sebagainya. Tidak kurang membeli set hantaran perkahwinan juga sering menjadi isu. Aku paparkan idaman, keinginan dan kemampuan yang mungkin boleh dijadikan kenyataan.
Fossil - Sebelum kita lahir dia sudah lahir tetapi sehingga kini masih belum mampu untuk memilikinya.  Ada rezeki lebih tidak salah untuk menjadikan ia sebagai milik peribadi untuk menghargai diri sendiri.

Mengambil kira bahawa pada zaman yang serba moden ini kita dapat lihat semua orang semakin terdedah dengan pelbagai bentuk cara hidup yang lebih urban, penerimaan terhadap benda-benda baru semakin mudah untuk diserap ke dalam budaya komuniti masyarakat kita yang sudah sedia ada. Jika dahulu norma tradisional begitu melekat dalam jiwa kita namun kini walaupun elemen itu masih dikekalkan kita juga turut dapat menerima perkara baru seperti cara hidup yang lebih urban atau moden.

Pelbagai cabang bidang turut menerima tempias yang sama sebagai contoh bidang fesyen. Industri fesyen mempunyai jenis pasaran yang tidak menentu dan sentiasa berubah-ubah. Inilah apa yang mereka panggil sebagai trend. Saban tahun kita dapat menyaksikan pelbagai gaya akan dicipta bagi menghasilkan penampilan yang berbeza. Jenama-jenama terkenal pasti akan sentiasa mengambil tahu akan perubahan trend ini bagi membuatkan jenama dan produk mereka sentiasa segar dan diminati ramai. Fossil adalah antara ribuan jenama terkenal yang sentias berada di hadapan dalam menawarkan pelbagai koleksi jam tangan.
Bergaya - Sebenarnya bukan kepada gaya tapi kepuasan dan ketahanan yang ditawarkan juga cukup membuat siapa pun pasti teruja untuk memilikinya.
Jenama ini sentiasa hadir dengan koleksi  Fossil Malaysia online buat lelaki dan wanita yang mempamerkan rekaan yang sangat stylish dan segar. Atas faktor inilah yang membuatkan jam Fossil online amat popular bukan sahaja dalam kalangan pelannggan mereka di Malaysia malah di seluruh dunia juga.

Menggoda - Tepuk dada tanya kemampuan. Gaji pun sudah masuk apa tunggu lagi.
Jam tangan daripada jenama antarabangsa ini sering menjadi pilihan dan dikagumi oleh para peminat setia jenama tersohor ini. Mereka membariskan koleksi jam tangan yang cukup eksklusif terutamanya daripada segi rekaan. Malah tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa Fossil Malaysia sudah mempunyai trademark tersendiri terutamanya daripada segi rekaan koleksi jam tangan mereka.


~Manusia dan jam tidak dapat dipisahkan. Memiliki yang cantik dan menawan pasti menjadi idaman.~ 

Monday, September 14, 2015

Kebolehan setiap anak tidak sama

Sinonim dengan entri pagi tadi. Memberi sedikit kesedaran kepada anak dan diri sendiri. Kemampuan kita sekadar berusaha tetapi kesudahannya adalah ketentuan Allah jua. Sabtu lepas adik bersama cikgunya ke majlis sambutan hari kemerdekaan Persatuan Pandu Puteri peringkat negeri Johor di Kluang. Adik memasuki pertandingan mewarna. Ketiga-tiga anak mama tidak ada satu pun mewarisi bakat papa. Papa belajar mechanical dan elektrikal haruslah kena pandai melukis. Semangat adik untuk masuk bertanding berkobar-kobar namun hasilnya sekadar membuahkan senyuman kami sekeluarga. Keputusan yang diperolehi tetap sama seperti dulu kakak-kakak adik juga. 

WhatsApp - Sebelum dihantar hasilnya, sempat juga ditangkap gambar dan WA buat tatapan mama-papa dan kakak-kakak. Papa dengan mama kenalah respon untuk bagi semangat. Tapi lihatlah adik sendiri membalas WA papa dengan ikon muka senyum malu sebab dia tahu pencabarnya bukan calang-calang calon. 
Balik - Pihak PPD ada menyediakan bas pergi dan balik. Mereka termasuk guru semua berkumpul di PPD dan menaiki bas yang sama. Mama-papa jemput adik di PPD sini saja. 

