Tuesday, March 6, 2012

Maulid atau Maulud

Majlis maulidurrasul di surau taman perumahan kami berlangsung pada 03-03-2012. Ada yang menyebut maulud dan ada juga yang menyebut maulid. Kalau mengikut bahasa arab maulud sebenarnya bererti bayi atau anak dan maulid adalah hari kelahiran. Tidak mengapalah apa yang penting kita faham maksud sambutan adalah tanda kasih dan sayangnya kita pada baginda. Selepas solat maghrib hari itu masing-masing mengisi perut dengan nasi beryani lengkap dengan segala lauk-pauk. Kehadiran kariah bukan setakat taman perumahan kami tetapi melewati beberapa buah taman bersebelahan

Hidangan - Boleh memilih apa saja lauk yang disukai

Anak tadika - Inilah acara paling aku sukai. Persembahan nasyid dari anak-anak tadika. Anak lelaki berbaju maroon yang berdiri di tengah itu sangat keletah. Kerana terlalu bergaya hingga lace biru di songkok pun boleh tertanggal. Tapi suaranya amat merdu mendayu-dayu sebab itulah dia dipilih mengetuai kumpulan tersebut.

Remaja - Kumpulan nasyid lelaki remaja membuat persembahan.

Uztaz Mohamad Rifqi - Berasal dari Kelantan. Menjadi imam solat isya' kami malam itu. Bersuara lantang, bijak menarik pendengar sehingga anak-anak yang sibuk berlari pun boleh terdiam dan turut masuk ke dalam untuk mendengar syarahannya. Aku puji segala intipati syarahannya meliputi segenap golongan dari bayi hingga golongan tua. Banyak sunnah-sunnah rasulullah dibentangkan malam itu untuk diaplikasikan dalam hidup kita.

Jam 11:00 malam - Majlis bersurai. Sedih sahabat sebelah taman perumahan aku kehilangan selipar. Ustazah Alawiyah mulanya berkata tidak mengapa dia bersetokin saja. Namun aku tidak sampai hati. Mahu diberi selipar aku tidak muat sebab kaki aku sedikit kecil lalu aku beri selipar hubby kepadanya. Masih ada lagi kes begini di malam mencari amal namun kami menganggap mungkin tidak sengaja


~~ Ada petua buat para suami untuk menghilangkan stress kata uztaz Rifqi. Ini juga merupakan sunnah rasulullah. Berbaringlah di peha isteri seketika. Selain mendapat kelegaan dapat ganjaran pahala. Mudah bukan? Tetapi janganlah si isteri membebel sewaktu suami merebahkan kepala kerana ia akan menambah lagi serabut di kepala.~~



Monday, March 5, 2012

Tidak mencukupi untuk membeli lembu

Petang Jumaat lepas hubby membawa bungkusan plastik yang mengandungi duit tabung surau tempat kerjanya. Menurut jangkaannya duit ini bolehlah digunakan untuk membeli seekor lembu bagi kegunaan majlis maulid. Seperti selalu kalau kurang pun sedikitlah untuk ditambah bagi membeli seekor lembu. Tetapi alangkah terkejut bila dituang saja mata pun sudah dapat menjangka wang tidak sampai seribu.

Dalam tabung - Bukan saja ada duit di dalam tabung tersebut tetapi ada juga getah gelang, plastik gula-gula, pensil , duit Thailand dan sampah.

Duit RM10 - Adik kata kalaulah ini duit dia alangkah bagusnya

Ikat jadi satu - Duit 100, 50, 10, 5 dan 1 ringgit dijadikan satu

Syiling - Kumpulkan yang 50 sen, 20 sen dan 10 sen

Jumlah terkumpul - Lihat dihujung angka ada 06 sen itu tercatat di kertas kerana ada sekeping duit 5 sen dan satu sen juga di dalam tabung tersebut yang perlu dikira juga.

Memandangkan duit terkumpul terlalu sedikit mereka kenalah mengeluarkan derma sedikit untuk menampung perbelanjaan membeli seekor lembu tersebut. Hanya diharapkan kepada mereka termasuk anak-anak yang berani memancing duit di tabung surau itu insaflah kerana ini adalah wang jariah umat Islam yang diharap dapat dimanafaatkan kepada perkara yang baik-baik. Tidak mahu bersedekah tidak mengapa tapi janganlah dicuri pula hasil sedekah jariah orang ramai.


~~ Majlis Maulid masih diraikan di negeri Johor hampir setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad di mana-mana saja. Situasi begini boleh dilihat sehingga bulan rejab. Berselawatlah kita ke atas junjungan baginda Rasulullah saw.~~