Tuesday, August 5, 2014

Silaturrahim di Aidilfitri 1435H

Kesedihan dan kegembiraan tetap ada di mana-mana.Saat kita bergembira ada yang sedang berduka. Ketika bibir kita tersenyum gembira jangan lupa ada terselit salah dan silap yang tidak disengajakan. Mohon kemaafan sebaik usai solat aidilfitri menjadi kelaziman. Moga kemaafan tulus lahir dari hati yang suci.

Dua Kak Long - Kak Long Alia sudah bekerja tapi Kak Long Reen masih belajar. Dapatlah anak-anak merasa duit raya dari Kak Long Alia selepas bersalaman memohon ampun dan maaf segala kesilapan. Boleh pula kebetulan tahun ini warna baju kami hampir sama.
Abang Danial - Tidak boleh bersalam sebab sekadar sepupu saja. Duit raya tidak mengapa mestilah adik ambil. Dua minggu lagi Abang Den akan menikah. Dapat orang Muar. Majlis keluarga kami di Bangi pada bulan September.
Abang Zaquan - Walau Abang Zaquan ini dipanggil adik dalam keluarganya tapi sebab sudah dewasa dan bekerja anak-anak Mama Zakie juga yang beruntung sebab semuanya masih mendapat duit raya dari mereka. Kak Meen menayang duit raya pemberian Abang Zek.
Ziarah - Kunjungan kami yang sangat-sangat dinantikan. Gembira tapi bercampur dengan airmata bila saat begini. Sehari sebelum ramadhan Abang Ngah hubby kena stroke. Tapi alhamdulillah berkat doa dan ayat-ayat yang diamalkan dan usaha semua, seminggu saja sudah boleh berjalan tetapi sebab bulan ramadhan kena berpuasa tiba-tiba menjelang Hari Raya kami lihat bagaikan sudah terlalu uzur. Janggut dan misai pun sudah berubah banyak yang putih dari yang hitam. Badan susut kurus walau baru sebulan. Abang Ngah inilah yang banyak membiayai hubby ketika belajar dulu.Aku tahu hubby sangat sayang dgn Abang Ngah sebab bagai pengganti Allahyarham abahnya.
Suasana kampung - Bila beraya di rumah sepupu yang bagaikan adik-berdik sendiri beginilah jadinya. Bukan duduk di sofa menghadap kuih-muih tetapi menuju pokok rambutan yang rimbun mudah dicapai tangan.
~~ Meresap jauh di lubuk hati ketika tautan salam di Aidilfitri terasa berbeza ketika bersalam di hari-hari biasa.~~

Monday, August 4, 2014

Tradisi setiap tahun berulang lagi

Alhamdulillah kembali semula. Mengimbau detik-detik sebelum Aidilfitri 1435H yang baru seminggu berlalu. Lebih seminggu juga tidak menjenguk blog dan membaca entri teman-teman. Kembali ke pejabat dengan rasa seperti bulan ramadhan pula sebab aku masih berlenggang tanpa bekal ke pejabat. Kalau bermula puasa syawal di hari kedua raya, hari ini sudah boleh senyum lebar.
Jari Manis - Kad raya yang terakhir di terima untuk Hari Raya Aidilfitri tahun ini. Terima kasih JM  Ramai blogger yang masih mengekalkan tradisi ini. Alhamdulillah.
Ramadhan terakhir - Kami sudah berkumpul di Batu Pahat. Tradisi kami sekeluarga, makan berbuka bersama. Namun keluarga hubby bukanlah seperti keluarga aku yang kalau berkumpul sesak rumah bapak. Anak-cucu saja sudah berpuluh-puluh.  Di sini kami berbuka dengan air tangan aku sebab tidak ada siapa lagi boleh di harapkan. Mujur Allah kurniakan aku anak-anak dara.  Hero ini anak buah hubby yang akan menikah dua minggu lagi. Mungkin tahun depan sudah tidak berpeluang lagi berbuka dengan kami.

Menganyam ketupat - Tradisi setiap tahun juga. Setiap kali menjelang Hari Raya setiap kali itu juga kami akan mengajar anak-anak buah menganyam. Lucu bila abang ipar kami (asal dari Terengganu) setiap tahun jugalah dia pasti akan belajar menganyam. Kemahiran menganyam bukan kerana IQ sebab dia seorang doktor pun tidak boleh tangkap cepat cara menganyam. Kena gelakkan isteri dan anak-anak buah.

~~ Bukan mudah mahu mengekalkan tradisi bangsa andai tiada yang mahu meneruskan legasinya.~~