Sijil - Inilah yang adik dapat. Apa yang adik mahukan sijil ini peringkat negeri Johor itu yang  mahu merebut peluang.  
Dari dulu semua anak-anak mama tidak ada yang berbakat dalam hal lukis-melukis dan yang pasti bagaikan mengikut jejak mama mereka ini. Walaupun dari kecil masing-masing bukan main minat untuk melukis dan mewarna tetapi hasilnya semua sudah maklum tidak setanding dengan anak-anak yang seusia mereka. Sekadar memenuhi ruang masa dan bermain pensel warna bolehlah.

~~ Kagum melihat anak yang semulajadi boleh berimaginasi dengan pensil warna.~~


Thursday, May 21, 2015

Mari menjalin benang

Anak zaman dulu tidak ada gadjet canggih lalu bila si emak bergelumang dengan kain dan benang secara tidak langsung anak pun akan ikut sama. Anak sekarang mama bergelumang dengan benang dan kain pun dia buat tidak tahu. Tetapi entah angin apa cuti baru ini Kak Meen teringin mahu belajar menjalin benang seperti yang aku sedang lakukan.

Jalin - Tulang belut untuk leher baju kurung pun aku jalin menggunakan benang bola seperti ini sebab lebih cepat siap. Kalau satu baju tidak sampai dua jam sudah boleh siap. Hanya dengan taliair aje. 

Belajar - Tiba masa menjahit baju kurung mudah untuk menggunakannya. Pilih saja mana satu yang sesuai. Yang ini Kak Meen gunakan untuk belajar menjalin/mengait.
Asas - Baru hendak memulakan jalinan. Tidak perlu membuat cadar atau alas meja seperti mama, kalau dapat membuat tapak gelas pun sudah memadai untuk permulaan. Itu yang mama mahu lihat.

Himpunan - Kena ada bermacam warna bagi memudahkan bila mahu disesuaikan dengan baju yang dibeli mudah untuk dipadankan. Semua ini bukan dibeli serentak. Bila mahu menggunakan tidak ada warna sesuai baru beli baru, kalau tidak aku guna benang lama (ada yang sudah bertahun lamanya).


Jalinan - Berkali-kali mama kata ini dinamakan taliair tapi asyik terlupa akan dikata mata-air. Manalah tidak berderai ketawa sama-sama akhirnya.

Pegang jarum dan lilit benang di tangan kena mahir baru menjalin akan lebih lancar dan cepat membentuk apa yang dikehendaki. Kalau lilitan di jari pun asyik terlerai, taliair pun akan longgar dan jalinan tidak sempurna. Kesabaran dan minat kena seiringkan barulah apa yang dikehendaki akan menjadi.

~~ Salah satu kemahiran yang kian luput ditelan zaman.~~

Monday, January 26, 2015

Merotan dan eksperimen di rumah

MEROTAN - Isu terkini yang hebat  sehingga ada yang membantah dan tidak kurang menyokong saranan akta supaya tidak merotan anak. Untuk pengetahuan teman-teman di rumah aku ada sebatang rotan yang bahagian hujungnya sudah pun pecah. Tetapi rotan aku tidak pernah aku gunakan untuk merotan anak-anak. Bunyi rotan yang aku sebatkan ke dinding, meja dan lantai sudah cukup membuat anak-anak gerun. Sehingga ada kalanya suara untuk mengaji pun jadi perlahan. Rasulullah juga ada menggantungkan rotan di dinding rumah baginda.

