Tuesday, June 3, 2014

Rezeki makan malam kami

Sebenarnya seperti biasa bila cuti sekolah makan malam kami lebih banyak di luar berbanding di rumah. Sambil berbelanja keperluan untuk Kak Reen kami singgah makan di Secret Receipe. 

Mama punya - Dapat mengisi perut dengan nasi barulah kenyang rasa
Papa punya - Kalau suami-isteri selera lebih kurang sama, nasi juga yang dicari. Papa punya lagilah siap dengan sambal belacan:)
Kak Reen - Besar gedabak drumstick turkey ini. Walaupun seketul tetapi tidak terlarat habis oleh Kak Reen. Kami anak-beranak tolong makan sama bagi menghabiskannya. Sedap!
Buah hati mama/papa - Menikmati hidangan masing-masing. Adik tidak lepas dari mee kari. Kak Meen makan sama dengan pilihan mama.
~~ Malam tadi siap semua keperluan Kak Reen untuk dibawa ke perantauan demi masa depan. Semoga mampu menjadi insan cemerlang dunia dan akhirat. Amiiin. ~~ 


Monday, June 2, 2014

Duduknya di belakang rumah sahaja

Ruang tanah sangat terhad. Namun keinginan bercucuk-tanam tidak pernah padam itu yang membuat kami menanam semuanya di dalam pasu saja.

Herba - Baru di semai semula dua minggu lepas kerana sudah terlalu banyak memenuhi ruang pasu. Cepat membesar. Buat jelum kepala anak-anak bila dilanda demam panas. Ramas-ramaskan daunnya di dalam air. Ada sejenis bau yang kurang enak tetapi cepat sejukkan badan anak-anak yang demam. Banyak berjasa kepada anak-anak jiran yg memerlukan juga.
Daun kari - Sudah mula bertunas kembali dari apa yang aku cantas dua minggu lepas. Hujan yang sering turun membantu mempercepatkan tunas pokok.
Pokok cili padi - Sudah semakin tua. Lihat anak-anak pokok cili yang meriah di bahagian bawahnya. Adik yang tabur. Bila aku kata tabur di dalam mana-mana pasu. Dia pun tabur dalam pasu cili ini saja. Itu yang meriah penuh di dalam satu pasu.
Limau purut - Masak paprik, tomyam atau stim limau mesti daun limau ini akan jadi sasaran. Rendang jarang kami memasak tetapi sesekali buat rendang, daun limau ini juga jadi sasaran. Baru dua kali berbuah sepanjang berbakti di belakang rumah kami.
Pandan - Semaian baru. Hubby yang tolong. Pokok-pokok lama kami buang sebab pandan cepat membiak. Membuat sirap ros, masak nasi lemak dan kuih-muih selalu pandan inilah yang banyak berjasa.

~~ Beruntung mereka yang mempunyai kawasan tanah yang luas untuk bercucuk-tanam.~~