Saturday, March 5, 2011

'Contest Resepi Pilihan' Sinar Raudah

Merenung gambar di atas sejenak
Sinar Raudah mencabar kewanitaan kita
walaupun rasa belum tentu enak
resepi diberi sebagai suka-suka
Mahu tahu apakah syaratnya
larikan jejari di http://www.sinarraudah.blogspot.com/ segera
tempoh diberi seminggu cuma
lambat sedikit tidak diterima


SIAKAP STIM ASAM PEDAS
Bahan-bahan mesti disediakan
kalau tidak macamana jadinya
lihatlah gambar di dalam pinggan
kira dan perhatikan apa bahan-bahannya


1 ekor ikan siakap (sederhana saja saiznya)
11 tangkai cili kering (buang biji, gunting dan kisar)
5 ulas bawang merah (kisar)
5 ulas bawang putih (kisar - sedikit diguna untuk dilumur pada ikan)
1/2 labu bawang besar (mayang)
1 cm halia (kisar - sedikit dilumur pada ikan)
1/2 cawan air asam jawa (pekat sikit sebab ikan stim mengeluarkan air)
1 keping asam gelugor
1 kuntum bunga kantan (belah dua)
1 biji tomato (potong empat)
sedikit daun kesom
5 biji kacang bendi
garam dan perasa (kepada yang suka menggunakannya)
sedikit minyak untuk menumis


Langkah kedua kena lihat juga
mana yang perlu dikisar kisarlah
mana yang tidak perlu kena cuci saja
aku tidak tanggung kalau tersalah

Lumurkan ikan dengan halia dan bawang putih kisar. Masukkan ikan ke dalam stimmer lebih kurang 10 minit. Sementara ikan dalam stimmer tuang minyak dalam kuali. Tumis cili, bawang merah, bawang putih dan halia yang telah dikisar. Biarkan tumisan nampak betul-betul masak baru masukkan bunga kantan, daun kesom, asam gelugor dan air asam jawa. Bila mendidih masukkan kacang bendi dan tomato. Masukkan garam dan perasa (jika suka). Renihkan sebentar jangan sampai kacang bendi dan tomato terlalu masak. Kemudian tuanglah ke atas ikan dalam stimmer. Stimmer set masa seminit-dua lagi. Bila stimmer sudah berbunyi "tingggg" masaklah sudah dan sedia untuk dimakan. Hidangan ini untuk aku berdua dengan hubby saja. Anak aku lebih suka stim halia tanpa cili. Tidak boleh tunjuk di sini kerana ia melanggar syarat Sinar Raudah.


Nampak seekor ikan siakap
10 minit berada dalam stimmer
bila ikan lembut tumisan pun siap
tuang bahan tumisan biar mesra rasanya
Siapa hendak bertandang ke Johor
aku masak buat resepi ini
walaupun anda tidak kecur
resepi dipapar gara-gara si Amy

Wednesday, March 2, 2011

Lembu oh Lembu

Pada hari Sabtu lepas aku berpeluang mengikut hubby ke ladang menternak lembu kepunyaan seorang doktor veterinar bertempat di Simpang Renggam. Kerana keadaan jalan yang agak ala-ala ranger maka kami pergi menggunakan 4WD. Aku pergi berdua saja. Lebih kurang satu jam setengah kami telah tiba di ladang tersebut.

"Wangi tau. Nak ikut I turun ke tak?" hubby bertanya sebelum melangkah turun.

"Hm... I tak kisah. Ikutlah." Aku tidak mahu mengalah.

Turun dari 4WD ternyata baunya sudah cukup menusuk lubang hidung aku yang memang sudah cukup besar. Rasa bagai tidak tertanggung. Mahu saja aku menutup lubang hidung tetapi bimbang mengguris hati pekerja-pekerja ladang yang ada. Jadi dengan senyum aku turut menapak di belakang hubby bertemu tuan punya ladang, Doktor Isa. Kembang-kuncup lubang hidung lama-kelamaan terasa kurang pula bau menyucuk itu mungkin sudah jadi immune. Cuaca panas terik membuat aku berlari dan berteduh di bawah pokok kelapa sawit. Ladang lembu kepunyaan doktor ini bukan saja menernak lembu kerana dari jauh kelihatan kandang kambing dan ayam. Oh.... kaya doktor ini hatiku berdetik. Kalau seekor lembu yang kecil pun harganya RM 2700/- berapa pendapatannya kalau terjual beratus ekor sebulan. Mahu tidak dia sanggup berhenti jadi doktor.

Sewaktu hubby berbincang untuk memilih lembu yang akan dijadikan sedekah buat Maulud Nabi aku mencuri peluang snap sana-sini setelah meminta izin dari doktor tersebut.
Mesin pengisar - Bukan kisar pasir tapi rumput/pokok jagung yang dijadikan campuran pada makanan lembu-lembu tersebut

Berlonggok - Pokok jagung ini akan dikisar dan dicampur dengan makanan sintetik

Putih Sekawan - Walau begitu banyak tapi semuanya jantan dan tidak bergaduh.

Hitam dan belang - Kandang ini kebanyakannya hitam dan bertompok hitam-putih. Lebih kecil saiznya.

Sembelih - Ada juga penjualan daging kerana doktor itu sendiri yang menjadi tukang menyembelih. Hubby tolong snapkan gambar ini (aku belum kuat untuk melihat adegan itu). Mendengar rintihan lembu pun sudah rasa sayu.

Besar - Lembu ini harganya RM 6500/- Tak pernah aku melihat lembu sebesar ini

Perhati - "Jangan main-main lembu hubby aku tengah perhatikan engkau tu."

Pilihan - "Itulah engaku tak percaya buat apa jeling-jeling." Inilah lembu pilihan hubby yang akan disembelih dan dijadikan hidangan bersama nasi beryani untuk sambutan maulud nabi nanti.