Tidak perlu dirotan - Apabila sudah memohon kebenaran mana mungkin akan dimarah. Ros kuning mama dijadikan eksperimen anak. Di gunting sekuntum dan dibawa masuk ke dalam biliknya
Merah - Pewarna merah untuk buat kuih di dalam fridge dibancuh dengan air lalu dimasukkan ke dalam botol mineral seperti ini.
Dua hari - Cecahkan tangkai bunga sehingga mencecah pada air merah tersebut
Pink - Ros kuning mama menjadi warna pink. Sehingga entri ini dibuat pagi ini aku lihat bunga ini masih lagi berada di meja tulis di dalam biliknya.
Ros merah - Mahu bereksperimen dengan ros merah ini untuk dijadikan hitam tapi mama tidak benarkan. Macam rugi saja sebab warna cantik jadi tidak menawan kalau hitam jadinya.
Seandainya merotan sehingga menimbulkan kecederaan walau tidak ada akta pun rasanya memang wajar diambil tindakan. Tetapi kalau motifnya adalah untuk mendidik demi kebaikan apalah salahnya. Aku masih ingat lagi ketika berada di dalam darjah 5 satu kelas kena rotan gara-gara salah seorang kawan lelaki kami main campak-campak cicak yang telah mati membuat kelas riuh-rendah. Bila cikgu masuk kelas semua kena berdiri di atas kerusi, tadah tangan dan rotan cikgu hinggap di tapak tangan kami. Aku menangis waktu itu. Masih kejap dalam ingatan tapi tidak ada seorang pun mak-ayah yang datang untuk menyangsang cikgu kami. Tapi yang jelas kami semua menjadi 'orang' tidak ada yang kecundang.

~~ Renungkan hadith ini - Perintahlah anak-anak kamu dengan solat ketika berumur 7 tahun dan rotanlah mereka jika tidak solat apabila berumur 10 tahun.~~


Saturday, December 27, 2014

Festival Kraft Johor 2014

Mengunjungi Festival Kraft yang diadakan di hadapan dataran Plaza Angsana, aku lihat rata-rata mereka yang terlibat adalah saudara-saudara kita dari pantai timur. Satu kebanggaan yang tidak boleh dinafikan kebolehan berniaga bangsaku yang berasal dari pantai timur timur jelas di mata kita semua. Kelembutan bahasa dan dialek yang digunakan jelas terpancar asal-usul mereka bukan dari Johor walaupun festival diadakan di Johor Bahru. Festival akan berlangsung sehingga 31-12-2014 ini.


Pentas utama - Berbagai program diadakan tetapi pentas ini kurang menarik minat kami sekeluarga kerana kami lebih suka mengunjungi booth-booth yang ada menjual beraneka jenis barangan kraft.
Tradisi  - Dapur yang digunakan oleh pakcik pembuat peralatan parang, pisau, sabit dan sebagainya. Masih menggunakan cara lama.
Lembut tutur katanya - Lihat pakcik yang berasal dari Kelantan ini. Beliaulah tuan empunya booth ini. Cantik, unik dan menarik semua hasil tangannya. Semuanya dibuat secara tradisi.
Dalam kemelut saudara-mara dan sahabat-handai yang kini sedang bergelut dengan ujian dari Allah di pantai timur, mereka yang kini berada di JB tetap berhati walang memikirkan keadaan rumah dan keluarga yang ditinggalkan. Hanya doa dan harapan yang tinggi moga semua kembali pulih dengan segera.

 ~~ Belum ada keperluan buat aku membeli sebilah pisau dapur yang berharga RM75/-.~~

 

Wednesday, December 24, 2014

Johorean - Pengantin, zapin & telur pindang

 ~~ Penutup majlis perkahwinan untuk tahun 2014. Tiada lagi kad jemputan.~~ 



Thursday, October 23, 2014

Muncurah kasih pada tanah

Santai bersama anak-anak sehari bercuti duduk di rumah. Sambil pot-pet-pot-pet bercerita isu 'touch dog' beralih kepada assignment Kak Reen yang belum siap berkaitan cendawan tiram. Sama-sama mencari bahan dari google. Petang pula adik seperti biasa pergi untuk rakaman di RTM.

