Friday, November 6, 2015

Usaha untuk mengelak sihir

Ada kalanya apa yang ibu-bapa kita ajar kita mengikut tanpa banyak soal. Itu anak-anak dulu. Mengamalkan tanpa mengetahui kebaikan dari mengamalkannya. Baru-baru ini mendapat video whatsapp dari group keluarga tazkirah oleh Dato' Haron Din Al-Hafiz barulah aku tahu akan kebaikan ayat yang selalu dibaca selepas solat. Apa lagi bila majlis Yasiin dan tahlil juga sering kita baca sehingga rata-rata kita semua sudah hafal. Malam semalam aku ambil telefon sebaik selesai budak-budak mengaji untuk aku ambil paparan ayat-ayat yang dimaksudkan sebagai amalan bersama.

Dikatakan oleh rasulullah " Barang siapa membaca lima ayat yang pertama dari surah Al-Baqaroh kemudian disambung dengan ayatul-kursi dan tiga ayat terakhir suroh Al-Baqaroh setiap menjelang malam, selamatlah dia dari angkara sihir pada malam tersebut".  Oleh itu mudah kata selepas solat maghrib selepas membaca doa yang biasa kita baca Allahumma attassalam... sehingga ghufronakarobbana wa-ilaikalmasir, teruslah baca ayat-ayat ini. Jika malam tersebut ada yang cuba membuat sihir dan sebagainya Insya Allah tidak akan terlaksana bahkan mungkin akan kembali kepada sipembuat sihir tersebut

Begitu juga barang siapa membacanya setiap selepas menjelang siang, mudah kata subuh maka jika ada yang mahu membuat sihir dia akan terselamat sepanjang hari tersebut. Jika ada aral atau sebagainya pada hari tersebut pun mudah dilalui kerana akan ada jalan penyelesaiannya yang terbaik. Contohnya jika kemalangan teruk pun sempatlah dibawa ke hospital dan mengucap kalimah syahadah sebelum ajal.

Al-Fatihah - Selesai membaca doa biasa selepas solat sebelum zikir seperti selalu sehingga Al-fatihah ini terus baca 5 ayat yang di bawah
Al-Baqaroh 1-5 : Kemudian baca ini. Rasanya anak-anak pun hafal kalau 5 ayat yang ini.

Ayatul-Kursi - Ini juga ayat yang bagaikan mainan bibir kepada kita semua umat Islam tidak kira yang kecil mahupun yang sudah hampir menemui ajalnya. Selapas membaca ini baru baca yang bawah.
Tiga ayat terakhir Al-Baqaroh - Ayat yang selalu kita baca dalam doa tahlil. Mudah semuanya cuma ada kalanya kita tidak tahu kebaikan disebalik apa yang kita baca.  Baca sehingga 'alalqoumilkafirin. 
Jika mahu ayat terpendik apa yang bapak ajarkan kepada anak-cucu untuk menghindarkan diri dari pukau, hasad, sihir dan membantu bila kebingungan contohnya anak yang menangis bagai ada yang tidak kena (ini yang aku buat ketika anak-anak baby dulu) juga boleh dibaca ayat ini - Bismillahillazi layadhurru ma'asmihi syaiunfilardhi walafissama'i wahuwassamiun'alim. Namun jika mahu ayat yang lebih panjang amalkanlah membaca ayat ruqyah juga boleh. Bacalah selalu tidak rugi. Moga dapat dimanfaatkan bersama. Segala yang baik dari Allah dan kita sebagai hambaNya sekadar berusaha.

~~ Berusaha sebelum terkena untuk menghindarkan diri dari sihir dengan ayat Al-Quran itu lebih baik. ~~



Thursday, November 5, 2015

Garis panduan disiplin sudah lama ada

Mari kita renungkan bersama betapa Islam amat menitik beratkan disiplin. Dalam setiap apa juga amalan dan tindakan yang dilakukan pasti ada tata-susila yang indah untuk diikut. Bermula dari mahu mendapatkan zuriat, setiap pasangan di didik untuk berbuat segala amalan berlandaskan disiplin untuk mendapatkan bayi terbaik sehinggalah seseorang itu mahu dikebumikan sebaik meninggal dunia. Tidak adalah sebaik meninggal terus saja gali lubang dan kambus.

Persaudaraan - Begitu juga dalam hal persaudaraan. Kemesraan bagaimana pun pasti ada susila agama yang perlu dipatuhi. Mana yang boleh dan tidak boleh dalam hal munakahat terutamanya. Hubungan dengan sepupu, dengan mak-pak saudara dan sebagainya kena ambil tahu.
Bangun tidur, bergerak ke bilik air, melangkah memulakan hari yang dilalui, berhadapan dengan sesama manusia, adab ketika beribadah semuanya ada disiplin indah. Cuba kita lihat sebaik azan berkumandang manusia berduyun ke masjid. Tiba di masjid tanpa rehearsel masing-masing sudah sedia di barisan saf masing-masing. Tidak adalah yang akan duduk di tengah barisan antara saf depan dan belakang sendirian. Hatta ketika berada di Masjidilharam atau Masjd Nabawi yang jumlah jemaahnya berjuta-juta tetap barisan saf cantik tersusun rapi. Tidak kiralah yang berada di dalam masjid mahukan di luar/perkarangan semuanya tersusun indah. Begitulah juga ketika menjalankan ibadah bersolat tidak adalah yang duduk tahiyyat dulu baru berdiri untuk buat rakaat ke dua dan sebagainya (ini tidak termasuk yang masbuk).
Adat dan agama - Selagi adat dilakukan tidak melanggar susila agama masih tidak menjadi masalah tetapi seandainya hanya kerana adat ianya melanggar syariat agama sebaiknya segera bertaubat.
Oleh sebab itu alangkah indahnya dunia ini andai semuanya mengikut disiplin yang telah digariskan di dalam Al-Quran. Tidak adalah percanggahan di sana-sini. Semua perlakuan dilakukan bukan untuk kepentingan diri semata-mata. Namun lumrah sebagai manusia kepuasan tepu tidak pernah ada dalam diri. Bila merenung ini rasa rendah diri terasa bagaimanalah Allah terima segala amalan kita.

~~ Ya Allah terimalah ibadah kami - robbana taqobbalminna. ~~