Botol - Ini botol air zam-zam yang dulu digunakan oleh Kak Reen masa di asrama. Kini tinggal di kampus yang jauh sudah tidak lagi digunakan.
Potong - Kerat tengah tapi jangan buang bahagian atasnya. Cucuk-cucuk dengan pisau bagi laluan air bahagian bawahnya.
Selesai - Masukkan tanah dan alih anak pokok cili. Sementara belum ada rumput di atas tanah itu tutup dulu dgn bahagian atas botol yg telah di kerat bahagian tepi bagi membolehkan dia seakan bersambung balik. Kena buat begini bagi mengelakkan mak-pak meow yang berkeliaran membuang hajat di sini. Bila sudah ada rumput bolehlah buang bahagian atas botol tersebut.
Banyak - Sambil buat semua itu sambil menjeling pokok limau purut yang semakin galak berbuah. Semakin ramai yang meminta semakin megah dia berbuah.
~~ Umat Islam sentiasa diuji. Belum berakhir isu 'touch dog' hari ini ada pula isu mahu lelaki bertumit tinggi. Bersamalah beringat yang mati itu pasti. Syurga dan neraka itu juga pasti.~~


Monday, April 7, 2014

Bukan Seremban di Negeri Sembilan

Tahukah anda bermain seremban? Sebutan untuk 'rem' disebut seperti menyebut perkataan merempat - ambil sukukata rem di sini baru betul sebutannya. Jangan ambil sukukata seperti menyebut merempit - rem pada perkataan merempit ini sama seperti menyebut Seremban di Negeri Sembilan itu.

Kacang hijau - Bermula membuat kerana matapelajaran seni visual di sekolah. Mendidik anak-anak menggunakan jarum cikgu mahu mereka membuat biji seremban ini. Adik tidak pandai menjahit walau selalu melihat mama menjahit. Asyik terbolos keluar kacang dari jahitan yang dibuat olehnya.
Hari minggu - Oleh kerana sekarang hujung minggu aku tinggal sendirian, ditambah kasihan melihat apa yang adik buat aku pula menjadi seperti anak-anak menjahit biji seremban ini. Ini yang kecil-kecil jadi ngam-ngam untuk 5 biji di dalam genggaman tangan adik. Lebihnya aku kata bagilah pada kawan yang tidak siap buat macam adik juga.
Jahit - Jahitan paling mudah aku buat, yang penting kacang di dalam tidak terkeluar.
Tiga jenis - Ada warna biru (perca baju Mak Zah), kuning/coklat ini sisa kain langsir agak keraslah pula dan yang pink polka-dot itu perca baju adik. Sudah semestinya adik suka yang pink sebab kecil-kecil. Senang untuk digenggam 5 biji.
Membeli - Ini yang adik beli. Mengikut saiz inilah aku buat pada mulanya sebab itu agak besar. Bila melihat tidak muat genggaman tangan adik baru aku buat yang kecil pink itu.
Terkenang zaman aku kanak-kanak dulu kami bermain menggunakan batu. Ada juga seremban yang menggunakan guli kami lantunkan di atas simen. Aku dan hubby masih boleh bermain hingga kini batu seremban ini sebagai melayan adik bermain bila dia tidak ada teman bermain. Sesekali melayan anak walau sebenarnya keseronokannya tidak sama sewaktu zaman kanak-kakak dahulu.

~~ Kalaulah permainan tradisi ini dijadilah salah satu kegiatan seperti bersukan/riadah mungkin ianya akan disukai ramai.~~

Thursday, January 23, 2014

Nikmat makan di bawah pokok

Apabila makan di luar, salah satu yang perlu adalah mencari lokasi selesa. Situasi tempat makan pun turut mengambil peranan untuk menambah selera makan sebenarnya. Tempat kami makan sekeluarga ini hanya bersebelahan taman saja. Biasa kami makan di dalam restorannya tetapi kali ini hubby mengajak kami makan di luar bangunan. 

Sejenis pokok palm - Daunnya yang lebar mampu menutup keseluruhan meja makan. Sambil dipuput angin yang sepoi-sepoi terasa nyaman makan di bawah pokok palm ini. Nostalgia mengikut allahyarhamah mak ke kebun menerjah kembali. Sambil meneman mak kami makan bekal yang dibawa. Nikmat makan di kebun tidak dapat dirasa anak-anak sekarang.
Penuh dengan buah - Bukan saja daunnya yang menarik tetapi buah-buahnya yang meriah tambah menarik perhatian. Kalau kanak-kanak zaman aku dulu buah ini tidak sempat membesar habis digunakan sebagai 'peluru' untuk melastik.

Sekadar menunjuk kreativiti pengusaha restoran yang menjadikan pokok sebagai teduhan meja makan. Kami makan asam pedas ikan pari, sayur sup petola bebola ikan, sambal belacan, ikan goreng dan ulam-ulaman. Selain meja makan di bawah pokok palm ini, apa yang memikat selera keluarga kami sebenarnya hidangan asam pedasnya yang menyelerakan.

~~ Walaupun sekadar pokok biasa, seandainya kreatif menjadi tarikan pelanggan untuk berlabuh di situ.~~

Thursday, August 29, 2013

Cerita cuti sekolah - kemahiran hidup

Masa: Cuti sekolah/ Hari Raya minggu pertama baru-baru ini
Tempat: Di porch letak kereta
Aktiviti: Membuat tempat gantung kunci dan letak pensil
Mengukur dan memikir - Lihat tangan pun tahu siapa yang membuatnya. Tugasan untuk matapelajaran Kemahiran Hidup bukan diri sendiri yang membuat tetapi papanya yang kena buat. Mahu mengetuk paku pun tidak tahu apa lagi menggergaji plywood.

Perkakas - Memilih warna dan alatan Yasmien pandailah, tetapi untuk menggergaji dan menggunakan tukul besi dan memaku memang jauh panggang dari apilah.

Penggantung kunci dan tempat simpan pensil - Hampir siap papa membuatnya. Yasmien sekadar duduk di tepi menghulur paku. Apa yang gelihati konon menyediakan papa air minum sebab dia tidak tahu papa berpuasa. Kena ketawakan adik dan papalah dia. Sayangnya yang sudah siap varnish tidak disnap. Terlupalah mereka agaknya.

Mahu mencuba - Ini tangan budak yang suka mengacau. Siapa lagi kalau bukan adik.
~~ Aku rasa rata-rata kerjatangan yang diberikan sewaktu cuti sekolah tempohari pasti bukan pelajar itu membuat sendiri.~~

Monday, July 29, 2013

Pengawal peribadi adik


Menjaga sebelah kanan - Tiga ekor semuanya. Seekor lagi yang purple entah ke mana menghilang. Telah 17 tahun usia ketiga-tiga ekor teletubies ini. Teringat membeli dulu untuk anak sulung. Maklumlah anak pertama untuk 4 ekor patung ini papa sanggup membayar 200 ringgit. Kalau sekarang 50 ringgit pun kami tidak mahu membeli.
Menjaga sebelah kiri - Seekor yang gagah berani. Putih bersih. Mama takut kucing jadi dapat kucing yang tidak pandai bergerak pun jadilah. Telah berbelas tahun juga kucing ini berada dlam pelukan anak-anak.
Penjaga bahagian kaki - Lima ekor diperintah mengawal bahagian bawah. Dulu bila Mc Donald melancarkan patung hello Kitty kami sibuk membeli mengumpulkan semua bentuk yg ada. Tinggal seekor tertinggal di rumah sebab lainnya sudah diberikan kepada sepupu-sepupunya.
Peralatan kerja - Penat membuat kerja bantal sudah tersedia. Semua pengawal tidak pernah berganjak dari awal tuannya membuat kerja sehinggalah tuannya terlena.
Bagaikan arkitek dan jurutera - Macam-macam rekaan yang tidak boleh difahami maksud tersirat
Kedudukan keseluruhan - Gambar diambil ketika tuannya ke bilik air. Beginilah selalu yang dibuat adik sebelum dia memulakan kerja sekolah atau apa juga waktu santai seperti membaca novel, bermain game atau sebagainya. Motifnya mama/papa pun tidak tahu.
Ada sedikit kerisauan kerana usia adik hampir menjangkau 10 tahun tetapi masih suka bermain ini semua. Berpuluh-puluh anak-anak patung telah diberikan kepada sepupunya. Baki yang ada masih tertinggal inilah yang menjadi pendamping bila dia sendirian.

~~ Menanti dan menanti bila agaknya adik akan tinggalkan permainan ini semua.~~